July 28, 2011

Merasmikan Penutupan Kursus Imam-Imam

Masjid Al-Hasanah, BBB, 21 Sya`ban = 23 Julai (Sabtu):

Sebelum tibanya bulan Ramadhan, pihak AJK Masjid Al-Hasanah yang di pengerusikan oleh Nazirnya Tuan Haji Hanafiah Sha`rani menganjurkan Kursus Imam-Imam bagi seluruh masjid dan surau-surau di Bandar Baru Bangi yang berjumlah 40 buah itu (termasuk surau-surau yang mendirikan solat Jumaat). Hampir semua masjid dan surau menghantar wakil paling kurang seorang dari setiap masjid-surau dan jumlah mereka yang hadir lebih kurang 60 orang.

Hadir pada Majlis Penutup bagi kursus sehari itu ialah Haji Muhammad Hanafiah bin Sha`rani selaku Nazir Masjid Al-Hasanah, Imam Supaat bin Abdul Rahman Imam Masjid Al-Hasanah, Tuan Syed Othman Imam Masjid Al-Hasanah, Tuan Haji Mohd Ali, Wakil peserta-peserta, saudara Haji Kamaruddin Setiausaha Masjid, Ustaz Anas Imam Surau Al-Ikhlas dan imam-imam masjid-surau yang lain. Kursus berlangsung di Dewan Seminar Masjid, bangunan berhampiran masjid.

Dalam ucapan alu-aluan Nazir Masjid Al-Hasanah Tuan Haji Muhammad Hanafiah Sha`rani menyatakan. Kursus Imam-Imam bertujuan bagi membaiki prestasi imam-imam di seluruh masjid-surau di Dun Bangi. Penekanan diberikan terhadap pembacaan ayat-ayat Al-Qur`an. Tanpa kesempurnaan membaca ayat-ayat Al-Qur`an seseorang itu tidak berkelayakan menjadi Imam. Peserta melalui kursus diharap dapat memahami peraturan fiqh dan panduan menjadi Imam. Menguasai pembacaan dalam solat dan memahami tajwid dengan baik, adab imam dan fungsi dan peranan imam di tengah masyarakat. Setiap peserta semasa mengikuti kursus dikehendaki memperdengarkan bacaan ayat-ayat Al-Qur`an seolah-olah dia berada dalam rakaat solat.

Adun Bangi mngucapkan terim kasih di atas jemputan dan mengucap sayabas dan taniah kepada pihak pentadbir Masjid Al-Hasanah yang berjaya mengadakan kursus bagi imam-Imam. Sememang sewajarnya Masjid Al-Hasanah sebagai masjid utama di Bandar Baru Bangi mempelopori berbagai-bagai kegiatan memimpin kepimpinan masjid-surau dan mempertingkatkan kualiti keilmuan dan amalan.. Kursus Imam mungkin dianggap ringan, tetapi sebenarnya kesempurnaan berjamaah adalah bergantung pada kesempurnaan terutama dari segi bacaan imam-imam, Sebaliknya bacaan yang tidak betul merosakkan amalan dan ibadat imam-makmum. Imam sebenarnya seharusnya tidak saja menguasai bacaan dan tajwid, tetapi keilmuan-keilmuan Islam yang lain seperti fiqh, aqidah, tafsir dan sirah, kerana imam bukan setakat menjadi imam, tetapi mereka juga menjadi pemimpin dan mengajar di masjid-surau mereka dan tempat yang lain. Imam juga sebagai pemimpin masyarakat dijemput ke majlis-majlis, terutama keagamaan dan diminta memimpin majlis tahlil, kematian, perkahwinan, khatam, khitan dan sebagainya. Dengan kemampuan mereka dipandang tinggi, bahkan dihormati di dalam masyarakat. Adun melahirkan kegembiraan kini semua masjid-surau mempunyai program pengajian dan kegiatan kemasyarakatan dan masjid-surau benar-benar menjadi pusat kegiatan bagi masyarakat umat,

Adun juga melahirkan kegembiraan, bacaan-bacaan Al-Qur`an menjadi minat masyarakat. Kaedah-kaedah bacaan dan membaca secara berlagu dan bertarannum sangat diminati masyarakat Islam dan mereka mempelajarinya. Adun Bangi berharap kursus sedemikian dan yang lain-lain lagi akan terus diadakan di masjid-surau dan berharap Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi mempelopori kegiatan keilmuan dan memenuhi hasrat `Bangi Bandar Ilmu. Beliau mau Masjid Al-Hasanah menjadi masjid contoh di negeri Selangor secara khusus dan di Malaysia secara umum.

Selepas merasmikan Penutupan Kursus Imam-Imam Adun Bangi menyampaikan Sijil-Sijil Penyertaan kepada peserta-peserta.


Sekian.

1 comment:

  1. Terima kasih YB. Koleksi gambar² wakil Seri Tanjung boleh ditonton di sini: http://on.fb.me/qDEBUT

    ReplyDelete