July 15, 2011

Rehlah PTRS di Bagan Lalang

Bagan Lalang, 10 Julai 2011/8 Syaaban 1432H (Ahad)

PTRS merupakan Program Tuisyen Rakyat Negeri Selangor yang menyediakan tuisyen percuma untuk pelajar yang akan menduduki SPM pada tahun ini. Seramai 80 orang peserta dari keseluruhan pelajar yang menyertai tuisyen di DUN Bangi menyertai program Rehlah PTRS di Bagan Lalang pada 10 Julai yang lalu.

Dua buah bas disewa untuk membawa para pelajar ke pantai Bagan Lalang seawal 8.00 pagi di Hentian Kajang. Setibanya di sana, mereka disediakan sarapan pagi sambil bersantai di tepi pantai. Selepas itu, para pelajar diajak mendirikan solat Dhuha dan Hajat di pantai tersebut. Pelajar lelaki digalakkan untuk mengambil wuduk di pantai tersebut yang merupakan pengalaman pertama bagi mereka mengambil wuduk menggunakan air laut yang sedikit keruh pada pagi tersebut.


Setelah selesai mendirikan solat, para pelajar diberikan sedikit pengisian rohani oleh penceramah jemputan En Samawi tentang zikir rohani dan mengajar pelajar untuk merintih mengingati Allah di dalam hati. Kebanyakan pelajar berjaya melakukannya dengan baik sehingga terkesan di hati masing-masing.


Seusai pengisian, para pelajar dibahagikan kepada 7 kumpulan dengan pimpinan fasilitator masing-masing. Di dalam kumpulan kecil ini, para pelajar berkenalan antara satu sama lain kerana kebanyakan pelajar tersebut bersekolah dari sekolah yang berlainan. Sambil menceritakan maklumat peribadi, pelajar dikehendaki menyimpulkan jarinya menggunakan tali semasa bercakap. Lama-kelamaan terjalinlah simpulan ikatan antara satu sama lain dalam kumpulan tersebut yang dipanggil Simpulan Ukhuwah. Selepas itu, mereka diminta menceritakan perancangan hidup dan cita-cita yang diterjemahkan melalui lukisan.


Pada waktu tengahari ADUN Bangi, sampai ke tempat program untuk perasmian. ADUN Bangi memberikan sedikit motivasi dan kata-kata semangat untuk lebih berusaha menjadi yang terbaik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM yang tidak lama lagi. ADUN juga memaklumkan tentang pertandingan Mengarang Esei dan Puisi sempena sambutan Bangi bandar Ilmu. Pihak ADUN sangatlah menggalakkan para pelajar PTRS untuk menyertai pertandingan ini bagi menggilap bakat-bakat para pelajar seterusnya memupuk semangat cintakan kepada ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk diri sendiri dan masa depan.

Selepas perasmian, program diteruskan dengan menguji sikap kemasyarakatan para pelajar untuk berkomunikasi dengan pengunjung-pengunjung di situ. Para pelajar dikehendaki mendapatkan pengunjung dewasa dengan meminta kata-kata nasihat, pesanan, petua dan mendoakan mereka cemerlang dalam menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Pelbagai reaksi para pengunjung yang ditemuramah untuk berbuat demikian. Malah memuji-muji AJK dan Fasilitator yang telah berjaya mengadakan program yang bermanfaat untuk para pelajar mengisi masa mereka.

Selepas makan tengahari, para pelajar diberikan peluang bermandi-manda di pantai tersebut di atas permintaan pelajar sendiri. Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata bagi 5 kumpulan terbaik mengikut klasifikasi yang ditetapkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment