Hulu Langat, 28 Rajab = 30 Jun (Khamis):
Berdepan Kuburan Bertujuh
Berdepan dengan kefanaan
Betapa rapuhnya dahan hidup
Sedikit ditiup angin bergoyang
Sekah runtuh dahan berkaparan
Sedikit curam mengalami gangguan
Runtuh tanah menimbuskan.
Kalian dihantar di dunia
Dari kasih sayang Tuhan
Menguji tanggungjawab keluarga
Sejauhmana setia mencurah mesra
Kalian adalah mangsa-mangsa keadaan
Allah lebih tahu kebaikan bagi kalian
Dipanggilnya kalian ke sisi-Nya
Di dalam dakapan rahmat
Di bawah timbusan Tanah
Yang kita dari Tanah
Dan kembali ke Tanah.
Berdepan kuburan kalian
Adalah berdepan kefanaan
Kita juga tertakluk di bawahnya
Menunggu masa panggilan
Kami menadah doa pohonan
Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya
Ke atas roh-roh kalian
Amin ! ! !
Peristiwa yang berlaku pada Sabtu 21 Mei 2011 di Hulu Langat dengan kematian 16 orang itu makin dilupai orang. Yang meninggal selamat disemadikan, manakala yang terselamat dari kemalangan meneruskan kembali rutin harian. Hari ini Lajnah Kebajikan Adun Bangi kembali berkonvoi di bawah pimpinan Ketua Lajnah Tuan Haji Rushdi tanpa isterinya. Yang lain-lain ialah Amir, Nabilah, Hasan, Harun dan Haji Mukri.
Tujuan pemergian kali kedua ini bagi melihat kesan dan perubahan yang berlaku di samping menyampaikan derma bantuan.
Pada kunjungan ini ada beberapa pelajar sedang bersiap untuk ke sekolah bagi sesi petang. Manakala yang belajar pada sesi pagi belum pulang. Pada penghujung pertemuan Adun menyerahkan cek bantuan dari Adun Bangi dan diikuti serahan sejumlah besar secara tunai (RM11,000) dari Encik Salleh mewakili Persatuan Kebajikan Jabatan Kehakiman dari Putrajaya.
Setelah penyerahan dibuat dan bersalam dengan Dr. Idris dan beberapa pekerja di pejabat dan bersalam dengan Ahli-ahli dari Persatuan Kebajikan Jabatan Kehakiman, kami memohon diri. Selepas itu kami termasuk dari Jabatan Kehakiman Negara bertolak melihat kembali kesan runtuh dan bangunan. Bahagian belakang tempat runtuh tidak dibenarkan masuk. Kami berpindah ke bahagian depan. Sememangnya bangunan masih kukuh, Mungkin boleh dibaiki dan digunakan semula., setelah dipastikan struktur tanah selamat.
Dari rumah tempat tragedi tanah runtuh berlaku, kami membuat keputusan untuk menziarah kuburan mangsa yang meninggal ramai-ramai di Kuburan Semungkis. Sejumlah tujuh pelajar dikebumikan bersama dalam satu liang lahad (yang lain-lain – 9 orang dikebumi di kampung masing-masing). Kami membaca al-Fatihah, tahlil dan mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh-roh mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment