June 22, 2015

Menunggu Tempoh Siap Pembinaan Masjid Al-Umm


BBB,  04 Ramadhan 1436 = 21 Jun 2015 (Ahad):
Jangkaan pada masa serah tapak Masjid Al-Umm kepada pihak Kontrektor Tekad Nusantara (Disember 10, 2013), bahawa tempoh siap pembinaan Masjid Al-Umm dan dapat digunakan ialah pada awal Ramadhan 1436. Tarikh ini sering disebut-sebut terutama kepada penderma-penderma dan harapan tinggi masjid dapat digunakan pada bulan Ramadhan ini. Agak mengecewakan bila janji kepada orang ramai ini tidak dapat ditunaikan. Sebelum dari tibanya bulan Ramadhan berikut dari perbincangan, pihak kontrektor memohon penambahan masa lebih lewat, tetapi pihak AJK Pembinaan mengambil keputusan memberi tempoh perlu siap tidak lewat dari akhir Ogos 2015 dengan janji kepada orang ramai bahawa Masjid Al-Umm akan mula digunakan pada Hari Raya `Idul Adhha (Khamis 10 Zulhijjah 1436=24 September 2015). Tempoh diberi – lanjutan 3 bulan dianggap wajar dan janji pihak AJK Pembinaan diharap tidak diubah lagi.


Kelewatan yang berlaku, bukan dari masalah kewangan atau ketiadaan bahan, tetapi lebih kepada masalah teknikal, misalnya perubahan di sana sini yang dilakukan di samping faktor cuaca dan ada bidang-bidang yang tidak lengkap dari awal dan memerlukan kepada perunding-perunding yang bukan saja melibatkan masa, tetapi juga kepada penambahan kos. Di dalam mesyuarat antara perkara yang dicadangkan, bahawa pihak kontrektor wajar menambahkan tenaga pekerja yang selama ini dalam lengkongan 30 orang kepada jumlah maksimum sesuai dengan kerja-kerja yang ada tanpa lebihan tenaga, lantaran itu dapat dikejar tempoh masa ketinggalan dan masa tambahan yang diberikan bagi menyiapkan mana-mana bidang kerja yang belum dapat disiapkan.
Dalam lawatan Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm, kini berlaku progres pembinaan dan penambahan pekerja-pekerja, terutama dari segi pemasangan tile baik pada aras utama dan juga aras satu termasuk tangga-tangga. Aras bawah tanah telah siap dari pemasangan tile. Kerja-kerja pemasangan tile bagi kedua aras ini dapat dikatakan mencapai progres sebanyak 70%. Halangan yang ada ialah bagi pertengahan ruang aras utama, kerana pada bahagian ini masih dipenuhi tiang-tiang besi bagi menungkat bahagian kubah yang dianggap masih belum mantap dan belum kukuh struktur dan kedudukan jika tiang-tiang menungkat itu dibuang. Tiang-tiang ini juga melibatkan sebahagian dari ruang muslimat pada bahagian hadapan yang mana tongkat-tongkat besi turut dipasang dari sini. Walau bagaimana kita yakin dari maklumat yang tiang-tiang tongkat ini akan ditiadakan dalam masa terdekat, maka kerja-kerja pemasangan tile akan dapat disempurnakan.
Perkara yang penting bagi menggerakkan  kegiatan masjid ialah mendapat tenaga letrik. Setakat ini letrik didapati secara sementara bagi kegiatan pembinaan. Menyedari tentang kepentingan tenaga letrik ini, prioriti diberi terhadap pembinaan rumah pencawang letrik di dalam kawasan masjid. Rumah bagi pencawang letrik ini dibina seawal pembinaan fizikal Masjid Al-Umm, iaitu sejak dari awal tahun 2014 lagi. Kini permohonan telah dibuat kepada pihak TNB bagi memasang tranformernya di rumah pencawang di dalam kawasan masjid di sini – di tepian jalan masjid ke sekolah menengah dan rendah BBB. Banyak perkara yang bergantung kepada TNB. Tanpa tenaga letrik pencahayaan lampu-lampu tidak dapat berjalan. Azan tidak lantas untuk dialunkan, sound sistem tidak dapat dipastikan dan aktiviti ibadat solat dan pengajaran tidak dapat dilakukan.
Sebagaimana maklum juga bahawa pihak masjid menggunakan sistem penghawa dingin bagi keseluruhan ruang masjid, kecuali ruang lempah. Pemasangan saluran hawa dingin telah dilakukan bagi aras bawah tanah dan juga bakal disempurnakan bagi aras satu. Namun bagi ruang aras utama nampaknya belum ada  sistem pemasangan hawa dingin. Sepatutnya ianya sudah sedia dalam plan arkitek yang terangkum sebagai pakej pembangunan. Dengan demikian terpaksa dibuka penawaran pemasangan pendingin udara ini kepada syarikat yang dicadangkan oleh pihak perunding yang dibimbangi menambahkan lagi kos pembinaan. Dalam pembentangan yang dibuat dapat difahami pihak syarikat tidak memahami keperluan dan membuat cadangan-cadangan yang tidak memuaskan.
Antara kerja-kerja yang boleh disifatkan kritikal dalam mengejar masa, ialah kerja-kerja bagi menyiapkan kubah oleh Syarikat Majleza dan beberapa kerja yang lain yang diberi amanah terhadap syarikat berkenaan. Kerja membina kubah memerlukan kepakaran yang tinggi, kerana ianya banyak melibatkan kerja-kerja dilakukan di atas puncak bumbung kubah dan masjid. Kerja-kerja yang dilakukan oleh tenaga pekerja antara tiga hingga lima orang itu melibatkan kerja-kerja permukaan luaran. Kerja-kerja lebih banyak lagi dari segi dalaman yang diberi amanah kepada Majleza seperti dekorasi dalaman bumbung dan tapak bagi kubah sebagaimana telah dibincangkan. Pemasangan kipas-kipas di bawah kubah yang diserahkan kepada Majleza.
Kerja-kerja yang dilibatkan oleh Majleza hampir keseluruhan adalah melibatkan seni yang memerlukan kehalusan kerja dan kecukupan masa. Selain dari pembinaan kubah dan dekorasi pada bahagia dalam, Majliza juga terlibat dari segi dekorasi tiang-tiang seri masjid yang telah dibincangkan dan sebagaimana dekorasi bawah kubah, maka begitu juga dengan dekorasi tiang-tiang juga masih belum dilakukan.


Tugas yang melibatkan kerja seni ialah menyiapkan dekorasi dinding hadapan masjid dengan bentuk-bentuk lengkung tunduk berlapis sebanyak enam pasang (tiga dinding kanan dan tiga dinding kiri) yang hingga kini belum dapat dimulakan. Begitu juga menyiapkan ruang mihrab dengan lengkung tunduk berlapis ke dalam harmoni dengan motif-motif yang sama pada dinding dan tempat-tempat yang lain yang melibatkan motif sedemikian. Kerja-kerja yang melibatkan seni yang tinggi ialah menyediakan khat-khat daripada ayat-ayat Al-Qur`an yang pemilihan ayat-ayat ini telah dipilih dan disetujui dan ditentukan pada tempat-tempat pilihan yang telah dibuat. Ini juga belum berlaku. Terakhir yang melibatkan Majleza ialah penyediaan mimbar dari bahan kayu tempatan dan dekorasi-dekorasi berdasarkan motif tumbuhan tempatan yang bersifat tebuk tembus yang pada puncak bagi mimbar ini ialah ukiran ayat kursi yang juga secara tebuk tembus.


Melihat kepada kerja-kerja yang begitu banyak oleh kontrektor utama – Tekad Nusantara dan sub kontrektor Majleza, kita bimbang, terutama Majleza yang tenaga kerjanya yang kelibat hanya beberapa orang – setakat ini, apakah tempoh yang diharapkan dapat disiapkan. Walau bagaimana kita berharap semua pihak terlibat peka terhadap harapan yang tertangguh dan penangguhan yang diberi jangan membuka jalan kepada penangguhan yang lain. Kita juga berharap kerja-kerja seni yang sebenarnya tidak dapat dipaksakan akan dapat dilakukan sebaik mungkin dan dapat mencapai piawayan tinggi yang dapat memuaskan semua pihak. Bagi  Penulis diharapkan ianya sama dapat mencapai piawayan Takmilah sebagai teori pembinaan dan penilaian masjid .

Sekian.

No comments:

Post a Comment