BBB, 10 Muharram 1435 = 14 November 2013 (Khamis):
Makalah Penulis kepada Dian kali keempat berjudul `Gagasan
Maphilindo` terbit dalam Dian Bil. 60, Tahun XII, 1973, hlm. 13 – 25.
Maphilindo ialah singkatan dari gabungan tiga buah Negara,
iaitu Malaya, Philipina dan Indonesia .
Tujuannya ialah untuk menyatukan ketiga buah Negara serumpun dalam satu wilayah
geografi dan politik pentadbiran ? yang selama ini terpecah akibat dari warisan
sejarah yang diterima. Malaya adalah bekas tanah jajahan British – termasuk
Sabah dan Sarawak , Indonesia bekas tanah jajahan
Belanda dan Filipina bekas tanah jajahan Sepanyol. Usaha menyatukan bekas tanah
jajahan pernah berlaku, misalnya pada akhir Peperangan Dunia Kedua ada usaha
dari Kesatuan Melayu Muda (KMM) & pimpinan Indonesia merancang dengan
sokongan Jepun untuk menguruskan kemerdekaan Malaya sebagai sebahagian daripada Indonesia Raya, namun rancangan ini
tidak kesampaian (Kamaruddin Jaffar, Dr. Burhanuddin Al-Helmy – Pemikiran dan
Perjuangan, IKDAS, Sdn. Bhd, Kuala Lumpur: 2000: 5).
Maphilindo adalah gagasan yang timbul menjelang penubuhan Malaysia .
Cadangan menubuhkan Malaysia dicetuskan oleh Tengku Abdul Rahman agar
negeri-negeri di bawah pentadbiran British, iaitu Sabah, Sarawak, Singapura dan
Brunei (bukan Jajahan) di bawah satu Negara yang dikenali dengan Malaysia.
British sendiri sebagai Negara penjajah sendiri tidak merasa senang, tetapi
bimbang jika negeri-negeri jajahannya diberi kemerdekaan secara berasingan
memasalahkan negeri-negeri berkenaan, lebih-lebih lagi dengan jiran-jiran
terdekatnya, sebab itu British merestui
usaha-usaha yang dijalankan oleh Tengku Abdul Rahman Perdana Menteri Malaya bagi
pembentukan Malaysia.
Usaha ini tidak disenangi oleh jiran-jiran terdekat. Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Malaya pada masa itu. Indonesia tidak menyenangi misalnya
Sabah dan Sarawak bersama Malaysia, sedangkan kedua-dua negeri bersempadan
dengan Indonesia, seharusnya ia bersama Indonesia, atau sekurang-kurang akan membawa
koflik kejiranan dengan Indonesia. Manakala Filipina yang menuntut Sabah sebahagian dari Filipina lantaran dari segi sejarah
mempunyai hubungan dengan kerajaan Sulu, di selatan Filipina. Dengan rancangan
memasukkan Sabah sebahagian dari Malaysia ,
Filipina merasa haknya ke atas Sabah makin menghilang menyebabkan Filipina
meningkatkan tuntutannya ke atas Sabah .
Konflik di antara ketiga buah Negara ini menimbulkan
cadangan agar ketiga-tiga pimpinan dari ketiga buah Negara mengadakan
pertemuan. Persidangan telah diadakan di Manila dari 30 Julai hingga 5 Ogos 1963
yang dihadiri oleh Tengku Abdul Rahman Putera Perdana Menteri Malaysia, Sukarno
Presiden Indonesia dan Macapagal Presiden Filipina.
Persidangan ini diadakan berikutan diadakan persidangan pada
peringkat menteri-menteri luar dari ketiga buah Negara dari 7 – 11 Jun 1963 di
tempat yang sama – Manila .
Dalam persidangan itu beberapa keputusan diambil. Macapagal
mencadangkan ketiga-tiga Negara bersatu di bawah satu gagasan yang dikenali
dengan Maphilindo. Satu kejayaan yang dianggap gemilang terutama bagi Indonesia
dan Filipina, untuk penyertaan Sabah dan Sarawaka ke dalam Malaysia, maka
hendaklah diadakan referendam, iaitu pungutan suara bagi mendapat persetujuan menyertai
Malaysia atau sebaliknya di Sabah dan Sarawak yang dikelolakan oleh Bangsa
Bersatu. Dengan keputusan yang diambil semua pihak merasa optimis dan puashati.
Dari segi Maphilindo bagi Indonesia yang mempunyai rakyat terbesar antara tiga
buah Negara, bahawa dengan Gagasan Maphilindo mengembalikan nostalgia dan
mengharapkan terlaksanya hasrat Indonesia mau mendirikan Indonesia Raya
menjelang pengunduran Jepun pada akhir Peperangan Dunia Kedua. Malangnya hasrat
ini tidak terlaksana. Dengan Maphilindo, maka Indonesia
yang mempunyai kawasan paling luas dan rakyat yang lebih ramai, maka sewajarnya
Indonesia
menjadi pemimpin bagi Maphilindo kelak.
Bagi Filipina yang sidang diadakan di negaranya, Manila dan
pemimpin Filipina sendiri – Macapagal mencetuskan idea tentang Maphilindo,
menunjukkan watak kepimpinan Filipina dan diharap melalui Maphilindo, maka Filipina
juga layak memimpin Maphilindo dan juga diharap masalah tuntutan Filipina ke
atas Sabah dan masalah konflik Filipina dengan penduduk wilayah selatannya
dapat diselesaikanm dan wilayah Selatan dan Sabah menjadi sebahagian dari
Filipina. Di Malaysia Gagasan Maphilindo menimbulkan implikasi berlainan antara
kaum di Malaysia .
Orang Melayu pada umumnya menerima baik, tetapi perlu hati-hati terhadap
gagasan tersebut. Orang Cina bimbang dengan Maphilindo akan menekan mereka,
manakala Dr. Sinavasagam dari MIC menentang di dalam Dewan Rakyat tentang
Gagasan Maphilindo, sehingga Tengku membuat penjelasan terhadap kekeliruan yang
timbul. Singapura menyatakan ianya tidak terikat dengan Perjanjian Manila.
Walau macam mana tidak sampai sebulan dari Perjanjian Manila
timbul kekecohan apabila pemungutan suara di Sabah dan Sabah mau dijalankan
yang menjadi syarat penerimaan bagi Indonesia dan Filipina terhadap rancangan
memasukkan Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian dari Malaysia. Kekecohan timbul
apabila Indonesia dan Filipina mau menambahkan jumlah pemerhati dari Indonesia
dan Filipina seramai 30 orang bagi setiap negera yang mana Bangsa Bersatu
menghantar 9 orang pemerhati. Indonesia
dan Filipina membantah apabila mereka hanya dibenarkan oleh British yang masih
berkuasa di Sabah dan Sarawak hanya 8 orang
bagi setiap buah negara. Berikutan dari itu tuduh menuduh berlaku. Sebenarnya
baik Indonesia , maupun
Filipina masing-masing bertujuan untuk menggagalkan rancangan penubuhan Malaysia .
Mereka berjaya mengganggu hingga rancangan penyatuan Sabah dan Sarawak juga Singapura yang dijangkakan diisytiharkan
pada 31 Ogos 1963, terpaksa ditangguh lantaran menunggu keputusan pemungutan
suara kepada 16 September 1963. Pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 tidak diiktiraf
oleh Indonesia dan Filipina
yang menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia
dengan Indonesia
dan Filipina terputus.
Selepas penubuhan Malaysia dan sengkita berterusan,
Macapagal dan Sukarno yang merupakan arkitek Maphilindo kehilangan kekuasaan.
Macapagal telah kalah dalam pilihanraya melawan Marcos pada akhir tahun 1965,
manakala Sukarno digulingkan dalam peristiwa Gestapo 30 September 1965. Jadi
rancangan bagi menubuhkan Maphilindo sebagai ilusi dan angan-angan yang terbengkalai.
Manakala penubuhan Malaysia
tetap berjalan walaupun Brunei
tidak menyertainya dan Singapura dikeluarkan dari Malaysia
selepas penubuhannya (1965), namun Malaysia menuju kemantapan dan
kemajuan sebagaimana kini.
Maphilindo sebenarnya sebuah gagasan yang dicadangkan bukan
secara ikhlas, masing-masing mempunyai tujuan. Indonesia dan Filipina
mengharapkan penubuhan Malaysia gagal, manakala Malaysia terpaksa mematuhi
keputusan mesyuarat, namun selepas pemungutan suara tidak diterima oleh
Indonesia dan Filipina, iaitu sesuatu yang dijangkakan, tetapi Malaysia
mempunyai kesahihan yang kukuh dengan mendapat restu Bangsa Bersatu. Maphilindo
tidak mengkin dilaksana dari segi politik & pentadbiran, baik Malaysia maupun
Filipina tidak mungkin sanggup untuk menjadi sebahagian daripada Indonesia Raya
yang akan menenggelamkan Malaysia dan Filipina bila menjadi sebahagian dari
wilayah-wilayah Indonesia. Jika gabungan secara longgar misalmnya kerjasama
dari segi budaya, bahasa dan ekonomi, mungkin fungsinya boleh dicapai
sebagaimana di dalam Asean. Maphilindo boleh dibincang secara idealis, tetapi
sukar untuk dilaksanakan secara praktis.
Sekian.
saya sebenarnya mahu bercadang untuk menubuhkan sebuah parti yang hampir sama matlamat dan peranan dengan yang sedia ada jika tidak menimbulkan kekeliruan,
ReplyDeletejikalah saya dapat berjumpa dengan semua pemimpin tertinggi parti parti yang ada dimalaysia khususnya parti BN dan BA untuk meminta pendapat elok juga...
apakah pendapat admin tentang perkara ini.