July 20, 2011

Dari Kenari Ke Rumah Ketua Kampung Berzanji

Taman Kenari, Sungai Ramal Luar, 14 Sya`ban = 16 Julai (Sabtu):


Pagi ini Adun Bangi berada di tengah muslimat Halwa kerana merasmikan sebuah program intensif yang melibatkan mereka berhari bermalam di Markas Tarbiah Taman Kenari di sini. Tidak wajar bagi Adun membicarakan soal-soal strategi dan rahsia parti. Cuma antara apa yang Adun mahu berbicara ialah bagaimana mengukuhkan hubungan dengan masyarakat. Adalah baik dari segi akademik memahami sosiologi masyarakat desa dan bagaimana berinteraksi dengan mereka. Adun ada menyebut dari pemerhatian Adun muslimat Serdang lebih banyak mengadakan kegiatan yang lebih bersifat dalaman – ini memang baik, tetapi masih belum mampu memecahkan benteng halangan yang membuka ruang muslimat berinteraksi langsung dan bergiat bersama di kalangan orang perempuan setempat, lebih lemah lagi tidak mampu membuat hubungan dengan kalangan perempuan bukan Islam, khususnya di kalangan orang perempuan Cina dan India di Serdang, khususnya di DUN Bangi. Ini berbeza dibanding dengan kalangan muslimin. Aspek ini tak boleh diabaikan, kerana mereka adalah separuh dari pengundi yang sepatutnya menyokong kita.


Hari ini kita berdepan dengan contoh yang baik, selain kita berteori di Dewan, kita mempunyai peluang yang baik untuk mendekati secara praktikal dengan masyarakat di Sungai Ramal Luar ini. Kerana pada hari ini seorang dari Ketua Kampong di DUN Bangi yang dinamik, iaitu Tuan Haji Muhammad Yusof bin Abdul Kadir pada pagi ini mengadakan Majlis Kesyukuran menerima cucu dengan mengadakan acara Berzanji dan Cukur Jambul cucunya dan beliau juga sedang sibuk dengan persiapan Majlis Perkahwinan anaknya esok hari. Adun berpendapat ramai dari kita termasuk ahli Pas menerima jemputan bagi kedua-dua majlis berkenaan.


Kedua-dua majlis ini merupakan peluang bagi muslimat dan penggerak Pas mendekati masyarakat – bukan saja Ketua Kampong dan keluarganya, tetapi masyarakat di Sungai Ramal Luar, kerana sebagai Ketua Kampong yang dihormati, ramai yang datang menolong dan berkunjung dan menghadiri jemputan. Adakah peluang sedemikian diambil oleh pemimpin Pas – muslimin dan muslimat mendekati masyarakat di Sungai Ramal ini ? Jemputan pasti sudah lama diterima. Peluang mendekati masyarakat dapat diambil dengan mendekati Ketua Kampong menghantar pembantu-pembantu dan pekerja-pekerja dari parti membantu kerja-kerja dan urusan Majlis Kesyukuran mendapat cucu dan jamuan menerima menantu. Dengan demikian peluang terbuka merapatkan hubungan dengan Ketua Kampung sebagai pemimpin setempat dan hubungan masyarakat kampung yang datang menunaikan jemputan.


Sesungguhnya ada kemesraan terjalin erat jika memberi perhatian kepada aktiviti setempat melalui wakil-wakil setempat. Pada sebelah pagi ini, Adun mempunyai 7 program yang perlu Adun hadiri, walaupun ditengah kesebokan, Adun peruntukkan masa hadir sebagai program ke 6 ke Majlis Kesyukuran Menerima Cucu (dan esok menerima menantu). Setiba Adun disambut Ketua Kampong Adun terus masuk ke tengah majlis yang sedang rancak membaca Rawi Berzanji – menikmati lagu yang sedang dialunkan oleh Pak Itam (Haji Yahya Juara Berzanji Selangor) di samping pembaca-pembaca yang lain seperti Tuan Haji Dahlan, Tuan Haji Nik Pa (Nazir), saudara Fuad (Setiausaha), Imam, Bilal dan ahli kariah setempat. Walaupun kebanyakan mereka kalangan veteran, tetapi kemahiran mereka membaca rawi menarik dan mengasyikkan. Adun tunggu juga peluang untuk membaca ! tetapi tidak diberi peluang.Mungkin mereka menganggap Adun tak berkemahiran, jika baca memalukan ! Namun pada acara Marhaban dan semua hadirin berdiri sama-sama membaca Marhaban Adun diberi peluang sebagai orang yang pertama mencukur (menggunting ) Jambul. Apa yang dapat Adun katakana bahawa budaya murni dan mempunyai daya estetik dan kemeriahan tersendiri ini amat menarik dan memberi kepuasan tersendiri. Kemesraan spontan dan bukan dibuat-buat ini menjadikan hubungan Adun dengan masyarakat di sini semakin erat. Tidakkah parti dan pendukung-pendukung muslimin dan muslimat mengambil peluang seperti ini?


Sekian.

No comments:

Post a Comment