June 7, 2015

Menara Masjid Al-Umm: Bawahnya Mirip Menara Masjid Nabawi, Puncaknya Mirip Menara Masjid Al-Haram


BBB, 19 Sya`ban 1436 = 06 Jun 2015 (Sabtu):
Menara adalah antara ciri utama masjid yang membawa nilai estetika dan kerohanian yang tinggi yang juga  mengukuhkan Takmilah. Menara adalah ciri asli masjid. Kewujudan menara pada asalnya bagi mendapat tempat yang tinggi untuk dialunkan azan bagi melantasluaskan kawasan pendengaran. Pada peringkat awal Bilal muazzin Rasulullah naik ke atas sutuh bangunan bagi menyampaikan azan. Daripada keperluan tersebut akhirnya mewujudkan menara bagi masjid yang pada peringkat awal berbagai-bagai bentuk. Pokoknya ianya binaan yang meninggi ke atas. Di dalam perkembangan moden, walaupun sudah ada pembesar suara dan suara azan dapat dilantaskan dari bahagian bawah, tetapi menara tetap berfungsi yang dari puncaknya dipasang pembesar suara bagi melantaskan azan sejauh batas sempadan. Menara di dalam konteks pembinaan masjid kini mempunyai dwi fungsi, iaitu sebagai puncak yang melantaskan azan ke sempadan-sempadan sebagaimana diperkatakan dan juga menjunjung fungsi estetik yang suci, rohani dan kudus. Menara adalah bangunan yang menarik yang memuncak tinggi menggapai langit biru. Ianya melambangkan perjalanan kualiti diri rohani yang dapat meningkat ke tingkat-tingkat (mi`raj) dalam menuju Ilahi, contoh lambang mi`raj rohani di dalam mendirikan solat. Ianya membetikkan pengalaman rohani yang kudus semasa mendengar kemerduan azan dan juga ketika menunaikan solat dan apa juga aktiviti-aktiviti kerohanian, termasuk di dalam menghayati pengajian Al-Qur`an dan mengikuti pengajaran oleh guru-guru yang pengajarannya dapat diikuti dari dalam dan luar melalului pembesar suara. Menara selalunya dibina dalam bilangan yang gasal seperti satu atau dua sebagai makna sepasang yang bertentangan dicampur dengan kubah menjadikan jumlahnya tiga, juga gasal. Jumlahnya boleh bertambah kepada tiga dan  lima.


Dalam pembinaan Masjid Al-Umm, bentuk menara adalah menjadi perkiraan AJK. Dalam plan arkitek asal bentuk menara Masjid Al-Umm adalah dalam bentuk normal berbentuk bulat ke atas dengan bahagian dalam dapat dinaiki melalui tangga ke atas. Dalam perbincangan dengan sub-kontrektor Majleza, pernah dicadangkan agar raung dalam  adalah bersifat transperant yang dapat dilihat cahayanya dari kejauhan pada waktu malam, termasuklah pada peringkat poncaknya dengan lambang `Al-Umm` yang mempunyai cahaya. Walau bagaimana cadangan tersebut tidak diterima, kerana dipersoalkan dari segi kekukuhan dan dinding kaca pada tiang menara ke atas boleh membahayakan – pecah dan sebagainya. Lantaran itu pembinaan bentuk menara Masjid Al-Umm adalah menurut plan arkitek yang asal.
Telah dibicarakan bahawa masjid mempunyai identiti yang bersifat universal-ummah, iaitu seperti kubah, menara dan mihrab. Juga telah dibicarakan di dalam melahirkan sesuatu yang bersifat seni, kreatif, inovatif dan estetik, penggubah tidak boleh lari 100% dari bentuk dan cirinya yang konvensional, kerana ia akan menjadi sesuatu yang lain dan asing serta tidak dikenali. Contoh sebuah pantun harus mengekalkan ciri-ciri pantun, tetapi penyair boleh membawa perubahan dari segi mesej, penggunaan kata, perlambangan secara kreatif, inovatif dan estetik dalam rangkanya  berbentuk sebuah pantun. Kalau ianya dirubah terlalu banyak, maka ianya mungkin menjadi sebuah sajak dan sebagainya.


Keadaan sedemikian juga berlaku di dalam senibina masjid, bentuk masjid dan ciri-ciri utamanya dapat ditiru seratus peratus, tetapi sebagaimana dikatakan ianya tidak baik dari segi seni, selain dari ianya tidak dapat membawa identiti masjid setempat (contoh Masjid UKM sama dari segi arkitek dengan sebuah masjid di Bungsar, mana keaslian  identiti senibina Masjid UKM ?) dan tidak dapat membezakannya dari segi identiti setempat. Lantaran itu ia seharusnya membawa ciri dan identiti setempat dan tersendiri, walaupun ada unsur peniruan dan persamaan.
Semasa Penulis tiga beranak menunaikan Umrah pada 7 – 19 April 2015 bersamaan 17-29 Jamad al-Akhir 1436, salah satu yang menjadi perhatian Penulis ialah melihat ciri-ciri senibina masjid, khususnya menara di Masjid Nabawi dan masjid-masjid sekitar seperti Masjid Quba`, Masjid Al-Qiblatayn, Masjid Bi`r Ali, bahkan di Makkah seperti Masjid Al-Haram, Masjid Ja`ranah, Masjid Hudaybiyah, Tan`im dan beberapa masjid yang lain. Penulis terkesan dan membuat kesimpulan bahawa menara-menara masjid berkenaan mempunyai kemiripan yang sama dengan menara Masjid Nabawi dan menara Masjid Al-Haram, baik dari segi bentuk, warna lembut perang dan juga dari segi ketinggian dan tunjuk langit. Membandingkan dengan menara Masjid Al-Umm bahawa sesungguhnya ianya mempunyai mirip kesamaan dari segi tiang dan ke puncaknya yang mempunyai cermin pada kotak-kotak pada bahagian atas,terutama dengan puncak Menara Masjid al-Haram, walaupun tidak dapat dinafikan tidak mempunyai persamaan seluruh. Menara Masjid Al-Umm yang sebahagian besarnya sudah siap dari segi bentuk fizikal yang pada asalnya mempunyai ketinggian 70 kaki (bakal bertambah ketinggian).


Apa yang menggembirakan ialah dalam satu pertemuan dengan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Penaung bagi AJK Induk Masjid Al-Umm di rumahnya pada Ahad 10 Mei 2015 bagi membincangkan tentang ayat-ayat Al-Qur`an yang sesuai untuk digunakan sebagai panduan dan ingatan, di samping hiasan di dalam Masjid Al-Umm, beliau bertanya tentang menara Masjid Al-Umm. Menurutnya, ``Jika telah siap, teruskan, tetapi jika belum siap, patut menara berkenaan mengikut bentuk menara Masjid al-Haram yang diubah pada peringkat mutakhir.``. Pertanyaan beliau dijawab dengan diberi penerangan, bahawa tiang menara sudah siap, tetapi bahagian puncaknya belum siap.``.
Dalam pertemuan dan perbincangan itu timbul keputusan untuk ditambahbaikkan puncak kedua menara Masjid Al-Umm adalah mengikut puncak bagi menara Masjid Al-Haram. Cadangan ini telah dibawa ke dalam mesyuarat AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dan diterima dan pihak Syarikat Majleza berkesanggupan bagi menambahkan bahagian atas bagi menara Masjid Al-Umm seperti bentuk menara Masjid Al-Haram (Cadangan asal meletakan bentuk kubah kecil seperti kubah besar Masjid Al-Umm di atas kedua-dua menara dibatalkan). Ini bererti konsep pengekalan identiti, peniruan dan kreativiti antara pengekalan dan inovasi berlaku didalam seni bina Masjid Al-Umm, khususnya bagi kedua-dua menara Masjid Al-Umm. Kita merasa senang dan gembira, bahawa Masjid Al-Umm banyak mengambil contoh dari Masjid Nabawi dan juga Masjid Al-Haram yang menjadi masjid utama di dalam Islam.


Dari segi kedudukannya menara bagi Masjid Al-Umm adalah berada sebelah menyebelah bagi pintu gerbang utama Masjid Al-Umm. Menara yang asalnya setinggi tujuh puluh kaki ini dijangka bertambah tinggi bila ditambah pada bahagian atas dengan bentuk menara Masjid Al-Haram yang dijangka ketinggian semua adalah setinggi 90 kaki. Kedua-dua menara walau pun berada berasaingan, tetapi amat rapat dengan binaan masjid di belakangnya. Ini ialah kerana ruang tapak Masjid Al-Umm begitu terhad, sebab itu keberadaannya begitu rapat dengan struktur binaan masjid dan berdekatan dengan pintu gerbang. Sebenarnya dilihat dari luar tiang menara ini kelihatan padat, tetapi sebenarnya di bawahnya berongga dan mempunyai tangga yang boleh dinaiki dari bawah ke atas. Walau apa pun dengan susunan yang teratur kedudukan menara, pintu gerbang dan struktur bangunan masjid walaupun kekurangan ruang sebenarnya tidak memperlihatkan ketidaksempurnaan. Dengan plan arkitek yang dirangka, pembinaan yang professional berdaya kreatif dan estetik memperlihatkan senibina Masjid Al-Umm begitu unik memenuhi cita rasa estetik dan mengukuhkan Takmilah dari segi seni bina sebuah masjid.


Sekian.

No comments:

Post a Comment