June 9, 2015

Taharah Keperluan Awal Sebelum Solat: Tempat Wudhu` Dan Toilet Di Masjid Al-Umm


BBB, 21 Sya`ban 1436 = 09  Jun 2015 (Isnin):
Kalau kita membuka kitab-kitab fiqh, maka bab awal yang dibicarakan ialah tentang solat, tetapi sebelum masuk kepada pembicaraan kepada bab solat dibicarakan terlebih dahulu keperluan kepada taharah – bersuci, yang melibat persoalan jenis air layak diambil wudhu` bagi mengangkat hadath kecil dan besar – termasuk juga di dalam bahagian bersuci ialah bersugi. Begitulah seterusnya kepada cara mengambil wudhu`, sunat dan perkara-perkara yang membatalkan wudhu. Setelah sempurna mengambil wudhu` barulah seseorang dapat menunaikan solat.


Masjid Al-Umm sebagai tempat solat juga menurut tertib keperluan bagi mendirikan solat, iaitu menyediakan tempat wudhu` dan toilet sebagai tempat persediaan bagi jamaah untuk membuang air kecil dan besar sebelum mengambil wudhu` (bagi yang datang belum berwudhu`). Keperluan awal kepada taharah ini juga diaplikasikan di dalam pembinaan masjid, bahawa kedudukan tempat toilet dan wudhu` adalah berada di bahagian permulaan sebelum masuk ke dalam dewan masjid sesuai dengan permulaan bagi bersolat hendaklah bertaharah. Toilet disediakan berasingan dari bangunan utama masjid untuk mengelak dari kecemaran masjid dan bau yang tidak menyenangkan Mendatangi Masjid Al-Umm pada bahagian permulaan (juga kebanyakan bagi masjid-masjid dan surau-surau) dilalui ialah selari dengan kedudukan pintu gerbang dan menara – sedikit ke dalam ialah toilet dan tempat wudhu`.
Sebagaimana telah dibicarakan bahawa antara konsep seni bina Masjid Al-Umm, ialah `Belah dua di tengah, kiri kanan bersamaan). Demikianlah mulai dari bahagian hadapan sebelah kanan ialah toilet dan tempat wudhu` bagi lelaki, maka demikianlah dengan sebelah kiri juga kedapatan toilet dan tempat wudhu` bagi muslimat. (Ada tambahan pada sebelah kanan, ialah tempat penyucian terakhir, ialah bilik jenazah bertempat paling kanan).
Dari bilik jenazah adalah lorong bagi toilet  yang di hujungnya bawah tangga  bagi naik ke aras utama dan boleh belok ke kanan dan kiri. Toilet sebelah kanan ini mempunyai dua baris toilet yang sebelah kanan adalah mempunyaiu 6 unit toilet, manakala pada sebelah kirinya ialah 5 unit. Tandas adalah jenis duduk. Jumlah ini mungkin tidak cukup bila waktu puncak, namun terdapat beberapa tempat lain lagi bagi toilet pada tingkat bawah tanah dan tingkat pertama. Terdapat di ruang masuk tandas ialah tempat membersih muka dan tangan.


Manakala pada sebelah kiri daripada tandas lelaki pula ialah ruang wudhu` lelaki yang di dalamnya terdiri dari dua baris tempat wudhu`. Pada sebelah kanan ialah mengambil wudhu` sambil duduk di atas tempat duduk yang disediakan. Terdapat tujuh tempat duduk yang bererti 7 orang dapat mengambil wudhu` serentak dengan cara duduk, manakala pada sebelah kiri adalah mengambil wudhu` secara bercangkung. Terdapat 11 point paip yang boleh diambil wudhu secara bercangkung. Dengan jumlah tempat mengambil wudhu` lelaki sebanyak ini tentulah tidak mencukupi bagi jamaah pada ketika puncak. Tetapi sebagaimana toilet, demikian juga tempat wudhu` mempunyai beberapa tempat alternatif seperti pada paras bawah tanah dan pada paras satu. Bahkan sebagai tambahan cadangan sebagai persediaan bukan saja jika tidak cukup tempat wudhu`, tetapi sebagai cadangan berlaku keputusan (ketiadaan air), masjid akan menyediakan dua kolah air yang boleh diguna cara tradisional atau sebagai alternatif persediaan, jika berlaku ketiadaan air. Penyimpanan air juga dilakukan secara tuai dan ditakung dari air hujan, tetapi lebih digunakan untuk menyiram dan pembersihan seperti lantai luaran dan sebagainya.


Sebagaimana sebelah kanan ialah juga pada sebelah kiri, iaitu untuk kawasan muslimat dan anak-anak yang dibawa muslimat yang dijaga dalam bilik tarbiah yang dikhaskan. Membelah dua bagi kawasan muslimat dengan di tengah-tengah ialah jalan yang luas yang boleh digunakan juga bagi kawasan solat. Tapi antara kawasan bawah aras bagi bilik air dengan ruang solat utama di batas dengan sedikit tinggi dengan beberapa anak tangga  ke atas.
Sebagaimana sebelah kawasan lelaki paling kanan ialah toilet, maka demikianlah pada bahagian paling kiri juga adalah toilet bagi muslimat. Berhadapan pada toilet ialah dua unit bilik mandi dan lorong ke dalam ialah toilet. Iaitu dua baris toilet yang jumlah unitnya tidak sebanyak pada bahagian lelaki dengan jangkaan penggunaan dari muslimat yang datang lebih rendah dari bahagian lelaki. Toilet sebelah kanan adalah 3 unit, begitu juga pada sebelah kiri juga adalah tiga unit dengan ruang membersih tangan dan muka dengan dilengkapi cermin. Bersebelahan daripada toilet ini ialah kawasan bagi wudhu` muslimat yang pada sebelah kiri adalah 7 point paip air dan sebelah kanan adalah 5 point. Sebarang kekurangan  dan ketidakcukupan muslimat boleh menggunakan aras satu yang khas bagi mereka. Muslimat mengambil wudhu` pada aras utama adalah sebelum mereka naik ke aras satu, atau mempunyai kegiatan di aras utama, antaranya berhubung dengan pendidikan anak-anak yang bilik tarbiah disediakan pada aras utama. Sebenarnya tempat wudhu` muslimat ini – aras utama, boleh digunakan oleh  muslimin, terutama pada hari Jumaat.
Satu kelainan yang telah diperkatakan, bahawa pada sebelah kanan bangunan Masjid Al-Umm adalah bilik pengurusan jenazah. Sudah pastilah sebagai persediaan bagi ahli-ahli yag mau menggunakan kemudahan bagi menguruskan jenazah keluarga dan dari sini sesudah siap dimandi dan dikafankan, maka boleh dibawa ke hadapan untuk disolat jenazah, seterusnya dengan menggunakan ven jenazah masjid, maka jenazah dapat diuruskan hingga ke kubur. Bilik pengurusan jenazah adalah seluas 25m2 persegi yang di dalamnya terdapat sebuah bangku batu dan sebuah pangkin sebagai troli boleh digerak-gerakkan yang di atasnya diletakkan mayat untuk diletak di atas di tempat permandian. Pada sebelah kanan pula ialah almari-almari dan dua almari gantung untuk menyimpan bahan-bahan dan peralatan yang digunakan bagi menguruskan jenazah.


Dapatlah dikatakan konsep bersuci yang ditekankan adalah disediakan oleh Masjid Al-Umm. Bersuci dari segi fizikal yang diperlukan sebelum menunaikan solat seperti toilet, tempat wudhu` dan bersuci pada peringkat akhir setelah berlaku kematian dan cara bersucinya juga dapat diuruskan oleh masjid, bagi mereka yang tidak dapat melangsungkan pengurusan jenazah atau ketiadaan mereka yang dapat menyediakan pengurusan. Lebih dari itu, sebenarnya masjid bukan saja menyediakan proses penyucian secara fizikal dan fiqhiyyah, sebenarnya masjid juga menyediakan peringkat-peringkat penyucian pada peringkat jiwa dan rohani, iaitu pengajian-pengajian keislaman yang dianjur oleh masjid secara berterusan. Sesungguhnya tugas pembersihan dan penyucian fizikal dan jiwa adalah tugas kemasyarakatan masjid kepada masyarakat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment