BBB, 09 Ramadhan 1436 = 26 Jun 2015 (Jumaat):
Setakat ini pembicaraan telah dilakukan
terhadap aspek pembinaan fizikal Masjid
Al-Umm. Sebelum masuk kepada pembicaraan mengenai aspek `Pengisian dan Pengimarahan`
yang merupakan matlamat penting yang lebih utama dan berterusan, maka dilihat
kembali secara rumusan terhadap perkara-perkara penting daripada apa yang telah
dibincangkan.
Pembinaan Masjid Al-Umm adalah bermula dan
bertolak dari `niat murni` AJK yang diamanahkan bagi mendirikan Masjid Al-Umm
sejak 2010 di atas tapak yang telah tersedia di Jalan ¼ BBB. Urusan mendapat
keizinan dari pihak berwajib seperti kebenaran dari Pejabat Tanah, MAIS dan
JAIS diusaha mendapat keizinan. Antara tahap penting yang dilakukan untuk
mendapatkan sumber kewangan ialah pelancaran Tabung Masjid Al-Umm setelah
mendapat keizinan MAIS pada Sabtu 19 Mei 2012 dan lawatan tapak oleh Dato`
Menteri Besar Selangor pada masa itu Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim
pada 6 Januari 2013.
Pembinaan fizikal Masjid Al-Umm oleh Tekad
Nusantara bermula dari 10 Disember 2013 sebaik mendapat kelulusan dari pihak
MPKj dan penentuan arah Qiblat (2.1.2014) dilakukan. Plan pembinaan adalah
berdasarkan kepada plan arkitek Urusbina Sdn. Bhd. Perjalanan pembinaan adalah
di bawah pengawasan AJK Induk Pembinaan Masjid Al-Umm yang menubuhkan di
bawahnya AJK Teknikal (2013) dan AJK Tapak (2014). AJK Induk, Teknikal dan
Tapak merupakan agen yang berperanan memperbaiki plan arkitek yang pada asalnya
merupakan masjid dua tingkat menjadi tiga tingkat, kedudukan bumbung yang pada
asalnya lebih kelihatan rata kepada kedudukan yang lebih curam sesuai dengan
iklim tempatan yang sering hujan. Ciri seni bina Islam adalah seni bina dominan
bagi pembinaan masjid Al-Umm, seperti peningkatan dan penambahan bentuk kubah kepada
yang lebih menarik. Begitu juga dengan kedua menara menjadi lebih tinggi dari
cadangan asal (70 kaki). Penambahbaikan juga berlaku terhadap mihrab yang
asalnya berkedudukan tergantung (berdasarkan plan dua tingkat) kepada semua
tingkat bermihrab. Penambahbaikan berlaku terhadap ruang-ruang pada tingkat
bawah tanah, di aras utama dan aras satu yang setiap bilik mempunyai fungsi
tersendiri. Peningkatan dan penambahbaikan berlaku pada bilik air, tandas dan
bilik jenazah. Turut menyerikan masjid dari segi bentuk tiang, pintu, tingkap
dan jendela yang mengambil bentuk lengkung tunduk yang lumrah sebagai imej seni
bina Islam. Turut disempurnakan bahagian luar masjid yang lanskap dan seni
taman adalah bersesuaian dengan falsafah senibina Masjid Al-Umm.
Takmilah ialah bertolak dari falsafah Yang
Abadi bersifat Kamal dan Jamal. Pada segala yang dicipta tercermin sifat-sifat
ini dan pada yang kena cipta, khususnya insan merindukan sifat-sifat ini,
lantaran itu ianya dengan daya kreativiti dan inovasinya ingin menghasilkan
sesuatu yang sempurna dan indah termasuk meniru dan berkreatif dan berinovasi
menghasilkan sesuatu yang dihasilkan.
Konsep perubahan dan penambahbaikan adalah
merupakan proses Takmilah yang sebelumnya ditarafkan kepada tidak memuaskan
kepada reka bentuk, kreativiti dan inovasi yang lebih sempurna, indah, baik dan
tinggi mutunya. Di dalam melihat konsep penambahbaikan ini ciri penting
Takmilah, bahawa tiap aspek Takmilah mempunyai piawayan tertinggi sama ada boleh
dicapai atau tidak boleh dicapai (ideal). Ini merupakan elemen positif bagi
Takmilah, bahawa Takmilah mendorong kepada peningkatan ke arah yang lebih
sempurna, indah dan baik - peringkat
tersempurna yang dapat.
Di dalam melihat kepada Masjid Al-Umm dari
segi Takmilah elemen perbandingan, peniruan, kreativiti dan inovasi banyak
digunakan. Perbandingan yang dibuat bagi Masjid Al-Umm ialah elemen Islam yang
paling dekat. Lantaran itu sejak dari awal penulisan mengenai pembinaan Masjid
Al-Umm ini, masjid-masjidlah menjadi contoh yang paling utama bagi Masjid
Al-Umm dan masjid-masjid yang paling utama ialah Masjid Nabawi di Madinah dan
Masjid Al-Haram di Makkah. Meskipun penulis telah beberapa kali ke Madinah dan
Makkah, tetapi pemergian mutakhir April 2015, sebagai orang terlibat dengan
Masjid Al-Umm, maka pemergian memberi perhatian terhadap masjid-masjid di
kedua-dua Tanah Suci dan sekitaran. Lantaran itu di dalam pembicaraan Masjid
Al-Umm banyak Penulis mengambil pendekatan membandingkan elemen-elemen Masjid
Al-Umm dengan terutama Masjid Nabawi dan Masjid Al-Haram di samping
perbandingan dengan masjid-masjid yang lain secara releven. Penulis melihat
dari segi seni, tidaklah wajar berlaku peniruan seratus peratus elemen di satu masjid dengan masjid yang lain, lantaran tiada
keaslian dan yang meniru tidak ada identiti tersendiri. Sebaliknya sebagai
hasil seni pula tidak lari dari berlaku unsur peniruan dan keaslian kreativiti
dan inovasi yang mencirikan keaslian dan asimilasi penghasilan.
Di dalam konteks Masjid Al-Umm banyak elemen
yang dapat dilihat secara perbandingan. Misalnya pihak sub-kontrektor membina
Kubah Masjid Al-Umm – Majleza, membandingkan kubah Masjid Al-Umm adalah seperti
(ditiru?) dari Masjid Sultan Qabus, tapi Penulis menegaskan bahawa bentuk Kubah
Masjid Al-Umm adalah berbentuk separuh bujur telur yang mengambil elemen
tempatan dan alamiah. Penulis melihat, jika pun ada persamaan ia adalah mirip
kepada Kubah Masjid Al-Sakhra` di Baitul Maqdis, perbandingan yang lebih
istimewa dan lebih dekat dengan elemen kudus di Tanah Quddus. Begitu juga di
dalam melihat menara Masjid Al-Umm bahagian bawah ada mirip bentuk menara
Masjid Nabawi, tetapi pada bahagian puncaknya sengaja ditiru dari bentuk
mutakhir menara Masjid Al-Haram. Jadi tidak ada kesamaan antara menara Masjid
Al-Umm dengan kedua-dua menara di kedua Tanah Suci, tetapi menara Masjid Al-Umm
mempunyai identitinya yang tersendiri.
Satu elemen yang menjadi ciri universal bagi
masjid-masjid ialah bentuk lengkung tunduk yang melambangkan sifat lembut,
tunduk dan khuduk. Elemen-elemen ini banyak digunakan pada seperti pintu,
tingkap, jendela dan ruang-ruang yang sesuai, maka elemen-elemen ini banyak
digunakan di Masjid Al-Umm baik di pintu, tingkap, jendela, pintu gerbang dan
sebagainya. Begitu juga satu bentuk lagi ialah bulat yang mencerminkan
kesempurnaan dan kebenaran. Bentuk ini banyak digunakan dalam seni bina masjid,
maka Masjid Al-Umm juga banyak menggunakan elemen-elemen bulat ini seperti pada
tiang, kubah, menara dan sebagainya. Pendek kata Masjid Al-Umm mempunyai ciri
dan identiti tersendiri, di samping mempunyai elemen-elemen persamaan dengan
ciri-ciri masjid-masjid yang lain. Ianya merupakan sesuatu yang lumrah bagi
seni bina masjid dan ia adalah Takmilah bagi Masjid, khususnya bagi Masjid
Al-Umm.
Di dalam kembara menuju Takmilah ada pertembungan-pertembungan
yang dianggap tidak wajar, kesilapan atau ketidak sengajaan yang perlu ditegur,
diingatkan dan perlu diperbaiki yang mana ianya merupakan proses Takmilah.
Misalnya beberapa kali berlaku di dalam memasang tingkap atau dekorasi di kubah
lahir bentuk `cross` yang memberi imej yang tidak cocok dan tidak menyenangkan
bagi masjid, maka ianya perlu ditegur, bahkan sampai berkali-kali sehingga
kesilapan atau ketidaksengajaan itu diperbaiki. Keadaan berlaku misalnya dengan
letak mimbar, mihrab dan dekorasi yang tidak sesuai, maka dari awal dicadangkan
agar diubah sopaya tidak menimbulkan kontroversi. Keadaan yang sama juga
misalnya setelah berlakunya pembinaan dan progress dengan baik termasuk
pembayaran yang dibuat, sebaliknya apabila dilihat cadangan kos tambahan mendadak
tinggi lebih dari kewajaran, maka dari awal dicadang diambil ingatan dan
dicadang langkah-langkah berjimat dan berhemah di dalam peruntukan perlu
diambil agak tidak membebankan masjid dan dipersoal oleh masyarakat, maka
teguran dan cadangan ke arah menjimatkan kos dan perbelanjaan berhemah adalah
merupakan proses Takmilah.
Satu keistimewaan di dalam penggunaan
pendekatan Takmilah bagi Masjid Al-Umm bahawa ianya digunakan bukan saja
menilai sesuatu yang telah siap dan sempurna, tetapi proses Takmilah juga
adalah melihat di dalam pembangunan yang sedang berjalan yang pembinaan ini
terus berada di dalam penilaian AJK Induk, Teknikal dan Tapak dan berlaku
pengubahsuaian di dalam menuju Takmilah. Ini bermakna Takmilah digunakan di
dalam menilai proses menuju Takmilah. Juga bererti sebahagian dari
perkara-perkara yang perlu dibaiki dapat dilakukan sebelum berlakunya kesilapan
atau berlakunya kesilapan dapat dibaiki sebelum ianya terhasil pada peringkat
mutakhir secara silap. Ia adalah merupakan proses Takmilah berganda di dalam
memastikan ianya mencapai piawayan terbaik dari segi Takmilah, lebih-lebih
selepas Masjid Al-Umm benar-benar siap.
Sekian.
No comments:
Post a Comment