BBB, 21 Safar 1435 = 24 Disember 2013 (Selasa):
Bila membicarakan tentang puisi, sudah diterima bahawa puisi
dibahagikan kepada puisi tradisi dan moden. Apakah yang menjadikannya tradisi
(dikenali juga dengan lama dan klasik) dan mengapa pula ada yang menjadikannya
moden (juga dikenali dengan baru). Sebagai bidang puisi kedua-duanya mempunyai
ciri-ciri estetika, mesej dan nilai yang berbeza menurut nilai masyarakat yang
melahirkannya. Menurut S. Takdir Alisjahbana:
``Puisi lama berbeda dengan puisi baru … tentang pilihan
kata, tentang susunan kalimat, tentang jalan irama, tentang fikiran dan
perasaan yang terjelma di dalamnya … tentang isi dan bentuknya… Puisi lama
ialah sebagian dari pada kebudayaan lama yang dipancarkan oleh masyarakat lama.
(S. Takdir Alisjahbana, Puisi Lama, Zaman Baru Limited,
Petaling Jaya, Selangor, 1971: 5).
Menurut saudara Mohd. Yusof
Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh,
``Puisi-puisi lama itu merupakan warisan leluhur kita, yang
lahir dari daya kreatif, berdasarkan pemikiran dan pengalaman orang tua-tua.
Puisi-puisi yang beranekaragam bentuknya itu dicipta atau digubah dengan menampilkan
warna suasana masayarakat Melayu, dan dilatari pula kekayaan alam semula jadi,
iaitu alam Melayu, Justeru itu puisi-puisi Melayu lama amat cepat mesra dan
digemari oleh masyarakat Melayu suatu ketika dahulu, bahkan sebahagiannya dapat
bertahan sejak dahulu hingga sekarang.``
(Mohd. Yusof
Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh,
Puisi Melayu Tradisi, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1991: V).
Menyebut beberapa jenis puisi lama membayangkan kepada kita
tentang bentuk dan ciri lamanya. Contoh pantun dan syair yang kedua-duanya
berbentuk terikat dan mempunyai ciri tersendiri. Contoh pantun:
Hendak memetik daun palas,
Buat isi buah
berangan;
Berbudi bukan minta dibalas,
Hanya untuk
kenang-kenangan.
(Sekalung Budi Seuntai Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 1990: 26).
Ciri dan nilai tradisi boleh dilihat dari bait puisi di atas
yang berbentuk ab, ab, dengan adanya pembayang dan maksud, suku kata setiap
baris antara 9 – 12 sukukata dengan nilai murni masyarakat tradisi yang amat
menjunjung budi.
Begitu juga dengan syair yang merupakan puisi Melayu tradisi
yang dipengaruhi puisi Arab, contoh:
Syair Siti Zubaidah Perang China
Inilah kisah suatu cetera,
Ceritanya Raja Kembayat Negara,
Kerajaan besar tiada terkira
Banyak raja-raja tiada setara.
Inilah konon akan ceteranya,
Seorang raja sangat besarnya,
Sultan Darman Syah konon namanya,
Kembayat Negara nama negerinya.
Adil dan murah lagi berani,
Rakyatnya banyak tiada terperi,
Namanya masyhur ke sana
sini,
(Abdul Mutalib Abdul Ghani, Syair Siti Zubaidah Perang
China, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1991: 1 – 2).
Ciri tradisinya syair terikut dengan hujung setiap baris a,
a, a, a. Setiap baris mempunyai suku kata antara 9 -12. Tema dan isinya
mengenai masyarakat lama tentang Siti Zubaidah dan Perang yang berlaku di
negeri Kembayat Negara (Kemboja – Campa Negara Melayu lama ?).
Tentang puisi moden
Dapatlah dikatakan bahawa puisi moden yang lebih khusus
dikenali dengan sajak adalah evolusi dari bentuk pantun dan syair. Sifatnya
berubah dari ciri pantun, syair dan beberapa puisi tradisional yang lain.
Sebagai contoh diperturunkan puisi `sajak` yang dianggap terawal dan menyimpang
dari puisi tradisional:
Angan-angan dengan gurindam
(Omar Mustaffa)
Bangkitlah bangkit !
Mengapa tidur lama sangat ?
Di mana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita !
Bangkitlah bangkit !
Timah dimasak sudahlah hangat
Mengapa dibiarkan bangsa lain mengambil bijih kita ?
Bangkitlah bangkit !
Tidakkah ingin menjadi kaya dengan bangat ?
Mengapa dibiarkan bangsa lain bertanam getah di tanah kita ?
Bijih dan getah ! bijih dan getah !
Inilah jalan kekayaan yang tentu
Hasil negeri kita yang besar dapat di situ
Bijih dan getah ! bijih dan getah !
Dari sebab itu bangkitlah bangkit!
Janganlah asyik dengan berjoget
Lihatlah kekayaan Loke Yew Chow Kit !
Hartanya beribu bermilion ringgit
Segeralah tuan jangan lengah
Segera berbudi kepada tanah
Kerana tanah baik budinya
Lambat-laun usaha dan penat kita dibalasnya.
(Utusan Melayu,
18 Januari 1913).
Puisi di atas menunjukkan penyimpangan langsung dari puisi
tradisi sama ada pantun, syair dan sebagainya. Walaupun judul dikait dengan
gurindam, tidak ada hubungan dengan bentuk gurindam. Puisi ini tidak terikat.
Pengucapan adalah secara bebas, manakala baris-barisnya tidak dikawal secara
bunyi akhir baris yang sama, bahkan barisnya tidak seimbang dari panjang dan
pendeknya. Mesejnya jelas dan terang, iaitu menyeru masyarakat supaya bangkit
berusaha dan tidak membiarkan kekayaan hasil Negara diexploitasi dan dinikmati
oleh pihak luar, khususnya penjajah. Ada
kesedaran dari segi ekonomi dan kenegaraan. Persoalannya semasa dan moden.
Penyimpangan dari segi bentuk dan pengucapan puisi bebas ini
(sajak) ada hubungan dengan kesedaran sosial, ekonomi dan politik yang mulai
tiba ke Negara kita akibat dari revolusi sosial, industri dan politik di barat
yang mengeksploitsi Negara-negara timur yang mereka jajah – termasuk Negara
kita, kerana kepentingan ekonomi, politik dan kekuasaan. Dapat juga ditafsirkan
perubahan pengucapan puisi dari ciri-ciri terikat adalah penentangan terhadap
nilai-nilai feudal yang pada zaman tradisi amat mengikat masyarakat.
Pengucapan Omar Mustaffa seabad (100 tahun) dahulu adalah
satu keberanian dan mendahului zaman yang pada masa itu masih feudal, terikat
dan dibelenggu penjajahan.
Puisi Angan-angan dengan Gurindam Omar Mustaffa mempersaksi
dan membuktikan dari segi penentangan terhadap keterikatan kepada perubahan dan
kebebasan !
Sekian.
No comments:
Post a Comment