July 2, 2011

Menaiktaraf Sekolah Agama Bandar Baru Bangi

Bandar Baru Bangi, 29 Rajab = 01 Julai (Jumaat):


Sesebuah organisasi, persatuan dan pertubuhan yang mempunyai perancangan masa depan tidak memisahkan diri dari pendidikan. Demikianlah Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang ditubuhkan seawal Bandar itu dihuni (akhir 1977) dan seawal Persatuan ditubuhkan pada 1978, maka antara tumpuan yang diberikan ialah pendidikan. Lantaran itu Persatuan Penduduk BBB terutama di bawah YDP Dr. Tajul Ariffin Noordin memberi tumpuan pada pendidikan. Secara formal Persatuan ini telah mewujudkan Sekolah Agama Bandar Baru Bangi sejak 1987 di tapak sekarang di Seksyen 16 berhampiran dengan Bangunan Malayan Banking. Sekolah ini berdaftar di bawah JAIS pada 17.3.1998 dengan menggunakan silibus JAKIM. Sekolah yang berbentuk U setingkat ini terletak di Lot 10616 beralamat di Jalan 6C/6, 43650 Bandar Baru Bangi.


Dengan pertambahan pelajar dan keperluan ruang bagi kegiatan kemasyarakatan dan sebagainya, sedang tanah tambahan tidak mungkin didapati lagi di sini, maka adalah difikirkan agar dinaiktaraf Sekolah dengan membina bangunan tiga tingkat. Cadangan ini mendapat galakan hasil dari pemberian peruntukan Dr. Halimah pada 25 September 2010 selaku Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan modal Insan sebanyak RM100,000. Atas pemohonan seterusnya yang digalak dan disokong Adun Bangi, tambahan RM100,000 diluluskan lagi beberapa bulan berikutnya dan pada hari ini Adun Bangi membawa lagi peruntukan RM40,000 dari Kerajaan Negeri Selangor menjadikan peruntukan dari Kerajaan Negeri Selango sebanyak RM240,000. Atas kegigihan pihak AJK mengumpul dana maka jumlah yang dapat dipungut adalah melebihi RM800,000. Dengan jumlah ini pihak AJK mengambil keputusan memulakan pembinaan Sekolah ini. Pada hari ini majlis perasmian pembinaan yang dinamakan `Perletakan Batu Asas` dilakukan oleh Ybhg. Dato` Dr. Haron Din yang merupakan sebagai Penaung Sekolah Agama Bandar Baru Bangi. Turut hadir ke Majlis Perletakan Batu Asas pada pagi ini ialah Ybhg. Tan Sri Dr. Mohd Nor Ismail dan YB. Dr. Shafie Abu Bakar yang mereka adalah juga sebagai Penaung. Turut hadir Lembaga Pentadbir iaitu Dr. Tajul Ariffin Noordin (Pengerusi), Hj. Yaakob Md. Nor (Setiausaha), Hj. Mohd Ghazali Hj. Abbas (Bendahari), Hj.Ahmad Sufi Munasir (Pengarah Projek), Ustaz Abd. Jamir Md. Saad (Timbalan Pengarah Projek) dan ahli-ahli Hj. Zakaria Abdul Hamid, En. Mohd Mufleh Udah dan Ustaz Hj. Md. Radzi Mat Ali. Turut sama hadir Dato` Dr. Fadhil dan Ustaz Zunnurain Fauzan Guru Besar.


Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku Pengerusi Lembaga Tadbir SABBB bersyukur kepada Allah akhirnya hasrat bagi menaiktaraf SABBB dapat dilaksanakan. Beliau berterima kasih di atas kesudian Ybhg. Dato` Dr. Haron Din yang sudi merasmikan Perletakan Asas SABBB. Beliau juga berterima kasih di atas kehadiran Tan Sri Dr. Mohd Nor Ismail Dato` Dr. Fadhil dan semua yang hadir. Menurutnya Sekolah Agama ini adalah milik bersama penduduk BBB. Mereka memberi kerjasama bagi menjayakan projek penaikan taraf SABBB ini, menurutnya,

`Majlis pada pagi ini akan menyaksikan bermulanya satu sejarah dalam pendidikan ISLAM-MELAYU di Bandar Baru Bangi. Dengan izin Allah Sekolah ini nantinya bukan sekadar berfungsi sebagai Sekolah agama biasa. Harapan kita ialah untuk menjadikannya sebuah Kompleks Pendidikan Islam yang benar-benar mengisi maknanya, insya Allah.``

Majlis Perasmian Perletakan Batu Asas dilakukan oleh Ybhg. Dato` Dr. Haron Din dengan diiringi Tamu-Tamu Kehormat, Ahli-Ahli Lembaga Tadbir dan hadirin. Sekolah yang dibina apabila siap berbentuk U tiga tingkat dengan bahagian tengahnya berbumbung dalam mana di bawahnya digunakan sebagai medan himpunan dan juga boleh digunakan bagi berbagai fungsi kemasyarakatan.


Pihak Ahli Lembaga menawarkan peluang berderma khususnya sempena Ramadhan yang akan disambut agar keperluan dana dapat dicapai bagi menyiapkan pembinaan sekolah’. Bagi yang berminat menderma sila hubungi Bendahari: Tuan Haji Mohd. Ghazali Hj. Abbas di talian: 012-6770060


Sekian.

No comments: