July 26, 2011

Merasmikan Sukan Gabungan Pasti Dan Menziarah Dua Pesakit Di Taman Jasmin

Taman Jasmin, 21 Sya`ban = 23 Julai (Sabtu):


Bagi kali ketiga Pasti As-Syakirin Kajang Utama dan Pasti As-Syakirin Taman Jasmin mengadakan acara Sukan Tahunan secara gabungan. Mereka membuat giliran bertukar tempat. Tahun lepas acara Sukan Bersama ini diadakan di Padang, Kajang Utama, maka pada tahun ini acara Sukan Tahunan ini diadakan di Padang Sukan di Taman Jasmin. Adun Bangi dijemput merasmikan sukan pada pagi ini. Hadir bersama pada pagi ini ialah Tuan Haji Zaid Husin, Guru Besar Kafa Integrasi, Taman Jasmin yang juga selaku Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Jasmin, Dato` Haji Mat Zin Zakaria, Pengerusi badan Khairat Kematian Taman Jasmin, Tuan Haji Che Abdul Aziz bin Che Min, Pengerusi Surau Taman Jasmin, saudara Azmin bin Abdul Kadir Pengerusi Rukun Tetangga Taman Jasmin, saudara Sharum Abdullah Pengerusi Pasti Taman Jasmin selaku Pengarah Program dan Tuan Haji Abdul Razak Abdullatif Pengerusi Pasti Kajang Utama yang juga sebagai Timbalan Pengarah Program. Turut sama hadir para ibu bapa dan anak-anak yang memenuhi khemah dan padang.


Majlis Perasmian bermula dengan perarakan murid-murid dan lintas hormat di hadapan tamu-tamu kehormat dan ibu bapa. Dalam ucapan alu-aluan saudara Shahrum yang mewakili pentadbiran kedua-dua Pasti mengucapkan terima kasih kepada para jemputan terhormat dan ibu bapa yang sudi datang ke jemputan sukan. Kehadiran semua pihak, terutama ibu bapa menandakan keprihatinan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.. Beliau memaklumkan Pasti As-Syakirin Taman Jasmin semakin maju dan kini mempunyai murid-murid seramai 62 orang, manaka Pasti As-Syakirin Kajang Utama seramai 120 orang. Beliau berharap dengan sokongan ibu bapa kedua-dua pasti akan bergerak maju.


Adun Bangi mengucapkan syabas kepada Pasti Taman Jasmin dan Kajang Utama yang terus dapat mengekalkan kerjasama beberapa tahun berturut-turut, walaupun antara keduanya agak jauh. Dengan kerjasama dapat menjimatkan kos.dan pertandingan dan acara lebih meriah. Selain daripada itu dapat meluaskan pengenalan terutama antara guru-guru dan ibu bapa dari kedua buah pasti. Sukan yang diadakan dapat memupuk bakat dan pertandingan yang sihat di kalangan kanak-kanak dan menjadikan mereka sihat. Adun merasmikan sukan dengan harapan ianya dapat berjalan dengan baik dan menggembirakan anak-anak dan ibu bapa.


Berikut dari perasmian diadakan Cabutan Bertuah dan Adun menyampaikan hadiah kepada mereka yang bertuah. Sukan pada pagi ini menyediakan lebih dari 40 acara sukan yang disertai oleh anak-anak dari kedua Pasti, manaka ada beberapa acara sukan khas untuk ibu bapa dan AJK. Sukan yang bermula dari jam 7.30 pagi ini berterusan hingga jam 1.00 tengahari.


Sementara itu sempena datang merasmikan Sukan Tahunan Pasti ini, Adun mengambil kesempatan menziarah dua pesakit di kawasan perumahan tidak jauh dari padang sukan yang diadakan pertandingan. Adun diringi AJK Kebajikan, turut sama Cikgu Zaid dan pengiring-pengiring.


Pesakit pertama kami ziarah ialah:


Encik Habibullah Kamarudin (49) yang mengalami kanser hidung. Kami berkomunikasi dengannya secara isyarat dan dibantu penerangan oleh isterinya. En. Habibullah bekerja di Pejabat Akhbar The Star di Petaling Jaya sebagai Senior Executive Human Resource dan kini bercuti sakit. Isterinya terpaksa berhenti kerja bagi menjaganya sepenuh masa. Mereka mempunyai 3 orang anak. Kami melahirkan simpati dan menyampaikan sedikit sumbangan. Didoakan semoga lekas sembuh dan dapat kembali menunaikan tugas.


Pesakit kedua yang kami ziarah ialah:


Encik Abdul Aziz bin Muhammad yang menurut pesakit adalah sakit buasir akibat berlaku hentakan kuat yang beliau pernah alami di dalam menjalankan tugas. En. Abdul Aziz bekerja sebagai Pemandu di Syarikat Block Top, sebuah Syarikat Binaan di sini. Buat sementara beliau terpaksa bercuti. Kami menyampaikan bantuan, simpati dan doa semoga segera sembuh dan dapat kembali bertugas,

Sekian.

No comments:

Post a Comment