BBB, 01 Ramadhan 1436 = 18 Jun 2015 (Khamis):
Selain dari kubah dilihat jauh dari luar, maka
kubah akan dilihat lebih dekat dari dalam, iaitu bagi jamaah dan mereka yang
masuk di dalam masjid dan mendongak ke atas, maka akan kelihatan kubah pada
bahagian atas. Kubah sebagaimana telah disebutkan adalah terletak di atas rim
bulatan yang yang meninggi di atas
beam yang dibina di atas tiang bersifat
empat segi, maka kelihatan dari bawah ialah ruang kolong kosong dari dalam
hasil dari pembentukan bulat bujur dari luar. Bahagian yang nampak ialah
`layer` atau lapisan paling bawah bagi permukaan dalaman. Oleh kerana bahagian
tapak yang diletakkan bulatan mempunyai ketinggian dari `beam` di atas rangka empat
persegi, maka ianya mempunyai ketinggian yang wajar dihiasi dan begitu juga
oleh kerana rim bulatan lebih kecil dari
beam empat segi, mewujudkan empat ruang tepi yang bersifat tiga segi, maka
kelihatan empat ruang rata dilihat dari bawah yang seharusnya tidak
ditinggalkan kosong. Inilah ruang yang melibatkan dekorasi agar tidak kelihatan
kosong dari bawah.
Pada peringkat awal ada ditimbulkan sebagai
cadangan alternatif, bahawa apakah kemungkinan permukaan dari bawah ini ditutup
sahaja, maka ia kelihatan rata dengan permukaan siling pada bahagian atas. Idea
ini tidak diterima, kerana ciri kubah yang menjadi identiti penting bagi
sesebuah masjid akan hilang, sekurang-kurangnya dari dalam. Lantaran itu ianya
perlu dihiasi. Timbul juga pemikiran yang bersifat soalan yang boleh disifatkan
sebagai cadangan. Kedapatan masjid yang menggantungkan gugusan lampu kecil dari
tali (cable) yang diturunkan dari tengah bahagian kubah. Lampu `thurayya` ini,
jika diletak adalah merupakan daya tarikan yang menceriakan ruang utama masjid,
khususnya pada waktu malam apabila lampu `thurayya` berkenaan dipasang. Idea
ini nampaknya tidak disetujui mesyuarat, bukan kerana kos, tetapi penggunaan
cable yang tinggi dan lanjut ke bawah tidak menarik pandangan, lagi pula ianya
memberatkan beban yang ditanggung dari puncak kubah yang perlu dibuat bahagian
penyangkut yang kukuh, di samping menghalang pandangan ke ruang dalam bagi
kubah berkenaan. Lagi pula jika dipasang kipas cable berkenaan menghalang
pemasangan kipas. Persetujuan bahawa bahagian dalam kubah ini perlu dihiaskan.
Ada beberapa proses cadangan bagi dekorasi
permukaan dalam bagi ruang dalam kubah ini. Proposal awal ialah secara bentuk
`tali lihir` yang berpangkal pada puncak dan berkembang lebar ke bahagian bawah
menurut perkembangan daun kubah yang membesar ke bawah. Cadangan ini tidak
diterima yang dilihat bukan saja simple, tetapi tidak membawa nilai Islam dan
tidak membawa daya estetik yang menarik. Cadangan berikutnya ialah merubahkan
bentuk tali lihir kepada bentuk tiga segi berbentuk daun `speed` seturut dan
menurut pola alur `tali lihir` yang merupakan cadangan awal. Bentuk ini sedikit
lebih menarik dari yang awal dan membawa nilai-nilai estetika yang lebih
menarik dan ianya lebih merupakan geometrik design. Walau bagaimana ianya dianggap
bentuk biasa dan tidak mencerminkan nilai Islamik.
Pada peringkat selanjutnya yang dapat dikira
sebagai peringkat akhir yang membawa kepada peringkat penerimaan, ialah reka
seni yang merupakan garisan-garisan yang menaut antara satu sama lain yang juga
menimbulkan bentuk-bentuk speed dan empat segi. Adalah dikira bentuk ini lebih
kreatif dan menimbulkan daya estetik. Lebih dari itu ianya dikira
berinspirasikan jaringan labah-labah yang mempunyai kaitan dengan peristiwa
Rasulullah s.a.w. berlindung di Gua Thur dari diintip oleh kaum Quraisy dalam
rangka berhijrah ke Madinah (Yathrib), semasa berlindung di dalam gua ini
labah-labah menjaring permukaan gua berkenaan, sehingga pihak musuh yang
mengintipnya, melihat permukaan gua mempunyai jaring labah-labah, pengintip membuat
keputusan tidak menjenguk ke dalam, kerana jika ada yang masuk ke dalam sudah
tentulah jaringan labah-labah itu rosak. Atas faktor mempunyai daya estetik
yang lebih tinggi dan mempunyai elemen keislaman, maka jaringan geometrik
design tiga dan empat segi ini diterima.
Berhubung dengan adanya ketinggian antara beam empat segi keliling, maka tidak
timbul dalam perbincangan. Pihak arkitek menjadikan lima segmen yang antara satu dengan yang lain
dibiarkan kosong, pada setiap segmen ini ada tiga jendela kecil yang bersifat
empat segi bujur, tetapi pada bahagian atasnya ialah berbentuk lengkung tunduk
yang mencirikan kelembutan, ketenangan dan kekhudukan. Ciri ini adalah
merupakan ciri dominan bagi pintu dan jendela bagi kebanyakan pintu dan jendela
bagi masjid Al-Umm, sebab itu dengan bentuk ini tidak menimbulkan persoalan dan
lebih diterima. Fungsi lima segmen jendela ini menghasilkan pantulan cahaya
timbal balik dari glass atau cermin berwarna yang dipasang pada jendela-jendela
berkenaan. Ianya lebih berfungsi dari segi estetik dari tujuan untuk menarik
cahaya dan keluar masuk udara, kerana jika dibuka mengundang kepada kemasukan
air , bila berlakunya hujan. Bentuk jendela lengkung tunduk ini juga digunakan
pada ruang keliling bersegi bagi keliling ruang dalam kubah berkenaan.
Berhubung dengan wujudnya empat ruang tiga
segi sebagai lebihan dari beam empat segi di atas empat tiang seri, maka ruang
ini bukan dianggap lebihan yang tidak diperlukan. Bagi menunjukkan
keberadaannya adalah berfungsi, maka ianya perlu diberi ragaman hias yang
harmoni dengan bentuk geometrik design di dalam lengkungan kubah bahagian bawah
berkenaan. Bentuk yang harmonik dan sesuai dari segi geometrik design ialah
bentuk empat-empat segi dan bahagian yang tidak berbentuk empat segi
disempurnakan dengan bentuk tiga segi. Persoalan yang ditimbulkan apakan
kotak-kotak empat dan tiga segi ini dibiarkan kosong ? Pada peringkat awal ada
cadangan mereka-bentuk silang segi, tetapi ketara bahawa, secara tidak langsung
menghasilkan di dalamnya imej ``cross` yang menjadi lambang bagi agama
Kristian. Atas faktor ini, maka cadangan awal ini terpaksa diketepikan. Sebagai
solusi akhir dicadangkan bahawa bentuk jaringan yang berinspirasikan bentuk
jaringan labah-labah juga perlu digunakan pada pola empat dan tiga segi bagi
empat ruang empat segi yang mengelilingi bulatan kubah di atas. Pola ini perlu
dikecilkan sesuai dengan kedudukan ruang empat dan tiga segi sebagai lebihan.
Dalam perbincangan di atas mencerminkan proses
kreatif di dalam mencari rekabentuk yang paling sesuai digunakan bagi sesuatu
bahagian daripada kubah. Proses kreatif juga mengambil kira dari segi
keharmonian dari segi bentuk. Misalnya bila mengambil bentuk geometrik design,
maka yang lain juga seharusnya sama mengambil bentuk geometrik design agar
tidak bercampur aduk misalnya dicampur secara janggal dari ciri alam flora dan
fauna. Satu yang sensitif pemilihan pola dan bentuk serta imej dari pemilihan
berkenaan perlu diberi perhatian, bahawa ianya begitu sensitif jika apa yang
dibawa adalah bercanggah dengan nilai budaya masyarakat, apa lagi jika ianya
mencanggahi dengan agama Islam. Proses perjalanan kualiti menuju takmilah ini
adalah proses yang juga dilalui di dalam bidang-bidang seni yang lain seperti
puisi dan sastera, kaligrafi, seni hias dan berbagai-bagai seni yang lain.
Semuanya memerlukan sentuhan seni, kehalusan jiwa, kepekaan nilai, keharmonian suasana agar
terhasil sebuah hasil seni yang benar-benar bernilai tinggi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment