Ustaz yang dijemput khas pada pagi ini ialah Ustaz Zulkifli Muhammad dari Ampang, seorang Pendakwah Bebas dan mempunyai Sekolah Tahfiz yang walaupun berbaju Melayu dan berkupiah, tetapi berwatak rock dan rugged dengan berseluar panjang yang banyak poket hingga ke betis.Mereka yang lain ada yang berjubah, tetapi kebanyakan berpakaian santai biasa sebagai orang yang datang ke pasar.. Tamu ke majlis yang duduk dikerusi-kerusi yang didatangkan selain dari Adun Bangi ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Surau An-Nur yang juga Timbalan YDP Persatuan Penduduk BBB yang mempengerusikan majlis, saudara Yusri Junid Setiausaha Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar BBB, kalangan muslimin dan beberapa muslimat yang turut hadir sebagai tetamu.
Saudara Yusri sebagai Tuan Rumah diberi penghormatan berucap mengalu-ngalukan kehadiran Peceramah Ustaz Zulkifli Muhammad, tamu-tamu dan orang ramai. Dr. Tajul Ariffin Noordin menyifatkan ceramah yang diadakan di pasar pada pagi ini lebih menarik dari ceramah seumpamanya yang diadakan di Sekolah Agama Lepai.dan mencadangkan agar ceramah seperti hari ini diadakan bukan setakat kehadiran Ramadhan, tapi wajar lebih kerap diadakan pada masa-masa bersesuaian.
Adun Bangi menekankan, bahawa ceramah yang diadakan di pasar pagi ini dan ceramah-ceramah yang pernah diadakan adalah bagi mengukuhkan pengiktirafan Bangi Bandar Ilmu. Biasanya ilmu didatangi, tapi kini ilmu mendatangai. Ceramah ini juga diadakan sempena kehadiran Ramadhan sebagai membesar dan menghidup syiar Ramadhan. Ceramah diharap dapat menghangat dan mengingatkan kita terhadap panduan dan amalan Ramadhan. Ceramah yang diadakan bukan untuk mengganggu aktiviti perniagaan, tetapi mempromosi. Diharap ceramah ini menjadi daya tarikan kepada kehadiran pembeli-pembeli sambil mendengar ceramah yang disampaikan. Sebenarnya adalah menjadi hasrat kita mau mempromosi dan memajukan perniagaan di pasar ini agar dapat menandingi perniagaan-perniagaan di pasar-pasar raya yang makin hampir menyerang peniaga-peniaga seperti Warta, Bintang dan kini Econ-Save. Terbaru ada permohonan dari TESCO untuk masuk ke BBB, kita dan Persatuan Penduduk menentang bagi menjaga peniaga-peniaga kecil di pasar dapat hidup. Tetapi pihak peniaga-peniaga melalui persatuan hendaklah senantiasa berfikir bagi menarik pembeli-pembeli antaranya barang jualan yang segar, berpatutan, jujur dan layanan yang memuaskan.
Ustaz Zulkifli Penceramah jemputan memuji tindakan AJK yang membawa ilmu ke pasar yang mensuasanakan tempat membeli belah dengan ilmu. Mereka yang sedang membeli ikan, daging, sayur dan makanan untuk jasmani dibekalkan kepada mereka bersama makanan rohani. Beliau menyebut tentang maksud Hadith Nabi tentang siapa mahukan dunia perlukan ilmu, siapa mahukan akhirat dengan ilmu dan siapa yang mau kedua-duanya juga dengan ilmu. Budaya ilmu yang dibawa turun ke tengah kehidupan masyarakat ditengah pasar menurut Ustaz Zulkifli adalah budaya yang juga dilakukan di Kelantan dalam mana Tok Guru Nik Aziz mengajar di tengah Bandar Kota Bharu dan orang ramai mendengar pengajarannya di jalan, di pasar dan pusat-pusat perniagaan, bahkan mereka berhenti di jalan-jalan, di kaki lima kedai dan di pinggiran mendengar pengajaran.
Ceramah di Pasar Bandar Baru Bangi pagi ini juga nampaknya menarik perhatian pendengar. Walaupun penganjur tidak meminta semua pihak menghentikan kegiatan dari menjual beli dan makan minum di warung-warung, tapi tertarik kepada ceramah Ustaz Zulkifli pengunjung-pengunjung seolah-seolah terpegun dan menghentikan kegiatan mereka. Ada yang terus duduk di kerusi-kerusi, ada yang terus berhenti dan berdiri mengarah kea rah penceramah. Ada yang merapatkan diri ke tempat ceramah dan antara peniaga-peniaga mengangkut kerusi-kerusi di warung-warung mereka ke keliling tempat ceramah. Wanita-wanita juga sama hadir mendengar dan duduk bersebelahan penceramah.
Ceramah Ustaz Zul mempunyai tarikan tersendiri dengan gayanya yang santai dan lucu dan kadang-kadang beliau berlagu dan menyanyi.
Tentang Ramadhan katanya bulan istimewa yang terakam keistimewaannya dalam Al-Qur`an yang menyebut bahawa pada bulan tersebut diturunkan Al-Qur`an. Berhubung dengan Ramadhan ini beliau menyanyi:
Ramadhan menjelang datang
Sambutlah dengan keikhlasan
Bagai menyambut ketibaan
Yang dicinta penuh sayang
Marhaban ya Ramadhan
Berhubung dengan Ramadhan kadang-kadang orang yang memang persiapkan diri dan belajar sebelumnya bagi menunaikan Ramadhan sebaik mungkin terhalang oleh gangguan-gangguan. Menurutnya negeri kita amat banyak dengan berbagai jenis makanan, terutama di bulan Ramadhan. Kalau di Jepun hanya beberapa jenis makanan seperti suci (ikan mentah), di tempat kita berpuluh bahkan beratus jenis juadah, kuih dan makanan termasuklah yang pelik-pelik seperti onde-onde, telinga kering, cakar ayam, kayu buruk, tahi itik, badak berendam dan berbagai-bagai lagi. Jika di rumah orang perempuan habis masa memasak, jika ke pasar dan warung tawaf mengelilingi kuih dan makanan menyebabkan tidak berlaku konsentrasi terhadap ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain yang patut diberi keutamaan.
Ramadhan sepatutnya ditunaikan dengan sepenuh jiwa dan penuh ihtisab sebagaimana sahabat-sahabat berperang Badar pada bulan Ramadhan, tetapi kita bukan masuk berperang, tetapi tewas dengan peperangan nafsu makan. Beliau juga menyebut persediaan Perang Khandak yang kerja-kerja menggali parit keliling Madinah juga dilakukan pada bulan Ramadhan dan Rasulullah berdoa secara puisi terhadap orang Ansar dan Muhajirin. Tetapi kita berperang dengan mata yang lebih banyak mendorong mata tidur dari berjaga untuk beribadat, solat, membaca Al-Qur`an, qiyamullail, tahajjud dan sebagainya. Jika siang menurutnya lebih terdorong kepada melihat filen-filem Hindustan dari menumpukan diri kepada tadarrus Al-Quran lantas beliau menyanyi lagi Hindustan penuh konsentrasi dan lengkap. Sebaik habis menyanyi beliau mengatakan beliau meminati sebutan dan lagu, tapi tak tahu apa maksudnya lagu!
Sekian.
No comments:
Post a Comment