Pagi ini ketika Dewan Negeri memulakan sidang dengan menjawab soalan-soalan lisan. YAB Dato` Menteri Besar Selangor dalam menjawab soalan pihak Pembangkang menerangkan konsep perbelanjaan negeri bagi keselesaan rakyat. Dalam jawapannya beliau menyebut, Kerajaan negeri mengamalkan `Equalization System` dalam mentadbir negeri Selangor. Istilah ini menarik minat Adun Bangi, lantas Adun Bangi bangkit sebagai orang pertama mengemukakan soalan tambahan, Apakah yang dimaksudkan dengan Equalization System yang disebut oleh YAB Dato` Menteri Besar ?
Dato` Menteri Besar menerangkan, bahawa Equalization System ialah usaha mengurangkan jurang perbezaan di kalangan rakyat dari yang kaya terlampau kaya dan yang miskin tertinggal dalam keadaan miskin. Kita tidak melarang bagi mereka yang berusaha mendapat kekayaan di Negeri ini, bahkan kita memberi insentif kepada mereka, kerana hasil dapatan yang mereka usahakan memberi faedah dan pulangan kepada negeri, tetapi di dalam masa kita menggalakkan pengusahaan dan penerokaan, kita tidak lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Kepada mereka juga kita memberi insentif dan galakan agar mereka dapat bangkit menghapuskan kemiskinan yang melingkari mereka dan berusaha membaiki kedudukan agar jurang perbezaan antara mereka yang miskin dan yang kaya dan berada dapat dirapatkan. Menurut YAB Dato` Menteri Besar, konsep ini bukan baru, bahkan dapat dilihat dalam Islam. Misalnya dalam Islam bagi yang kaya diwajibkan mengeluarkan zakat agar dengannya dapat membantu mereka yang miskin. Menurutnya dalam tamadun manusia prinsip kenegaraan diolah oleh seperti Al-Mawardi di dalam Al-Ahkam as-Sultaniyyah, Al-Farabi di dalam Al- Madinah al-Fadilah dan Al-Ghazali dengan Nasihat Kepada Raja-Raja. Bahkan dibicarakan oleh penulis-penulis kenegaraan barat seperti John Locke, Rousseau, Kant, Hagel dan sebagainya.
Cetusan kecil dari jawapan sponton YAB Dato` Menteri Besar ini menarik dan dapat diolah kepada satu Konsep Tersusun dengan aplikasi pemerintahan dan pentadbiran yang sedang berlaku di negeri Selangor. Dengan pengolahan terhadap rangka pemerintahan dan pentadbiran memudahkan kefahaman, bahkan pada peringkat tinggi dapat dilihat falsafah dan aplikasi praktikal yang sedang berlaku di Selangor. Bertolak dari idea yang dicetuskan dan praktikal pemerintahan dan pentadbiran yang sedang dilakukan maka kedudukan pentadbiran dan pemerintahan Pakatan Rakyat yang sedang berlaku di Selangor dapat dirumuskan seperti berikut:
Equalis adalah (Hak + T.Jawab) = (Adil + Ihsan)
Sebagai huraian Equalis adalah daripada istilah yang digunakan oleh YAB Dato` Menteri Besar, iaitu Equalization diangkat kepada sebutan ringkas sebagai satu faham atau ideology kecil yang dipraktikkan di negeri Selangor. Equalization sebagaimana yang dihurai oleh YAB Dato` Menteri Besar, memastikan tidak berlaku jurang pendapatan atau kehidupan yang kaya terlampau kaya, yang miskin tidak terbela, sebaliknya dapat diimbangkan. Konsep Imbang atau equalibrium di sini penting, ianya bukan persamaan, kerana dengan apa cara sekalipun kita tak dapat memberi kesamaan kepada semua masyarakat, tetapi dapat mengawal dan memberi keimbangan. Ini dapat dicontohi dari konsep cakrawala yang mempunyai berbagai gugus dan bentuk (sais) bergerak dalam keadaan berimbang dan harmoni. Bermaksud masyarakat dalam negeri Selangor berpelbagaian etnik, latar belakang dan kedudukan dari segi ekonomi, agama dan sosial. Kepelbagaian sebagai satu keunikan perlu dijaga agar berada di dalam keharmonian. Yang menjaga tidak lain dari pemerintah yang diberi mandate, iaitu Kerajaan Pakatan Rakyat.
Hak
Dari segi hak semua rakyat negeri Selangor berhak misalnya mempunyai kediaman untuk perlindungan keluarga, berhak mendapat pekerjaan menurut kelayakan, anak-anak berhak mendapat pelajaran dan pinjaman pelajaran dan berhak tinggal di dalam negeri dalam keadaan aman dan tenteram.
Tanggungjawab
Dalam konteks bernegeri adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah menyediakan kemudahan kepada rakyat. Misalnya membuka industri, pertanian, peluang perniagaan dan berbagai-bagai peluang pekerjaan dan menawarkan peluang-peluang pekerjaan berkenaan kepada rakyat. Secara menyeluruh tanggungjawab ini dilaksanakan dari peringkat Dewan Negeri, Menteri Besar, Exco, kakitangan kerajaan, Adun, pihak berkuasa tempatan, Pegawai Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung. Semua ini adalah mekanisme tanggungjawab terhadap rakyat.
Adil
Dalam menunaikan hak dan tanggungjawab hendaklah berlaku adil dari pihak pemerintah dan rakyat menerima dan mengalami layanan secara adil dari pihak pemerintah. Termasuk di bawah adil, tidak berlaku penyelewengan, pilih kasih, rasuah dan sebagainya.
Ihsan
Di dalam menjalankan pemerintahan secara adil, jangan lupa dengan sifat ihsan dan kemanusiaan. Perlu diingat di dalam masyarakat, walaupun diberi peluang yang adil dan saksama, tetapi ada sebahagian dari kalangan masyarakat kurang bernasib baik, ketinggalan, menjadi mangsa keadaan, sakit, mengalami kemalangan dan bencana. Sebab itu sifat ihsan perlu diambil kira dan menjadi sebahagian dari kewajipan pemerintah dan memberi perhatian kepada yang malang. Dalam hal ini apa yang dilakukan oleh kerajaan dari segi menyediakan subsidi air, Skim Warga Emas, Skimsel, Mimbar dan pemeriksaan kesihatan percuma adalah sebahgian dari aspek ihsan Kerajaan negeri terhadap rakyat.
Dapatlah dikatakan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor dari segi poemerintahan dan pentadbiran menepati dengan konsep:
Equalis - (Hak + T.Jawab) = (Adil + Ihsan)
Semoga tanggapan dari apa yang diungkap oleh YAB Dato` Menteri Besar di dalam Dewan Negeri Selangor semalam (13 Julai) memberi faedah. Ianya boleh dilihat sebagai falsafah kecil dari segi pemerintahan dan pentadbiran di negeri Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment