December 31, 2012

Mesyuarat Dengan Penternak-Petani India West Country - Dapatkan Cadangan

West Country, Seksyen 5, BBB, 16 Safar 1434 = 30 Disember 2012 (Ahad):


Berikutan dari kehadiran Pihak Penguatkuasa dan beberapa agensi Kerajaan mau meruntuhkan kandang ternakan lembu-kambing masyarakat India di West Country pada Khamis 27 Disember lepas dan rundingan hingga berjaya menangguhkan tindakan selama satu minggu, maka pada hari ini Adun Bangi melalui kerjasama saudara Ari Krishnan Ketua Antara Kaum Dun Bangi, Encik Sem Ketua Antara Kaum Masyarakat India di West Country, saudara Amir Othman dan saudara Abu Bakar dapat diadakan pertemuan dengan penternak dan petani masyarakat India di sini. Pertemuan diadakan di ladang ternakan dan pertanian mereka. Seramai 30 orang penternak dan petani India hadir.


Turut sama hadir ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj. Saudara Ari Krishnan, saudara Sem, saudara Amir Othman, saudara Azizi dan saudara Abu Bakar. Sebelum mesyuarat diadakan pendaftaran nama penternak dan petani dilakukan yang jumlah mereka 30 orang.


Majlis dipengerusikan oleh En. Sam yang menerangkan tujuan pertemuan. Adun Bangi bercakap dengan menyebut rundingan pada Khamis 27 Disember lepas memberi tempoh seminggu untuk terutama penternak mengambil tindakan mempastikan kumbahan binatang ternakan tidak masuk ke dalam Sungai Langat berhampiran. Adun menyebut bahawa perkara ini boleh dibawa kepada mesyuarat penyelarasan Pejabat Daerah dan Tuan Haji Mazwan akan membawa kepada Mesyuarat MPKj, tetapi tempoh masa begitu terhad dan dalam masa tersebut sukar untuk membuat tindakan penyelesaian. Adun menyebut tindakan merubuh dan memindahkan kandang ke kawasan atas tidak menjamin selamat, sebaliknya boleh mendatangkan kerugian, kerana pemindahan tanpa keizinan boleh juga diroboh sebaliknya memerlukan keizinan tempat dan jika modal dikeluarkan belum tentu selamat dari tindakan undang-undang, kerana menggunakan tanah bukan pemilikan.


Adun melihat dan mencadangkan dengan tanah JPS yang begitu luas dan memanjang melibatkan berpuluh ekar dan tidak ada projek mau dilakukan oleh JPS, sedangkan penduduk di sini sudah menggunakan tanah JPS ini sejak mereka tinggal di West Country sejak lebih 50 tahun yang lepas, mengapa tidak diusaha bagi meneruskan keizinan dan mewujudkan projek yang mendapat nasihat dan kepakaran dari Kerajaan?


Adun mencadangkan sebaik-baik jalan, ialah mendapat keizinan JPS dan Pejabat Tanah bagi menggunakan tanah berkenaan dengan membayar cukai dan pihak berbagai agensi merangka pendekatan bagi meningkatkan kualiti ternakan, pertanian dan perusahaan penduduk India di sini dengan kaedah-kaedah moden dan saintifik yang boleh mengawal dari pencemaran dan meningkatkan kualiti ternakan dan pertanian – termasuk perusahaan serta meningkatkan pendapatan penduduk. Cadangan ini mendapat sokongan penduduk. Atas persetujuan ini Adun diminta menghubungi Exco-Exco berkenaan bagi mengemukakan cadangan dan mendapat maklum balas dan cadangan tambahan dari Exco-Exco berkenaan bagi melaksanakan projek-projek yang memberi faedah kepada masyarakat India di West Country berkenaan.

Pada pertemuan juga mesyuarat diminta memilih lima orang Wakil Masyarakat India di West Country untuk urusan dan rundingan-rundingan akan datang. Lima orang Wakil berkenaan dipilih dengan tambahan dua orang ialah saudara Ari Krishnan sendiri dan juga saudara Sem dalam sebarang rundingan.

Mesyuarat berjalan dengan teratur dan lancar. Pada akhirnya Wakil-Wakil bergambar diikuti dengan bergambar beramai-ramai.

Sekian.

December 30, 2012

Tawaran Tanah (Borang 5A) Dan Insentif Kepada Pelajar Cemerlang Di Teras Jernang, BBB

Teras Jernang, BBB, 15 Safar 1434 = 29 Disember 2012 (Sabtu):


Seramai 12 orang di Teras Jernang, Bandar Baru Bangi hari ini ditawarkan Borang 5A, yang membolehkan mereka yang ditawarkan memiliki tanah di Kampung Teras Jernang. Tawaran daripada Kerajaan Negeri Selangor disampaikan oleh Adun Bangi Y.B. Dr. Shafie bin Abu Bakar kepada mereka yang layak bertempat di Balai Raya, di Kampung Teras Jernang pagi ini. Hadir bagi meraikan mereka ialah En. Rushdi bin Ruslan Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat (Bahagian Tanah), Encik Shukor bin Jantan Ketua JKK dan Ketua Kampung Teras Jernang, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Zakaria bin Bujang Ketua Kampung Bangi, Encik Jamal Ketua Kampung Jambu, Kajang, Puan Ruslina bt. Abdul Majid dan Puan Hajah Norita dari Pejabat Tanah, Pejabat Daerah Hulu Langat, Penerima-Penerima Tawaran Borang 5A, pelajar-pelajar diraikan dan tamu-tamu jemputan.


Berucap dalam majlis berkenaan Adun Bangi memaklumkan bahawa 12 orang yang ditawarkan adalah merupakan pilihan daripada 48 pemohon. Mereka ditapis melalui interview dan Lawatan Tapak, Tanah yang ditawarkan adalah berhampiran tepi Sungai Langat jalan masuk ke Teras Jernang dari Pekan Bangi , yang dikenali dengan `Kampung Teluk Lebai Cili` (antara peneroka awal menananm cili). Walau bagaimana bagi mereka yang telah lama mendirikan rumah, tetapi termasuk dalam tanah reserve JPS dan tidak dapat ditawarkan geran kekal, ditawarkan tanah tol. Jumlah mereka dalam kategori ini ialah seramai 6 orang. Adun mengucapkan tahniah kepada semua mereka yang menerima tawaran.


Sementara itu menurut Adun Bangi, sejak Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Negeri Selangor, ramai mereka yang telah menduduki tanah kerajaan sejak berpuluh tahun ditawarkan borang 5A bagi pemilikan tanah. Di bawah adalah statistik pemilikan tanah yang telah ditwarkan.


Jumlah tawaran tanah pada peringkat negeri Selangor ialah seramai 6,998 orang. Pecahan kaum dari jumlah diatas adalah sebagaimana berikut:

Melayu = 3,833 orang
Cina = 1,994 orang
India = 1,171 orang

Dilihat dari segi daerah maka Daerah Hulu Langat adalah paling tinggi dari segi tawaran pemilikan tanah, iaitu seramai 1,328 orang. Pecahan dari segi kaum ialah:

Melayu = 680 orang
Cina = 400 orang
India = 248 orang


Jumlah mereka yang ditawarkan pada peringkat DUN Bangi adalah sebagaimana berikut:

Kampung Bahagia Bangi = 50 orang
Pinggiran Desa Seroja = 36 orang
Sungai Ramal Luar = 4 orang

Terdapat permohonan dalam proses pemanggilan untuk ditemu duga di DUN Bangi dalam masa terdekat. Tahniah kepada semua yang mendapat tawaran. Adun menasihatkan semua yang mendapat tawaran memakmurkan tanah dan jangan dijual.


Sementara itu Adun juga mengucap tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang yang diraikan pada pagi ini, iaitu 8 pelajar peringkat UPSR dan 4 pelajar PMR. Acara sedemikian bersifat tahunan dan Adun menghadirinya setiap tahun. Pada acara ini juga Adun sampaikan sejumlah 20 beg Sekolah kepada pelajar-pelajar terpilih.

Sementara itu menurut Ketua Kampung En. Shukor, dalam ucapan sebelumnya menyatakan, tanah yang dipohon dan diluluskan pada hari ini telah diteroka oleh penduduk sejak 1995. Usaha untuk mendapat pemilikan dipohon dari Pejabat Tanah beberapa tahun selepas itu. Selepas 17 tahun menunggu dan hanya pada masa pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat, maka baru mendapat tawaran pemilikan tanah berkenaan. En. Shukor juga memaklumkan insentif kepada pelajar adalah program tahunan. Peruntukan biasanya mendapat tajaan dari pihak syarikat dan Badan-badan tertentu, selain dari peruntukan JKK.


Pada kemuncak Majlis, Adun bersama Encik Rushdi Penolong Pegawai Daerah dan En. Shukor Ketua Kampung menyampaikan Borang 5A kepada 12 orang yang terpilih dan juga menyampaikan insentif dan beg kepada pelajar-pelajar sekolah. Adun juga menyampaikan cenderahati kepada Encik Rushdi, Puan Ruslina, Ketua Kampung En. Shukor dan Imam Masjid Teras Jernang (Haji Mat Din bin Abdul Hamid) dua naskhah buku setiap orang dari Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi iaitu buku - Gagasan Bangi (baru diterbitkan) dan buku Bangi Bandar Ilmu.

Majlis berakhir dengan jamuan.

Sekian.

December 29, 2012

Pelancaran Tunas Dan Pengagihan Beg `Back To School` Di Dun Bangi


Jalan Reko, 11 Safar 1434 = 25 Disember 2012 (Selasa):


Pada hari tutup Krismas ini diadakan Program Pelancaran Tunas peringkat Dun Bangi bertempat di Up Town Jalan Reko dan disertai program Penyampaian beg `Back To School` juga pada peringkat Dun Bangi. Hadir ke dalam majlis ini ialah Y.B. Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Y.B.Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Encik Kamsani Pengurus Program Warga Emas, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Dr. Sufyan Hussein Pengerusi Bahagian Kurikulum Pendidikan dan turut hadir kemudian Y.B.Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat. Majlis bermula dengan berhenti 15 minit sebagai gimik membaca.


Melancarkan Program Tunas Y.B.Dr. Halimah menytatakan, anak-anak yang layak menerima Skim Tunas ialah anak-anak pada peringkat tadika – termasuklah Pasti – pra Sekolah berumur 6 tahun. Penekanan pada peringkat ini ialah 3R . Menurut Dr. Halimah anak-anak pada peringkat ini 60% tidak dihantar ke Tadika. Antaranya kerana kemiskinan. Menurut Dr. Halimah Tunas juga adalah luasaan dari SPISE yang menekankan kesempurnaan pendidikan dari buaian hingga ke liang lahad. Katanya, Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan perbelanjaan tahunan dari peringkat awal 2008 dari RM1.4 bilion dan terus meningkat dari tahun ke tahun hingga Peruntukan 2013 sebanyak RM1.6 bilion bagi menjadikan Selangor sebagai negeri Idaman, makmur dan berkebajikan dan apa yang sering disebut oleh Y.A.B. Menteri Besar Selangor pada setiap kali berucap bagi membentangkan peruntukan perbelanjaan sebagai negeri Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.


Adun Bangi mengucapkan terima kasih kerana memilih Bangi sebagai tempat pelancaran Skim Tunas. Bagi Bangi ini adalah merupakan peluasan konsep Iqra` yang diperluaskan oleh Bangi dengan Bangi Bandar Ilmu. Sebelum ketibaan Dr. Halimah beberapa orang telah bercakap termasuklah Y.B. Teo Nie Ching dan Ustaz Shafie Ngah. Pada majlis ini juga dihadirkan mascot bagi Didik, iaitu Alif dan Noli yang menyertai anak-anak dalam program membaca dengan menggunakan buku-buku yang disediakan bagi peringkat Tunas dan juga program-program yang lain. Program juga diselit dengan persembahan seperti bermain keyboard oleh Wardina dan Karmilah. Persembahan angklong oleh anak-anak dari Pasti Siti Sarah.


Program puncak ialah apabila Y.B. Dr. Halimah menyerahkan bantuan Tunas bagi peringkat Tadika dan bantuan perseorangan bagi anak-anak tadika dan Pasti terpilih. Berikutnya Dr. Halimah bersama Adun Bangi dan juga Y.B. Teo Nie Ching menyampaikan beg-beg Sekolah bagi Program `Back To Shool` kepada seramai 100 orang murid. Murid-murid ada yang datang sendiri di samping ada yang diwakili oleh ibu bapa mereka.


Majlis berakhir dengan Jamuan Rakyat.

Sekian.

December 28, 2012

Menghadiri Majlis Kurang Menyenangkan

-->
BBB, 11 Safar 1434 = 25 Disember 2012 (Selasa):


Jarang bagi satu hari Adun Bangi hadir bersama Ahli Parlimen Serdang secara berturut-turut hingga 4 program dari pagi hingga tengahari. Tapi begitulah hari ini. Semuanya berjalan lancar, kecuali program kemasyarakatan di Pangsapuri Seksyen 3 BBB. Program ini dianjurkan Rukun Tetangga (KRT) kawasan tersebut. Berdasarkan hubungan baik yang telah terjalin, tanpa mengira fahaman politik Adun pernah hadir dan memberi peruntukan bagi kegiatan gotong royong dan pernah mempertimbangkan untuk membina bilik bagi KRT di bawah satu bangunan di rumah pangsa berkenaan, tetapi tidak dibenar oleh Persatuan Penduduk. Kini KRT ini memohon pula daripada Adun peruntukan untuk membeli kaven. Itu pun dalam pertimbangan.


Hari ini Adun menerima jemputan bagi program Keselamatan dan Kesihatan. Turut menerima jemputan Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang. Kami hadir ke jemputan jam 10.00 pagi. Timbul pertanyaan dalam hati program yang agak besar dengan khemah besar dan alat permainan bagai karnival begitu canggih dan tentu sewanya mahal, cuma dihadiri lebih kurang 20 orang sahaja ? Mungkin ada yang tak kena antara KRT dengan Persatuan Penduduk.



Aturan yang disusun amat tidak menyenangkan kami dan tidak menurut protocol. Ucapan pertama oleh Puan Ummi Kalthum Pegawai Perpaduan di Daerah Hulu Langat, tidak menjadi masalah, tetapi meletakkan Dato` Yap Pian Hon selepas Ahli Parlimen Serdang dan Adun Bangi berucap amat tidak kena pada tempat. Atas kapasiti apa Yap Pian Hon diberi tempat atas pentas dan diberi berucap selepas Ahli Parlimen dan Adun sebagai Tuan Rumah ?


Kami datang dengan baik dan mau berbaik dengan semua pihak termasuk Puan Zaidah selaku Pengerusi dan En. Mohd. Haikal sebagai Pengarah. Bahkan bila Y.B.Teo Nie Ching berucap beliau meluluskan peruntukan bagi Program Kemasyarakatan pada hari itu sebanyak RM1,000 yang katanya peruntukan dari kerajaan Negeri Selangor dan apabila Adun berucap Adun menambahkan peruntukan yang juga dari Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM500/= lagi dan pada masa itu juga Adun sampaikan cek. Malangnya selepas kami berucap Dato` Yap Pian Hon dijemput berucap yang sengaja diatur sedemikian rupa untuk mnyerang kami.


Beliau menyerang kononnya Kerajaan Negeri Selangor tidak tunai janji mau turunkan 25% cukai pintu rumah kos rendah. Beliau berdusta kepada yang hadir, kerana kerajaan negeri memang telah menurunkan cukai tersebut. Beliau juga menyerang kononnya sampah sarat tidak diangkat, pada hal kami berdua sebelumnya memuji kawasan perumahan  rumah pangsa Seksyen 3 begitu bersih dan tiada sampah sarat. Beliau juga menyerang kononnya ramai yang tidak mendapat air percuma, pada hal semua sudah dapat dan mana-mana yang tidak menukar kepada meter berasingan diberi potongan melalui system kopon. Kami menjangka Dato` Yap Pian Hon akan mengumumkan pemberian kewangan lebih dari jumlah yang kami umumkan. Tapi rupanya tidak satu sen pun diumum untuk diberi kepada program yang berjalan. Beliau hanya menyebut BRIM 2 yang akan diagih kepada rakyat yang merupakan rasuah pilihanraya secara terang-terangan. Sesudah Dato` Yap berucap dan kembali ke tempat duduk bersebelahan Adun, Adun berkata, ``Tidak adil you menyerang kami, tidak betul dari segi protocol, kami tiada peluang menjawab. Jawab Dato` Pian ``Saya tidak tahu !``


Perasmian majlis diberi kepada Inspektor Zainuddin dari Balai Polis Bandar Baru Bangi juga tidak betul. Nyatalah penyusunan majlis sengaja hendak memerangkap kami. Kita kira amat tidak wajar. Sayang majlis yang kita percaya memakan peruntukan yang banyak – termasuk memanggil pasukan silat membuat demonstrasi begitu bersungguh-sungguh tapi dirosakkan oleh majlis yang begitu bercelaru dan tidak mengikut aturan. Serangan politik tidak patut dilakukan dalam majlis yang sepatutnya bersifat muhibbah dan mesra. Yang menjadi tandatanya mengapa tidak ramai penduduk yang datang ?

Sekian.

Setahun Surau Al-Falah Dirikan Jumaat - Jemput Timbalan Mufti Sampaikan Ceramah

Jalan 6, Seksyen 16, BBB, 09 Safar 1434 = 22 Disember 2012 (Sabtu):


Setahun yang lepas Surau Al-Falah mendapat keizinan mendirikan Solat Jumaat. Sebagai tanda kesyukuran pihak Surau sambut setahun keizinan mendirikan solat Jumaat dan berikhtiar menjemput Sahibus Samahah Timbalan Mufti Negeri Selangor Dato` Abdul Majid bin Omar bagi menyampaikan ceramah di Surau Al-Falah dan bagi meraikan S.S. Dato` Timbalan Mufti, Adun Bangi turut dijemput sama. Adun Bangi hadir dan berjamaah Maghrib bersama dan Majlis bermula dari selepas Maghrib. Turut hadir sama di dalam Majlis ini ialah Tuan Haji Adnan Adam Pengerusi Surau Al-Falah, Tuan Haji Mat Ali, Imam Surau, En. Ali selaku Setiausaha, Tuan Haji Mat Nor Pegawai dari PAID Hulu Langat, Tuan Haji Ahmad bin Tamim dan para jamaah lelaki dan perempuan.. Tajuk ceramah pada malam ini ialah `Ajaran Sesat Di Selangor`.


Tapi sebelum ceramah bermula Adun Bangi dijemput berucap sebagai membuka majlis, lagi pula Sahibus-Samahah, belum tiba, kerana tersalah jalan dan terpaksa dijemput. Adun melahirkan kesyukuran kepada Allah Surau Al-Falah telah selamat menjalankan tugas sebagai surau mendirikan Jumaat dan berjalan dengan baik. Adun dimaklumkan bahawa para jamaah pada waktu biasa, lebih-lebih lagi pada hari Jumaat melempah ke luar bangunan, sebab itu usaha meluaskan surau berterusan dilakukan dan Alhamdulillah derma dari penduduk dan pihak-pihak yang prihatin berterusan. Surau ini bukan saja dapat menampung ahli kariah Jalan Enam, tetapi juga pelajar-pelajar Sekolah berdekatan. Surau ini juga akan menjadi tumpuan para jamaah apabila Pegawai-Pegawai dan pekerja-pekerja PAID Hulu Langat berpindah ke Pejabat barunya yang tidak begitu jauh dari surau ini. Kepentingan surau ini makin bertambah, apabila sebuah Sekolah menengah juga akan dibina berhampiran dengan kawasan surau ini.

Adun menambah, Surau bukan saja untuk ibadat, tetapi juga untuk pendidikan dan pengajian serta kegiatan sosial. Surau berperanan mendidik masyarakat setempat dengan ilmu pengetahuan dan akidah yang betul. Pengajian tentang agama Islam adalah bersifat terbuka, bukan sembunyi sembunyi. Kalau ada pengajaran bersifat sembunyi perlu berhati-hati, mungkin ada penyelewengan atau ajaran sesat. Ajaran sesat boleh berlaku kerana jahil pengajar dan yang diajar, niat jahat terhadap Islam kerana mau merosakkan Islam dari dalam dan pengaruh luar yang resap dalam pemikiran pengajar yang dirinya terseleweng dan menyelewengkan orang lain. Sebab itu perlu berhati-hati dan pastikan pengajaran dari mereka yang alim dan berautoriti.


Sahibus Samahah dalam ceramahnya, bahawa menjadi orang yang beriman adalah nikmat. Sebab itu dampingi para ulama, antaranya mengikuti pengajaran yang disampaikan, tetapi elak dari mengikuti pengajaran salah. Menurut Dato` Timbalan Mufti di Selangor terdapat 60 ajaran salah yang dikenal pasti, manakala di Hulu Langat terdapat 29 jenis ajaran salah. Hulu Langat antara tempat yang tinggi dengan jumlah ajaran sesat. Ada lagi yang dalam penyelidikan. Untuk mengenali ajaran salah terpaksa membuat penyelidikan, antaranya menghantar pegawai menyamar sebagai pelajar. Misalnya untuk mengenali ajaran sesat `Rasul Melayu` (Cikgu Kahar) di Hulu Langat, kita hantar 3 pelajar menyamar mengikuti pengajarannya. Kini `Rasul Melayu` ini dalam proses pemulihan. Antara pengajaran sesat ialah Qadyani – yang antaranya melalui seorang yang dikenali dengan Haji Amat Matahari di Pulau Pinang. Pengajaran Qadyani ini terdapat di Kampung Nakhoda, Gombak yang usaha membendungnya terus dilakukan. Qadyani bukan saja di Malaysia, tetapi ia merupakan gerakan antarabangsa bermula di India yang diguna oleh British (semasa menguasai India) bagi merosakkan umat Islam di India dan juga di luar dari India. Antara ajaran sesat ialah Ajaran Sesat Imam Bonjol dan terbaru Ajaran Sesat Puncak Alam, Ajaran Juruzun (boleh ampun dosa). Termasuk ajaran sesat ialah amalan perkara-perkara khurafat. Sebab itu elak diri dari terjebak di dalam ajaran sesat. Belajar dengan guru-guru yang murshid. Inilah mengapa kita kenakan tauliah bagi yang mau mengajar, kerana kita mau pastikan kebenaran pengajaran dan tidak berlaku penyelewengan. Turut berucap Tuan Hj. Mohd. Nor Pegawai Penyelidik di PAID Hulu Langat tentang kegiatan ilmu salah di Hulu Langat.

Majlis berakhir dengan jamuan selepas solat Isya` yang ditakhirkan.

Sekian.

December 27, 2012

Penguatkuasa & Beberapa Agensi Turun Meroboh Kandang Ternakan: Adun Diminta Campur Tangan


West Country, BBB, 13 Safar 1434 = 27 Disember 2012 (KHamis):



Jam 10.00 pagi Adun menerima aduan dari saudara Ari Krishnan Ketua Antara Kaum BBB meminta Adun segera turun ke West Country bagi menyelesaikan ancaman meroboh kandang-kandang ternakan penduduk West Country. Adun terpaksa meninggalkan urusan tumpuan dan bergegas untuk ke West Country. Masalahnya hari ini hanya ada seorang tenaga pekerja di pejabat, kerana saudara Shahrum bercuti. Adun menghubungi saudara Amir Othman untuk menyertai Adun dan bertolak ke kawasan kandang lembu dan kambing yang dikatakan akan dirobohkan oleh pihak penguasa.

Ladang lembu dan kambing serta tanam-tanaman di pinggir West Country di tepi Sungai Langat telah lama diusahakan oleh penduduk India seusia umur West Country itu sendiri. Tanah memanjang tepi sungai lebih dari 10 ekar adalah tanah JPS dan diusaha secara ramai-ramai oleh penduduk India di sini, ada yang menggunakannya untuk ternakan lembu dan kambing (secara kandang) dan ada yang menanam tanam-tanam. Mereka membayar cukai penggunaan sementara tanah kepada Pejabat Tanah Hulu Langat. Ancaman mau mereka kosongkan bukan kali pertama, tetapi telah beberapa kali. Hari ini sekali lagi penternak/petani menghadapi ancaman mengosongkan tanah berkenaan.


Ketibaan Adun berdepan dengan pegawai-pegawai penguatkuasa dan beberapa agensi. Buldozor sedang meruntuhkan sebahagian bangunan. Adun segera minta dihentikan kerja meroboh dan mau jumpa Ketua Operasi. Mereka yang datang ialah:

12    orang anggota penguatkuasa
10    anggota MPKj
03 orang Polis
04 pegawai Veteriner
08 pegawai dari Pejabat Daerah
03 pegawai dari JKR.


Adun minta bertemu dengan ketua-ketua antaranya dengan En. Hasmir dari Pejabat Tanah, En. Zainuddin dari Veteriner dan En. Zulkifli dari bahagaian Penguatkuasa. Adun bertanya, mengapakah tindakam meroboh diambil ? Mereka menjawab, mereka menurut arahan. Bukankah ternakan dan tanaman di sini sudah lebih lima puluh tahun diusahakan dan tidak menimbulkan masalah ? Mereka tidak menjawab. Sebenarnya lokasi adalah jauh dari kawasan perumahan.

Adun meminta agar dihentikan perobohan. Encik Hasmir meminta masa untuk menghubungi pihak Ketua penguatkuasa. Sementara itu Adun dengan saudara Amir mengambil peluang menghubungi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan menghubungi juga YB Dr. Ya`akob Sapari Exco Pemodenan Pertanian, meminta agar perobohan ditarik balik.



Selepas 15 minit, jawapan diterima, ``Perobohan ditangguh untuk satu minggu dan penternak dikehendaki mengalih kandang ternakan yang terlampau dekat dengan aliran sungai yang bahan ammonia langsung disalurkan ke dalam sungai yang menjadi punca minuman. Sementara itu Adun juga menerima jawapan dari Pegawai di Pejabat Y.B. Dr. Yaakob Sapari – En. Husin yang pihaknya juga membuat penyelarasan dengan Pegawai Daerah, memberi tempoh seminggu untuk dipindah.
Adun merujuk kepada beberapa pemilik, terutama En. Batumalai yang paling banyak mengusahakan ternakan, iaitu 28 ekor lembu dan 30 ekor kambing bersedia untuk mengusahakan perpindahan dan menggunakan kolam tadahan agar najis dan bahan ammonia tidak disalurkan ke dalam sungai.

Adun difahamkan, tindakan yang dibuat kepada penternak-penternak di tepi sungai adalah tindakan menyeluruh di negeri Selangor. Pada hari ini giliran turun di Bangi dan menurut jadual esok di Sepang. Demikianlah dengan jadual-jadual di tempat lain.


Kesimpulannya pihak Penguatkuasa dan pegawai-pegawai yang turun menerima arahan menangguhkan perobohan dan Adun juga berunding dengan pihak saudara Ari dan penternak-penternak untuk mengadakan pertemuan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penternak-penternak akibat dari arahan yang dikeluarkan. Catatan turut hadir Y.B. Johan dari Semenyih dan Ungku Saleh Ketua Pemuda Umno Selangor. Mereka lebih bersifat sebagai pemerhati.

Sekian.

Masalah Penduduk Sungai Tangkas

Greenvilla, Sungai Tangkas, 09 Safar 1434 = 23 Disember 2012 (Ahad):


Sesebuah taman perumahan dibangunkan secara teratur - sempurna dari segi landskap, infrastruktur dan saliran. Lantaran itu tidak banyak dengan permasalahan. Berlainan dengan pembangunan yang berasaskan kampung tradisi yang dari awal tidak tersusun, bermasalah dari segi infra-struktur dan saliran. Agak sukar untuk disusun kembali untuk pembangunan. Keadaan ini boleh dilihat umpamanya pembangunan berasaskan Kampung Sungai Tangkas, Bangi. Lantaran Sungai Tangkas adalah Kampung Tradisi, maka banyak masalah timbul berdepan dengan pembangunan. Misalnya jalan sempit melalui bawah terowong keretapi, sering mengalami banjir bila hujan sedikit lebat, termasuk banjir lumpur bila ada pembangunan, kedudukan rumah tidak teratur seperti setinggan, tanah yang tidak bermilik dan bertindih milik, berlaku kesesakan kerana jalan sempit tidak dapat menampung kenderaan keluar masuk, lebih-lebih lagi waktu puncak. Terdapat projek perumahan terbengkalai dan perumahan terbiar yang menyakitkan mata dan hati, kawasan tidak terjaga seperti rumput tidak dipotong dan perparitan tidak terjaga, walaupun setengah kawasan sudah berada di bawah jagaan MPKj.


Dengan keadaan sedemikian aduan sering diterima berhubung dengan infrastruktur dan khidmat yang tidak memuaskan. Demikianlah sebelum malam ini Adun telah dihubungi secara lisan menyatakan ada perbincangan pada tarikh hari ini (malam) dan jika Adun dapat datang lebih memberi maknat kepada majlis pertemuan. Sememangnya Adun ingat dengan jemputan lisan, tetapi ragu-ragu kemungkinan tidak jadi. Sehingga jam 9.30 malam Adun tidak dihubungi dan berat jangkaan jadi atau tidak jadi, tetapi bila jam 9.40 Adun menerima maklum bahawa pertemuan bertempat di Greenvilla, memang jadi pada malam ini. Dengan segera Adun menukar pakaian dan bertolak ke Sungai Tangkas berseorangan dan tiba hampir jam 10.00 malam bertempat di Dewan Greenvilla.


Adun dapati Majlis agak serius dihadiri oleh ketua-ketua dari 5 buah Taman di Sungai Tangkas dan Ketua-Ketua Persatuan Induk. Antara yang hadir En. Hisham Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Taman-Taman di Sungai Tangkas, Tuan Haji Ridzuan Timbalan Pengerusi bagi Gabungan Persatuan, Ustaz Maher Setiausaha Gabungan Persatuan, En. Ruslimi Bendahari yang juga Pengerusi Penduduk Taman Tropika dan wakil-wakil dan penduduk.

Sebelum perbincangan mengenai permasalah yang dihadapi penduduk Sungai Tangkas, Adun berucap berterima kasih di atas jemputan, tetapi meminta maaf di atas kelewatan, kerana menjangkakan Majlis tidak jadi. Adun menyebut Sungai Tangkas memang pesat membangun dari sebuah Kg. Kecil, tetapi sekarang membesar dengan berbagai pembangunan termasud wujudnya Universiti Kuala Lumpur Malaysian-German insttute, Bangunan Essex KWSP dan berbagai taman sedang lahir. Walau bagaimana Adun mengaku dari segi pembersihan dan infra-strukter kurang memuaskan. Contohnya sampah dan pemotongan rumput dan perparitan, banjir dan perumahan setinggan, Perkara ini banyak terletak di bawah MPKj dan Pembangunan Luar Bandar . Walau macam mana Adun bergembira mendapat maklumat bahawa Persatuan Induk Persatuan-Persatuan Penduduk telah ditubuhkan, begitu juga ada persatuan-persatuan taman. Sebarang masalah insya Allah pada masa akan datang dapat dibincangkan melalui persatuan-persatuan. Masalah-masalah dapat diangkatkan melalui Mesyuarat MPKj dan juga melalui Mesyuarat Penyelarasan di Pejabat Daerah Hulu Langat. Perkara-perkara penting biasanya dibawa ke Persidangan Dewan Negeri.


Pertemuan pada malam ini lebih bersifat penglahiran masalah dan aduan yang minta diambil perhatian oleh Adun. Antaranya bertanyakan seperti masalah jalan yang rosak. Ksesakan lalulintas, infra-struktur, banjir, masalah lampu tak bernyala, bila fly-over mau dibina, masalah perumahan setinggan, rumah terbiar dan terbengkalai. Isu-isu semuanya besar-besar dan tidak dapat diambil tindakan segera. Perkara-perkara ini akan dibawa kepada pihak MPKj dan mensyuarat Penyelarasan Daerah, tetapi yang kecil-kecil boleh diambil tindakan segera seperti masalah kebersihan dan lampu jalan. Selepas perbincangan Adun meminta Persatuan Penduduk memberi kerjasama dengan Ketua Kampung yang sedang membuat persiapan untuk kehadiranY.A.B Dato` Menteri Besar akan membuat Lawatan Kerja ke Tapak Sekolah Rendah Agama Sungai Tangkas pada 6 Januari 2013 nanti. Begitu juga Adun meminta kerjasama Persatuan Penduduk dalam usaha untuk mendirikan masjid, Sekolah rendah kebangsaan dan Sekolah menengah di Sungai Tangkas.

Selepas pertemuan Adun melawat kawasan perumahan tropika, mendengar dan melihat tempat-tempat yang menjadi aduan. Adun mendapati setengah persoalan yang ditimbul boleh diselesai oleh persatuan penduduk. Misalnya masalah pembentungan yang boleh dipanggil pihak Indah Water dan monopoli ruang dan sekatan ruang oleh penduduk yang ketua Persatuan penduduk dapat memberi nasihat dan tindakan. Adapun hasrat mau membina bonggol boleh ditulis surat permohonan kepada pihak MPKj, terbaiknya melalui Ahli Majlis setempat Sdr. Adram Musa.

Selepas mendengar permasalahan dan menerima aduan jam 12.30 malam baru Adun dapat pulang dengan banyak masalah tidak mudah untuk diselesaikan – masalah warisan dan berterusan.

Sekian.

December 26, 2012

Dialog Antara Penduduk Pangsapuri Seksyen 7, Bukit Mewah Dengan Pihak MPKj Dan Adun

-->
Bukit Mewah, 09 Safar 1434 = 23 Disember 2012 (Ahad):


 Sebut tentang rumah pangsa, selalunya ada masalah. Masalah mungkin dari Pemaju yang melantik pihak Pengurusan (IPC) yang tidak menjalankan tugas (Bagi yang belum menyerahkan Pengurusan kepada MPKj). Mungkin masalah dari JMB yang dilantik, tetapi tidak dapat menjalankan tugas dan mungkin lebih banyak daripada penduduk atau pemilik yang tidak patuh dari segi pembayaran maintenance dan mungkin masalah berkait dengan beberapa pihak. Misalnya tidak bayar maintenance, maka tidak dapat dijalankan pentadbiran.


Demikianlah dengan keadaan di Perumahan Pangsapura Seksyen 7, Bukit Mewah. Masalah penduduk di sini telah dikemukakan kepada Adun Bangi sejak pertengahan tahun 2012 ini. Masalahnya pihak Pengurusan (IPC) yang dilantik Pemaju tidak menjalankan tugas dengan betul. Sampah tidak dicuci antara koridor dan tangga. Mereka lebih banyak berada di bawah pokok dari memberi tumpuan kepada kerja-kerja sebenar. Akibatnya berlaku kekotoran yang setengahnya terpaksa dilakukan pembersihan oleh penduduk. Oleh kerana kerja-kerja yang tidak sempurna ada penduduk mengambil tindakan tidak mau membayar maintenance yang dikenakan sebanyak RM25.00 sebulan. Pertemuan telah dibuat beberapa kali dan juga beberapa mesyuarat diadakan dengan Adun hingga membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Bertindak yang diketuai oleh Cik Mala. Pada awalnya Adun menasihati kepada AJK menjalankan pengurusan dengan sendiri. Apa lagi mereka rasa tidak puashati apabila yuran maintenance dinaikkan kepada RM50 sebulan yang disifatkan oleh penduduk terlampau mahal. Naik 100% dari dahulu.


Walau bagaimana menurut Cik Mala, mereka berdepan dengan Akta Rumah Pangsa yang memerlukan mereka melantik AJK JMB di bawah pengawasan MPKj yang mereka juga bimbang, mereka dipaksa menurut kehendak JMB dan mereka hilang kuasa yang menyebabkan mereka tidak bebas memberi pendapat dan cadangan. Atas rasa tidak puas hati penduduk, maka bagi kali ketiga penduduk dipanggil bagi bermesyuarat bertempat di Surau As-Salam  Surau bagi kawasan perumahan berdekatan jam 3.00 petang.


Adun Bangi datang bagi memastikan perjalanan mesyuarat. Hadir sama ke Surau Cik Mala Wakil Penduduk yang juga sebagai seorang Lawyer, Encik Ahmad Junaidi dari Persatuan Penduduk, manakala dua orang dari MPKj, iaitu Encik Azman dan Encik Azmi. Mesyuarat adalah berkisar pada keperluan JMB yang penduduk ragu-ragu, apakah mampu menjalankan pentadbiran dengan baik. Beberapa penduduk menimbulkan persoalan mengenai paip bocor yang tidak diperbaiki, sampah yang tak disapu dan tidak sempurna diangkat, longkang yang tidak dibersih, pembaikan bangunan yang tidak dilakukan dan terpaksa dilakukan oleh pemilik rumah sendiri, jalan rosak dan tidak diselenggara, masalah lembu berkeliaran dan tak dikawal, kenaikan maintenance kepada RM50/= dan beberapa perkara lagi ditimbul


Dalam ucapan Adun, Adun berharap dengan datangnya MPKj dan beberapa pegawai akan dapat menyelesaikan permaslahan dengan baik. Mungkin dikehendaki menubuh JMB, maka boleh ditubuhkan, tetapi jika mau mengekalkan hak dan kebebasan, maka pihak penduduk boleh terus dengan penubuhan persatuan penduduk yang fungsi lebih luas dan tidak tertumpu pada perumahan sahaja. Persatuan Penduduk boleh bekerjasama dengan Jawatankuasa surau dan sebagainya. Untuk keputusan Adun pulangkan terutama kepada Cik Mala, AJK dan penduduk untuk membuat penentuan.


Walau bagaimana jika perlu menubuhkan JMB, maka ianya perlu kepada mesyuarat lain. Iaitu memerlukan pertemuan sekali lagi. Pihak MPKj perlu mengambil inisiatif.  Jadi belum ada penyelesaian yang dapat dicapai dan memerlukan pertemuan yang lain untuk bermesyuarat. Kita berharap kelak akan ada penyelesaian dapat dicapai.

Sekian.

Kelab Harimau Malaysia Kendali Klinik Bola Sepak Di Bangi


-->
Stadium Bangi, 11 Safar 1434 = 25 Disember 2012 (Selasa):


Sebagaimana disebutkan pada penutup Pertandingan Bola Sepak Remaja Bawah 13 kelmarin (Ahad), bahawa pada hari Selasa 25 Disember akan diadakan Klinik Bola Sepak Dun Bangi bertempat di Padang Kompleks Sukan, Seksyen 15 BBB mulai jam 8.00 pagi. Menepati janji, maka pada pagi ini padang Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi dipenuhi pemain-pemain bola sepak remaja berpakaian serba merah lembut. Mereka berjumlah 230 orang, jumlah agak ramai berbanding Tahun lepas yang hanya berjumlah seramai 200  orang sahaja. Mereka dibimbing oleh tiga orang pembimbing yang dijemput khas dari Pasukan Kelab Harimau Malaysia 2 di bawah tajaan Sime Darby. Tiga orang Jurulatih dari Kelab Harimau 2 Malaysia ialah saudara Fitri, Zulfahmi dan Kamarul.


Menghadiri Majlis sebelum ketibaan Adun, ialah Y.B.Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, saudara Thani Hamzan, AJK Pemuda Pas Pusat dan Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, saudara Dahari Embong Ketua Lajnah Sukan Adun dan AJK yang menguruskan majlis Perasmian dan membantu perjalanan klinik. Mereka semua termasuk tamu dibekalkan dengan baju warna merah muda yang dipakai oleh semua yang hadir


Majlis bermula dengan nyanyian Negaraku dengan Pemain Bola Sepak Remaja di dalam kumpulan di atas padang, sedang hadirin yang lain di atas bahagian track tegak berdiri menyanyikan Lagu Negaraku dan diikuti dengan pembacaan doa. Kemudian diikuti dengan ucapan-ucapan ringkas bermula dengan ucapan saudara Thani Hamzan. Selaku Pemuda beliau berucap berapi-rapi dan mau remaja peserta Klinik Bola menunjukkan kesungguhan agar mereka menjadi pemain-pemain professional yang membawa nama baik Dun dan Kawasan. Ustaz Shafie Ngah turut berucap ringkas memuji usaha pihak Lanjnah Sukan yang berjaya membawa Jurulatih Klinik Bola Sepak dari pasukan Profesional – Harimau Malaya 2 yang di bawah didikan dan latihan mereka akan wujud pasukan yang mantap dari Dun dan Kawasan. Y.B.Teo Nie Ching berucap, walaupun beliau hanya seorang perempuan, tetapi turut merasa bersemangat bersama dengan anak-anak muda. Beliau mau semangat sedemikian terus berkubar-kubar dalam sebarang pertandingan yang disertai oleh anak-anak muda dari kawasan Serdang, khususnya dari Dun Bangi. Beliau mengucap maju jaya kepada semua.


Adun yang pada masa itu belum sempat memakai T-Shirt Rasmi dijemput berucap merasmikan Klinik Bola Sepak Remaja mengucapkan syabas kepada saudara Dahari selaku Ketua Lajnah Sukan Kabinet Mini Adun Bangi yang berjaya membawa ketiga-tiga pemain Harimau Malaysia 2, iaitu saudara Fitri, Zulfahmi dan Kamarul mengendalikan Klinik Bola Sepak Dun Bangi. Ini adalah klinik kedua diadakan di Dun Bangi selepas diadakan pada tahun lepas (2011). Pada tahun ini nampaknya sambutan lebih ramai, iaitu berjumlah seramai 230 orang. Tentulah antara daya tarikan, ialah kehadiran pemain bola sepak Harimau Dua. Adun mengingatkan kita sering mengadakan pertandingan-pertandingan bola sepak dan permainan yang lain, pertandingan-pertandingan ini bukan semata-mata pertandingan, tetapi bermatlamat untuk mencungkil bakat-bakat muda, khususnya di Bangi, untuk ditampilkan mereka ke peringkat lebih tinggi dari cawangan ke kawasan, ke negeri, bahkan kepada peringkat nasional dan internasional. Ini bukan mustahil, kerana Safi Sali adalah berasal dari kawasan Dun Bangi, iaitu dari Sungai Tangkas. Kita mau lahir dari pasukan bola sepak Bangi tokoh-tokoh besar bola sepak seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin An dan Santok Singh. Adun berharap supaya peserta-peserta muda mengikuti sepenuh hati bimbingan yang dilakukan oleh pemain-pemain dari Harimau 2. Adun juga mengingatkan bahawa, bola sepak adalah permainan dunia dan diminati oleh semua masyarakat dari yang muda kepada yang tua oleh semua Negara di dunia. Menguasai bola sepak adalah menguasai dunia. Pasukan professional dan maju menjadi pujaan dunia seperti Brazil, German, Perachis, Sepanyol, Itali dan sebagainya. Lega bola sepak England dari berbagai-bagai pasukan antaranya Manchester United menjadi pujaan dunia. Anda berpeluang menjadi bintang bola sepak yang menjadi pujaan ramai. Asahlah bakat agar kalian menjadi pemain bola sepak cemerlang. Adun berjanji bersedia mengeluarkan peruntukan bagi kecemerlangan sukan.  Dengan harapan-harapan itu Adun  rasmikan Klinik Bola Sepak Dun Bangi.


Berikut dari itu diadaklan sesi bergambar dengan diikuiti Klinik Bola Sepak dengan antaranya membahagi kepada tiga pasukan dibawah tiga pembimbing. Permulaan mereka buat larian keliling padang dan kemudian mengajar berbagai kaedah permainan. Klinik berterusan sehingga jam 1.00 tengahari.

Sekian.