June 17, 2015

Melengkapkan Masjid Al-Umm: Takmilah Estetika Akli, Alami Dan Rohani


BBB, 29 Sya`ban 1436 = 16 Jun 2015 (Selasa):
Pembinaan Masjid Al-Umm bukanlah pembinaan sebuah bangunan yang sukar dan tidaklah besar berbanding dengan bangunan yang berpuluh tingkat direkacipta oleh arkitek terkenal dengan kos RM beratus juta, tetapi bagi kami AJK yang berusaha mendirikannya dengan usaha dan idea bersama dan mendapat tunjangan derma dari orang ramai yang kosnya mungkin meningkat mencecah kepada lebih dari RM15 juta ringgit, maka ini adalah hasil penglahiran gembira dan kesyukuran kami kepada Allah kerana berjaya mendirikan `RumahNya` yang insya Allah menjadi pusat kegiatan ibadat, pengajian dan kemasyarakatan bagi penduduk setempat.
Dilihat dari segi teori Takmilah – teori yang wujud dalam pemikiran sejak dari tercetusnya hasrat mendirikan Masjid Al-Umm dan teori yang terus digunakan dalam menilai dan menyarankan sebagai rangka dan pengisian Masjid Al-Umm, maka Penulis melihat `Masjid Al-Umm` adalah `Master Piece` bagi teori Takmilah dari segi seni bina, khususnya seni bina masjid. Kubah yang kini masih dalam penyempurnaan pemasangan dan menjadi puncak teratas dan titik tengah  dari segi pembinaan adalah lambang bagi Takmilah Estetika Akli, Lahiri dan Rohani.
Rajah Tiga Segi:


Berdasarkan  rajah di atas mulai dari sendeng kanan dari tapak ke atas melambangkan bahawa modal insan adalah faktor utama bagi menjayakan pembinaan Masjid Al-Umm. Modal ini bukan bersifat individu, tetapi berdasarkan jamaah. Bermaksud pembinaan Masjid Al-Umm adalah lahir dari hasil fikiran jamaah terutama dari AJK Induk, teknikal, tapak dan termasuk dari kalangan penderma. Individu-individu dalam jawatan kuasa terdiri dari mereka yang pakar di dalam berbagai-bagai bidang seperti bidang keagamaan, arkitek, seni (estetika) dan perunding-perunding di dalam bidang-bidang pembinaan dan terlibat juga jabatan-jabatan yang diperlukan untuk kelulusan pembinaan. Satu aspek lain yang diperlukan di dalam pembinaan yang melibatkan teori Takmilah ialah keilmuan yang dilambangkan dengan sendeng sebelah kiri dari tiga segi. Bermaksud kepakaran individu-individu dan kebolehan mereka di dalam bidang-bidang keilmuan yang berkait dengan pembinaan masjid. Ini termasuk keilmuan agama yang menasihati berhubung dengan aspek-aspek keilmuan Islam, pakar dalam bidang pentadbiran, pakar dalam bidang arkitek, ukur bahan, letrik, pembinaan, estetik, kewangan dan perunding-perunding bagi bidang-bidang yang berhubung dengan pembinaan. Hasil dari kombinasi pakar dan keilmuan berbagai-bagai dan hasil dalam mesyuarat-mesyuarat yang terus diadakan menelurkan cadangan-cadangan. Misalnya jika asal bangunan Masjid Al-Umm dua tingkat menjadikan bangunan menjadi tiga tingkat. Berbagai-bagai cadangan dikemukakan bagi pengisian tiga tingkat. Jika asal kubah adalah begitu biasa menjadikan kubah ala kubah Masjid Al-Sakhra` di Baitul Maqdis atau dikaitkan dengan Masjid Sultan Kabus. Jika menara asalnya begitu biasa, maka akhirnya mirip sebagai menara Masjid al-Haram pada bahagian atas dan bahagian bawahnya mirip menara Masjid Nabawi. Begitulah banyak cadangan-cadangan penambahbaikan yang dicadangkan terhadap pembinaan fizikal Masjid Al-Umm. Idea-idea yang bernas sebenarnya merupakan keindahan maknawi yang menjelmakan keindahan bagi masjid Al-Umm.
Aspek penting dari Teori Takmilah selain dari modal insan dan kebernasan fikiran, bahawa mengiringi pembinaan bangunan fizikal ialah aspek estetika yang menyempurnakan keindahan bangunan yang juga mengukuhkan Takmilah itu sendiri. Telah dibicarakan bahawa tiap ciptaan Allah adalah mencerminkan sifat Kamal dan sifat Jamal Allah. Keindahan ciptaan tercermin di dalam segala ciptaannya. Dan insan sebagai ciptaan Allah adalah suka dan rindu kepada kesempurnaan dan keindahan ini, lantaran itu apa yang diciptakan sama ada secara individu dan secara jamaah meniru dan mencari elemen Kamal dan Jamal serta secara kreatif terluah di dalam hasil cipta. Di dalam konteks Masjid Al-Umm kesempurnaan dapat dilihat dari rangka seni bina yang kukuh dan gagah berdiri, bukan setakat itu sahaja, segala elemen di dalam rangka seni bina fizikal itu disempurnakan dengan elemen-elemen estetika yang menjadi wajah masjid Al-Umm begiti berseri. Melihat bangunan secara keseluruhan ia adalah bangunan yang indah berada di pinggir tanah tinggi, sekali pandang sebagai bahtera yang berlabuh didermaga. Sekali pandang pula sebagai  bangunan yang berada di dalam taman yang bakal dihiaskan (taman lahiri dan taman ilmu). Lihat pula elemen estetika pada kubah yang berbentuk bujur telur separuh bulat dengan warna keemasan yang bakal mengeluarkan cahaya gemerlap waktu malam dan pantulan kekuningan membalik cahaya di waktu siang. Pandang pula elemen estetika pada menara yang gagah menggapai langit menuju kepada pihak Tertinggi. Keindahan juga dapat dilihat pada ruang-ruang dalam masjid dari ruang terbuka berlantai marmar, berpermaidani kelabu-kekuningan dengan ruang-ruang bagi berbagai-bagai kegunaan. Lihat pula pada dinding-dinding masjid dari pintu, tingkap dan jendela yang banyak mengambil bentuk  lengkung tunduk yang mencerminkan kelembutan, keharmonian dan kekhudukan, seterusnya dari segi tiang-tiang, mihrab, kubah dan menara yang mengambil bentuk bulat yang mencerminkan kesempurnaan sebagai lambang kesempurnaan yang Maha Agung. Banyak lagi elemen-elemen keindahan yang dapat diperturunkan yang merupakan estetika alamiah yang dapat dilihat, disaksi dan dihayati dengan mata kepala sendiri. Ianya merupakan pancaran aspek estetika yang menjadi tiang seri dan tengah bagi Takmilah diwakili sendeng kedua dari sebelah kanan. Ianya melambangkan penujuan ke peringkat puncak di dalam menuju Takmilah pada peringkat piawayan tertinggi menuju kepada yang Esa dan Kekal Abadi yang bersifat dengan segala sifat sempurna – termasuk Kamal dan Jamal yang diberi tumpuan dalam teori Takmilah.


Satu lagi elemen estetika yang merupakan pecahan darinya, iaitu estetika rohani yang diwakili sendeng pada sebelah kiri yang berdekatan dengan keilmuan. Dalam maksud bahawa antara aspek yang diberi penekanan pembinaan Masjid Al-Umm, khususnya selepas siap pembinaannnya ialah pengisian masjid berkenaan dengan kegiatan ibadat, keilmuan dan kerohanian. Aktiviti-aktiviti berkenaan menggarap minda, menggarap jiwa dengan ibadat dan kepatuhan seterusnya mendalam jiwa dengan aspek-aspek kerohanian yang pada peringkat tertinggi bersatu dalam jiwa yang dikenali dengan seni rohani. Tiba kepada tahap ini, antara jiwa yang mengalaminya meluahkan pengalaman seni rohani di dalam karya-karya agung seperti Al-Ghazali dengan Ihya` Ulum al-Din, Al-Qushayri dengan al-Risalat al-Qushairiyyah, Ibn `Ata` Allah dengan Hikam dan ramai lagi. Antara yang menglamai sentuhan seni rohani  mengungkapkan puisi-puisi rohani yang tinggi mutunya seperti yang dihasilkan oleh Rabi`ah al-Adawiyyah, Hafiz, Jami, Firdausi, Iqbal dan ramai lagi. Jika senntuhan rohani sedemikian terpercik pada arkitek yang berjiwa seni rohani, maka hasil arkitekturnya mencerminkan elemen-elemen kerohanian yang tinggi dari segi senibina seperti terhasil pada Masjid Umawi di Damshiq, Masjid Cordova di Andalusia, Masjid Jami` di Isfahan, Masjid Ibn Talun di Mesir, Masjid Agung Qairawan dan berbagai-bagai masjid lagi. Apakah ada sentuhan seni alami dan rohani pada Masjid Al-Umm ?  Sudah pasti ada lantaran pembinaannya tidak lari dari meniru keindahan dicipta Allah di samping berusaha secara kreatif dan inovatif dalam pembinaan masjid tersebut.
Hasil dari pendekatan dari Teori Takmilah tidak lain dari mengharapkan apa yang dihasilkan memberi kesan pada khalayak dan individu, bahawa mereka mendapat manfaat dari segi seni kealaman dan kerohamian, khususnya dari pendidikan dan keilmuan yang disampaikan dapat membentuk jiwa masyarakat yang patuh kepada Allah, kaya dengan kelembutan dan kehalusan jiwa, mencintai Ilmu, beradab dan berakhlak tinggi seterusnya menjadi warga yang patuh kepada Allah, menjadi kalangan yang berguna dan bermanfaat kepada masyarakat dan memberi saham di dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan tenteram di dalam masyarakat dan negara yang disifatkan sebagai – Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.


Sekian.

No comments:

Post a Comment