December 31, 2013

Unsur Islam Dalam Puisi Moden Hingga Sebelum Kemerdekaan


BBB, 27 Safar 1435 = 30 Disember 2013 (Isnin):

Agama Islam adalah agama anutan bagi sebahagian besar penduduk di Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya, penulis atau lebih khusus penyair berbahasa Melayu adalah penganut agama tersebut. Dapat dikatakan bahawa sepanjang zaman yang dikaitkan dengan puisi moden berbahasa Melayu, maka wujud penyair-penyair yang mengungkapkan puisi-puisi bertemakan Islam, walaupun tidak sebanyak jumlah puisi-puisi moden yang membawa tema-tema yang lain dari Islam.

Namun selama ini, kesedaran dan pembicaraan yang mengaitkan sastera dan Islam – khususnya moden tidak dilakukan, kecuali selepas 1970an. Dalam Seminar Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam anjuran Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) yang berlangsung di Petaling Jaya (1980), Penulis berpendapat:

``Kesedaran akan kurangnya sastera moden kita membawa tema-tema keislaman secara relatifnya amat baharu, iaitu sekitar tahun-tahun 70an. …Saya berpendapat bahawa kesedaran ini merupakan riak permulaan yang berlaku dalam dunia kesusasteraan kita sebagai akibat gerakan dakwah Islamiah di Negara kita secara khusus dan dunia secara luasnya. … Pendorong ke arah ini mendapat kesan lagi dari gerakan mahasiswa yang bersifat keislaman seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa-Mahasiswa Islam di Universiti-Universiti … ABIM. Sebagai puncak dari kegiatan ini tertubuhlah GAPIM (1 Jamadil Akhir 1396/30 Mei 1976). Gabungan ini antara lain bercita-cita untuk menarik minat penulis-penulis ke arah kesusasteraan Islam serta mengembalikan identiti kesusasteraan Islam di Malaysia.
(Shafie Abu Bakar, Kesusasteraan Melayu dan Islam, dlm. Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam, Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM, Kuala Lumpur, 1980: 17).

Dalam pembicaraan mengenai penyair-penyair Islam bagi puisi moden di Malaysia beberapa tokoh terutama keluaran dari Kolej Islam Malaya selalu dirujuk sebagai tokoh seperti Badaruddin H.O, Marhan, A.Munir, Yahya M.S.  di samping Nahmar Jamil, Norhisham Mustafa, Kemala dan A. Wahab Ali.

Untuk melihat puisi-puisi moden berunsur Islam, maka buku Mengenangmu Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933 – 1986 selenggaraan saudara Ahmad Kamal Abdullah dan saudara Hanafi Ibrahim adalah antara yang terbaik menjadi panduan bagi puisi-puisi yang dihasilkan. Manakala dari Puisi-Puisi Kebangsaan dilihat dari 1913-1932 tidak terdapat puisi-puisi berunsur Islam. Dari Mengenangmu terdapat 44 buah puisi (1933-1957) dari 33 penyair.

Kebanyakan penyair awalan tidak dikenali namanya, lantaran tidak diperkatakan, kecuali Hamka yang sebuah puisinya dimasukkan (dari Sumatera), terdapat beberapa penyair lain dari Sumatera seperti A. Kartahadimadja  yang puisinya terletak pada permulaan antologi, juga Bachtiar Effendi. Kemasukan puisi ini lantaran pada zaman Jepun pentadbiran Malaya dan Sumatera disatukan dan bahan-bahan penerbitan beredar di kedua-dua buah wilayah. Tema-tema yang dibicarakan oleh penyair awalan ialah tentang Umat Islam di Timur seperti ditulis oleh Asmazas yang mau Islam di pulih kembali

Wahai sekalian umat Islam di timur
Baikilah bersama kesalahan ini
Masukkan balik taman bahagia
Penuhkan tabung yang terhampa
Supaya kembali jaya.
  (Majlis, 24 Ogos 1940).
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohad Hanafi Ibrahim, Mengenangmu Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 5).

Hamka dengan puisi panjangnya, mau melihat kembali kemakmuran Negara sebagaimana pernah dicapai pada zaman Empayar Melaka:

Di Atas Runtuhan Melaka Lama

….
Di sini dahulu, di zaman lampau,
Bangsa Melayu penuh kemegahan
Masjid berdiri, muazin menghimbau,
Menyerukan umat tunduk ke Tuhan.

Di sini dahulu alat kebesaran,
Adat resam teguh berdiri,
Duduk semayam Yang Di-Pertuan,
Melimpahkan hukum segenap negeri.

Di sini dahulu medan Hang Tuah,
Sateria moyang Melayu sejati,
Jaya perkasa, gagah dan mewah,
Tidak Melayu hilang di bumi
(Semangat Asia, September 1943).
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim 1989: 9).

Saudara Kamaluddin membicarakan tentang Ketuhanan dan menyeru umat mematuhi perintahNya:

Tuhan

Tuhan yang Esa
Menyeru hamba-Nya membuat kebajikan
Supaya selamat

Diharap berjasa dijauhi daripada ejekan
Kelak terhormat.

Seruan Tuhan kita
Menyuruh mengerjakan hukuman-Nya
Membuat amalan lima waktu.

Kebenaran-Nya terang nyata
Agama Islam sudah muliakan-Nya
Iman Islam pujian tertentu

(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 15).

Manakala M. Rashid Fackry mempuisikan tentang Rasulullah:

Rasul Allah, Junjunganku …!

Tatkala genap usia empat puluh
Junjungan nampak dengan nyata,
Kesesatan manusia berlebih-lebihan:
Mereka tersesat tiada penyuluh,
Berbuat angkara hina leta, Patung dan arca dikata Tuhan,
Hati Junjungan hancur luluh
Wajah Junjungan berlinang air mata, menyaksikan semuanya tiada tahan.
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd. Hanafi Ibrahim, 1989: 22).

Kemudian Junjungan beribadat di Gua Hira`, menerima wahyu dan berdakwah menyibarkan Islam.

Manakala saudara Rashid Taha mempuisikan tentang:

Suara Azan

Bergema azan di waktu subuh
Memuji Tuhan Rabbulizzati
Menunjukkan jalan yang kutempuh
Kepada Tuhan tempat berbakti.

Kurasa badanku dingin sekujur
Tapi darahku mengalir panas
Darahku berombak berdebar-debar
Desakan jiwaku terasa benar.

Kudengar pula terompet berseru
Memanggil pemuda supaya berbakti
Aturlah barisan pemuda baru
Tujulah tempat yang sedang menanti.
Kudengar genderang terus dipalu
Tempik dan sorak beriring-iringan
Perajurit maju sambil meluru
Menghapuskan musuh menuju kemenangan.

(Berita Malai, 3 Oktober 1944).
(Ahmad Kamal Abdullah dan Mohad Hanafi Ibrahim, 1989: 29).
Persoalan yang dibicarakan tidak berfokus dan bercampur aduk.

Terdapat beberapa penyair umum yang sudah dikenali turut sama berpuisi tentang keislaman seperti oleh Masuri S.N. yang menghayati keindahan alam dan katanya:

Sungguh nyaman buaian angin
Membawa bisikan suara muazin
Mengajak insan berjihad raga
Mengabdi kepada Tuhan yang Esa.

(Berita Malai 17 Oktober 1944).

(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 24).

Punggok yang juga mengkagumi alam (Di Tengah Segara, hlm. 27.) dan memohon anugerah cinta (Oh… Tuhan, hlm.28) dan Rashid Talu dengan (Suara Azan, hlm.29).

Bagi puisi-puisi selepas zaman Jepun A. Samad Said muncul dan mengungkapkan:

Kita Ini Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang sekali bawalah bakti padat berkat !

(Utusan Zaman, 13 November 1955)
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 41).

Kita Ini Tetamu Senja adalah antara puisi berunsur Islam terbaik era sebelum kemerdekaan. Penyair lain ialah Tongkat Warrant (Usman Awang) penyair yang juga lahir pada zaman sebelum kemerdekaan turut mengungkapkan puisi bertemakan keinsafan:

Aku Sedar

Kalau sekarang aku telah ingat sedar
Baharu bangun dari tidur mengantuk
Baharu teringat mengucap istighfar
Setelah lama hidup terkutuk.
Dahulu diselubung awan pekat hitam
Kini sudah mulai cerah terang
Aku bersyukur kepada Tuhan yang menjadikan alam
Kerana aku telah sedar dan mula berjuang.

(Utusan Zaman, Julai 1949).
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 67).

Kesimpulannya puisi-puisi Melayu moden berunsur Islam sebelum Perang Dunia Kedua sehingga zaman sebelum kemerdekaan masih rendah mutunya, kurang kematangan dari segi persoalan dibicarakan. Setengahnya tak berfokus dan bercampur aduk dengan semangat perjuangan.

Sekian.

December 30, 2013

Patriotisme Dan Romantisme Dalam Puisi


BBB, 26 Safar 1435 = 29 Disember 2013 (Ahad):

Selepas zaman Jepun memperlihatkan pengucapan penyair-penyair lebih bebas. Puisi-puisi pada zaman Jepun memperlihatkan satu arah – memuji dan mengagung Jepun dan diilusi dengan gagasan Asia Raya, kini sudah berubah. Pengucapan lebih bebas, penyair juga berexperimen, tidak saja dari segi bentuk, tetapi juga melibatkan aliran-aliran. Aliran-aliran yang dapat dilihat dalam satu dekad (1946-1956), ialah Patriotisme dan Romantisme.

Patriotisme

Aliran patriotisme ini berlaku di sepanjang masa dan berlaku di dalam berbagai bentuk puisi, tetapi dengan kesedaran terhadap penjajahan dan inginkan kebebasan dan kemerdekaan elemen ini lebih kental. Antaranya bersifat semangat. Contoh puisi:

Darah Pemuda
Rosmah Zain

Darah yang mengalir dalam tubuhku
Darah perjuangan dalam jantungku
Untuk membela bangsa nusaku.

Darah yang mengalir merah berani
Berjuang tak kira sana dan sini
Untuk kebahagiaan nusaku rani.
Dengan darah membela bangsa
Gadaikan nyawa menebus nusa
Untuk mencapai aman sentosa.

(Majlis, 20 Jun 1964).

(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1978: 411).

Termasuk di bawah Patriotisme juga ialah bersifat kasih sayang dan kecintaan. Contoh:

Tanahairku
Asmara Jaya

Malaya bumi yang suci
Tanahair yang kucintai
Negara yang cantik berseri
Tempatku lahir ke bumi.

Kepada kau … tanahairku
Kupersembahkan tenaga baktiku
Kerana kau bumi pujaanku
Ku pertaruhi jiwa-ragaku.

Aku rela
Badanku hancur lebur
Asal kau tetap luhur !

Kuingin…
Melihat kau merdeka
Mengulangi kebesaran kerajaan Melaka.
(Majlis, 16 Julai 1946).

(Abdul Latiff Bakar, 1987: 432).

Romantisme

Definisi tentang Romantisme begitu cair dan begitu banyak pendapat tentangnya. Aliran ini timbul di Barat pada abad ke 19 (Lilian R. Furst, Romatisme - Terjemahan Shamsiah Md. Said, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991: 2).

Kata Brunetlere:

``Romantik gambaran tentang sesuatu yang melimpah-limpah. Khayalan yang merenungi apa juga yang tidak terhad.``
( Lilian R. Furst, 1991: 3).

Dengan mengambil kira keadaan setempat dan fahaman popular, bahawa Romantisme ialah gambaran tentang sesuatu secara imaginative dan decorative yang berlebihan yang sukar diterima secara reality, tetapi diterima sebagai gambaran seni.

Contoh gambaran tentang:

Malaya Permai
Yusuf Rasyidi

Duduk pagi atau petang
Di bulan purnama cuba amati
Langitnya bersih terang terbentang
Mega berarak menyayukan hati.

Di tepi pantai pasirnya putih
Bercampur biru silang bersilang
Semua dipandang hatiku kasih
Adakalanya hatiku walang.

Bukit dan gunung berbanjar-banjar
Pohon dan rumput menghijau warna
Mega dan awan berkejar-kejar
Menyapu gunung jauh di sana.

Ke kampung Melayu cubalah kelih
Pohon kelapa indah berseri
Terkadang mata takkan beralih
Sukar bandingan – payah dicari.

Layangkan pula pandangan tuan
Ke sawah padi si kaum tani
Membuat kalbu tidak keruan
Mengucap syukur ke Tuhan Rabbani.
….

Gambaran di atas agak berlebih-lebihan, menggunakan akhiran baris ab, ab sebagai pantun – tanpa pembayang dan sememangnya bersifat romantic.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 417.).

Usman Awang dan A. Samad Said adalah penyair-penyair muncul zaman menjelang kemerdekaan. Pada peringkat permulaan mereka nampaknya secara sedar atau tidak mendukung aliran romantisme. Contoh:

Gadis Di Perkuburan
Usman Awang

Nisan condong tegak bertaburan
Gadis menangis kehibaan
Tidak ada padang perjuangan
Pahlawan gugur tergelimpang.

Lari gadis menyemban ke tanah,
Diiringi sedu menggoncang bahu,
Tenang pahlawan dipeluk bumi,
Senyum terakhir tenang tersembunyi.

Gambaran adalah dramatis dan mengundang rasa sedih. Puisi-puisi beliau yang lain yang bersifat romantis seperti Pak Utih, Ke Makam Bonda dan Merpati Putih, Jeljahilah Dunia ini. (Kamaruzzaman A. Kadir, Puisi Sepanjang Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989:128 – 134).

Demikian juga dengan A. Samad Said. Baca puisinya contoh:
Kepulangan Perahu Layarnya
A. Samad Said

Langit cerah di daerah ini ada kemesraannya di malam hari
Perahu-perahu layar bersaingan dikaca ombak pecahan bulan
Dan gadis manis yang kemanjaan menunggukan kepulangan kekasih sayang
Ah, di matanya kemarau cahaya, di hatinya kemarau cinta.

Angin datang begitu mesra, ombak pula begitu manja
Perahu-perahu layar yang bertunda semakin dekat ke teluk rindunya
Dan gadis manis yang menunggu hatinya terlalu terharu
``Ada hendaknya terunaku pulang dari pelayaran itu !``

A. Samad Said menggunakan irama bunyi yang sama antara tengah baris dengan penghujungnya bagi menimbulkan impak yang puitis dan romantis. Elemen sedemikian kedapatan pada puisinya yang berjudul Pada Tanah air Yang Indah,
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 605-606 & 610).

Demikianlah ketara antara puisi-puisi bersifat patriotisme membawa mesej secara bersemangat dan kecintaan pada tanahair, manakala yang bersifat romatis secara lembut dan romantis.

Sekian.

December 29, 2013

Menuju Zaman Kemerdekaan


BBB, 25 Safar 1435 =28 Disember 2013 (Sabtu):

Kekalahan Jepun bersama sekutunya – German di tangan Tentera Berikat berikut dari pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menamatkan kekuasaan Jepun di Asia – termasuk di Indonesia dan Malaya pada tahun 1945. Di dalam Negara yang terlepas dari jajahan Jepun berlaku perjuangan anak watan bagi mendapatkan kemerdekaan. Di Indonesia misalnya tercetus revolusi menentang Belanda yang akhirnya Negara itu mendirikan kerajaan Republik. Di Malaya walaupun ada usaha mencapai kemerdekaan bersama Indonesia, tetapi terbantut. Beberapa masalah timbul misalnya ancaman keselamatan yang ditimbulkan oleh golongan kiri dan radikal menyebabkan berlakunya darurat yang mengukuhkan perkembalian British.

Dalam masa yang sama lahirnya gerakan kemerdekaan seperti tertubuhnya Umno (1946), Pas (1951)’ disamping adanya parti boroh, sosialis dan rakyat, manakala parti Komunis telah diharamkan sejak 1948.

Puisi selepas perang memperlihatkan pengucapan lebih bebas. Sebahagian besar adalah dari kalangan penyair baru. Pusat penerbitan pada masa itu masih lagi di Singapura. Mereka memperkatakan persoalan politik tanahair dengan lebih terbuka dan gerakan politik tanahair mulai rancak. Penyair Anum (Abdul Samad bin Ahmad)  mencatat di dalam puisi – antara terawal (12 Jun 1946) tentang politik tanahair, iaitu Penubuhan `Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu` yang diringkaskan `PEKEMBAR` yang kemudian diubah menjadi UMNO.

Memperingati Semangat Peristiwa
Anum

1 Mac 1946 ialah saat berperistiwa
Saat yang akan tercipta –
Dalam sejarah bangsa kita
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
Mulai menjelma.

Peringatilah dia
Wahai putera-puteri harapan bangsa !
Catatlah dengan tinta emas
Ke dalam buku sejarah
Untuk pujaanmu silang masa.

….
(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 407).

Antara pemimpin yang dicatat oleh Ahmady Asmara (18 Jun 1946) dalam puisinya berjudul:

Persembahan Kepada Datuk Onn

Di ketika umat Melayu terbangun
Mendengar seruan Datuk Onn
Umpama tagar mendayu
Menyeru kepada umat Melayu
Kebangunan pemimpin yang perwira
Iaitulah Datuk Onn terketara
Ayuhai pemimpin utama
Umat Melayu ingin saksama.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 410).

Sebagaimana dalam sejarah berlaku penentangan terhadap Malayan Union. Ini dicatat oleh Hashim Gera dalam puisinya.

Malayan Union Jikalau Datang

Demokrasi punya semboyan
Tanah Melayu jadi Malayan
Ghaib Melayu jawa dan boyan
Hilang cupak dilindung tempayan
Malayan Union jikalau datang
Menghambat Melayu dari belakang
Lari Melayu terbalik kuang
Raja dan datuk lintang pukang.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 419).

Dari segi sejarah dan politik Negara, Umno bukanlah gerakan politik terawal. Ada yang lebih dahulu, ialah KMM di samping API dan AWAS yang lahir sejak zaman Jepun  antaranya KMM yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Hilmi, tetapi tiada pablisiti mengenainya dan tiada catatan dalam puisi lantaran disekat. Tetapi tentang perjuangan Dr. Burhanuddin Hilmi ada dua buah puisi mengenainya. Abhan mencatat liku-liku perjuangan dan sekatan yang dihadapi oleh Dr. Burhanuddin Hilmi.

Irama Hati
(Kepada bapa Burhanuddin al-Helmi)
Abhan

Darah, hati dan seluruh anggota yang ada
Tidak pernah marak melonjak merasa segirang ini
Bila bapa kembali menjelma lagi
Menjejak tanah pesaka – kesan sisa neraka.

Tanah ini pernah bapa jejak lama dahulu
Dan kami masih kecil tiada tahu suatu
Kemudian bapa tinggalkan, pergi masuk pagar berduri
Kami besar panjang – tiada hala pasti.

Darah, hati dan seluruh anggota ini
Pernah mencair menggelegak panas di suatu hari
Dan kemudian beku semula kerana tiada penguasa
Lantas sejuk kaku seluruh anggota yang ada.

Bapa sendiri pernah berada dijulang menara
Meniup nafiri murni, menyanyi lagu istimewa
Kemudian turun semula kerana dianggap merbahaya
Dan kami sedar bapa tidak pernah menderhaka.

Lagu yang bapa gubah dan nyanyikan
Menyerap ke darat, hati dan tulang kami
Demi atas nama insani kami teruskan
Walau suara serak parau kerana tiada senyuman.

Dan kini bapa kembali semula menemui kami
Kasih kami kepada bapa mengerat lagi
``Tiup, tiuplah kembali nafiri murni baring sekali.``
Dan kami menyanyi bersama dalam rentak irama asli.

Ya – darah, hati dan seluruh anggota yang ada
Tidak pernah marak melonjak merasa segirang ini
Bila bapa kembali menjelma lagi
Menjejak tanah pesaka – kesan sisa neraka.

                           Mingguan Pedoman, 19 Januari 1957.
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 612).

Sebuah lagi puisi yang mengungkapkan perjuangan Dr. Burhanuddin Hilmy ditulis oleh Ariffin Mahmud:

Madah Dari Kecapi Hati Anakanda
(Untuk ayahanda Dr. Burhanuddin)

Dari tanah datar yang kekeringan ini bapa bergerak
Mencari tenaga – perpaduan dan kebulatan dari seluruh lapisan
Dan bergerak pada garisan penentuan – garisan pembebasan
Membela bangsa – membela agama – membela Negara

Pada kami anak-anak yang pernah di dunia neraka
Masih bernyala semangat tetap percaya pada bapa
Pada kami anak-anak yang berdiri di belakang ayahanda
Tetap bergerak pada bertujuan pada tumpuan mencari kebebasan.

Sudah lama bapa dan kami dipisahkan
Dan kini kita bertemu kembali di medan perjuangan
Tiup ! tiuplah lagi bapa api ini sampai membakar
Kami tetap pada ikrar – tabah – setia – rela sampai lebur.
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 624).

 Kedua-dua puisi di atas diterbitkan dalam akhbar radikal – Pedoman yang pernah dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan pernah disekat dari penerbitan. Dari puisi di atas dapat difahami betapa perjuangan Dr, Burhanuddin sejak zaman Jepun dan kembali ke zaman British beliau terus mendepani sekatan dan penjara. Dan kematiannya di zaman kemerdekaan adalah akibat dari keseksaan yang dialaminya keluar masuk penjara.

Selain dari puisi bersifat politik `Zaman Menuju Kemerdekaan` ini banyak membawa puisi-puisi yang bernafaskan semangat dan kesedaran. Contoh puisi Abu Samah:

Kebangkitan Kaum Bangsaku

Oh ! Ketinggalan rupanya kaum bangsaku
Di dalam golongan kemajuan masyarakat
Diayun dengan gelombang mimpi

Silalah bangun saudara-maraku
Carilah jalan untuk muafakat
Kemajuan watan segera dihadapi.
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 412).

Zulkifli Muhammad antara penyair yang banyak membawa puisi-puisi yang bersemangat pada zaman menuju kemerdekaan (5 buah) – Antaranya:

Penderitaan Kita

Berkurun-kurun penjajah memijak nusa
Merampas merebut kekayaan Negara kehormatan bangsa
Kita tertindas jatuh gugur telentang tertiarap
Kucar kacir hina-hina terayap-rayap.
Bangunlah putera-putera serentak memalu tambur
Menyedarkan bangsa melaksanakan cinta murni luhur
Membela agama bangsa nusa kampung halaman
Sedarah daging senasib untung handai dan teman
Bersatu daya berpadu tenaga memutus ikatan
Mengubah nasib `azab penderitaan`

                                            (Medan Masyarakat, Mac, 1947).
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 460).

Kesedaran politik pada masa itu dari berbagai aliran sama tujuan bergerak ke arah mencapai kemerdekaan.

Sekian.

December 28, 2013

Meneliti Sejarah Puisi Menyerlahkan. Aku Anak Kelahiran Di Zaman Perang


Meneliti tentang Puisi Melayu Moden
Bersua daku dengan beberapa penemuan
Menarik dan memberangsangkan
Bahawa dengan puisi Omar Mustafa
`Angan-Angan Dengan Gurindam`
Pada 13 Januari 1913
Kini usia puisi Melayu Moden
Genap seabad perkembangan
Namun terabai dari perhatian
Aku mengambil kesempatan
Menyerlahkan dapatan
Sejarah begitu bermakna
Bagi bidang perpuisian.

Dengan usia puisi Melayu moden
Seabad berkembang
Allah mengatur perjalanan
Rupanya penerbitan buku
`Puncak Rindu`
Puncak perpuisianku
Berbetulan seratus tahun perpuisian
Syukur dengan kurniaan
Saat sejarah terpahat
Dan penerimaan anugerah
`Tokoh Persuratan NUMERA`
Sempena seabad itu
Menjadi rangsangan bagiku
Menyerlahkan kemampuan
Meningkatkan mutu perpuisian.

Meneliti seabad puisi Melayu Moden
Dan dekad-dekad pecahan perkembangan
Bahawa era permulaan Jepun menyerang
Menenggelamkan `Prince Repulse` di Laut Kuantan
Aku adalah anak kelahiran zaman perang
Terbayang wajah ninda Hajah Pani
Di anjung rumah tua pesaka kami
Menghadap ke permukaan laut Paka
Mencerita kemaraan Jepun
Bertalu dari kapal dihala mortar dan bom
Ke darat perkampungan kami
Ibuku yang di dalam pantang melahirkan daku
Lari mengindung diriku ke sebalik bukit
Berselindung di celah batuan
Bagi keselamatan dari serangan
Kata nindaku `Hidup begitu perit dan susah`
Kekurangan makanan dan pakaian
Mendepani kegawatan perang.

Walau betapa ujian dilalui
Aku berbangga anak kelahiran perang
Menyaksi episode sejarah dilalui
Perang dan damai
Penerusan penjajahan
Perjuangan kemerdekaan
Pendekatan pengisian
Catatan perpuisian.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
24 Safar 1435
27 Disember 2013.

December 27, 2013

Puisi Zaman Perang !

-->
BBB, 23 Safar 1435 = 26 Disember 2013 (Khamis):

Zaman Perang dimaksudkan bahawa Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya yang sebelumnya dijajah British diserang dan dikalahkan oleh Jepun dan menguasai Malaya dari tahun 1942-1945. Peperangan bererti kemusnahan dan penderitaan. Sebelum dari berlaku peperangan rakyat di Malaya menganggap British satu bangsa yang super dan tidak mungkin dikalahkan oleh mana-mana pihak. Tetapi perang menelanjangi semua. British dapat dikalahkan. Malaya dan Singapura jatuh ke tangan Jepun. Rakyat kagum dengan Jepun dan semacam mengalu-ngalukan kedatangan mereka, tetapi reality selepas kedatangan mereka penderitaan berterusan.

Perang dan kemusnahan dari satu segi boleh mencetuskan kelahiran penulis dan sasterawan yang perkasa semangat dan jiwa melahirkan karya yang hangat dan semangat, juga duka dan airmata yang dengan daya kreatif dapat menghasilkan karya perang yang boleh menggugah jiwa dan minda pembaca. Adakah ini berlaku kepada penyair-penyair di Malaya pada masa itu. Jika ada sejauhmanakah persepsi dan tanggapan mereka terhadap episode dan penderitaan yang dialami dan sejauh manakah pula mereka mampu menurunkannya ke dalam karya kreatif. Bayangkan puisi-puisi Chairil Anwar yang mengungkap puisi perang ! yang katanya ``Aku ini binatang jalang !

Aku

Kalau sampai waktuku
`Ku mau tak seorang `kan merayu
Tidak juga kau.

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi.

(Chairil Anwar, Deru Campur Debu,, P.T. Pembangunan, Jakarta, 1984: 7).

Ungkapan di atas seperti lahar kepanasan membuak-buak keluar dari jiwa bak gunung berapi yang hangat dengan situasi peperangan. Biar tersepit dan terpanggang di tengah kegawatan perang, diancam peluru dan kematian Chairil tetap bersemangat meneruskan perjuangan, beliau mengungkap `mau hidup seribu tahun lagi !` Adakah penyair-penyair Malaya menggelegak jiwa dengan situasi perang, mampu mengungkapkan keintiman pengalaman yang begitu hangat dan tajam ?

