January 31, 2013

Penghulu & Ketua Kampung Anjur Kem Remaja Gemilang

-->
Masjid As-Salihin, Teras Jernang, 15 Rabiul Awwal 1434 = 27 Januari 2013 (Ahad):


Pagi ini Penghulu & Ketua-Ketua Kampung Mukim Kajang menganjurkan Kem Remaja Gemilang bertempat di Dewan Seminar, Masjid As-Salihin, Kg, Teras Jernang. Adun Bangi dijemput merasmikan. Hadir di dalam Majlis pada pagi ini ialah En. Bahron Zaman Majid, Penghulu Mukim Kajang, En. Shukor Jantan Ketua Kampung Teras Jernang – Tuan Rumah, Tuan Haji Yusof Azudin Nazir Masjid As-Salihin, Teras Jernang, Tuan Haji Ramlan bin Abu Ketua Kampung Sungai Balak, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, En. Abdul Hadi bin Husin Ketua Kampung Sungai Tangkas, En. Mohd Khalid bin Hj. Reduan Ketua Kampung Sungai Kantan, En. Mohd Fahmi bin Abdullah Ketua Kampung Sungai Jernih dan En. Lateb Manan Ketua Kampung Sungai Ramal Luar. Turut hadir Fasilitater Cik Suzana Mohd. Said. Pengerusi majlis En. Sulaiman Hashim menjemput Tuan Haji Ramlan Abu membaca doa diikuti dengan Ucapan Alu-aluan oleh En. Bahron Zaman bin Majid. Beliau memaklumkan ini adalah fungsi pertama kegiatan beliau selepas baru dilantik sebagai Penghulu Mukim Kajang. Beliau berterima kasih kerana mendapat kerjasama yang erat dari Ketua-Ketua Kampung Mukim Kajang. Beliau juga melahirkan kegembiraan mendapat sambutan dari pelajar-pelajar yang jumlah mereka yang mendaftar adalah 70 orang. Beliau juga berterima kasih kepada pihak Fasilitater yang diketua Cik Suzana Mohd Said dan pasukannya yang dapat hadir melaksanakan program. Antara pengisian ialah ``Knowing me knowing you`` menurut perspektif Islam, Akrab Persahabatan (Sayangi keluarga, sahabat dan masyarakat, dan Kini & Hijrah. Beliau juga memaklumkan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil akan disampaikan oleh Puan Norfaizah bt. Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah, Hulu Langat.


Adun Bangi dalam Ucapan Perasmian mengucapkan syabas kepada Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung yang mengambil inisiatif mengadakan Kem Remaja Gemilang 2013 menandakan caknanya pihak Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung kepada anak-anak buah dan masa depan generasi muda. Seingat Adun inilah pertama kali program yang seumpama ini dianjurkan oleh pihak Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Mukim Kajang. Penganjuran Kem Remaja Cemerlang ini adalah bersesuaian bahkan bertepatan dengan hasrat dan aspirasi Bangi Bandar Ilmu.

Kepada anak-anak Adun mengingatkan, bahawa anak-anak adalah kesayangan ibu bapa dan harapan masa depan. Pada anak-anak ditumpahkan kasih sayang dan pengorbanan agar anak-anak menjadi orang yang berguna. Adun mengingatkan, bahawa masa umur anak-anak sekarang antara 6 – 18 tahun adalah masa yang paling penting, terutama pengisian dengan ilmu pengetahuan. Ibarat menanam pokok dari bijih benih untuk menjamin tumbuh subur dan segar perlu dijaga, dibaja dan disiram, agar tumbuh subur dan akhirnya melahirkan buah. Demikian anak-anak tempoh masa anak-anak adalah tempoh yang penting yang perlu disiram dan disuburkan dengan ilmu pengetahuan secara bertahap, sebagaimana yang dilalui anak-anak. Sebarang pengabaian terhadap ilmu pengetahuan dan pendidikan akan merugikan anak-anak. Kerugian akan lebih terasa bila tiba tempoh umur anak-anak akan berkhidmat kelak. Dari kalangan anak-anak ramai yang akan mencapai kecemerlangan pelajaran, mendapat pekerjaan yang baik dan berkedudukan tinggi. Sekiranya anak-anak abaikan ilmu pengetahuan dan tidak mendapat kerjaya yang baik, kekesalan akan timbul pada masa itu. Sebab itu pada peringkat permulaan ini, masa masih ada anak-anak perlu menanamkan azam untuk belajar bersungguh-sungguh. Pada hari ini insya Allah pihak motivater dan pasukannya insya Allah akan mencetuskan kesedaran dan semangat anak-anak menuju `Titian Kejayaan`. Selamat mengikuti Kem Motivasi dan sekali lagi terima kasih kepada semua pihak. Dengan lafaz:


Bismillahir Rahmanir Rahim


Adun merasmikan Kem Remaja Cemerlang 2013 dengan mendoakan semoga Allah memberi Hidayah dan tauqikNya kepada semua. Insya Allah.


Sekian.

January 30, 2013

Cinta Rasulullah, Pelancaran Tafaqquh Fid-Din & Kemungkinan Pelancongan Ilmu

-->
Masjid Al-Hasanah, BBB, 14 Rabiul Awwal 1434 = 26 Januari 2013 (Sabtu):

Sempena Maulidur-Rasul s.a.w. Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi mengadakan dua program serentak pada hari ini, iaitu mengadakan Karnival Cinta Rasulullah dan Melancarkan Program Tafaqquh Fid-Din Berkitab. Adun Bangi diminta melancarkan kedua-dua program pada tengahari secara serentak, ini oleh kerana pada sebelah pagi Adun menghadiri Sambutan Maulidur Rasul pada peringkan Dun bertempat di Sungai Ramal Dalam. Karnival Cinta Rasulullah melibatkan semua masyarakat dari golongan anak-anak membawalah kepada orang dewasa.


Program berjalan dari sebelum subuh, iaitu 4.30 pagi dengan qiyamullail Perdana diikuti dengan Kuliah Subuh dengan tajuk `Siapa Rasulullah s. a.w. ? Disampaikan oleh Ustaz Rashidi bin Jamil, diikuti dengan program Bedah Buku. Buku yang dijadikan bahan pembicaraan ialah Shama`il Al-Muhammdiah dibentangkan oleh Dr. Shauqi bin Othman dan buku Ma`rifah Rasulullah s.a.w. dihasil dan dibicarakan oleh Dr.Zulkifli Muhamad al-Bakri. Manakala sebelah petang dipenuhi dengan pertandingan yang lebih berfokus kepada anak muda seperti Pertandingan Bercerita peringkat sekolah rendah, Pertandingan Mewarna bagi anak-anak 6 tahun ke bawah, Pertandingan Nasyid bagi anak-anak Sekolah Rendah, Penampilan Istimewa, Program Jom Tanya Ustaz bertajuk Muamalah Rasulullah s.a.w. Panduan Sepanjang Zaman disampaikan oleh Ustaz Zamerey  Abdul Razak, manakala pada malamnya dipenuhi program `Bandar  Baru Bangi Bersalawat` juga persembahan  Nasyid, Nazam dan Marhaban. Sesungguhnya program dipenuhi acara-acara begitu padat dan menarik.


Adun tiba ialah pada jam 12.00 tengahari dan berkesempatan mendengar pembicaraan  tentang Makrifah Rasulullah s.a.w. oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang merupakan Pengarang bagi buku berkenaan. Adun mengikuti sesi pembicaraan buku ini hingga tamat dengan diikuti dengan Upacara Perasmian Secara Tertangguh. Dalam ucapan Adun, adalah Adun memuji Program Cinta Rasulullah s.a.w. yang melibatkan golongan dewasa dan juga anak-anak. Pendekatan adalah kelainan dari Sambutan biasa dan bersifat kreatif dan inovatif serta dapat dimanfaatkan oleh banyak pihak.  Masjid dimeriahkan sepanjang hari dari pagi hingga ke malam dengan berbagai acara. Dengan Karnival ini penganjur dapat menarik golongan muda dan anak-anak ke masjid.


Satu program lagi yang diminta Adun lancarkan ialah Program Pengajian Tafaqquh Fid-Din Berkitab. Dalam Majlis Pelancarana Ustaz Napiah bin Shahrani Nazir Masjid memaklumkana bahawa Program menawarkan kepada peserta-peserta mengikuti pengajian secara lebih mendalam dengan mengikuti Ilmu Asas Dalam Islam iaitu Al-Qur`an, Hadith, Aqidah dan Ilmu Fiqh. Pengajaran oleh guru-guru terpilih dengan mementingkan kaedah talaqqi dan Mushafahah. Menurut Tuan Nazir objektif Pengajian ialah memahami ilmu keislaman dan mnambah keimanan serta peserta dapat mempelajari dan mengamalkan pengajian yang diikuti. Mereka yang mengikuti berumur 15 tahun ke atas. Pelajaran-pelajaran Al-Qur`an, Hadith, Aqidah, Fiqh, Tafsir dan Bahasa Arab adalah dengan menggunakan kitab-kitab. Jadual adalah bersifat harian dari pagi hingga ke tengahari. Pengajian dikenakan yuran paling minimum ialah RM40.00 sebulan bagi satu pakeg (komponen pelajaran) dan RM80.00 bagi keseluruhan. Pendaftaran adalah terbuka dan pengajian akan bermula dari bulan Februari.


Antara guru-guru yang mengajar ialah Dr. Wahab Mohd Salleh (Fiqh), Dr. Hashim Mehat (Fiqh), Dr. Mohd. Shauqi Othman (Tafsir), Ustaz Rahim Rafie (Aqidah), Ustaz Hashim Nawawi (Hadith), Ustazah Bushra Talib (Bahasa Arab) dan penceramah jemputan. Dalam kata lain Pengajian Tafaqquh ini mempunyai kurikulum teratur dengan jadual pengajian yang tersusun. Pengajian ini nampaknya dituju kepada orang ramai yang mempunyai kelapangan dan waktunya sebelah pagi ke tengah hari. Cuma perlu difikirkan pengajian ini mungkin mau diikuti oleh pelajar-pelajar Sekolah menengah yang masa yang ada bagi mereka sebelah petang. Sebab itu wajar disediakan kepada mereka pakej waktu petang. Bagi memvariasikan pendekatan, memang wajar sekali sekala dijemput pengajar jemputan dalam berbagai bidang bagi menambahkan maklumat bagi pengaji-pengaji. Untuk lebih memeriahkan pengajian, wajar diadakan pengajaran hujung minggu untuk diikuti lebih ramai lagi oleh pekerja-pekerja. Bahkan pada setiap bulan wajar diadakan Munaqashah ilmu yang disusun secara menarik dan disampaikan oleh tokoh-tokoh berwibawa dan dapat diikuti oleh lebih ramai pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Bagi mempertingkatkan pengajian Masjid Al-Hasanah dengan kerjasama surau-surau mungkin dapat mengadakan Minggu atau Bulan Ilmu bagi pencongan Ilmu yang diisi dengan program yang menarik dan padat. Program ini diadakan pada masa cuti Sekolah dan terbuka untuk datang belajar oleh pengaji-pengaji dari luar dari Selangor untuk mengikuti pengajian dalam tempoh terhad. Semasa berada di sini mereka tinggal di hotel-hotel bajet yang diuruskan oleh pihak penganjur. Tempat belajar mungkin diadakan lebih dari satu tempat termasuk surau-surau. Perkhidmatan kenderaan disediakan, bahkan masa Lawatan Ilmu diadakan. Program begini untuk dilaksanakan perlu kepada penelitian lebih detail. Ianya adalah salah satu pendekatan menyemarakkan lagi Bangi Bandar Ilmu.


Sekian.

January 29, 2013

Tarbiah Dalam Program Rally Tarbawi Al-Azhar Di Kuis: Ucapan Adun

-->
Kuis, Bandar Seri Putra, 13 Rabiul Awwal 1434 = 25 Januari 2013 (Jumaat):

Program di atas adalah dianjur oleh Biro Taadib dan Kepimpinan Masjid Al-Azhar 2013 (RTA 13), Kuis, Bandar Seri Putera, Bangi. Program bertujuan bagi membina Modal Insan Unggul. Adun diminta berucap bagi kata-kata alu-aluan bagi program satu hari, khususnya sebelum  Forum Tarbiah dari jam 9.10 – 9.30 malam. Menurut program forum terdiri dari panel Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Nik Zawawi Salleh dan Ustazah Hafizah Musa (Adun tidak mengikuti forum).


Adun mengutarakan pendapat bahawa konsep tarbiah ialah sesuatu yang murni dan unggul. Ianya mempunyai hubungan dengan istilah `Rabb` - Ketuhanan yang mempunyai segala sifat kesempurnaan. Idealnya insan dituntut mendekati dan membina diri dengan sifat-sifat kesempurnaan melalui tarbiah. Keunggulan bagi insan antaranya diistilahkan dengan Insan khalifah, Insan Rabbani dan Insan Kamil. Untuk pembicaraan ini kita kenali mereka dengan `Insan Unggul`.


Mentarbiah insan ialah usaha bagi mengangkatkan martabat insan melalui elemen-elemen yang ada pada diri insan baik dari segi fizikal, akli, kalbu dan rohani. Pengangkatan melalui skima jangka pendek dan jangka panjang dan ada jatuh bangunnya. Tarbiah jangka pendek ialah pendidikan individu dan kelompok masyarakat seperti saudara-saudari yang bakal keluar sebagai seorang `terpelajar` begitu juga semua saudara-saudari setelah keluar dan bergelar sebagai masyarakat terpelajar ! Sejauhmanakah terpelajarnya akan dibincangkan. Dari segi jangka panjangnya, umat Islam sejak dari kelahiran Islam dibawa oleh Rasulullah s.a.w hingga kini mempunyai tradisi tarbiah yang panjang. Baik tarbiah bagi individu yang mempunyai masa tarbiah relatif pendek, maupun tarbiah umat yang mempunyai masa yang panjang adalah menggunakan berbagai-bagai mekanisme pendidikan yang berubah dan bertambah sesuai dengan perubahan dan pertambahan zaman. Mekanisme ini ada berupa tempat seperti masjid, surau, madrasah, pondok, langgar, Sekolah, kolej, universiti dan lain-lain. Ada yang berupa alat seperti kitab, buku, computer,video, film, bahkan alam dan sebagainya dan yang lebih penting ialah penyampai tarbiah yang dikenali dengan guru, muallim, ustaz, pengajar, pensyarah, professor dan sebagainya.


Sejauhmanakah mekanisme tarbiah di atas melahirkan insan unggul ? Sesungguhnya 15 abad Islam berkembang tidak dapat dinafikan hasil dari tarbiah Islam telah melahirkan kejayaan-kejayaan sebagaimana lahirnya pusat-pusat pengajian unggul seperti Masjid al-Madinah, Universiti Qayrawan, Al-Azhar, Qurduba, Diuband, Baitur Rahman Acheh, UIAM, USIM dan KUIS. Bagaimana dengan insan yang dilahirkan sebagai anak zaman ?
Sesungguhnya melalui mekanisme dan jatuh bangunnya Islam melahirkan tamadun dan peradabannya yang boleh disebut tamadun dan peradaban Madinah, Umawiyyah, Abbasiyyah, Uthmaniyah. Dari segi insan unggulnya relatifnya sedikit. Antaranya boleh disebutkan Ibn Abbas, Imam-Imam Mazhab Empat, Ibn Kathir, Bukhari, Muslim, Al-Farabi, Al-Mawardi, Ibn Khaldun dan lain-lain yang masing-masing dengan hasil-hasil karya masing-masing yang menjadi turath bagi tamadun dan peradaban umat. Dalam zaman moden, walaupun kita mempunyai pusat pengajian tinggi, mahaguru dan sama menggunakan alat-alat canggih dalam bidang tarbiah, tetapi berdepan dengan kemajuan keunggulan masyarakat yang bukan Islam, kita adalah relatif ketinggalan, jika pun tidak dapat dikatakan mundur.


Apakah yang dihasilkan oleh mekanisme pendidikan kini ?
Pada dasarnya hasil produk tarbiah adalah mengguna dan mengulang apa yang sedia ada, melahirkan hasil yang stereotype. Amat sukar untuk melahirkan yang benar-benar genius, asli, kreatif dan innovatif yang diterima umat sebagai sesuatu yang segar dan memanfaatkan. Bayangkan pada zaman tradisi dalam berabad-berbad berlalu umat dapat melahirkan seorang dua dalam bidang yang membicarakan soal Negara kota seperti Al-Farabi dengan Al-Madinah al-Fadilah atau Al-Mawardi dengan Al-Ahkam as-Sultaniyyah dan Ibn Khaldun dengan Al-Muqaddimah. Pada zaman kita yang berdepan dengan keunggulan Barat, walaupun ada tapi tidak setara. Adakah tarbiah kita, selain dari melahirkan yang biasa dan stereotype, dapat melahirkan negarawan muslim dalam bidang politik ? seorang ekonomis muslim yang mendapat pengiktirafan dunia ? Dan seorang humanisme terbilang penganjur keamanan sejagat ?


Kita tidaklah merendah mekanisme pendidikan yang kita dukung, tetapi majoriti insan yang dilahirkan 99%  atau lebih adalah stereotype dan biasa. Kita merindui penghasilan segar dan baharu seperti pada masa lahirnya tokoh dan karya seperti Al-Farabi dengan Al-Madinah Al-Fadilah, segar dan baharu seperti tokoh Ibn Khaldun dengan karya Al-Muqaddimah dan berbagai-bagai lagi bidang yang dapat dikiaskan. Kita mengharapkan dengan mekanisme tarbiah yang digunakan – seharusnya terbaik dari segi penghasilan, selain dari biasa dan stereotype, tetapi melahirkan insan-insan unggul dalam berbagai-bagai bidang.


Kita di Bangi mempunyai harapan tinggi mengimpikan lahirnya watak-watak insan tarbiah unggul, lantaran di Bangi merupakan Pusat Tarbiah dari berbagai-bagai universiti, pusat-pusat penyelidikan dan latihan. Keunggulan ini melayakkan dikenali Bangi Bandar Ilmu. Ungkapan ini diharap bukan semata-mata slogan, tetapi menjadi dinamika bagi universiti-universiti, pusat-pusat penyelidikan dan latihan menonjolkan keunggulan dan ketokohan insan bertahap internasional dan global. Adakah tahap yang diharapkan  begitu tinggi ?  Jika tidak kita akan terus berada di atas landasan stereotype dan kebiasaan.

Sekian.

January 28, 2013

Ke Pasar Kwantung Agih Limau Sempena Tahun Baru Cina

-->
Sungai Chua, Kajang, 15 Rabiul Awwal 1434 = 27 Januari 2013 (Ahad):


Pada awal tahun 2013 ada tiga perayaan besar yang melibatkan tiga kaum, iaitu pada 24 Januari 2013 (12 Rabiul Awwal 1434) – Khamis ialah sambutan Hari Maulidur Rasul s.a.w. bagi orang Islam, Hari Thaipusan bagi orang India yang jatuhnya pada 27 Januari 2013 (Ahad) – diganti tutup 28 Januari – Isnin dan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 10 & 11 Februari 2013 – Ahad dan Isnin (ganti hari Selasa). Sudah menjadi tradisi pihak Pejabat Adun mengadakan atau memberi kerjasama bagi sambutan-sambutan bagi ketiga-tiga perayaan. Perayaan bagi Sambutan Maulidur-Rasul pada peringkat Dun Bangi telah diadakan pada 26 Januari baru-baru ini bertempat di Sungai Ramal Dalam. Pihak Pejabat Dun Bangi telah memberi kerjasama bagi sambutan Hari Ponggal pada 19 Januari 2013 (Sabtu) bertempat di West Country. Sambutan pada peringkat Dun akan diadakan khas.


Sementara itu permulaan bagi sambutan Tahun Baru Cina yang jatuhnya pada 10 & 11 Februari mulai diadakan pada hari ini. Mengadakan permulaan bagi sambutan Tahun Baru Cina lebih awal adalah menjadi tradisi. Bagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina Adun menggunakan mekanisme turun ke pasar-pasar bagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina. Pertemuan dengan masyarakat baik bagi ucapan Tahun Baru Cina atau Sambutan Hari Raya kami lakukan secara bersama dengan Ahli Parlimen. Pada masa itu juga kami edarkan jemputan ke Sambutan yang diadakan pada peringkat Dun bersama Parlimen.


Pada hari ini diambil keputusan antara Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang untuk turun mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada khususnya masyarakat Cina dengan turun ke Pasai Kwantung sambil mengedar buah limau kepada orang ramai di pasar sebagai menandakan kemakmuran. Oleh kerana turun padang ke pasar diadakan lebih awal, kami tergesa-gesa untuk mendapat buah-buah limau yang belum banyak di pasaran. Biasanya pada musim Tahun Baru Cina jualan limau boleh didapati di tepi-tepi jalan – tidak perlu ke pasar raya. Saudara Amir Udin dan saudara Shahrum ditugaskan mendapatkan limau ini dan mempastikan bekalan dapat disediakan sejak petang semalam.


Pagi ini kami turun di Pasar Kwantung, pasar terbesar di Kajang yang ramai dikunjungi oleh orang-orang Cina. Pagi ini Adun turun ke pasar bersama saudara Azizi, saudara Amir Udin, saudara Shahrum, saudara Abu Bakar  dibantu oleh tenaga-tenaga di Cawangan Kajang Mewah yang disertai saudari Nursiah suami isteri dan beberapa yang lain lagi. Kami turun seawal jam 8.30 pagi dan mempunyai program di tempat lain sejam selepas daripada itu, sebab itu edaran limau perlu dilakukan secepat mungkin. Kami membawa 50 kotak limau yang dibeli pada petang semalam. Sementara itu Y.B.Teo Nie Ching dan pembantu-pembantunya juga turun sama pada pagi ini dalam waktu yang sama. Tetapi tumpuan kami tidak pada satu tempat. Kumpulan Adun mengambil tempat dipintu masuk sebelah Selatan, manakala pasukan Y.B. Teo mengambil tempat dipintu utara di samping mereka juga bergerak di dalam pasar.


Sambutan yang diberi oleh pengunjung-pengunjung di pasar, lebih-lebih lagi kaum Cina agak luar biasa. Sebaik kotak-kotan limau diturunkan di hadapan pintu masuk, kami dapat mengedarkan limau – dua biji seorang  berterusan, kerana aliran kehadiran pengunjung ramai dan berterusan. Kehadiran kami sebagai `surprised & exited` bagi pengunjung di sini. Mereka ceria menerima hadiah limau dari kami, bahkan ada kalanya kami seperti diserbu untuk mendapatkan limau. Yang menerima dari orang tua dan anak-anak dan juga pemberian tidak terhad kepada satu kaum, sebaliknya kepada semua kaum. Pada masa mengedarkan limau kami berterusan mengucapkan secara bergilir antara Gong Hee Fa Cai, Selamat Tahun Baru Cina dan Happy Chinese New Year. Kadang-kadang diselit ungkapan `Sokong Pakatan`, `Hantar Kami Ke Putrajaya`, `Beri mandate lebih kuat di Selangor ` dan `Ubah Sekarang !`


Dalam keadaan ceria dan gembira, kami dapati limau yang kami bawa, dengan kerja sepasukan dapat kami habiskan dalam masa setengah jam sahaja. Kami dapati Y.B.Teo dan Pasukannya sedang bergerak dalam pasar berdekatan dengan kami. Kami ke tempatnya dan membantu sekejap mengedarkan buah-buah limau mereka, termasuk sama memberi sampul ang pau yang disediakan khas bagi anak-anak. Pada sampul berkenaan gambar Y.B, Teo bersama anak perempuannya.


Kami merasa puas dan bergerak segera untuk ke program yang lain.

Sekian.

January 27, 2013

Majlis Kesyukuran Sempena Mesyuarat Agung Pangsapuri Kayangan

-->
Taman Seri Mewah, Kajang Utama, 07 Rabiul Awwal 1434 = 19 Januari 2013 (Sabtu):


Sempena Mesyuarat Agung Persatuan Pangsapuri Kayangan (PPK), maka diadakan Majlis Kesyukuran di pekarangan hadapan kedai berdekatan dengan padang di sini. Hadir sama dalam majlis Adun Bangi, Y.B. Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang (sedikit lewat kerana ada program di tempat lain), saudara Wan Salahuddin selaku Pengerusi PPK, saudara Abdul Halim selaku Naib Pengerusi PPK, Tuan Haji Azhar Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama, saudara Azman Shafie Setiausaha Surau Al-Muhajirin, saudara Abu Bakar Penyelaras dan beberapa AJK Persatuan, ibu bapa dan anak-anak. Majlis pada malam ini merupakan Perasmian Persatuan dan makan-makan yang bersifat kekeluargaan.



Dalam ucapan alu-aluan saudara Wan Salahuddin mengucap terima kasih di atas kehadiran Adun (Y.B. Teo belum tiba) dan memaklumkan bahawa Persatuan (PPK) adalah Persatuan berdaftar dan mendapat kelulusan dan pengiktirafan dari ROS. Tujuan ditubuhkan PPK ialah untuk menyatupadukan penduduk dari Pangsapuri kayangan  sebanyak 260 yunit dengan penduduk berjumlah 1,000 orang. Selain daripada itu ialah bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penduduk seperti kerosakan, masalah sampah, kebersihan dan mengadakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kemasyarakatan.


Adun Bangi yang diminta berucap sebelum Y.B. Teo tiba, mengucapkan Tahniah di atas kejayaan penduduk menubuhkan persatuan. Tahniah juga kepada AJK yang terpilih yang diketuai oleh saudara Wan Salahuddin. Adun mengingatkan bahawa, jawatan yang diberi oleh penduduk adalah merupakan amanah. Sebab itu AJK hendaklah berusaha menggerakkan persatuan bagi kepentingan penduduk. Kegiatan-kegiatan yang dapat dilakukan termasuklah mengenai ibadat, pendidikan anak-anak dan penduduk, kegiatan kemasyarakatan, kebajikan dan juga sukan. Program hendaklah disusun untuk setahun, misalnya sambutan-sambutan perayaan, motivasi anak-anak, hari keluarga dan sukan. Kepada penduduk Adun mengingatkan, walaupun AJK telah dilantik, janganlah membiarkan kepada AJK saja yang bekerja. Penduduk hendaklah memberi kerjasama bagi segala kegiatan yang diadakan. Adun sedia bekerjasama dan sedia menyalurkan bantuan jika dibuat permohonan dengan jumlah sewajarnya.


Sebagai menandakan perasmian, maka Adun dijemput memotong reben  – Ketika ini Y.B. Teo juga masih belum tiba.


Apabila beliau tiba Y.B. Teo dijemput menyampaikan ucapan tertangguh. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada PPK yang menubuhkan Persatuan dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik. Beliau juga meminta penduduk memberi sokongan kepada AJK yang dilantik. Beliau juga berharap kepada AJK akan mengadakan banyak program yang dapat memberi manfaat kepada penduduk.


Majlis seterusnya ialah perbincangan yang berhubung dengan status bangunan sama ada masih di bawah pemaju atau telah diserah kepada MPKj. Berhubung dengan JMB, sebagaimana biasa, tidak semua yang menjelaskan yuran. Walau bagaimana di sini tidak ada masalah air dan tidak ada masalah berhubung dengan lift, kerana bangunan di sini tidak menggunakan lift. Cuma timbul berhubung dengan kerosakan bangunan yang tidak serius. Setakat ini menurut En. Wan Salahuddin pihak Persatuan masih tidak mempunyai Pejabat sendiri. Adun mengesyorkan agar memohon mendapat satu unit pejabat dari pihak Pemaju atau paling tidak menyewa dengan kadar yang paling minimum. Majlis berakhir dengan jamuan.

Sekian.

Servis Minyak Motor Percuma & Ponggal Di West Country Jalan Reko

-->
West Country, Jalan Reko, 07 Rabiul Awwal = 19 Januari 2013 (Sabtu):


Sempena dengan musim Perayaan Ponggal, maka Pejabat Adun menawarkan kepada pemilik-pemilik motor di West Country  (Timur), Jalan Reko Servis Minyak Motor Percuma. Tempat untuk servis ialah dua tempat, iaitu:


1)      Kedai A Ming, Kedai Motor, Jalan Reko, West Country  (Timur), berhadapan Balairaya
2)      Kedai Kisi Motor (Murugum), bersebelahan dengan Kedai A Ming.

Waktu tawaran untuk diservis motor, mulai jam 3.00 petang sehingga jumlah peruntukan servis tamat.

Hadir pada Majlis Servis Minyak Motor percuma ini selain dari Adun ialah saudara Khairul Hafiz Penyelaras Alternatif Motor Club (ARC), saudara Amir Othman Penganjur Servis, saudara Dahari Embong Ketua Lajnah Sukan, Dun Bangi, saudara Rusli Jusuh Timbalan Ketua Pemuda Pas, Dun Bangi dan peserta-peserta.


Jam 3.00 petang kedua-dua Kedai Servis mulai menerima pelanggan. Sementara itu satu majlis perasmian di adakan. Adun Bangi dijemput berucap ringkas.
Menurut Adun Bangi, bermotor adalah kenderaan rakyat yang digunakan secara popular bagi kemudahan pergerakan dan komunikasi. Hampir setiap rumah mempunyai motor. Kami berbakti kepada penduduk Jalan Reko, khususnaya bagi mereka yang mempunyai motor untuk servis. Gunakanlah kesempatan yang kami tawarkan.
Pada asalnya kami memperuntukkan bagi setiap kedai adalah sebanyak 35 motor sahaja. Tetapi dalam tempoh 2 jam jumlah 35 buah hampir habis. Kami membuat keputusan membenarkan untuk setiap Kedai Motor berkenaan mengambil pelanggan motor sebanyak  50 orang. Ini bermakna Adun menawarkan servis kepada pemilik-pemilik  motor adalah berjumlah 100.


Nampaknya dengan penawaran kepada jumlah 100, maka jumlah yang datang amat memuaskan. Semua motor yang datang dapat diserviskan.

Sementara itu pada masa menghadiri Majlis Servis Minyak Motor Percuma ini, Adun ditawarkan oleh AJK untuk datang ke Perayaan Ponggal West Country pada keesokan hari jam 11.00 pagi (Hari Sabtu). Adun menerima tawaran. Maka pada tengahari jam 11.00 pagi Adun bersama pengiring-pengiring seperti saudara Azizi, saudara Amir Othman, saudra Fadzli, saudara Khairul Hafiz dan beberapa yang lain turut hadir ke Pesta Ponggal dan bertemu dengan Pengerusi dan Setiausaha sambutan. Pada pertemuan ini Adun menyerahkan cek bernilai RM500 bagi menampung perbelanjaan sambutan Ponggal di West Country. Adun diminta berucap ringkas dengan mengucapkan `Selamat Menyambut Perayaan Ponggal`dan berharap semua pihak bergembira. Pada masa itu kegiatan sukan bagi anak-anak sedang dijalankan, manakala bagi dewasa yang merupakan sukan tradisi Ponggal seperti memanjat tiang dan memukul takar akan dijalankan pada sebelah petang.















Sekian.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dun Bangi

-->


Sungai Ramal Dalam, 14 Rabiul Awwal 1434 = 26 Januari 2013 (Sabtu):


Pada tahun ini Dun Bangi mengadakan sambutan Maulidur Rasul dengan kerjasama Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam, Jawatankuasa Keselamatan Sungai Ramal Dalam dan Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam. Sejak jam 7.30 pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam perbarisan dan peserta-peserta dari cawangan-wangan parti berhimpun di tepi pagar Surau Al-Amin, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi. Jumlah mereka mendekati 1,000. Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian – 10 pasukan membawa sepanduk-sepanduk dan antara pasukan memakai pakaian seragam. Cuaca pada pagi ini al-hamdulillah baik, tidak seperti semalam hujan seharian.


Jam 8.30 pagi perhimpunan dan pasukan-pasukan yang disusun sebelumnya bergerak dari Seksyen 8, mengikuti kenderaan berpembesar suara sambil bersalawat dan diikuti pasukan kompang menuju ke Tanah Lapang di hadapan masjid dan di tepi Sekolah. Selepas selesai perarakan, tetamu dan peserta-peserta duduk di atas kerusi di bawah khemah sambil menunggu program bermula. Antara mereka yang hadir ialah saudara Azemi Ahmad Pengarah Sambutan Maulidur Rasul, Tok Lateb bin Manan Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam sebagai Tuan Rumah, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj yang juga Ketua Pas  Kawasan Serdang, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, En. Shukor Jantan Ketua Kampung Teras Jernang, En. Azlan Nordin Ketua Kampung, Kampung Bahagia, Tuan Haji Abdul Hadi Husin Ketua Kampung Sungai Tangkas, Tuan Haji Yahya Nazir Masjid Sungai Ramal Dalam, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, Pengerusi-pengerusi Surau, Imam-Imam, pasukan-pasukan dan orang ramai yang hadir.


Majlis bermula dengan pembacaan Al-Quran oleh En. Asral Fikri bin Asnawi diikuti dengan ucapan alu-aluan dari Adun Bangi yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama bagi kejayaan sambutan terutama Ketua Kampung Tok Lateb Manan yang sejak malam tadi bertungkus lumus dengan anak buahnya menyiapkan jamuan, Pihak Masjid dan Pihak Keselamatan Kampung. Kata Adun, ``Kita bersama umat Islam dari peringkat Negara, negeri dan tempatan, juga masjid Surau sama menyambut Hari Maulidur Rasul sebagai melahirkan kesyukuran, kerana kita tergolong sebagai orang yang mendapat rahmat keimanan. Kita berpeluang mendalami Islam melalui berbagai pendidikan dan pengajian.  Dengan pengenalan membawa kita mencintai Rasulullah s.a.w. Banyak cara melahirkan kecintaan seperti mengadakan pengajaran, ceramah, bernasyid dan Barzanji, termasuk juga kita pada hari ini mengadakan perarakan melahirkan syiar Islam dan memuji Junjungan Rasulullah s.a.w.  Tetapi kecintaan yang paling utama ialah dengan mengamalkan suruhan Islam yang dibawa Rasulullah dan menjauhi larangan. Kita percaya al-hamdulillah kita berharap kita adalah antara yang mendukung Islam yang kita amalkan dalam kehidupan kita. Kita berharap kita dapat mempertingkatkan amalan dan meluaskannya kepada masyarakat melalui dakwah dan pendidikan.Majlis kemudian diperdengarkan dengan pembacaan sajak oleh Adik Muntazar bin Adnan (6) dari Sekolah Seri Al-Amin yang penuh bersemangat.




















Berikutnya hadirin berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Nushi bin Dato` Mahfuz dari KUIS. Menurutnya Rasulullah s.a.w. adalah dari turunan yang baik dan bersifat terpuji dan unggul dari segi kepimpinan. Baginda membawa petunjuk dan keimanan terhadap Allah. Syahadah mungkin dianggap lengkap dari segi keimanan, tetapi sebenarnya ianya adalah muqaddimah bagi perjuangan. Perlu diperluaskan pengajaran dari Al-Qur`an dan Sunnah di tengah masyarakat. Kunci perkembangan tamadun dan peradaban Islam adalah melalui Iqra` - baca, belajar, azam dan jihad.
Doa Nabi Allah Ibrahim dikabulkan.  Melalui Makkah-Madinah Islam berkembang luas melahirkan tamadun dan peradaban seperti kelahiran kerajaan Umawiyyah- Abbasiyyah & Uthmaniyyah dan turut berkembang di Alam Melayu. Kecintaan kita kepada Rasulullah hendaklah diterjemahkan ke dalam amal dan dan dakwah kita bagi meninggikan syiar Islam mengatasi pengaruh-pengaruh yang lain.


Pada majlis ini diumumkan penghargaan dan cenderahati kepada Tokoh Ibu Mithali Puan Hajah Subaidah bt Mustapa yang berjuang bagi mendidik anak-anaknya mencapai kejayaan, manakala Tokoh Masyarakat ialah Tuan Haji Muhammad yang merupakan Imam Satu Masjid al-Falah dan Pasukan Terbaik Perarakan ialah ialah Pasukan dari Desa Surada.



Berikutnya hadirin bersama menikmati Jamuan Rakyat sebelum bersurai.

Sekian.

January 26, 2013

`Naik Surau` Sempena Maulidur Rasul: Adun Serahkan Bantuan

-->
Taman Seri Mewah, Kajang Utama, 12 Rabiul Awwal 1434 = 24 Januari 2013 (Khamis):



Mengambil sempena dengan Maulidur Rasul s.a.w. pada hari ini, maka pihak AJK Surau At-Taqwa, Taman Seri Mewah, Kajang Utama mengambil keputusan untuk `Naik Surau` pada petang ini, walaupun masih banyak keperluan yang perlu dilengkapkan, termasuk api belum dimasukkan dan buat sementara sambungan dibuat dari rumah jiran.


Adun Bangi tiba sebelum sedikit waktu Maghrib bagi menyertai acara `Naik Surau`. Turut hadir ialah Major (B) Haji Adnan selaku Pengerusi Surau, Ustaz Shafie Ngah selaku Ahli MPKj, saudara Abu Bakar, Penyelaras, Ustaz Shamsul selaku Imam Satu, Ustaz Suhaimi selaku Imam Dua, AJK-AJK, dan penduduk setempat yang memenuhi surau yang dijangka berjumlah lebih kurang 300 orang. Adun Bangi diberi penghormatan mengimami solat Maghrib seterusnya memimpin solat Hajat mohon keselamatan bagi surau dan penduduk bagi kawasan surau ini yang berjumlah lebih kurang 3,000 orang. Selepas solat Hajat para hadirin berdiri melafazkan Salawat ke atas Rasulullah s.a.w. Selepas sesi Salawat ucapan ringkas diadakan bermula dengan ucapan Major (B) Haji Adnan selaku Pengerusi Surau.


Major (B) Haji Adnan mengucap syukur kepada Allah selepas 4 tahun berusaha bagi membina surau ini akhirnya dapat disiapkan. Kata Major (B) Adnan, ``Semasa menunaikan Haji baru-baru ini saya berdoa kepada Allah di hadapan Ka`bah memohon dapat disiapkan surau ini,`` tambah Major (B), ``Sepulang dari Makkah, al-Hamdulillah ada hamba Allah yang menderma dengan agak banyak, hingga dapat disempurnakan bangunan Surau yang kita saksikan pada masa ini.`` Kata Major (B) Adnan, ``Kos bagi menyiapkan Surau ini hingga kini adalah berjumlah RM230,000.`` Tambah Major, ``Kini penduduk dapat menunaikan solat di Surau ini dengan lebih selesa berbanding dengan penggunaan surau di bawah bangunan flat sebelum ini.``


Adun dalam ucapannya, berterima kasih kerana sekali lagi dijemput hadir dan tahniah kepada AJK dan Penduduk yang akhirnya dapat menyiapkan surau At-Taqwa ini. Menurut Adun, ``Saya sendiri hadir pada peringkat menentukan Tapak Surau dan hadir juga pada peringkat Pecah Tanah dan Menentukan Arah Kiblat.`` Kata Adun selain dari itu hadir beberapa kali semasa proses pembinaan, terakhir beberapa minggu yang lepas, semasa persiapan akhir seperti menyiapkan paip air, mengecat dan sebagainya.`` Katanya ``Kami makan pengat durian semasa hadir pada hari itu.``


Adun berkata lagi, kekurangan-kekurangan yang diperlukan bagi surau ini yang saya difahamkan memerlukan pagar, perluasan ruang, stor dan rumah masak, memerlukan kawasan di hadapan surau ditarkan dan perlu didirikan bangunan pendidikan bagi anak-anak dapat diusahakan secara berperingkat. Kata Adun lagi, ``Sesudah Surau At-Taqwa disiapkan perlulah AJK bermesyuarat dan berbincang bagi memenuhi kegiatan Surau At-Taqwa. Surau bukanlah digunakan setakat ibadat sahaja, tetapi juga sebagai tempat pendidikan dan juga kegiatan-kegiatan kemsyarakatan. AJK perlu mengisi masa di surau dengan pengajaran-pengajaran dengan menjemput guru-guru mengajar di sini dari masa ke masa. Bimbingan pelajaran Al-Qur`an dan keilmuan yang lain dapat diadakan terutama kepada anak-anak. Kaum ibu juga dapat memainkan peranan dengan menjemput ustazah-ustazah mengajar terutama pada hari-hari minggu – Sabtu dan Ahad. Kegiatan kemasyarakatan seperti Sambutan Maulidur Rasul, hariraya dan hari-hari kebesaran Islam yang lain dapat diadakan dari masa ke semasa. Kata Adun, pihak Surau perlu mengadakan Tabung Surau bagi menghimpun dana, bukan saja untuk pembangunan, tetapi juga untuk berbagai-bagai kegiatan. Saya difahamkan,kata Adun, pihak AJK mau membina laman sukan di bahagian hadapan, menurut Adun, ``Itu adalah baik, dengan cara ini kita dapat menjinakkan masyarakat terutama kalangan anak muda dengan Surau. Seterusnya Adun berharap semua lapisan masyarakat memberi kerjasama dengan AJK Surau bagi menjayakan berbagai-bagai kegiatan yang akan dilakukan. Yang penting ahli Kariah hendaklah jadikan Surau ini ``Rumah Kedua` yang mana setiap ahli kariah sering datang ke Surau berjamaah dan melibatkan diri dengan berbagai kegiatan yang dianjur oleh Surau.


Pada akhir ucapan, Adun menyampaikan peruntukan bagi Surau At-Taqwa dengan menyerahkan cek bernilai RM5,000 untuk digunakan bagi memenuhi sebahagian dari keperluan Surau yang masih belum dapat disempurnakan.

Selepas Solat Isya` semua ahli jamaah menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak Surau.

Sekian.