July 27, 2011

Ramadhan Bulan Bersih. Persediaan Menyambutnya Perlu Bersih

Bangi, 22 Sya`ban = 24 Julai (Ahad):

Ramadhan adalah Bulan Bersih. Umat Islam berpuasa mematuhi perintah Allah dan memberi kesan pada membersih diri – hati dan minda dari dosa. Persediaan ke arah Ramadhan juga perlu bersih. Bersih memang digalakkan oleh Islam. Ada golongan tertentu takut dan fobia pada Bersih. Sebenarnya, jangan takut pada Bersih. Secara universal Bersih sesuatu yang baik, bahkan dituntut !
Demikianlah Ramadhan Bulan Bersih, umat Islam membuat persediaan fizikal, minda dan rohani secara bersih bagi menerima Ramadhan yang bersih. Antara yang menjadi budaya murni bagi menyambut Ramadhan bersih, ialah dengan bergotong royong membersih surau, masjid bahkan kuburan. Menurut budaya murni – bersih, maka pada hari minggu, seminggu sebelum Ramadhan, banyak pihak yang mengadakan gotong royong membersih masjid, surau dan kuburan.

Demikianlah pada pagi ini Adun mempunyai dua, bahkan tiga program yang berhubung dengan bersih. Jam 8.00 pagi Adun bersama saudara Azizi berada di Surau Al-Umm, surau tertua di BBB, menyertai gotong royong membersih surau Al-Umm di bawah pimpinan Tuan Haji Hussein dan beberapa AJK surau. Acara ini adalah merupakan acara tahunan bersih surau bagi menyambut Ramadhan. Seramai 20 ahli qariah hadir, Aktiviti yang dibuat ialah membersih bahagian atas dari sesawang, mengelap tingkap dan dinding, membersih tempat wuduk, lantai dan ruang dapur, menyedut sampah dari carpet dan lantai, membersih longkang dan memotong rumput dan lalang. Setelah selesai, ramai-ramai pula menjamah juadah dan makanan yang disedia dan dibawa.

Adun sebenarnya hadir lebih bersifat merai dan memberi sokongan. Selepas minum Adun bertolak ke Pekan Bangi. Atau lebih tepat di Perkuburan di sini yang diadakan gotong royong membersih kubur secara besar-besaran. Gotong royong diketuai Haji Abdul Halim Nazir Masjid dan Tuan Haji Sukaimi pimpinan di sini. Menurut Tuan Haji Abdul Halim lebih kurang 100 orang datang. 44 orang dari mereka ialah pelajar KUIS (Kolej Islam Antarabangsa Selangor). Yang lain-lain ialah pemimpin-pemimpin dan penduduk setempat. Sebahagian dari pelajar dan yang hadir adalah perempuan. Mereka memang bekerja bersungguh-sungguh dan ceria, membersih kuburan, menebas semak, rumput dan lalang. Mereka membakar sampah dan diangkat lori dari MPKj. Sesungguhnya kawasan kuburan yang Adun pernah datang ke sini dulu begitu semak dan tak teratur, tetapi kali ini kelihatan tanah kuburan seluas 10 ekar itu bersih dan menarik

Selepas pembersihan, tahlil arwah pula diadakan dipimpin Tuan Imam Haji Ayob. Antara mereka bersila diatas waqaf, di pinggiran kubur dan berbagai tempat bersesuaian duduk. Selepas gotong-royong semua yang hadir minum dan bersurai.

Adapun Adun Bangi selepas meraikan gotong royong di Perkuburan Pekan Bangi, bertolak ke Pekan Bangi, bagi melihat tapak 9 kedai yang terbakar pada 2 Julai 2011 yang lalu. Adun dapati semua tapak kedai terbakar sudah dibersih dan diratakan. Adalah difahamkan pihak MPKj mengambil inisiatif membersihkan tapak-tapak berkenaan. Adun bertemu dengan seorang pemilik kedai terbakar, iaitu Encik Law Jenn Tsong yang menyewa kedai lain meneruskan perniagaan hardware secara kecil-kecilan. Menurut En. Tsong beliau dan peniaga-peniaga yang kedai mereka terbakar berhasrat mendirikan kembali bangunan kedai 2 tingkat sebagaimana asal. Bila ditanya dengan keadaan tanah mahal harga, mengapa tidak didirikan lebih dari dua tingkat dapat disewa atau dijual. Dia menjawab, `Susah dapat wang`, Tapi sekarang wang dari mana ? Tanya Adun, ``Pinjam dari Banklah,`` katanya .``Sama juga dengan banyak tingkat``. Dia menjawab, ``Risiko untuk membayar hutang,`` katanya. Seorang lagi memulai buka kembali kedai perabot dengan menyewa kedai berdekatan, tetapi kedainya tidak dibuka (Hari Minggu).

Pemilik-pemilik Kedai Terbakar kini sedang menilai perjanjian dan pinjaman terbaik, sebelum mendirikannya kembali agar kerja mereka Bersih dari segala macam masalah.

Demikianlah tiga program bersih yang Adun hadiri. Kita berharap semua mengamalkan bersih bila-bila dan di mana-mana jua.

Sekian.

No comments:

Post a Comment