Zaman Perang di Malaya melahirkan lebih kurang 60 orang penyair dengan kurang daripada 100 buah puisi, namun situasi di Malaya berbeza dengan Indonesia yang rakyatnya sendiri terlibat di dalam perang dan revolusi di Indonesia yang menentang Jepun dan Belanda yang mau kembali (Belanda) menjajah Indonesia. Tiada puisi di Malaya yang bertema perang yang begitu membuak dengan semangat, lantang dengan perjungan dan menggadai nyawa demi kemerdekaan (Indonesia).

Rakyat di Malaya pada permulaan rata-rata kagum dengan kemenangan Jepun, bahkan mengalu-ngalukan kedatangan mereka. Kata Bachtiar Effendi dengan puisinya `Masih Berperang`:

Asap menggelap di udara Malaya
Masa Nippon baru datang
Menyerang pertahanan tentera British
Yang ditemberangkan garang

Bom meriam
Menderam di malam kelam
Pelor rintis
Angkasa membawa api
Menghancurkan buku bangsa Britania
Lebur kuasa orang putih.
(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 373).

Gadis Muar mengalu-ngalukan kehadiran Jepun. Ini diungkapkan dalam puisinya:

Oh Malaya
Gadis Muar

Oh Malaya ! Tanahairku kami berseru
Negeri yang makmur aman lagi berbahagia
Syukurlah kerajaan Nippon datang meluru
Melepaskan Malaya daripada cengkaman British yang aniaya.

Oh Malaya ! Bertuahlah kamu masa ini
Semenjak kerajaan Nippon datang memerintah di sini
Menjalankan tadbir yang sempurna besar dan seni

Panjangkanlah umurnya mudah-mudahan dikurniakan Rabbani.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 340).

Pujian diberi terhadap kehadiran Jepun dengan slogan dibawanya `Asia Raya` Kata Shoma Jaya:

`Asia Raya` mula dibina
Anjuran Dai Nippon elok sempurna
Andainya kita bena tak bena
Akhirnya hidup serasa fana.

Rajinlah membaca `Suara Timur`
Rahsia mencapai kehidupan makmur
Rebutlah keemasan di Asia Timur
Rapat berdamping dengan Dai Nippon termasyhur.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 349).

Peperangan berlaku dianggap seolah wajar dan diperlukan, kata Mahmud Ahmad, dengan puisinya berjudul `Kehidupan Baru`:

`Bom di sini bom di sana
Beberapa banyak jiwa yang fana
Perbuatan itu kelihatan hina
Tetapi sebaliknya kemakmuran dibina.

British, Belanda penghisap darah
Itulah tujuan dipukul darah !
Tetapi kerana tersalah arah
Terkenalah kita luka berdarah.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 353).

Bachtiar Effendi antara penyair zaman Jepun yang banyak menghasilkan puisi (lebih dari 6 buah) mengharapkan kemakmuran dapat dilaksanakan di Malaya:

Melayu Muda

Matahari sudah terbit Asia
Sampai masa buat kita berusaha
Mencapai mendapatkan Malaya Raya
Marilah sama-sama
Bekerja buat Malaya
Angkat tinggi darjat bangsa
Tanah tumpah darah
Janganlah segan lemah
Berkorban buat Malaya
Mari bersama bekerja dengan Melayu Muda !

(Puisi ini diangkat menjadi lirik lagu bagi sambutan Hari Malai Baru !)

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 359).

Penyair Masuri S.N. mencipta nama pada zaman Jepun dan antara penyair paling banyak menghasilkan puisi zaman Jepun (15 buah), turut sama bersemangat dengan cita-cita `Asia Raya`:

Perajurit Negara

Berbaris berjejar, hebat bergaya
Pergi bertempur, penuh darura
Menyerah raga dengan sukarela
Mencipta bahagia `Asia Raya`
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 391).

Masuri begitu bersemangat dengan gagasan Asia Timur dan sama berjuang untuknya. Kata Masuri:

Bakti Putera Timur

Beta lahir di timur
Bumi nan luhur
Tanah yang makmur
Penuh ratna bertabur.

Beta Putera Asia
Sebagai kembang Negara
Penuntut bela
Pengawal nusa bangsa.

Tiada reda sekali-kali
Tanah air beta dilumuri barat
Biar tercerai roh tajali.

Beta tepa, berbakti jihad
Hanya inilah bakti hamba
Sebagai putera, Asia Timur
Mengawal menjaga, tanah persada
Agar kekal gemilang makmur.

(Kamaruzzaman A. Kadir, Puisi Sepanjang Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 64).

Nampaknya semua penyair zaman Jepun bersemangat dengan kehadiran Jepun, agar Malaya makmur di bawah gagasan `Asia Timur`. Tidak ada suara yang menentang atau mengecam ! Walau bagaimana perlu diingat, pada masa Jepun media dikawal ketat, hanya yang berpihak kepadanya mendapat tempat di dalam penerbitan-penerbitan yang terhad seperti Matahari Memancar, Sinaran Matahari, Suara Timur, Fajar Asia, Semangat Asia dan Berita Malai. Semua penerbitan bersifat kejepunan dan tiada penerbitan lain dibenarkan.

Api peperangan Dunia Kedua, turut membakar semangat penyair-penyair di Malaya, walaupun pengucapan mereka tidak sehebat penyair Indonesia yang langsung berada di dalam kancah revolusi dan peperangan menentang Belanda bagi menegakkan kemerdekaan Negara. Penyair kita secara halus maukan kebebasan, terlepas dari penjajahan Barat – British. Mereka menjangka ini dapat dicapai melalui pembebasan yang dilakukan oleh Jepun dan berharap dapat membina kemakmuran negera melalui Asia Raya, tetapi peperangan dan penguasaan luar – tanpa kemerdekaan sejati, tidak menjanjikan semua ini !

Sekian.

December 26, 2013

Seratus Tahun Perkembangan Puisi Melayu Moden


22 Safar 1435 = 25 Disember 2013 (Rabu):

Berdasarkan kepada  puisi moden terawal diterbitkan ialah pada 18 Januari 1913 oleh Omar Mustaffa berjudul `Angan-angan Dengan Gurindam`  yang terbit dalam Utusan Melayu pada tarikh tersebut, maka kini (2013) usia Puisi Melayu moden telah mencapai 100 tahun atau seabad genap, iaitu satu tempoh yang panjang yang cukup mencerminkan perkembangan puisi moden itu sendiri. Dari permulaan puisi awal hingga sebelum kemerdekaan lebih dari 500 buah puisi dihasilkan oleh lebih dari 300 penyair, (Lihat: Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987:XXX1 – lii) maka dalam tempoh 100 tahun, khususnya selepas kemerdekaan hingga kini jumlah puisi moden tentulah berkali ganda banyaknya.

Walaupun dilihat dari permulaan digubah puisi moden oleh Omar Mustaffa penyair-penyair terus lahir, tetapi melihat kepada perubahan gaya pengucapan amat perlahan, bahkan dapat dikatakan dari tahun 1913 hingga perang dunia kedua perubahan dari segi bentuk amat static. Untuk perbincangan lebih lanjut Penulis melihat dalam tempoh seratus tahun perkembangan puisi moden dapat dibahagikan kepada tahap-tahap berikut:

1)      1913 hingga menjelang Perang Dunia Kedua (1941)
2)      Zaman Jepun (1942 – 1945)
3)      Selepas Jepun hingga menjelang Kemerdekaan (1946-1956)
4)      1957 – 1969
5)      1970- 1999
6)      2000- Kini.

Tahap 1913 – Menjelang Perang Dunia Kedua

Sebenarnya selepas Omar Mustaffa dengan pengucapan puisi bebasnya – berjudul Angan-Angan Dengan Gurindam, tiada pengikut dan penerusan mengungkapkan puisi secara bebas seperti Omar Mustaffa, sebaliknya hampir keseluruhan mengungkap puisi terikat persis syair contoh seperti Harun Aminurrashid, walaupun persoalan dan isi adalah baharu, tetapi gaya pengucapannya kembali kepada syair. Contoh puisinya yang berjudul:

Semenanjung

Penulis termenung sutu hari
Kepada semenanjung yang difikiri
Tanahairku tumpah darah sendiri
Mengenangkan halnya zaman yang lari.

Ayuhai Semenanjung buah hatiku
Mengapakah kamu demikian laku
Membiarkan puteramu duduk berteleku
Bersenang lenang belia berpangku ?
Dan seterusnya.

(Abdul Latiff Bakar, 1987; 21).

Gaya terikut sedemikian diungkapkan oleh beratus penyair lain, contoh Ingatkan Semenanjung Tanahairku oleh IBHY (Abdu Latiff, hlm. 26-27), Nasihat Kepada Pemuda oleh Zainal Rashid (35-36), Buah Percintaan oleh Rahimu Yakubi (39-40), Wahai Bangsaku Di Semenanjung oleh Yaakub Mohd. Amin (44-45) dan banyak lagi.

Beberapa pengucapan secara bebas selepas  Omar Mustaffa, ialah puisi yang dihasilkan oleh Kasmani Haji Arif berjudul `Pertanyaan Sukma. Kata Kasmani:

Pertanyaan Sukma

Sedih
Bagaimana air
Tak mendidih ?
Sedang tenang
Dalam tempayan
Dilumba api
Setiap petang.

Bagaimana hati
Tak sedih ?
Buah lebat
Dalam taman
Habis dijolok
Orang datang

….

(Abdul Latiff Bakar, 1987: 88).

Sebuah lagi puisi yang membawa penyimpangan ialah, Ayuhai ! Malaya – Watanku oleh
Mohamad Ali Mohamad:

Ayuhai ! Malaya – Watanku

Oh ! Malaya !  Watanku !
Tanah tumpah darah kaum bangsaku
Masyhur namanya tanah bumiku ini
Bukannya sahaja ketika ini ! dari pun dahulu dikenali

Apakah tidak dikatakan demikian perinya ?
Lihatlah mewah – makmur – kaya – aman – senang dan lenang
Sukanya kaum ku duduk – tidur
Makan dan minum semuanya dengan hati yang lapang dan tenang

…..

(Abdul Latiff Bakar, 1987: 124).

Dilihat dari segi tema, maka kebanyakan puisi-puisi sebelum perang membawa tema-tema cintkan tanahair, kesedaran ekonomi dan ketinggalan dari segi kemajuan. Walau  bagaimana tidak ada suara yang lantang misalnya menuntut kebebasan, apa lagi kemerdekaan.

Di samping tema-tema di atas terdapat penyair-penyair yang membawa tema keislaman dan keinsafan. Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim menghimpunkan puisi-puisi yang bernafaskan keislaman dan keinsafan antara tahun 1933-1986. Antara tahun 1933 hingga sebelum Perang Dunia Kedua (1941) terdapat sebanyak:

1)      Umat Islam Di Timur oleh  Asmazas (24 Ogos 1940).
2)      Sariku  oleh Atma Jiwa (Disember 1933)
3)      Tuhan oleh Kamaluddin (30 September 1940)
4)      Anak Yatim oleh Kasmani Haji Ariff (1 Julai 1937)
5)      Islam oleh Kasmani Haji Ariff (1 Julai 1937)
6)      Selamat Hari Raya oleh Kasmani Haji Ariff (3 Disember 1937)
7)      Putaran Masa oleh M.B. Abdul Malek (23 Januari 1941).
8)      Berserah Diri Kepada-Nya oleh Nijar Abdul Hamid (23 Januari 1940)
9)      Hanya Dia Tempat Mengadu oleh Nijar Abdul Hamid (24 Februari 1940)
10)  Di Tengah Segara oleh Pungguk (Disember 1933)
11)  Oh … Tuhan oleh Pungguk (Julai 1936)
12)  Dewasa Subuh oleh Roslani Ashikin (5 Julai 1940).
13)  Janjian Tuhan oleh Shamsuddin Saleh (Jun 1941).

Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, Mengenangmu – Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 5-34).

Jumlah puisi bernafaskan Islam sebelum Perang Dunia Kedua adalah sedikit, tetapi ketara banyak yang meluahkan ilham secara bebas. Contoh:

Umat Islam Di Timur
….
Islam menerangi timur seluruhnya
Tapi alangkah …hiba
Manakala datang si pancaroba
Bumi tanah kita terbalik gelantang
Ke mana kita sekarang berada
Carilah ! Salahnya diri sendiri
Wahai sekalian umat Islam di timur
Baikilah bersama kesalahan ini.
Asmazas                         (Mastika, 24 Ogos 1940)

(Mengenangmu, 1989: 5).

Pengucapan bebas juga dapat dilihat pada puisi:

Anak Yatim

Anak miskin – yatim piatu
        Segenap waktu
Mengharap Bantu !
        Tidakkah tuan-tuan menaruh belas
Memberi sedekah
         Menolong nafkah
Memelihara mereka itu ?
….

Kasmani Haji Ariff,        (Bulan Malaya, 1 Julai 1937).

(Mengenangmu, 1989: 17).

Ungkapan secara bebas juga dilakukan oleh Nijar Abdul Hamid:

Hanya Dia Tempat Mengadu

Hening, bening, tenang, benang
    Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa
Kuteringat lalu terkenang
    Kuraba mataku basah !
Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa
    Menggerakkan daun-daun kayu
Bila kuraba mataku basah
    Kiranya hatiku bertambah pilu !
Menggerakkan daun-daun kayu
    Teringat diriku dagang melara
Bermacam-macam bunyi suara

….
                          (Majlis 24 Februari 1940).

(Mengenangmu, 1989: 26).

Penerbit-penerbit yang memberi ruang kepada penulis-penulis sebelum Perang Dunia Kedua adalah terhad. Penerbit-penerbit sebelum perang Dunia Kedua ialah Utusan Melayu, Malaya, Al-Ikhwan, Jasa, Warta Negara, Lidah Benar, Temasik, Majlis, Tanah Melayu, Warta Ahad, Al-Hikmah, Persahabatan, Warta Jenaka, Warta Malaya, Majalah Guru, Bulan Melayu, Utusan Zaman, Idaman, Semangat Asia, Berita Malai dan Mastika.

Sebagai puisi moden peringkat permulaan yang diterbitkan di dalam penerbitan-penerbitan sebelum Perang Dunia Kedua, walaupun mungkin tidak begitu tinggi dari segi mutu, tetapi amat penting melihat dari segi sejarah penulisan dan perkembangan daya estetik perpuisian dan pemikiran masyarakat sezaman.

Sekian.

December 25, 2013

Puisi: Antara Tradisi Dan Moden - Omar Mustaffa Mempelopori Puisi Moden Seabad Silam


BBB, 21 Safar 1435 = 24 Disember 2013 (Selasa):

Bila membicarakan tentang puisi, sudah diterima bahawa puisi dibahagikan kepada puisi tradisi dan moden. Apakah yang menjadikannya tradisi (dikenali juga dengan lama dan klasik) dan mengapa pula ada yang menjadikannya moden (juga dikenali dengan baru). Sebagai bidang puisi kedua-duanya mempunyai ciri-ciri estetika, mesej dan nilai yang berbeza menurut nilai masyarakat yang melahirkannya. Menurut S. Takdir Alisjahbana:

``Puisi lama berbeda dengan puisi baru … tentang pilihan kata, tentang susunan kalimat, tentang jalan irama, tentang fikiran dan perasaan yang terjelma di dalamnya … tentang isi dan bentuknya… Puisi lama ialah sebagian dari pada kebudayaan lama yang dipancarkan oleh masyarakat lama.

(S. Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru Limited, Petaling Jaya, Selangor, 1971: 5).

Menurut saudara Mohd. Yusof Md. Nor  & Abd. Rahman Kaeh,

``Puisi-puisi lama itu merupakan warisan leluhur kita, yang lahir dari daya kreatif, berdasarkan pemikiran dan pengalaman orang tua-tua. Puisi-puisi yang beranekaragam bentuknya itu dicipta atau digubah dengan menampilkan warna suasana masayarakat Melayu, dan dilatari pula kekayaan alam semula jadi, iaitu alam Melayu, Justeru itu puisi-puisi Melayu lama amat cepat mesra dan digemari oleh masyarakat Melayu suatu ketika dahulu, bahkan sebahagiannya dapat bertahan sejak dahulu hingga sekarang.``

(Mohd. Yusof Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1991: V).

Menyebut beberapa jenis puisi lama membayangkan kepada kita tentang bentuk dan ciri lamanya. Contoh pantun dan syair yang kedua-duanya berbentuk terikat dan mempunyai ciri tersendiri. Contoh pantun:

Hendak memetik daun palas,
        Buat isi buah berangan;
Berbudi bukan minta dibalas,
        Hanya untuk kenang-kenangan.
(Sekalung Budi Seuntai Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990: 26).

Ciri dan nilai tradisi boleh dilihat dari bait puisi di atas yang berbentuk ab, ab, dengan adanya pembayang dan maksud, suku kata setiap baris antara 9 – 12 sukukata dengan nilai murni masyarakat tradisi yang amat menjunjung budi.

Begitu juga dengan syair yang merupakan puisi Melayu tradisi yang dipengaruhi puisi Arab, contoh:

Syair Siti Zubaidah Perang China

Inilah kisah suatu cetera,
Ceritanya Raja Kembayat Negara,
Kerajaan besar tiada terkira
Banyak raja-raja tiada setara.

Inilah konon akan ceteranya,
Seorang raja sangat besarnya,
Sultan Darman Syah konon namanya,
Kembayat Negara nama negerinya.

Adil dan murah lagi berani,
Rakyatnya banyak tiada terperi,
Namanya masyhur ke sana sini,
Warta baginda raja yang ghani.

(Abdul Mutalib Abdul Ghani, Syair Siti Zubaidah Perang China,  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991: 1 – 2).

Ciri tradisinya syair terikut dengan hujung setiap baris a, a, a, a. Setiap baris mempunyai suku kata antara 9 -12. Tema dan isinya mengenai masyarakat lama tentang Siti Zubaidah dan Perang yang berlaku di negeri Kembayat Negara (Kemboja – Campa Negara Melayu lama ?).

Tentang puisi moden

Dapatlah dikatakan bahawa puisi moden yang lebih khusus dikenali dengan sajak adalah evolusi dari bentuk pantun dan syair. Sifatnya berubah dari ciri pantun, syair dan beberapa puisi tradisional yang lain. Sebagai contoh diperturunkan puisi `sajak` yang dianggap terawal dan menyimpang dari puisi tradisional:

Angan-angan dengan gurindam
(Omar Mustaffa)

Bangkitlah bangkit !
Mengapa tidur lama sangat ?
Di mana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita !
Bangkitlah bangkit !
Timah dimasak sudahlah hangat
Mengapa dibiarkan bangsa lain mengambil bijih kita ?
Bangkitlah bangkit !
Tidakkah ingin menjadi kaya dengan bangat ?
Mengapa dibiarkan bangsa lain bertanam getah di tanah kita ?
Bijih dan getah ! bijih dan getah !
Inilah jalan kekayaan yang tentu
Hasil negeri kita yang besar dapat di situ
Bijih dan getah ! bijih dan getah !
Dari sebab itu bangkitlah bangkit!
Janganlah asyik dengan berjoget
Lihatlah kekayaan Loke Yew Chow Kit !
Hartanya beribu bermilion ringgit
Segeralah tuan jangan lengah
Segera berbudi kepada tanah
Kerana tanah baik budinya
Lambat-laun usaha dan penat kita dibalasnya.
      
                                           (Utusan Melayu, 18 Januari 1913).

Puisi di atas menunjukkan penyimpangan langsung dari puisi tradisi sama ada pantun, syair dan sebagainya. Walaupun judul dikait dengan gurindam, tidak ada hubungan dengan bentuk gurindam. Puisi ini tidak terikat. Pengucapan adalah secara bebas, manakala baris-barisnya tidak dikawal secara bunyi akhir baris yang sama, bahkan barisnya tidak seimbang dari panjang dan pendeknya. Mesejnya jelas dan terang, iaitu menyeru masyarakat supaya bangkit berusaha dan tidak membiarkan kekayaan hasil Negara diexploitasi dan dinikmati oleh pihak luar, khususnya penjajah. Ada kesedaran dari segi ekonomi dan kenegaraan. Persoalannya semasa dan moden.

Penyimpangan dari segi bentuk dan pengucapan puisi bebas ini (sajak) ada hubungan dengan kesedaran sosial, ekonomi dan politik yang mulai tiba ke Negara kita akibat dari revolusi sosial, industri dan politik di barat yang mengeksploitsi Negara-negara timur yang mereka jajah – termasuk Negara kita, kerana kepentingan ekonomi, politik dan kekuasaan. Dapat juga ditafsirkan perubahan pengucapan puisi dari ciri-ciri terikat adalah penentangan terhadap nilai-nilai feudal yang pada zaman tradisi amat mengikat masyarakat.

Pengucapan Omar Mustaffa seabad (100 tahun) dahulu adalah satu keberanian dan mendahului zaman yang pada masa itu masih feudal, terikat dan dibelenggu penjajahan.
Puisi Angan-angan dengan Gurindam Omar Mustaffa mempersaksi dan membuktikan dari segi penentangan terhadap keterikatan kepada perubahan dan kebebasan !

Sekian.

December 24, 2013

Mesyuarat Masalah Perumahan Berpengawal Di Mutiara Bangi Gagal Capai Persetujuan

-->
MPKj, 20 Safar 1435 = 23 Disember 2013 (Isnin):

Sejak Persatuan Penduduk Mutiara Bangi melaksanakan Skim Perumahan Berpengawal (Guarded Community) pada pertengahan tahun ini (sekatan 24 jam) mencetuskan bantahan dari penduduk kawasan 1/3 – Kawasan Surau al-Umm, penduduk kawasan  2/1B, 2/1J & 2/1K di bawah Surau Damai dan penduduk kawasan 3 Tambahan yang selama ini menggunakan jalan awam yang merentasi Mutiara Bangi tanpa sekatan.


Pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerima aduan penduduk melalui:

1)      Aduan Star (18-20 Ogos 2013). Tulisan berkenaannya juga terbit dalam Sinar Harian dan juga Utusan Melayu.
2)      Penduduk juga menyalurkan bantahan melalui Pengerusi Surau al-Umm pada 29 Ogos 2013.
3)      Persatuan Penduduk Mutiara Bangi membuat permohonan mengekalkan Sistem Berpengawal surat bertarikh 30 Ogos 2013.
4)      Pihak MPKj mengarahkan Persatuan Penduduk memasang notis pemberitahuan di lokasi tertentu dalam tempoh 21 hari bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas penduduk.
5)      Pada 12 Disember Persatuan telah memasang Notis Pemberitahuan dan tempoh maklumbalas penduduk sehingga 14 Disember 2013. Notis tidak mengendurkan bantahan.

Penduduk Mutiara Bangi yang Berpengawal mengandungi 80 buah rumah di Mutiara Bangi dan 31 buah rumah Villa House.

Bagi mengatasi rasa tidakpuas hati penduduk, maka pada hari ini MPKj memanggil wakil-wakil Persatuan Mutiara Bangi,  wakil-wakil daripada surau-surau dan penduduk bagi membincang dan mengatasi masalah yang dihadapi. Hadir ke pertemuan Datuk Nizam bin Sahari Pengarah, Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj, Tuan Haji Omar Pengerusi Persatuan Penduduk Mutiara Bangi, Dato` Othman Desa Mantan Pengerusi Persatuan Penduduk Bangi Mutiara. Pengerusi Surau al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar bersama Hjh. Kamariah & Hajah Ramlah, Wakil Pengerusi Surau Damai Ybhg. Raja Fuaddin mewakili Pengerusi En. Ajid Che Kob dan wakil-wakil, En Ahmad Marzuqi, saudara Shukor Atan Ahli MPkj, saudara Adhram Musa Ahli MPKj, saudara Mohd Fahmi Wakil Adun Bangi Ustaz Shafie Ngah saudara Talzi Hao Wakil Ahli Parliman Serdang – Dr  Ong. Dan lain-lain yang jumlah semua 25 orang.

Permulaan perbincangan Datuk Nizam membaca Garis Panduan Skim Perumahan Berpengawal Di Negeri Selangor. Jika dilihat pada syarat-syarat dan diterapkan kepada Mutiara Bangi, maka Mutiara Bangi tidak menepati syarat dan tidak berhak menyekat jalan awam yang diguna orang awam. Antara syarat yang tidak ditepati oleh Mutiara Bangi:

1)      Pelaksanaan hanya dibenarkan bagi kawasan komuniti yang tidak mempunyai jalan bersambung atau dihubungkan dengan kawasan komuniti bersebelahan dan sekitarnya.
2)      Pelaksanaan hanya dibenarkan bagi kawasan yang tidak mempunyai kemudahan yang berkongsi seperti surau, Sekolah, padang bola dan sebagainya seperti diperuntukkan dalam Pelan Kebenaran Merancang/Pelan Susun Atur asal yang diluluskan
3)      Penghalang hanya dibenarkan beroperasi dari jam 12.00 tengahmalam sehingga 6.00 pagi
4)      Penggunaan kad akses (automatic) dilarang sama sekali
5)      Tidak dibenarkan menghalang kenderaan keluar/masuk ke kawasan berkenaan.

Wakil Penduduk Mutiara Bangi mengemukakan hujah:

1)      Guarded Community diadakan kerana mengikut keputusan mesyuarat penduduk
2)      Kerana menjaga keselamatan. Banyak kes pecah rumah
3)      Guna stika untuk pengenalan dan kawalan.

Hujah Penduduk Jiran Bagi Mutiara Bangi yang membantah

1)      Mereka juga mewakili penduduk di bawah surau-surau dan masyarakat setempat menyampaikan bantahan.
2)      Masalah keselamatan bukan saja dialami penduduk Mutiara Bangi, tapi juga di luar dari Mutiara Bangi.
3)      Mengganggu dan menyusahkan perjalanan yang sepatutnya lebih selamat (ada traffic light).

Turut bercakap saudara Shukor Atan dan saudara Adhram Musa yang kedua-duanya Ahli MPKj, saudara Fahmi Wakil Adun Bangi dan saudara Talzi Hao Wakil Ahli Parlimen Serdang yang maukan masalah diselesaikan dengan baik, tidak membezakan masyarakat dan menimbulkan imej buruk penduduk Bangi keluar dan wujud halangan psikologi dan sosial dalam kelompok masyarakat.

Rumusan:

Penduduk Mutiara Bangi mau kekalkan amalam Guarded Community mereka.
Pihak Membantah dari tiga kawasan sekeliling mau ditiadakan Guarded Community.

Cadangan Kompromi:
Mantan Adun Bangi cadangkan supaya kembali kepada praktik asal `Sekatan` hanya dari jam 9.00 malam hingga 6.00 pagi sahaja.


Tapi Datuk Nizam mencadangkan tempoh percubaan, TIADA SEKATAN WAKTU PUNCAK:

1)      6.00 – 9.00  pagi
2)      12.00- 2.00 petang
3)      5.00 – 9.00 malam

Tempoh percubaan 2 bulan (Januari – Februari 2014). Maklumat Kenyataan hendaklah dipasang dengan jelas.
Sekiranya berjaya diteruskan. Jika tidak diajukan bantahan dan pertemuan akan diadakan kembali.

Sekian.