June 23, 2015

Kerja Luar Dari Bangunan Masjid Al-Umm - Jalan


BBB, 05 Ramadhan 1436 = 22 Jun 2015 (Isnin):
Keluasan tanah Masjid Al-Umm hanya 1.9 ekar. Tanah seluas ini bagi sebuah masjid relatifnya adalah kecil dan sempit. Keluasan normal bagi sebuah masjid adalah 5 ekar dan sebaiknya adalah 10 ekar (termasuk kawasan parkir). Tanah bagi Masjid Al-Umm adalah berada di antara dua kaki bukit, iaitu Bukit Bangi dan Bukit Mutiara (nama baru yang asalnya adalah juga Bukit Bangi). Tanah masjid lebih berada pada kaki Bukit Mutiara, sebab itu kelihatan berada pada tapak lebih tinggi bahagian belakang dan menurun pada bahagian depan (sebelum diratakan). Dari segi lokasinya tapak bagi Masjid Al-Umm adalah berada di antara sempadan Seksyen Satu BBB dan bersempadan dengan Seksyen Dua, BBB. Pada sebelah kiri bersempadan dengan perumahan semi D, Lama, manakala pada bahagian belakang ialah sebaris perumahan semi D baru  yang berdekatan dengan Dewan Orang Ramai. Sebelum naik rumah semi D yang baru, pihak AJK Pembinaan Masjid pernah memohon dari pihak PKNS agar kawasan yang pada masa itu kosong akan dijadikan tanah lapang bagi kawasan parkir bagi masjid dan Dewan Orang Ramai, tetapi tidak berjaya. Pada sebelah kanan ialah padang awam yang keluasannya lebih kurang sama dengan kawasan masjid, manakala pada bahagian hadapan ialah jalan antara seksyen Satu ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB yang di sebelah jalan ini ialah kawasan parkir bagi kedai, pasar dan warung-warung yang dikenali sebagai Medan Usahawan.


Keluasan tanah dapat dikatakan cukup-cukup bagi bangunan masjid. Jalan ke bangunan Masjid Al-Umm ke bahagian depan berpintu gerbang utama adalah melalui pinggir padang awam yang terletak lebih tinggi dari kawasan padang dan tepian bagi perumatan semi D yang baru yang bersempadan dengan Dewan Orang Ramai. Jalan masuk ke masjid bagai melalui bentuk l  (L kecil) bersambung dengan jalan keliling masjid yang berbentuk U. Bagi bentuk U ini, bangunan masjid adalah berada di dalam lengkungan U, tepi kiri bagi U ialah tepi perumahan semi D lama yang turun ke jalan  Seksyen Satu ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB, manakala tepi kanan ialah tanah yang lebih tinggi dan lebih curam turun bersebelahan (kiri) dengan bangunan sub-station TNB di dalam kawasan Masjid Al-Umm. Hujung bagi jalan  (bentuk U kanan) adalah turun ke jalan yang sama - jalan yang lebih dekat ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB dan juga boleh turun ke Jalan Pasar Basah BBB. Buat masa ini setelah pembinaan fizikal Masjid Al-Umm hampir siap, kecuali kerja-kerja dalaman, maka kerja-kerja bagi membina jalan pada sebelah kanan dan kiri serta pada bahagian hadapan bagi kawasan masuk ke masjid sedang dijalankan.


Persempadan tanah dan bangunan Masjid Al-Umm tidaklah menimbulkan masalah, terutama dengan rumah semi D yang baru, kerana rumah berkenaan adalah baru dan sebahagain dari penghuninya baru masuk, lagi pula perumahan berkenaan disempadan dengan jalan masuk ke Dewan Orang Ramai. Kecuali dengan perumahan semi D yang lama yang jaraknya begitu dekat sekadar luas jalan yang boleh dilalui selisih dua kenderaan, maka sejak dari peringkat awal pembinaan dilakukan, maka beberapa AJK, termasuk Pengerusi telah datang menemui beberapa tuan rumah terlibat terutama Tuan Haji Ahmad bin Ismail pada  3 Januari 2014. Penerimaan adalah amat baik. Dia memahami tentang pokok-pokok yang ditanam dan termasuk di dalam kawasan masjid terpaksa dipindah atau dihapuskan, begitu juga dengan penggunaan-penggunaan yang lain, Selain dari itu jiran-jiran berkenaan pernah hadir antara Dr. Abdul Fatah Haron  bila dijemput ke mesyuarat yang agenda berhubung dengan perumahan mereka.
Apa yang timbul di dalam mesyuarat, bahawa bagi menjaga keselamatan rumah jiran-jiran berkenaan, oleh kerana tembok sempadan perumahan mereka tidak dibina secara konkrit dan beam pada bahagian bawah, maka adalah dibimbangi bila jalan dibina akan memberi kesan kepada tembok  dan boleh retak dan runtuh. Beberapa cadangan telah dibuat melalui mesyuarat antaranya menggunakan kaedah shift files dan rubble walls dan pada akhirnya ialah dengan menggunakan kaedah `L shape` ditanam dari bahagian permulaan tembok hingga ke bahagian atas berjarak 28 meter. Kedudukan bahagian atas bagi penanaman konkrit berbentuk L dicadang agar di beri bentuk yang menarik dan juga dicadangkan tanah bersempadan dengan perumahan selebar 5 kaki (kawasan masjid) diberi hiasan dengan menanam pokok-pokok bunga yang dapat melindungkan pandangan secara langsung bahagian belakang rumah-rumah jiran berkenaan.
Kini kerja-kerja tanah bagi luar bangunan masjid sedang giat dijalankan. Rumah-rumah kongsi yang dihuni pekerja-pekerja telah dirubuhkan sejak Mac 2015 untuk jalan dan parkir. Antara mereka pindah ke rumah kongsi bersempadan dengan padang permainan dan antara mereka tinggal di satu bilik besar di aras bawah tanah bagi Masjid Al-Umm. Sebelum jalan rasmi dibina dan juga tempat-tempat parkir, kerja-kerja menyediakan saluran air dan najis pada kedua belah pihak masjid kanan dan kiri disiapkan terlebih dahulu sebelum jalan dibina.


Kedudukan sempadan dengan perumahan semi D baru yang berdekatan dengan Dewan Orang Ramai perlu diperbetulkan dari segi keselarian tanah. Oleh kerana memasuki jalan ke Dewan Orang Ramai merupakan pendakian ke bahagian yang lebih tinggi ke tepi bukit, sedangkan tanah bersempadan dengan masjid dan masjid memerlukan tanah yang rata bagi bahagian depan, maka tanah berkenaan perlu diratakan. Dengan demikian, makin ke dalam tanah sempadan ini makin tinggi. Ini memberi kesan kepada pembinaan tembok dan pagar bagi persempadanan dengan jalan bagi hadapan rumah semi D baru berkenaan. Mungkin kaedah L Shape atau kaedah konkrit perlu digunakan bagi persempadanan yang bersifat makin meninggi berkenaan.
Jalan keluar masuk ke jalan ke sekolah pada bahagian hadapan masjid, selain dari jalan bersempadan dengan rumah semi D lama, ialah jalan turun bersebelahan dengan rumah sub-station TNB yang agak curam dan agak sempit. Jalan ini perlu dikurangkan kecuraman bagi mengelak bahaya ,lebih-lebih lagi berdekatan dengan rumah sub station TNB. Pengukuhan tepian bagi jalan ini tidak cukup dengan penanaman rumput, tetapi perlu dibena benteng konkrit bagi mengelak dari runtuh dan kemalangan dari jatuh ke bawah. Kaedah penggunaan jalan sehala boleh difikirkan. Perlu disebutkan penggunaan kenderaan dalam kawasan bangunan tidak mengizinkan kecuali dalam jumlah yang kecil bagi pegawai-pegawai masjid, oleh kerana tempat parkir terhad, hanya pada bahagian hadapan. Penggunaan jalan ke dalam lebih kepada penggunaan jalan kaki dan bagi situasi kecemasan seperti penggunaan bomba dan penggunaan kritikal yang lain. Adalah dicadangkan bahagian dalam depan masjid dipasang dengan tile (jenis kasar) berlainan warna bagi tempat parkir dan jalan. Tetapi pemasangan tile perlu difikirkan kemungkinan cepat rosak, antaranya dilalui kenderaan. Apakah lebih praktik diturapkan dengan tar sahaja ? Selain dari bersifat praktik dapat menjimatkan kos dan mudah dari segi maintenance.
Oleh kerana kesempitan ruang, maka ruang parkir bagi orang ramai adalah bersifat luaran. Antaranya ialah ruang parkir sedia ada di bahagian hadapan masjid dan ruang parkir disediakan di bawah talian cable TNB sebelum masuk ke kawasan masjid. Jalan masuk ke kawasan masjid dari jalan Seksyen dua ke Sekolah Rendah Kebangsaan BBB perlu diubahsuai dan ditambahbaik agar jalan masuk berkenaan lebih selesa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment