June 3, 2015

Lantai Ruang Memuatkan Jumlah Jamaah Masjid Al-Umm: Tiru Susunan Lantai Masjid Al-Haram ?


BBB, 15 Sya`ban 1436 = 02 Jun 2015 (Selasa):


Ruang, khususnya bagi masjid adalah penting, lantaran dengan keluasannya dapat menentukan berapa jumlah jamaah dapat dimuatkan. Bagi masjid ruang baginya dikira dari segi berapa ramai yang dapat berdiri bersolat (qiyam) secara serentak. Bagi memudahkan jamaah maka lantai (marmar) di sekeliling masjid al-Haram diatur, setiap keping adalah menurut keluasan yang cukup bagi ma`mum bersolat dari berdiri hingga kepada duduk tahiyyat. Teraturnya lantai di Masjid al-Haram bahawa tiap keping disusun mengadap Qiblat. Kepingan yang disusun ini bukan setakat keliling Ka`bah, tetapi di dalam bangunan keliling Ka`bah, bahkan keluar ke lantai-lantai seluruh ruang dikira sebagai dalam Masjhid al-Haram, misalnya sampai ke anjung-anjung hotel. Lantaran itu sesiapa yang bersolat di luar dari bangunan masjid tertutup, di ruang terbuka di luarnya, tidak perlu bimbang dari menghadap Qiblat, kerana setiap keping marmar yang disusun adalah mengadap Qiblat. Kadang-kadang tempat berkenaan berada di dalam keadaan melencong. Misalnya bila berada di kawasan Safa dan Maruah, mengadap Qiblat ke arah Ka`bah adalah tidak mengikut arah laluan mereka yang bersaie, sebaliknya berada di dalam keadaan melencong dari hala ke Safa dan Maruah.


Masjid Al-Umm cuba mengatur kedudukan lantai bagi jamaah (ma`mum) adalah menurut arah Qiblat. Tetapi tidaklah menepati seperti susunan marmar di Masjid al-Haram. Susunan lantai aras utama Masjid Al-Umm pula adalah berlainan dari kedudukan lantai pada ruang aras bawah tanah. Oleh kerana aras bawah tanah, dijangka tidak digunakan untuk solat, kecuali dalam keadaan jamaah begitu ramai. Sebab itu lantainya adalah dalam keadaan susunan biasa menurut panjang dan lebar serta luas lantai. Agar tidak ternampak tiada batas dan garis, maka ditengahnya dipasang susunan tile sebagai rangka bintang dan pada ruang-ruang bersebelahan dengan garisan kotak-kotak empat segi panjang, bagi menandakan kedudukan ruang, jauh dan dekat, juga untuk diketahui jarak tengah (berpandukkan bintang di tengah) dengan ruang masuk, dinding dan ke tepian berpintu.
Adapun ruang utama Masjid al-Umm bagi jamaah bersolat, maka adalah dibuat keputusan bahawa penyusunan tile-tile hendaklah menurut saf-saf para berjamaah bersolat, walau bagaimana cara susunaan tile yang tiap keping berukuran 2 kaki X 2 kaki tidaklah bersamaan dengan lantai Masjid al-Haram yang setiap keping sebesar sajadah, cukup bagi seorang makmum berdiri dan tak perlu menggunakan sajadah, walaupun pada bahagian ruang juga dihampar permaidani.
Keluasan lantai bagi ruang utama Masjid Al-Umm secara kasar adalah tiga kali ganda luas dari ruang lantai aras bawah tanah. Dalam kata yang lain jika jangkaan ruang aras bawah tanah secara kasar dapat memuat mereka yang datang adalah berjumlah 1,000 orang, maka ruang aras utama adalah dapat memuatkan seramai 3.000 orang.


Pagi ini bagi tujuan menghadiri mesyuarat `AJK Tapak`, Penulis sengaja datang lebih awal dengan tujuan meninjau perkembangan fizikal lebih dekat. Dengan menaiki tangga sebelah dalam dari aras bawah tanah, maka adalah didapati tumpuan kerja bagi sebahagian pekerja-pekerja  adalah memasang tile bagi lantai aras utama Masjid al-Umm. Namun menurut Tuan Haji Marzuki, kontrektor pembinaan Masjid Al-Umm, jika pemasangan tile bagi aras bawah tanah, lancar dan tidak menghadapi halangan, tetapi bagi aras utama, sebahagian besar ruang tengah, masih dipenuhi tiang-tiang besi yang menjunjung pemasangan kubah yang masih belum siap. Menurutnya,
``Selagi pemasangan kubah tidak siap dan tiang-tiang besi yang menjunjung tidak dapat dibuang, maka selagi itu kawasan tengah ruang utama Masjid al-Umm tidak dapat dipasang.`` Walau macam mana tambahnya, ``Bagi mengejar masa yang semakin singkat bagi tempoh siap pembinaan Masjid Al-Umm pada akhir Ogos 2015, kita terpaksa memasang mana-mana ruang yang dapat dipasang terlebih dahulu, di samping sebahagian pekerja-pekerja meneruskan kerja-kerja masing-masing di bahagian lain.``
Dari segi ruang di aras utama ini dapat dibahagikan kepada 4 ruang utama
1)      Ruang tengah yang betul-betul berada di bawah kubah dan meluas hingga ke mihrab juga hingga bahagian belakang mendekati aras (di atasnya) ruang solat muslimat.
2)      Ruang sayap sebelah kanan masjid secara menghadap Qiblat yang dikenali sebagai `ruang lempah` kanan.
3)      Ruang sayap sebelah kiri masjid secara menghadap Qiblat yang dikenali sebagai `ruang lempah` kiri.
4)      Ruang bahagian belakang dari ruang utama, iaitu dari ruang permulaan masuk ke tengah ruang utama.
5)      Pinggir-pinggir dari ruang. Misalnya jalan ke tangga, jalan ke tempat wudhu` dan toilet dan ke bilik-bilik, termasuklah pemasangan tile di dalam bilik-bilik berkenaan.
Pada masa ketibaan Penulis membuat lawatan, di samping kemudiannya beberapa AJK yang lain juga turut tiba dan memerhati kerja-kerja yang sedang dilakukan, maka adalah di dapati kerja-kerja pemasangan tile di aras utama ini diberi tumpuan ialah terhadap sayap kanan dan kiri lantai masjid secara serentak. Diikuti ruang-ruang belakang, kecuali di lantai bawah Qubah menunggu  tiang-tiang besi menjunjung kubah ditanggal dan dikeluarkan.


Adapun cara pemasangan tile yang sama warnanya dan besarnya dengan tile di aras bawah tanah (putih kelabu), ialah dengan mengatur tile sebaris dari kanan atau kiri menurut luas yang sesuai bagi ma`mum berdiri dan bagi baris kedua dibuat sempadan dengan tile berwarna gelap memanjang menurut garisan dengan hiasan bunga berselang-selang pada tengah garisan yang berwarna gelap berkenaan. Dari perkiraan Penulis bagi sebaris saf solat dari tepi sayap kiri merentas ruang tengah aras utama hingga ke tepi sayap kanan ialah 50 orang, maka jumlah saf yang digariskan (disambung keseluruhan yang pendek), maka saf bagi solat sebagaimana perbincangan Penulis dengan Tuan Haji Abdul Halim, Site Agent bagi Kontrektor Tekad Nusantara, maka saf kesemuanya adalah 60 saf, maka jika setiap saf adalah seramai 50 orang, maka jumlah jamaah atau ma`mum yang dapat berjamaah serentak di aras utama adalah 60 x 50 adalah seramai 3,000 orang secara serentak. Tetapi menurut jangkaan Tuan Haji Abdul Halim, jumlah yang dapat dimuat secara serentak adalah lebih dari itu.


Walau bagaimana sebagaimana di Masjid al-Haram pada bahagian-bahagian tertentu dipasang permaidani di atas permukaan marmar yang setiap kepingannya menghadap Qiblat, maka demikianlah dengan lantai utama di aras utama Masjid Al-Umm adalah juga akan di pasang dengan permaidani. Namun pemasangan adalah secara `loose` dan tidak kekal. Bermaksud ianya boleh dipindah atau digulung, dipasang di mana ruang yang perlu dan digulung pada ruang-ruang yang tidak perlu. Dengan demikian kebersihan lantai dan permaidani dapat dikawal, Pemasangan tidak dibuat pada tempat yang tidak perlu, demikianlah sebaliknya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment