BBB, 11 Safar 1435 = 14 Disember 2013 (Sabtu):
Tokoh kedua sufi yang menjadi topic puisi Penulis selepas
Fariduddin al-Attar ialah Jalaluddin Rumi. Tokoh ini antara tokoh paling
popular dan banyak dibicarakan tentang hasil puisi sufi. Bernama lengkap
Maulana Jalaluddin Muhammad dan dikenali dengan nama ringkas Rumi dilahirkan di
Balkh (1207), kini di utara Afghanistan
terkenal sebagai pusat keilmuan dan pengajian kerohanian. Ayah Rumi sendiri,
iaitu Baha`uddin Muhammad seorang ulama theologi, pendakwah dan guru tasawuf di
Balkh . Darinya
dan dari guru semasa Rumi mendalami keilmuan Islam, bahasa Arab dan bahasa
Parsi klasik. Beliau mendalami al-Qur`an & Tafsir, Hadith, Sirah Rasulullah
s.a.w. dan sahabat-sahabat.
Oleh kerana Balkh menghadapi
serangan Mongol dan dirosakkan pada 1220, keluarga dan Rumi berpindah melalui
Bahgdad ke Makkah kemudian ke Syria
dan akhirnya menetap di Anatolia, Turkey . Pada tahun 1228 keluarga
Rumi dijemput ke Konya ,
ibu Negara pemerintah kesultanan Seljuq Rum. Ayah Rumi mengajar di situ
sebagaimana dia mengajar di Balkh
dahulu. Apabila bapanya meninggal (1231) tempat diganti oleh Jalaluddin Rumi.
Selepas kematian bapanya tiba di Konya seorang guru tasawuf, iaitu Sayyid
Burhanuddin Muhaqqiq dari Termizi. Pemuda Jalaluddin yang sebelumnya tidak
mendalam dalam bidang tasawuf terbimbing ke alam tasawuf. Sebelumnya Jalaluddin
terpikat kepada puisi-puisi Arab klasik, terutama Al-Mutanabbi. Berikut dari
pendedahan ilmu tasawuf Jalaluddin dihantar ke Aleppo dan Damuscus, namun masih di bawah
panduan gurunya Sayyid Burhanuddin Muhaqqiq hinggalah guru tersebut meninggal
(1240) dan Rumi mengajar. Rumi menghasilkan kumpulan puisinya yang terkenal,
iaitu Mathnawi (6 kitab dengan 25,000 couplets) dan Diwan Shams Tabriz (2,500
bait) yang berbentuk ghazal, rubai` dan lain-lain. Karya ini sebagai dedikasi
kepada kawannya Shams Tabriz. Jalaluddin
Rumi meninggal pada 17 Disember 1273 di Turkey .
(W.M. Thackston, Jr. Signs of The Unseen The Discourses of
Jalaluddin Rumi, S. Abdul Majid & Co, Kuala
Lumpur : tt: VII-IX).
Sebagaimana disebut Cinta Ilahi adalah topic yang utama
dibicarakan oleh para sufi. Bahkan bagi Rumi Cinta adalah perkara utama menjadi
pendekatan dan pembicaraan.
(Dr. Khalifa Abdul Hakim, The Metaphysics of Rumi, The
Institute of Islamic Culture, Lahor, 1965: 43 – 61).
Menurut Rumi, ``Love is the essence of action and
creation.``
(A. Reza Arasteh, Rumi The Persian, The Sufi, Routledge
& Kegan Paul, London, 1974: 79).
Cinta membawa kasih sayang dan kelembutan. Kata Rumi dalam
puisinya:
How should Spring bring forth a garden on hard stone ?
Become earth, that you may grow flowers and many colors.
For you have been a breaking rock.
Once, for the sake of experiment, be earth !
(Rumi, Daylight, Translated by Camille & Kabin
Helminski, S. Abdul Majid & Co., Kuala Lumpur, 1996: 51).
Abdul Hadi W.M. menterjemah puisi tentang Cinta Jalaluddin
Rumi:
Cinta Dalam Lautan Tak Bertepi
Cinta adalah lautan tak bertepi, di mana langit adalah
buncah buihnya.
Ketahuilah bahawa semua langit yang berputar digerakkan oleh
Ombak Cinta. Jika tak ada cinta, dunia akan membeku.
Betapa batu-batuan akan bisa berubah jadi tumbuh-tumbuhan?
Bagaimana tumbuh-tumbuhan menyucikan
diri hingga dikaruniai ruh hewan ?
Bagaimana ruh hewan menyucikan diri demi Nafas yang
ditiupkan dari mana Maryam hamil ?
Semua itu akan tegak tak bergerak seperti es, tak melayang
dan mencari seperti belalang.
Setiap nada dalam cinta naik membubung bersama. Kesempurnaan
dan gunung seperti pohon muda.
Cita rasa bisu mereka adalah puji-pujian Agung kepada Tuhan.
(Abdul Hadi W. M. Sastra Sufi, Pustaka Firdaus, Jakarta , 1985: 1230.
Oleh kerana jiwa adalah
dari rumpun cinta, tiap jiwa ibarat `seruling jerami yang dipisah dari rumpun
jerami` mendayu-dayu ingin kembali kepada rumpun jerami asal. Saudara Hashim
Musa menterjemahkan kepiluan bunyi seruling jerami berkenaan untuk kembali
kepada rumpun asalnya (The Song of the
Reed):
Dengarlah alunan sedih seruling jerami,
Mendayu-dayu rindu kasih penuh sayu,
Sesak sebak pedih cinta yang terpendam,
Sejak tercerai dari perdu induk rimbunan.
Rahsia laguku walaupun hampir berdekatan,
Namun ianya tidak kedengaran dan kelihatan,
Ku rindu teman seorang yang bisa mengerti diri,
Buat memadui rohnya dengan ku ini.
Api cintalah yang membarakan diriku,
Tegukan kasihlah yang mengawankan cita-citaku,
Untuk mengerti betapa pedihnya hatiku kasih,
Dengarlah seruling jerami, dengan alunan lagu sedih.
Dari bahagian lain saudara Hashim menterjemah:
Setiap detik `kan
ku tangisi perpisahan dengan Mu !
Jika bayu sampaikan tidak sedu sedanku,
Malam dan siang hatiku merintih hancur luluh,
Betapa tidak! ku berjauhan dari Wajahmu Ayu !
(Hashim Musa, Islam Dalam Pengucapan Seni, dlm.
Kesusasteraan Melayu dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur , 1980: 207-208).
Seorang sufi sebagaimana dikatakan mempunyai kehalusan jiwa.
Kehalusan ini makin dipertingkat bila bersatu dengan kehalusan seni yang bila
tumpah kepada penghasilan baik puisi, seni bina, khat dan apa jua hasil
meningkat kualiti hasil seninya. Diri penghasil seni bukan saja tepu dengan
kehalusan rasa dan jiwa, tetapi peka mental, hati dan inderanya dengan
elemen-elemen yang mencetuskan ilham dirinya.
Mempunyai mata seni dan inderawi yang tajam yang mengilhamkan baginya
kemampuan yang mengasyikkannya menulis 25,000 bait mathnawi dan 2,500 rangkap
bentuk-bentuk rubai, ghazal dan sebagainya. Puisi menyatakan:
Jalaluddin Rumi
Mata seninya tajam menembusi
Langit arasy Ilahi
Lalu jadilah dirinya kecapi
Tiap tersentuh jemari
Menggetar rohani
Limpah zauqnya mengalir tiada henti
Tergubah masnawi
Cinta Ilahi.
(Puncak Rindu, 2013: 23).
Pada mata seni dan sebenarnya dari segi hakiki segala
ciptaan Allah adalah indah, lantaran itulah sentuhan seni tergubah indah.
Pendengaran Jalaluddin tajam dan mendengar sesuatu dengan keindahan. Kata
puisi:
Dalam wujdan
Inderawinya menghayati
Merdunya segala bunyi
Hingga tingkah ketukan si tukang emas
Adalah rentak zikir Allah
Lantas membangkitkannya menari
Menurut gerak galaksi
Mentasbih Ilahi.
(Puncak Rindu, 2013: 23).
(Gerak & Tarian sufi yang dikaitkan dengan Jalaluddin
Rumi, menjadi bahan dipertontonkan kepada pelancong di Turkey . Sudah
tentulah elemen kudus ini bertukar kepada yang tidak asli – bersifat secular
dan kemersil !).
Jalaluddin adalah `Sufi Asyiq Cinta Ilahi, lantaran itu
beliau juga dikenali dengan `Sultan Asyiqin`. Kata puisi:
Rumi
Sultan Asyiqin
Dia mengingatkan
Kita adalah dari perdu cinta
Dalam hadangan dan rinduan
Rintih dan damba
Ingin kembali
Pada yang Esa.
Bandar Baru Bangi,
25/11/1991.
(Puncak Rindu, 2013: 23).
Demikianlah kita yang membaca juga turut asyiq dengan diri
dan puisi Jalaluddin Rumi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment