BBB, 20 Sya`ban 1436 = 07 Jun 2015 (Ahad):
Pada dasarnya bangunan fizikal Masjid Al-Umm secara
kasar telah siap pada akhir 2014. Kerja-kerja yang sedang dilakukan ialah
melengkap dan menyempurnakan peralatan dan ragamhias bersesuaian bagi sebuah
masjid. Masjid yang sepatutnya sudah siap pada 25 Mei 2015, sedikit tertangguh,
bukan kerana kewangan (masih belum mencukupi), tetapi masalah-masalah teknikal.
Dilihat dari luar dapat dikatakan sudah siap (maksud bangunan fizikal dari luar
sahaja). Dapat dikatakan dengan keadaan sekarang, walaupun tidak siap dalam
erti kata yang sebenarnya, tetapi bentuk dan wajah Masjid Al-Umm terserlah
indah.
Penyerlahan wajah Masjid Al-Umm yang sudah
pasti hasil dari kreativiti dan pembaikan berterusan terhadap plan arkitek,
antaranya diperkukuhkan lagi oleh pemilihan warna yang mencorakkan bentuk dan wajah
Masjid Al-Umm. Warna bagi Masjid Al-Umm setakat
ini adalah:
1) Putih
2) Kuning
3) Kelabu
4) Perang
5) Hitam (refleksi pandang terhadap
ruang kosong).
Putih adalah warna dominan bagi Masjid Al-Umm.
Seluruh dinding keliling Masjid Al-Umm adalah putih, termasuklah tiang bagi kedua
menara kecuali apa yang akan dibicarakan. Adalah wajar bahawa warna bangunan
dilihat dari luar adalah putih. Lantaran putih melambangkan bersih yang juga melambangkan
kesucian jiwa, ikhlas dan masjid tempat beribadat, mensuci dan menggilatkan
jiwa dan meningkatkan taqwa. Lagi pula pakaian putih pakaian dihormati seperti
jubah, kupiah dan serban yang warna berkenaan dari pakaian yang sunat
memakainya, khususnya pada hari jumaat dan pakaian di dalam menunaikan ibadat
haji. Dari segi saintitik putih adalah warna lembut yang tidak sakit mata
memandang dan putih adalah menolak cahaya panas, tidak seperti hitam yang
menarik cahaya panas ke dalam.
Walaupun putih warna dominan bagi Masjid
Al-Umm, tetapi terdapat warna-warna lain yang menyerlahkan imej Masjid Al-Umm.
Warna yang kedua yang ketara pada Masjid
Al-Umm, ialah warna kuning. Yang paling menyerlah dengan warna kuning ialah
warna kubah bulat bujur laksana bujur separuh telur itu. Sebagaimana kubah
berada pada puncak masjid, maka warna kuning pada kubah inilah menyerlah
kelihatan dari jauh. Sebenarnya dari segi pemilihan warna ini pada awalnya ada
yang cadang menggunakan warna hijau, contoh kubah Masjid Nabawi berwarna hijau.
Tetapi ada yang berpendapat warna hijau mudah lusuh dan menjadi kelabu, lagi
pula warna hijau adalah warna kubah Masjid Al-Hasanah yang telah dikenali,
bahkan ada yang menyebut masjid itu sebagai `Masjid Hijau`. Jadi biarlah imej
hijau ini diguna dan dikenali oleh Masjid Al-Hasanah.
Warna kuning pada kubah Masjid Al-Umm adalah
warna permukaan luar, (permukaan dalam
adalah berwarna perak). Antara daun bagi layer ini dipasang lampu yang
bercahaya pada waktu malam di samping menggunakan spot light dari bawah. Pada
siang hari warna kuning akan memancarkan refleksi warna kekuningan tersebut.
Warna kuning juga digunakan keliling bagi arch
bagi ruang lengkung tunduk seperti pada
lima lengkungan dibahagian luar dan belakang bagi hadapan masjid, juga
tujuh lengkungan sederhana pada tingkat
utama di sebelah kiri dan kanan, juga penggunaannya pada lengkung-lengkung
sedemikian pada tempat yang lain. Warna kuning yang digunakan pada tepi ruang
ini lebih lembut dari `kuning kubah`, sesuai bagi menyerlahkan kelembutan dari
ruang yang bersifat lengkung dan tunduk yang menambahkan kelembutan, kekhudukan
dan kekhusyukan.
Warna ketiga yang digunakan ialah warna kelabu
yang digunakan pada atap masjid. Apabila bumbung Masjid Al-Umm siap, sebelum
tapak bagi kubah siap dan mulai dipasang dengan atap berawrna kelabu, banyak
komen dari orang ramai, warna kelabu ini tidak menarik. Ada yang berpendapat
adalah lebih menarik dipasang warna kuning kemerah-merahan yang kebiasaan atap
bagi rumah-rumah kediaman. Pihak AJK berpendapat, jika atap juga dipasang
dengan warna kekuning-kuningan akan sama dengan warna kubah, maka dengan
demikian ianya akan menenggelamkan warna keemasan kubah di tengah-tengah warna
kekuningan atap. Sebaliknya dengan warna kelabu atap, akan menyerlahkan warna keemasan
kubah baik pada waktu malam dan juga waktu siang. Selain dari itu warna kuning juga akan
digunakan pada puncak menara, khususnya
pada bahagian tunjuk langit berwarna keemasan sebagaimana puncak menara di
Masjid al-Haram.
Satu warna lagi (keempat) digunakan ialah
warna perang gelap. Warna ini digunakan bagi lengkungan dari atas ke bawah (tiga lengkungan) yang
melibatkan kawasan toilet baik bagi bahagian sebelah kanan dan kiri. Tujuan
digunakan warna ini adalah untuk menutup pandangan langsung pada bahagian
toilet yang tidak mesra dipandang yang memang diasingkan dari bahagian binaan
masjid utama. Dengan menggunakan warna perang pada bentuk bujur dari atas ke
bawah dengan tiga segmen, kelihatan dari jauh ia adalah sebagai tiga keping cermin
besar yang menarik dari segi design dan
bersifat estetik. Dengan penggunaan warna dan daya estetik menenggelamkan
pandangan terhadap realiti bahawa tiga jalur lengkungan itu sebenarnya adalah
kawasan toilet.
Terakhir (kelima) sebenarnya bukan warna,
tetapi adalah refleksi dari pandangan terhadap ruang yang kosong, sama ada
pintu gerbang, tingkap, pintu yang dari bentuk asal menimbulkan satu bentuk
yang lain sama ada disedari atau tidak disedari oleh yang menghayati terhadap
ruang berkenaan. Contoh dengan melihat lengkung pada pintu gerbang utama pada
Masjid Al-Umm kelihatan pada bahagian kosong menjelma bentuk kubah ala Masjid Nabawi. Penjelmaan sedemikian
juga dapat di hayati dari pintu gerbang
kedua – lebih kecil pada Masjid Al-Umm. Pada lengkung-lengkung bagi tingkap
terbayang refleksi bentuk kubah berbagai-bagai bentuk, manakala bagi
ruang-ruang bercermin berbentuk empat segi dan empat segi bujur melambangkan
ruang bertingkat teratur dan tersusun sama dari atas ke bawah atau dari kanan
ke kiri dan sebaliknya yang memberi ruang menarik yang fungsinya untuk menarik
cahaya dan jika boleh dibuka menarik sama udara ke dalam.
Demikianlah Allah Maha Sempurna dan Indah, Kesempurnaan
dan Keindahan terbayang sama pada ciptaanNya, insan antara ciptaanNya yang
turut menghayati dan mengkagumi ciptaannNya dan turut meniru di dalam
kerja-kerja kreatifnya yang sebahagiannya terserlah dan termanifestasi pada
hasil-hasil kerja yang bersifat kreatif seperti pada masjid sebagaimana
dibincangkan, namun Kesempurnaan Allah dan KeindahanNya tidak mungkin digapai
oleh makhluk ciptaanNya, apa yang dihasilkan ialah percikan-percikan dari
kelemahan dalam menghayati Keagungan, Kesempurnaan dan KeindahanNya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment