July 29, 2011

Masjid As-Salihin Anjur Karnival (Karisma II)

Teras Jernang, 22 Sy`ban = 24 Julai (Ahad):

Menjelang Ramadhan Masjid As-Salihin menganjurkan Karisma II secara besar-besaran memakan masa selama tiga hari berturut-turut dari Jumaat 22 Julai hingga Ahad 24 Julai. Karisma ini mendapat kerjasama Adun Bangi dan juga GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam).

Program tiga hari ini dipenuhi pada Hari Jumaat (22 Julai) dengan derma darah, pameran dan jual-jualan di gerai-gerai di hadapan Masjid As-Salihin. Pada tengaharinya ceramah khas berhubung dengan Isu Palestin. Pada sebelah petang pula Pameran Khas – Polis dan Aman Palestin dan pada sebelah malamnya ialah Tayangan Aman Palestin – Bicara Remaja.

Pada Hari Kedua 23 Julai bermula pada malamnya dengan Qiyamullail yang dipimpin oleh Ustaz Badrul Amin disertai pada siangnya Pameran Khas Bomba. Kem Solat Smart dan pada malamnya diisi dengan Forum ``Aku Terima Nikahnya``yang ahli Panelnya terdiri dari Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Imam Muda Hassan dan Senetor Mumtaz Nawi

Manakala Hari Ketiga (24 Julai) mulai dari malamnya Qiyamullail dan diikuti Kuliah Subuh, Pameran Khas Agensi Anti Dadah, Pemeriksaan Kesihatan dan Klinik Guaman, Sukanika dan Mewarna, Street Soccer dan Majlis Penutup pada jam 2.30 petang di Anjung Masjid As-Salihin.. Adun Bangi adalah dijemput merasmikan Majlis Penutup Karnival berkenaan. Hadir sama pada Majlis ini ialah saudara Adhram Musa Ahli MPKj, Encik Shukor Jantan Ketua Kampong, Ustaz Bashir bin Alias selaku Nazir Masjid, saudara Faisal, Imam Haji Kamaruddin, saudara Abdul Razak Omar selaku Pengarah Program, saudara Hamdan Ibrahim selaku Timbalan Pengarah Program, peserta-peserta dan orang ramai.

Dalam Majlis Penutup, Ustaz Abdul Razak Omar dalam kata-kata aluannya mengucapkan terima- kasih di atas keterlibatan semua pihak hingga karnival II berjalan dengan baik dan lancar.. Beliau juga berterima kasih kepada semua NG dan Jabatan yang memberi kerjasama yang baik. Ustaz Bashir selaku Nazir Masjid mengucap syukur kepada Allah kerana kejayaan dicapai. Ini semua hasil kerjasama penduduk di Teras Jernang dari kalangan swasta. Menurut Tuan Nazir pihak Masjid sedia bekerjasama dengan pihak penduduk dan pihak-pihak yang lain yang menggunakan masjid ini dengan tujuan kebaikan.

Adun Bangi dalam ucapan penutupnya, mengucap tahniah kepada pihak masjid yang berjaya menganjurkan Karisma II begitu hebat dan memakan masa tiga hari berturut-turut. Tanpa berlebih-lebihan menurut Adun, ketara Masjid As-Salihin begitu giat dengan berbagai-bagai aktiviti dari semasa ke semasa. Ini jauh berbeza dari sebelumnya. Masjid as-Salihin begitu hidup dan makmur.

Adun juga mengiimbau tentang Teras Jernang yang begitu jauh berubah berbanding dengan sedekad yang lepas. Kini Teras Jerning menjadi pusat pendidikan yang penting dengan adanya Institut French-Malaysia yang terletak di bawah Universiti Kuala Lumput, Pusat-Pusat Pengajian Mara. Teras Jernang juga menjadi Pusat Pentadbiran, JKR, Akademi Percukaiana Negara dan Pusat Komersil. Apa yang harus diambil perhatian Teras Jernang jangan hilang identiti dengan perubahan yang berlaku di sekeliling. Sebaliknya identiti kampong dan budaya setempat perlu dipertahan dan kepimpinan di sini hendaklah berciri Teras Jernang. Institusi yang penting bagi mempertahankan identiti ini tidak lain dari Masjid dan Ketua Kampong Teras Jernang sendiri. Adun Bangi berpendapat apa yang dilakukan oleh Masjid sekarang adalah tepat dalam memandu dan memperkembangkan masyarakat berasaskan nilai dan budaya menurut acuan masjid. Dalam kata lain kepimpinan Masjid adalah penting di dalam memandu dan mengidentiti masyarakat dengan nilai setempat. Adun berharap dengan kesedaran Masjid dengan kerjasama Ketua Kampong dapat mencorakkan masa depan masyarakat di Teras Jernang menurut nilai yang diharapkan.

Adun amat gembira melihat perkembangan positif yang berlaku dan ini harus diperkembangkan. Sebelum majlis berakhir hadiah, cenderamata dan bantuan disampaikan oleh Adun

Sekian.

No comments:

Post a Comment