BBB, 16 Sya`ban 1436 = 03 Jun 2015 (Rabu):
Di dalam memilih sub-kontrektor, mencadang
bagi menyiapkan perkara-perkara yang berkait dengan kerja seni (estetika
menjadi ciri penting Takmilah), maka ketelitian harus diberi agar
sub-kontrektor yang dipilih berkemampuan, tidak saja menghasilkan bahan sekadar
biasa, contoh menyiapkan kerusi meja sekadar biasa di dalam ruang
yang tiada tarikan apa-apa,
tetapi seharusnya mencapai ciri estetika Takmilah yang antaranya melibatkan
kalbu, rohani dan akli.
Sebagai contoh perhatian yang diberi terhadap
pembinaan kubah adalah terawal, ini adalah kerana memikirkan bahawa pembinaan
kubah selain dari mampu membentuk bulatan berbentuk bawang, delima atau telur
untuk diletak pada puncak masjid, adalah diharapkan ianya tidak semata-mata
satu bulatan besi atau aluminium kering dan kosong yang tidak memberi daya
tarikan apa-apa. Tetapi kubah yang menjadi identiti utama masjid adalah
merupakan puncak yang melibatkan estetika lahiri dan maknawi. Lantaran itu seawal
bulan September 2013 pihak AJK
diperkenalkan dengan syarikat yang membina kubah, iaitu Aktif Alluminium Sdn.
Bhd. Cheras dan Tri- Arch Sdn Bhd. Kuala Lumpur dan kedua-dua syarikat
membentang proposal pembinaan kubah bagi Masjid Al-Umm. Walau bagaimana pihak
AJK pada masa itu tidak membuat komitmen apa-apa di dalam memilih kontrektor
pembinaan kubah Masjid Al-Umm.
Langkah pro aktif diambil mengiklan secara
terbuka kepada mana-mana syarikat yang mau masuk dan mencadangkan proposal
membina kubah Masjhid Al-Umm, bahkan interview secara terbuka dibuat kepada
beberapa syarikat yang menawarkan kepakaran bagi membina kubah Masjid Al-Umm,
selain dari dua syarikat di atas, turut dipanggil ialah, Kubah Anum, Setapak,
TA Decke Sdn. Bhd. Subang pada 6 Mei 2014 dan 14 Mei 2014. Walau bagaimana
pihak AJK masih belum berpuashati dengan cadangan dan kepakaran mereka. Ada
antaranya memang mempunyai kepakaran, tetapi tidak begitu intim dengan
ciri-ciri Islamik, bahkan antaranya hanya membina kubah pada surau-surau dan
baru mencuba bagi membina kubah pada peringkat masjid. Lantaran itu pemilihan
ditangguh, oleh kerana AJK merasa belum menerima cadangan dari pihak yang
dianggap tinggi dari segi kepakaran dan telah menunjukkan kejayaan di dalam membina
berbagai kubah bagi berbagai masjid.
Berikut dari interview yang dibuat, sebuah
syarikat membina kubah menawarkan diri untuk membina kubah Masjid Al-Umm, iaitu
Syarikat Majleza Aluminium Sdn. Bhd. Beralamat, No. 4, Jalan Tiram 2, Tiram Industrial
Park,, 81,800 Ulu Tiram, Johor Dar al Takzim. Pengarah Urusan Syarikat ini
ialah Tuan Haji Abdul Majid dengan Pembantunya - anak lelaki beliau sendiri. Syarikat
membina kubah bukan saja dalam negara, bahkan hingga ke luar negara dan
mempunyai projek membina kubah-kubah semasa.
Pada peringkat permulaan Majleza membentangkan
proposal mengenai Kubah secara umum – bermaksud tidak melibatkan lagi mengenai
konsep kubah bagi Masjid Al-Umm, kecuali cadangan bahagian tunjuk langit yang
membawa nama `Al-Umm` dalam tulisan Jawi/Arab.
Bagi memperkenalkan dirinya pada peringkat
awal pertengahan Ogos 2014 Majlleza
membawa contoh bermodelkan Kubah Masjid Sultan Qaboos yang berbentuk separuh
bulat – bujur telur. Menurut proposalnya, bahawa kubah berasaskan bingkai berjumlah
32 bingkai dengan 3``x 1 6/8`` aliminium hollow dan 1 6/8 inch aluminium
capping hollow, manakala Pinnacle (tunjuk langit) 2 mm. Aluminium sheet.
Pemasangan bermula dari bingkai kepada pemasangan dalaman – empat-empat segi
kepada struktur kerawang dan akhirnya kepada pemasangan struktur jalur segmen dan kemudian kepada
tunjuk langit. Berasaskan 32 segmen yang
sama pola bagi permukaan kubah boleh diubahsuai kepada
pola-pola yang lain untuk dipilih. Misalnya berpola tiga segi semacam speed dan
bergaris dari atas ke bawah menurut 32 segmen. Manakala pada puncaknya ialah
tunjuk langit berperkataan `Al-Umm`.
Manakala pada 26 Ogos 2014 bersamaan 30 Syawal
1435 sekali lagi pihak Majleza dijemput membentangkan proposal kali ini
proposlnya melibatkan contoh kubah pada Masjid Al-Umm, bahkan mengenai reka
bentuk menara, siling, hiasan tiang, mihrab, mimbar dan hiasan dinding bahagian
hadapan masjid, kipas dan tempat wudhu`. Walau bagaimana fokus pembentangan
utama yang diminta ialah mengenai `Kubah`.
Pada dasarnya
bentuk kubah yang dicadangkan pada peringkat permulaan, iaitu
bermodelkan kubah Masjid Sultan Qaabus dan contoh-contoh sebagaimana telah
dibincangkan dengan penambahan beberapa pola baru yang lebih bersifat geometrik
tanpa merubah dari segi struktur. Pada kali ini dibawa contoh kubah berada di
atas bangunan Masjid Al-Umm di dalam kedudukan angle berlainan.
Berdasarkan kesungguhan Majleza membentangkan
proposal yang lebih canggih berbanding dengan syarikat-syarikat sebelum
daripada ini dan sanggup hadir setiap kali dijemput dari Johor dalam waktu yang
dekat, maka pihak AJK menjemput pihak Majleza menghadiri temuduga pada 9 September
2014 di Pejabat Bangi. Pihak AJK berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan
oleh Majleza, bahkan selepas daripada itu pihak Majleza menunjukkan komitmen
yang tinggi hadir ke dalam mesyuarat AJK Tapak, Teknikal dan Induk bila
perbincangan mengenai Kubah dan bidang-bidang yang lain. Di atas komitmen
Majleza pihak AJK menerima Majliza mereka bentuk kubah Masjid Al-Umm.
Sebagaimana pernah dibincangkan di dalam
membina masjid, kita tidak boleh lari dari elemen-elemen yang mencirikan masjid
seperti mihrab, menara dan kubah dan di dalam membina elemen-elemen ini di
masjid, kadang-kadang ada pengaruh atau langsung ditiru dari bentuk-bentuk
seperti menara dan kubah dari masjid yang lain dan ianya merupakan satu
kebiasaan. Kadang-kadang mungkin tidak disedari wujudnya pengaruh antara satu
sama lain. Di dalam hal memilih bentuk kubah Masjid Al-Umm, pihak Majleza
menampilkan bentuk ala kubah Masjid Sultan Qaabus, tetapi bagi kita melihatnya
bentuk sedemikian bukannya satu keaslian dari masjid itu. Kita melihat bentuk
sedemikain terdapat pada kubah Masjid al-Aqsa al Sakhra`, bahkan dapat juga
dikatakan ianya diambil dari elemen alamiah tempatan. Iaitu mengambil bentuk bujur telur. Inilah ungkapan
dan bandingan yang sering kita buat. Walau bagaimana, meskipun bentuknya dapat
dikait dengan kubah-kubah tempat lain, tetapi ianya akan disertai dengan
elemen-elemen tambahan bersifat tempatan seperti pada tunjuk langit, warna
kubah, penampilan cahaya dan pandangan dari dalam.
Demikianlah membina masjid, bukan sekadar
membina bentuk fizikal kasar sahaja, tetapi ada perkara-perkara yang mungkin
kecil, tetapi perlu diberi perhatian secara halus dan teliti, kerana ianya
melibatkan ciri dan identiti sesebuah masjid yang dengannya dikenali
masyarakat. Contoh ketara ialah menara dan kubah bagi masjid. Bagi
setengah orang mungkin tidak kisah dan
berterusan dengan kebiasaan dan tidak diberi perhatian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment