June 16, 2015

Ayat Al-Qur`an: Peringatan Dan Penyeri Masjid


BBB, 28 Sya`ban 1436 = 15 Jun 2015 (Isnin):
Memperkatakan tentang dekorasi dan perhiasan di dalam masjid, maka penggunaan ayat-ayat Al-Qur`an adalah paling sesuai. Perlu diingat bahawa Al-Qur`an adalah Kitab Perlembagaan, Panduan dan Hidayah. Meletakkannya sebagai bahan perhiasan semata-mata tidak begitu menepati dengan fungsinya. Namun apakah yang lebih sesuai dari memetik ayat-ayat Al-Qur`an sebagai ingatan dan penyeri bagi masjid ? tanpa melupakan fungsi ayat-ayat Al-Qur`an adalah lebih besar dan agung dari itu. Sebenarnya menghiasi masjid dengan ayat-ayat Al-Qur`an adalah menjadi budaya dan hiasan bagi masjid di dalam masyarakat umat. Sebagaimana masjid-masjid mengambil ayat-ayat Al-Qur`an sebagai bahan peringatan dan penyeri masjid, maka demikian juga Masjid Al-Umm turut sama menggunakannya, tetapi bukan semata-mata sebagai perhiasan dan penyeri masjid, tetapi juga adalah sebagai peringatan dan tazkirah.


Dilihat dari segi Takmilah ayat-ayat Al-Qur`an adalah piawayan tertinggi baik dari segi bahasa, keilmuan, pendidikan, peringatan dan estetika, maka keberadaan ayat-ayat Al-Qur`an adalah menerapkan fungsi-fungsi berkenaan kepada jamaah dan khalayak.
Di dalam penggunaan ayat-ayat Al-Qur`an hendaklah dijaga dari segi etika kesesuaian dan fungsinya.
Ayat-ayat Al-Qur`an yang dipetik hendaklah ditulis, diletak dan dipasang pada tempat-tempat terhormat. Misalnya pada dinding hadapan bahagian atas dinding berkenaan. Boleh juga pada bahagian atas, kiri, kanan atau keliling bagi ruang atas bagi dinding masjid. Tulisan bagi ayat Al-Qur`an sama ada langsung pada dinding berkenaan. Atau berada dalam frame yang dilekat atau digantung. Jika di dalam frame adalah sesuai bagi ayat-ayat petikan yang pendek-pendek. Adalah tidak manis dan tidak bersesuaian jika ayat-ayat Al-Qur`an diletak misalnya di bawah bagi tempat jamaah duduk, bahkan tidak manis jika di tepi – bawah bagi hujung tempat jamaah yang boleh dianggap sebagai berada pada hujung kaki bagi jamaah. Sebab itu ayat Qur`an kurang sesuai jika dipasang dibawah aras yang jamaah berada di atas. Ianya dianggap sesuai jika dipasang pada pintu gerbang atau pintu masuk bagi masjid. Ayat Al-Qur`an tidak sesuai dipasang pada bahagian yang berdekatan dengan tandas, di sisi tangga dan hanya pada bahagian belakang tanpa ada pada bahagian hadapan. Jika dipasang secara keliling, misalnya bagi satu surah melibat aras yang lain, misalnya aras muslimat, maka kedudukan ayat-ayat Al-Qur`an hendklah lebih tinggi dari kedudukan jamaah bagi aras muslimat yang merupakan separuh di atas dari aras utama, agar ianya tidak berada di bawah tempat bagi muslimat.
Petikan dari ayat-ayat Al-Qur`an hendaklah bersesuaian dengan kandungan ayat dan tempat diletakkan. Contoh pada bahagian hadapan di atas dinding kanan misalnya ayat Al-Qur`an yang bermaksud:


``Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman yang khusyuk di dalam solat mereka ... dan seterusnya (Al-Mu`minun: 1-5).
Pada dinding sebelah kiri pula dirakam ayat Al-Qur`an yang mengingatkan bahawa solat adalah kewajipan ke atas orang mukmin menurut waktu-waktu yang ditetapkan (Al-Nisa`: 103).
Jika ayat Al-Qur`an  adalah panjang bagi ruang yang mewah memanjang maka dipetik satu surah dengan jumlah ayat yang bersesuaian. Misalnya Surah Yasin dan sebagainya. Bagi ayat bagi permulaan masuk ke masjid sesuai dipetik ayat yang bermaksud:
``Masuklah ke dalamnya dengan selamat dan aman`` (Al-Hijr: 46).


Manakala bagi bahagian tempat jenazah sesuai digunakan ayat yang mengingatkan bahawa, tiap-tiap diri yang bernyawa akan mengalamai kematian (Al-`Ankabut: 57), atau ayat yang mengingatkan, apabila tiba ajal mereka itu tidak akan terlewat atau terawal, walaupun sesaat (Al-Nahl: 61).
Ayat-ayat yang sesuai yang merujuk kepada masjid, ialah tentang ``orang-orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat ... dan seterusnya (Al-Taubah: 18).
Juga ayat yang merujuk pembinaan masjid di atas dasar taqwa (Al-Taubah: 108).
Ayat ini sesuai digunakan pada bahagian hadapan, sisi atau belakang.
Manakala bahagian bagi aras wanita sesuai dihiasi dengan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan mereka yang diredai Allah itu berdoa dengan berkata, ``Wahai Tuhan kami ! Berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya.`` (Al-Furqan: 74)
Jika penggunaan untuk keseimbangan jumlah ayat dapat juga digunakan surah-surah tiga Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas).
Dan jika di atas bagi mimbar (di atas kepala khatib sesuai diambil dari ayat Kursi (Al-Baqarah: 255).
Terdapat banyak lagi ayat-ayat yang sesuai bagi digunakan pada tempat-tempat yang sesuai di dalam masjid.


Ayat-ayat Al-Qur`an yang merupakan perlembagaan, keilmuan, pendidikan dan panduan sebenarnya mengandungi elemen estetika baik dari segi kandungan, pendengaran (bila dibaca apa lagi dilagukan) dan estetika dari segi penulisan.
Dari segi penulisan tulisan Al-Qur`an (termasuk tulisan jawi yang meminjam dari huruf-huruf Al-Qur`an) dapat ditulis di dalam khat yang amat indah. Tulisannya dapat dibentuk secara panjang, pendek, berhias, berbentuk ringkas, geometrik dan sebagainya. Tulisan berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an adalah tulisan yang dapat dibentuk secara estetika yang tinggi mutunya. Penulisan ini dikenali dengan tulisan khat. Ada berbagai-bagai jenis tulisan khat yang telah berkembang di dalam tamaduan Islam. Antaranya ialah khat nasakh, thuluth. riq`ah, kufi, raihani, tumar, musalsal, ghubar, jali, muhaqqaq,  ijazah, dewani dan khat-khat yang dinisbahkan kepada negara-negara Islam seperti Maghribi, Turki, Urdu (Pakistan) dan Jawi (Melayu).


Dalam penggunaan ayat Al-Qur`an di masjid selalunya dipilih yang jelas dan terang terutama nasakh yang jelas tulisan dan mudah dibaca. Khat riq`ah popular digunakan di dalam membuat catatan, kerana ringkas dan cepat ditulis, manakala khat thuluth juga popular kerana ringkas dan padat serta cepat ditulis, tetapi untuk penggunaan di masjid dan mudah dibaca orang ramai, maka khat nasakh adalah khat yang menjadi pilihan – termasuk di Masjid Al-Umm.

Sekian.

No comments:

Post a Comment