BBB: 11
Ramadhan 1436 = 28 Jun 2015 (Ahad):
Cetusan bagi pembinaan Masjid Al-Umm tidak
semata-mata membina masjid sahaja, tetapi ianya adalah menjadi Pusat di Wadi Ilmu bagi misi dan visi
Bangi Bandar Ilmu. Wadi Ilmu diberi nama, lantaran Masjid Al-Umm berada di
lembah antara dua bukit yang kelilingnya mempunyai sekolah-sekolah,
institusi-institusi pendidikan dan suaru-surau yang bukan saja sebagai institusi-institusi
ibadat, tetapi giat menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan. Dengan keadaan
sekarang, apa lagi jika berlaku penyelarasan, maka ketara semaraknya
perkembangan keilmuan di Wadi Ilmu yang menjadi sebahagian dari Bangi Bandar
Ilmu yang sekitarannya mempunyai belasan buah universiti dan pusat-pusat
penyelidikan. Cetusan Bangi Bandar Ilmu berlaku sejak diadakan Majlis Sambutan
30 Tahun Bangi Bandar Ilmu (1977-2007)
yang berlangsung dari 30 Julai hingga 1 September 2007. Sambutan dan perasmian
Bangi Bandar Ilmu telah dirasmikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid
bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada masa itu bertempat di Kolej
Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Seri Putera, Bangi pada 22 Jun 2008.
Beberapa tokoh akademik membentang kertas kerja mengenai konsep Bangi Bandar Ilmu
seperti oleh Profesor Dr. Shaharir Md. Zin Profesor Matematik UKM dan Profesor
Chamhuri Siwar Profesor Ekonomi UKM.
Bagi menggerakkan Gagasan Bangi Bandar Ilmu
ini beberapa kegiatan bagi menggarap idea Bangi Bandar Ilmu ini diadakan, iaitu
antaranya menerbitkan buku:
Antara yang diperkatakan di dalam buku ini
ialah Perutusan Menteri Besar yang merasa sukacita bahawa sejak beliau
melancarkan motto `Bangi Bandar Ilmu` pada 22 Jun 2008, maka pengisian terus dilaksanakan dengan berbagai kegiatan ilmu
seperti seminar, forum, diskusi buku, pameran buku, pengajaran di masjid-surau,
insentif kepada pelajar cemerlang, tuisyen, pertandingan mengarang pada
peringkat tinggi dan menengah. Turut memberi pandangan Y.B. Pengerusi J/K Tetap
Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor Dr. Hajah
Halimah Ali. Turut dimuatkan Perasmian dan Pelancaran Bangi Bandar Ilmu, Konsep
Bangi Bandar Ilmu, Laporan seminar-seminar, Sambutan 30 tahun Bandar Baru Bangi,
peranan masjid-surau, institusi pendidikn dan penyelidikan di sekitar Bandar
Baru Bangi, Tokoh-tokoh ilmuan di Bandar Baru Bangi dan Pemikiran Bangi.
Melalui buku ini diperjelaskan tentang konsep Bangi Bandar Ilmu.
Bagi mendapat gambaran tentang Bangi Bandar
Ilmu dari kalangan masyarakat, maka sempena 3 tahun (Jun 2008-Jun 2011)
diisytiharkan Bangi Bandar Ilmu dan Pejabat Adun Bangi menganjurkan
Pertandingan Menulis Esei dan Puisi mengenai Bangi Bandar Ilmu. Anjuran
pertandingan ini adalah sempena 35 tahun Bandar Baru Bangi. Sejumlah 8 esei dan
8 puisi dipilih dari karya-karya yang diterima dari berbagai peringkat yang
terdiri dari tenaga pengajar di pusat-pusat pengajian tinggi, pelajar-pelajar
dari dalam dan luar negera dan orang awam. Perisytiharan pemenang dan
penyampaian hadiah dilakukan sempena Majlis Pelancaran Hari Ilmu Bangi pada 22
Jun 2012. Hasil dari peraduan ini berbagai pendapat dan contoh diutarakan oleh peserta-peserta
yang memenangi pertandingan yang dapat dijadikan panduan sebagai pendekatan bagi
mengolah konsep Bangi Bandar Ilmu. Kertas-kertas esei dan puisi yang memenangi
peraduan menulis tentang Bangi Bandar Ilmu ini diterbitkan oleh Sekretariat
Bangi Bandar Ilmu (2012). Antara pendapat dari peserta yang memenangi hadiah
pertama (sdr. Azman Maamor – Pelajar Ph. D luar negara pada masa itu, kini
Pensyarah Sains Universiti Malaya):
``Bandar Ilmu boleh ditafsirkan sebagai sebuah
bandar yang dibangunkan bagi menggalakkan pertumbuhan ilmu pengetahuan
(Edvission, 2003). Takrif Bandar Ilmu juga dilihat sebagai satu penjenamaan
bagi sesuatu kawasan yang melakukan aktiviti keilmuan dan kawasan tersebut
boleh merangkumi zon sesuatu tempat (Dvir & Pasher, 2004).
Bandar Ilmu pula dilihat seolah-olah seperti
sebuah tempat semaian antara ilmu dan budaya, yang membentuk adunan yang kaya
antara teori dan praktikal di dalam persekitaran tersendiri. Adunan tersebut
hanya boleh digerakkan oleh tenaga kerja berpengetahuan yang memiliki
pengetahun yang kukuh dan pengetahun tersebut boleh disebarkan kepada orang lain
(Work Foundation, 2002).
Bagi mengukuhkan pendapat tentang Bangi Bandar
Ilmu dan contoh secara praktikal diadakan seminar `Merealisasikan Bangi Bandar
Ilmu` di Puri Pujangga, UKM pada 16 Sya`ban 1435H. bersamaan 14 Jun 2014
anjuran Sekteriat Bangi Bandar Ilmu dan Persatuan Pemuda Prihatin Bandar Baru
Bangi. Di dalam seminar ini dua kertas
kerja dibentangkan. Satu kertas kerja yang menggunakan pendekatan makro yang
dibentangkan oleh Prof. Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri Rektor Kuis dan kertas
kerja yang dibentangkan oleh Penulis dengan mengambil pendekatan mikro.
Pendekatan makro antaranya dengan melihat
seluruh Bandar Baru Bangi sebagai sebuah `Practical Open University` yang
memerlukan plan strategic jangka pendek dan panjang, pemantapan KPI dengan wujud
AJK induk, AJK Pelaksana dan AJK Pemantau. Ianya memerlukan perancangan,
pengurusan, kemudahan fizikal, tenaga kerja, kebersihan, sustainability dan
pembudayaan. Bagi kejayaan perlu
ditubuhkan Yayasan Bangi Bandar Ilmu yang melibatkan banyak pihak di BBB dan
perlu mempunyai pejabat beroperasi. Kemudahan yang diperlukan ialah
perpustakaan, internet, ada Majlis Ilmu, ada pakej Ilmu dan Mou dengan
pihak-pihak yang releven dan penubuhan sistem wakaf.
Manakala pendekatan mikro ialah bertolak dari
pendidikan yang berpusat di masjid, dimaksudkan ialah Masjid Al-Umm sebagai
pusat pengajian yang berada di Wadi Ilmu yang kelilingnya berbagai pusat
pengajian termasuk masjid-surau yang dikombinasikan di dalam menggiatkan
pengajian. Wadi Ilmu adalah juga sebagai kampus pengajian yang diperluaskan ke
seluruh Bandar Baru Bangi melalui mekanime yang sama, iaitu masjid-surau yang
lain yang berada di Bandar Baru Bangi. Pendekatan pengajian ialah campuran
pengajian agama Islam dan keilmuan yang diperlukan dalam kehidupan, pengajian
yang bersifat tradisi dan moden. Masjid menjadi pusat pengajian dan pelajar
tidak terpisah dari segi pengajian dan ibadat di masjid. Masjid mempunyai kompleks pendidikan
berdekatan dengan masjid. Di sini wujud pejabat pentadbiran, perpustakaan,
bilik-bilik kuliah, galeri, asrama dan kedai-kedai yang menyediakan kemudahan
diperlukan pelajar. Pengajian bersifat harian mengikuti waktu solat, hujung
minggu, pakej bersifat mingguan, bulanan, bahkan tahunan. Terdapat pengajian
tahfiz, wanita dan usia mas yang bersifat pondok moden. Pihak pengajian
mempunyai guru-guru dan pakar-pakar dalam bidang-bidang berkaitan. Antaranya
mempunyai kerjasama dengan pengajian-pegajian luar. Pendekatan ini merupakan
pengukuhan dan perluasan terhadap pengisian dan pengimarahan Masjid Al-Umm.
Pengajian disaran mempunyai harta wakaf dan seboleh-bolehnya berdikari. Bagi
menjayakannya masjid dan pengajian mempunyai AJK yang berwibawa dan berdedikasi
bagi kemajuan masjid dan pengajian. Masjid dan pengajian diharap
mengorientasikan penduduk, khususnya pelajar-pelajar menjadi mereka yang
terdidik, berilmu dan berakhlak sama mengukuhkan masyarakat berilmu di Bangi
Bandar Ilmu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment