July 9, 2011

Kuning Jingga Di Langit Negara Menggugat Ketidakadilan

(Sempena Hari Bersih)

Kuning Jingga Di Langit Negara
Begitu menggelisahkan pemerintah
Berbulan kempen songsang dilancarkan
Menentang artikal 10(1)(a)(b)(c) Perlembagaan
Seharusnya dijunjung dan dinobatkan
Puncaknya tindakan tidak rasional
Perundangan dipersoal
`HARAM !`
Berebutan orang ramai memiliki
T-Shirt Kuning Jingga Sakti
(Begitu ramai kerananya ditangkap)
Bukan semata untuk demonstrasi
Tapi sovenier abadi
Tentang sebuah sejarah songsang
Seharusnya tidak terakam !

Kuning Jingga Di Langit Negara
Warna bersih bejiwa wira
Menghantar lapan tuntutan
Seharusnya mudah ditunaikan
Selari dengan kehendak demokrasi
Tuntutan jagat manusia tamadun beradab
Tapi mengapa yang mudah diperpayahkan
Menyimpang dari maksud asal
Dituduh haram bahkan dikomuniskan ?
Pemiliknya ditahan ke mahkamah dibicarakan ?

Kuning Jingga Di Langit Negara
Kemelutnya diberi perhatian
Pihak Tertinggi Negara dengan cadangan
Tidak timbul institusi halal haram
Kerana mereka rakyat berhak diberi perhatian
Peluang Berjiwa Besar dan Negarawan
Menghormati Nasihat Tertinggi
Sepatutnya diambil peluang dan kesempatan
Oleh Pimpinan Negara dan Yang Berkuasa
Semua pihak diberi hak dan peluang
Tapi lihatlah siapa memungkiri
Siapa yang tidak menunaikan janji
Siapa mencari helah menegah
Siapa tidak menghormati ?
Rakyat jelata mengadili
Tentang kebisuan Perdana membuat janji
Tentang keceluparan penerangan
Tentang kekerasan Menteri Dalaman
Tentang juak-juak liar bertindak
Tentang rakyat di penjara merengkok.

Kuning Jingga Di Langit Negara
Terus berkibar mempamerkan tuntutan
Bersihkan senarai pengundi
Rasionalkan pengundi pos
Elak dari pengundian berulang
Media yang telus dan adil
Kewajaran tempoh berkempen
Perkasa-wibawa institusi awam
Basmikan cengkaman rasuah
Tegakkan politik bermaruah-amanah.
.
Kuning Jingga Di Langit Negara
Terus berkibar dengan tuntutan
Selagi tidak ditunaikan.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
07 Sya`ban 1432
09 Julai 2011.

No comments:

Post a Comment