June 28, 2015

Pengisian Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm: Takmilah


BBB, 10 Ramadhan 1436 = 27 Jun 2015 (Sabtu):
Pembangunan fizikal adalah merupakan fasa awal pengwujudan sesebuah masjid dan pembangunan fizikal semata-mata tidak memberi makna bagi sesebuah masjid. Melengkapi sesebuah masjid ialah pengisian dan pengimarahan yang menepati fungsinya sebagai sebuah masjid. Masjid adalah institusi yang amat penting di dalam masyarakat umat Islam. Ianya bagai rumah kedua bagi kalangan masyarakat Islam yang mencerminkan bahawa selain dari menggunakan masa di rumah, maka di masjidlah masa dihabiskan bagi menunaikan ibadat seperti solat dan berbagai ibadat serta kegiatan kemasyarakatan. Pentingnya masjid di dalam masyarakat umat Islam dapat dilihat dalam sejarah Islam. Berikut dari Hijah Rasul s.a.w. baginda memberi perhatian utama terhadap masjid. Masjid pertama didirikan oleh Baginda sebaik tiba di Madinah, ialah Masjid Quba` diikuti dengan pendirian Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah. Fungsi masjid secara sepesifik dapat difahami dari firman Allah yang bermaksud:


``Hanya sanya yang (layak) memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan orang-orang yang mendapat pertunjuk.`` (Al-Taubah: 18).
Bagi menegakkan fungsi masjid Rasulullah menggunakan masjid sebagai tempat ibadat, pendidikan, pentadbiran, pertahanan dan kegiatan kemasyarakatan.
Masjid di dalam tamadun dan peradaban umat Islam terus menerus menjadi pusat kegitan ibadat, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan umat. Di mana ada umat Islam maka di sana didirikan masjid. Masjid adalah berfungsi sebagai pusat ibadat, mengajar dan mendidik umat dengan keilmuan, pendidikan dan akhlak keislaman serta berbagai kegiatan kemasyarakatan. Masjid mengorientasikan masyarakat umat dengan falsafah keyakinan tauhid, berpandangan wujud dengan keilmuan Islam dan bermasyarakat dengan nilai dan akhlak keislaman yang mensejahterakan sebagaimana tercermin di dalam istilah Islam itu sendiri. Bagi mendukung dan menegakkan fungsi masjid, maka sepanjang zaman dan berterusan bangunan masjid didirikan dengan berbagai bentuk menurut pengaruh setempat dan berciri universal bersatu mengadap kiblat dan sama mendukung fungsi masjid sebagaimana diperkatakan.
Dilihat dari segi mendirikan masjid dari segi fizikal dan pengisian serta  pengimarahan masjid secara Takmilah ada fokus penumpuan.
Rajah  I :   Fokus Pembinaan Masjid Dari Segi Fizikal



Rajah satu ini memperlihatkan bahawa mendirikan masjid adalah menurut nilai Islam yang boleh diolah sebagai berfalsafah tauhid, bernilai Islam dan institusi penting umat Islam.
Tapi bagi mencapai tujuan masjid sebagai institusi bernilai tauhid/Islam memerlukan individu dan jamaah berkeilmuan. Di dalam konteks Masjid Al-Umm merujuk kepada AJK masjid, arkitek, kontrektor dan perunding-perunding yang mendalami dalam berbagai bidang seperti keilmuan Islam, arkitek, matematik, seni, elektrikal, ukur bahan, jabatan-jabatan berkaitan dan bidang-bidang lain yang berkenaan, melalui gabungan dan kepakaran dan melalui mesyuarat-mesyuarat berterusan menghasilkan dapatan dan persetujuan yang membawa kepada perlaksanaan pembinaan. Bidang estetik  adalah bidang penting di dalam seni bina. Dia bukan saja bersifat ilmu, tetapi mempunyai kemampuan seni, daya sentuhan, imaginasi, kreativiti dan inovasi yang menghasilkan sesuatu yang bersifat seni yang asli, segar dan menarik serta memukau. Tidak ramai yang dapat mencapai taraf ini, walaupun dia mempunyai ilmu kesenian. Elemen-elemen seni yang terhasil pada Masjid Al-Umm hasil dari pengalaman seni yang dilalui oleh mereka yang mempunyai keilmuan dan sentuhan seni. Hasil kesenian pada masjid Al-Umm yang asli dan origin amat sedikit. Selebihnya adalah tiruan dan pengaruh dari hasil-hasil dari kalangan seniman seni muslim terdahulu dan kita adalah bersifat meniru dan mengangkat dari yang lepas yang mungkin melakukan perubahan dan tambahan di sana sini.
Rajah II:   Pengisian dan Pengimarahan:


Kalau pembinaan masjid dari segi fizikal dalam rajah pertama ialah tertumpu kepada penghasilan bangunan fizikal masjid, maka bagi pengisian dan pengimarahan masjid ialah tertumpu kepada individu dan jamaah bahkan masyarakat yang beribadat, mengikuti pengajian dan berbagai-bagai kegiatan masjid yang mereka diharap dapat ditingkatkan dari segi ibadat, keilmuan dan kemasyarakatan. Jamaah yang terdiri dari berbagai individu terdidik ini akan menghasilkan satu jamaah atau masyarakat berilmu yang bukan saja memperbaiki dan meningkat diri, tetapi juga memperbaiki masyarakat dengan ilmu, berakhlak dan hidup secara aman damai dan tenteram berada di dalam suasana yang difatkan baldah tayyibah wa Rabbun Ghafur.
Bagi menghasilkan masyarakat yang seumpama ini memerlukan imam, guru, murabbi, muallim, ustaz dan ilmuan yang pakar di dalam bidang-bidang khusus dan mereka bertugas mengajar individu dan jamaah di dalam bidang-bidang yang disusun secara teratur. Dari guru-guru yang berkeilmuan tinggi, berdedikasi dan tekun mendidik diharap insya Allah dapat menghasilkan individu dan jamaah berkeilmuan, berpendidikan dan berakhlak tinggi yang hidup dalam masyarakat yang harmoni. Mereka juga penerus di dalam membangun dan mengimarahkan masjid secara berterusan.
Bagi menghasilkan tujuan murni di atas perlu ada kelompok sebagai modal insan yang mampu mentadbir, menjana idea bernas dan mengaplikasikan di dalam pentadbiran sehingga masjid bukan saja banyak dengan keimuan dan kurikulum yang disusun, tetapi masjid terus diimarah dengan segala kegiatan. Ianya menjadi institusi yang menjadi tarikan bagi khalayak menghadirinya, lantas masjid berterusan hidup dan makmur.
Selain dari pembelajaran secara akli melalui ibadat menjadikan jiwa patuh, khuduk dan merasa manis beribadat yang merupakan sentuhan rohani yang tinggi. Melalui pengajian menimbulkan kecintaan terhadap ilmu dan mempelajari ilmu adalah merupakan suatu kelazatan yang tinggi. Melalui didikan keilmuan dan kerohanian membentuk nilai yang tinggi dan  memupuk kasih sayang dan ukhuwwah di dalam masyarakat sehingga terbentuk satu masyarakat berkeilmuan yang patuh mesra beribadat dan mewujudkan masyarakat yang harmoni, maju dan berakhlak.
Pengwujudan masjid dari segi fizikal dan pengisian dan pengimarahan membentuk masyarakat muslimin yang menjunjung, mengamal dan hidup di tengah masyarakat dengan nilai Islam yang mencerminkan ketinggian tamadun dan peradaban umat Islam itu sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment