Kandungan Puncak Rindu yang terdiri dari 62 buah puisi
adalah membawa pelbagai tema dan persoalan. Puisi-puisi berkenaan dapat
dipecahkan secara kasar kepada lima
kategori:
1) Pengalaman di Dua Tanah Suci 11
buah puisi
2) Keinsafan 18 buah puisi
3) Keluhuran & Keagungan 10 buah puisi
4) Aspek kesufian 8 buah puisi
5) Bentuk-bentuk puisi 8 buah puisi
6) Lain-lain 7 buah puisi
Jumlah 62
(Pecahan di atas bersifat sewenang-wenang dan tidak dapat
dielak dari segi pertindihan tema dan persoalan. Pecahan dibuat untuk
memudahkan pembicaraan dan tidak mutlak).
Tajuk bagi kumpulan puisi ini adalah berdasarkan kepada
puisi awal dan kandungan puisi-puisi lain yang mencerminkan kerinduan dalam
ertinya yang luas – Kerinduan kepada Yang Abadi membawalah kepada yang dicintai
dan dikasihi. Puisi permulaan ini adalah ringkas:
Puncak Rindu
Cahaya di atas cahaya
Aku
Di bawah
Rindu membara
Terbakar fana.
(Puncak Rindu, hlm. 1)
1) Pengalaman Di Tanah
Suci:
Terdapat sebanyak 11 buah puisi merupakan cetusan ilham
semasa berada di Tanah Suci Makkah-Madinah semasa Penulis pergi menunaikan Haji
bersama isteri bagi kali pertama 1405/1985 dan kali kedua pada 1414/1994. Pada
kali pertama tercatat puisi-puisi berikut:
(Pembicaraan didahulukan, kerana puisi berkenaan pada
bahagian permulaan (hlm. 2-12) dan pada (hlm. 54 – 61).
1) Sementara
Keberangkatan
2) Sa`i
3) Di
Baitullah
4) Beriku
Kelazatan Untukku Terus Bertilawat Al-Qur`an
5) Di
Masjid Madinah
Manakala pemergian kali kedua tercatat puisi-puisi berikut:
1) Solat
2) Menghayati
Keindahan Masjid Nabawi
3) Jamaah
4) Seorang
Jamaah
5) Ziarah
6) Keberangkatan
Pengalaman di dua Tanah Suci Makkah-Madinah tidak dapat
dihayati tanpa menyaksi dan mengalami-menghayati. Rasa kekudusan dan menanggapi
kebesaran Ilahi menyelinapi jiwa bila berada dan berdepan dengan situasi di
Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi. Perlu diingat bahawa cetusan yang ditanggapi
di kedua Tanah Suci hanya dirakam secara kasar sahaja pada nota catatan. Puisi-puisi
ini digubah dan diperhalusi bila pulang ke tanahair. Yang lebih penting semasa
ke sana ialah
tumpuan sepenuh jiwa kepada beribadat semata.
Sebelum menjejaki Tanah Suci Makkah-Madinah jamaah mendarat di Lapangan Terbang Jeddah. Penulis
merakamkan pengalaman di Lapangan Terbang Jeddah dengan puisi:
Sementara Keberangkatan
Pada lewat petang hari memanjang
Terhantar kita di lapangan Jeddah
Bersama barang-barang terpunggah
- tersandar lelah.
Penulis mencatat dan mengingatkan diri bahawa mulai dari
sini banyak ujian akan dilalui dan lupakan pada keselesaan. Kata Penulis:
``Sementara keberangkatan
Harus menunggu giliran
Tiada siapa ingin berlamaan di sini
Kerana lambaian Tanah Suci
Makin mendekati.
Kata Penulis:
``Perjalanan ini
Perjalanan ketaqwaan
Kesukaran dihadapi
Terbakar dalam kerinduan.
( hlm. 54).
Tumpuan utama semasa ke Makkah ialah beribadat di Masjid al-
Haram, terutama solat (fragmen):
``Ya Rahman
Ku pasti di tapakku berdiri
Di bumi ku mencecah dahi
sejak bermula solat ini
tidak terkira yang berdiri
dan mencecah dahi di sini
dengan jiwa redah
dengan bibir rekah
dengan mata basah
memohon keampunan
berapa sudah dalam penerimaan-Mu
janganlah jadi penyerahanku
di luar pertimbangan-Mu.
….
Ya Rahman
Ku sujud rapat di ka`bah
Ku kelilingnya bertawaf
Ku kucup hajar al-aswad
Di multazam ku pohon
Di depan makam Ibrahim ku solat
Di hijir Ismail ku berdoa
Semuanya ini tidak bererti
Tanpa penerimaan-Mu
Ya Rabbi.
(hlm. 57-58).
Semasa di Makkah Penulis mencatat pengalaman melakukan Sai`
bagai mengulangi peristiwa yang dialami oleh Saidatina Hajar. Fragmen dari
catatan:
``Aku yang mengulangi peristiwa
Membendung duka mengombak di dada
Sekian lama mengulangi penghidupan
Masih goyah dari ujian
Sesalan berulang
Berhamburan duka di perjalanan.
Dan pada pengakhiran:
Ya Rahman
Ku mohon keampunan
Potongilah dariku kemungkaran
Seperti ku potong rambutku
Pada tahallul ini
Dan basahilah iman ku di dada
Dari dahaga kehidupan
Seperti ku teguk zam-zam ini
Dari dahaga perjalanan.
(hlm. 55-56).
Antara aktiviti utama semasa di Masjidil Haram selain dari
solat ialah membaca al-Qur`an. Kata Penulis:
Ya Rahim
Pada krhadiran ini
Berikan daku kesihatan
Mesrakan daku dengan kalam-Mu
Biar parau suara
Biar garau dada
Beriku lazat dalam bacaan
Mengulangi ayat-ayat-Mu
Menerusi lidah Junjungan
Bersimpuh berlamaan
Di Baitullah berdepan ka`bah
Berulang khatam
(hlm. 60).
Sesungguhnya pemergian menyahut seruan ke Tanah Suci tidak
lain dari membawa kekerdilan diri memohon keampunan Ilahi:
Dan aku
Satu di tengah ratus ribuan
Kecil diri di tengah gelombang
Kecil lagi di sisi-Mu Tuhan
Dengan kekecilan kudatang
Membawa besarnya mohonan
Moga di tengah arus ini
Tidak kuterkeluar dari jalan lempang.
(hlm. 6).
Sekian.