UKM, Bangi, 17 Safar 1435 = 20 Disember 2013 (Jumaat):
Penulis telah dijemput oleh Majlis Perwakilan Pelajar UKM
pada malam ini bercakap berhubung dengan tajuk di atas yang digandingkan
bersama YDP Majlis Perwakilan Pelajar UKM saudara Mustapha Kamil Husen bin
Abdul Kadir. Penulis hadir bersama saudara Azizi. Majlis semacam forum atau
mirip kepada Perkesahan itu dipengerusikan oleh saudara Amal Azlan bertempat di
Dewan 3B 301 Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan. Turut hadir saudari
Afifah Naib YDP dan pelajar-pelajar. Sebenarnya menghadiri jemputan ini bagi
Penulis adalah sebagai kembali ke tempat asal, kerana di sinilah Penulis
bertugas sejak kampus Bangi bermula dari 1977-1999 (sebagai pensyarah).
Penulis memaklumkan kepada mahasiswa/I yang hadir lebih
kurang 100 orang itu, bahawa memang ada perbezaan kegiatan mahasiswa UKM dulu
dan sekarang. Kampus UKM peringkat awal bukan di Bangi, tetapi di pinjam dari
kampus Maktab Perguruan di Lembah Pantai, dekat Universiti Malaya, Kuala Lumpur . UKM lahir
dari desakan rakyat. Walaupun perjuangan telah begitu lama bagi mewujudkan UKM,
tapi persediaan tidak dibuat. Selepas 13 Mei 1969 desakan memuncak. Pada masa
Menteri Pelajaran Dato` Abdul Rahman Ya`kob keputusan membuka UKM diambil dan Kampus
Jalan Pantai dijadikan Kampus sementara, manakala Kolej Islam di Petaling Jaya
sebagai Fakulti Islam. Bilangan mahasiswa sulung bagi tiga fakulti sains,
sastera dan Islam ialah 197 orang.
UKM dibuka dengan rasmi pada 18 Mei 1970, tetapi mahasiswa
telah datang mendaftar sejak 14 Mei lagi. Sebelum perasmian mereka telah
memilih kursus dan mendaftar di kolej kediaman.
Sebelum penubuhan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) terlebih dahulu
ditubuhkan Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej (JKDRK), iaitu pada 17 Mei, 1970
sehari sebelum pembukaan rasmi UKM. Pengetua Kolej ialah Encik Ariffin Suhaimi
dengan YDP Kolej En. Uda En. Nik. Penubuhan PMUKM ialah pada 13 September 1970
berikutan dengan adanya Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi meminda undang-undang
(JKDRK), maka dalam mensyuarat itu juga ditubuhkan Protem Committee PMUKM yang
dipengerusikan (Presiden) oleh saudara Ramli Ibrahim. Penulis sebagai mahasiswa
sulung turut dilantik sebagai Bendahari. Motto perjuangan PMUKM ialah
`Kebumiputraan Dan Keislaman`. Keperluan ditubuhkan PMUKM amat dirasai, kerana
sebelumnya, iaitu pada 10 Julai 1970 mahasiswa UKM telah mengadakan protes
secara spontan terhadap pengunduran Dato` Andul Rahman Ya`kob dari Menteri
Pelajaran kerana menjadi Ketua Menteri Sarawak. Mahasiswa UKM menyayangi beliau
kerana pada masa beliaulah UKM ditubuhkan. Kehadiran beliau pada masa protes
itu beliau mengumumkan bahawa Tun Razak Perdana Menteri pada masa itu menjadi
Canselor UKM.
Penubuihan PMUKM adalah dari inisiatif mahasiswa sendiri
tidak digerak oleh mana-mana pihak. Model terdekat pada masa itu ialah
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang merupakan persatuan Rapat
dengan PMUKM. PMUKM juga berhubung rapat dan mendukung sama hasrat Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang sedia tertubuh sebelumnya yang
Presidennya saudara Anwar Ibrahim yang sesudah keluar dari Universiti Malaya
menubuhkan ABIM yang juga mempunyai hubungan rapat dengan PMUKM.
Sebagai persatuan mahasiswa, PMUKM adalah membela
kepentingan mahasiswa UKM dan juga masyarakat dengan mengadakan berbagai-bagai
kegiatan. Antara peranan yang diambil ialah menghantar telegraph pada 24.9.1970
kepada Tun Razak mengucapkan tahniah di atas perlantikan beliau menjadi Perdana
Menteri Malaysia .
Pada awal tahun 1971 berlaku banjir besar terutama di negeri-negeri di Pantai
Timur, maka pada 6.1.1971 PMUKM yang diwakili Penulis dan saudara Muhamad bin
Kassim Setiausaha PMUKM dan beberapa yang lain menghantar bahan-bahan bantuan
banjir ke Parlimen yang diterima oleh Ketua Gerakan Bencana Negara pada masa
itu Tan Sri Raja Mohar Badiuzzaman. Bahan yang dihantar ialah 2 kotak pakaian
dan wang sebanyak RM151.05 yang keesokannya diberi pablisiti dalam tv dan
akhbar.
Selepas 13 Mei, warung-warung didirikan di tepi rel keretapi
di Bungsar bagi menolong peniaga-peniaga bumiputera yang tempat itu dinamakan
Taman Ghazali Shafie – Tan Sri Ghazali Perunding utama Penubuhan Malaysia dan
tenaga utama dalam kerajaan Mageran dan kemudian menjadi Menteri Penerangan.
Taman Ghazali Shafie kemudiannya begitu kotor. PMUKM mengambil inisiatif
mengadakan gotong royong membersihkan lokasi perniagaan bumiputera itu pada
30.5.1971.
PMUKM diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pentadbir UKM.
Misalnya PMUKM adalah pengatur program menyambut pelajar baru dan orientasi dan
memandu mereka dalam pendaftaran baik di universiti dan kolej. PMUKM juga
bertugas menjalankan aktiviti di kampus sempena hari konvolesyen. Bagi kepentingan mahasiswa PMUKM menubuhkan
Kedai Koperasi PMUKM. Kedai ditubuhkan sejak Jun 1971. Kedai menyediakan
barang-barang keperluan mahasiswa. Pengendalinya AJK PMUKM saudara Jamaluddin
Jahi.
PMUKM juga bersama PMUM mengadakan demonstrasi membantah
kehadiran Perdana Menteri Thailand ke Malaysia Thanom Kitikachon kerana tekanan
kerajaan Thailand terhadap pejuang-pejuang Islam di Selatan Thailand, termasuk
kehilangan pejuang/ulama Haji Sulung. Demonstrasi berlaku dari 14 – 17 Jun 1971. 19 orang ditangkap
pihak berkuasa termasuk 4 orang dari UKM. PMUKM juga berdemonstrasi tidak
berpuashati perlantikan Naib Canselor baru selepas Dr. Rushdan Baba kembali ke
UPM. Desakan mahasiswa berjaya. PMUKM juga menghantar pembahas-pembahas ke
pertandingan perbahasan peringkat Asean dan penyokong sama pergi ke pertandinga
peringkat akhir di Singapura dalam mana peserta dari UKM memenangi pertandingan
pada 29.8.1971 sebagai Johan – Tokoh ialah saudari Sharifah Mastura dan saudari
Rahimah Aziz. PMUKM juga menerima lawatan mahasiswa Universiti Thamsat Thailand
pada awal penubuhannya dan juga lawatan Persatuan Mahasiswa USM pada 13.9.1971.
PMUKM juga menghantar perwakilan ke Persidangan anjuran PKPIM di Johor Bharu dari 5 – 10 April 1971
dan ke Seminar Keciciran yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan dari 28-29 April
1972 yang dirasmikan oleh En. Ghafar Baba Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Selain daripada itu PMUKM giat mengadakan seminar dan forum dari semasa ke
semasa dengan menjemput berbagai tokoh berwibawa.
PMUKM yang mendukung perjungan bahasa Melayu turut bergiat
dengan aktiviti bahasa. Misalnya PMUKM dan ahlinya sama terlibat di dalam
menubuhkan Studi Kelab Sastera UKM pada 22.7.1970 yang mana kelab ini bergiat
di dalam bidang penulisan dan kegiatan sastera. Kelab ini pada permulaan
diketuai saudara Chamhuri Siwar dengan penasihat Muhammad Haji Salleh. PMUKM menghantar
ahli menyertai Hari Puisi di Melaka, iaitu pada 16.7. 1971. Antara yang pergi
ialah saudari Asiah Sarji dan Penulis..
Pada 9 – 17 April 1972 PMUKM menghantar wakil menyertai
Kursus Wartawan yang dianjurkan oleh PMUM dengan kerjasama New Straits Times
dan Bernama dirasmi oleh Naib Canselor UM Profesor Ungku Aziz. Wakil PMUKM
ialah Penulis dan saudari Mariah. Berikut dari itu PMUKM telah menerbitkan
akhbar PMUKM yang dikenali dengan Gema Siswa yang penerbitan awal mulai 22 Mei
1972 secara bulanan sebagaimana PMUM juga menerbitkan akhbarnya Mahasiswa Negara.
Melalui Gema Siswa melahirkan ramai penulis.
Hubungan PMUKM dengan pihak pentadbir UKM adalah baik,
bahkan mahasiswa UKM peringkat awal dianggap sebagai anak emas, banyak keistimewaan
dan layanan baik terhadap mereka. Misalnya pada bulan Ramadhan AJK PMUKM
dijemput berbuka di rumah Naib
Canselor UKM Dr .
Rushdan Baba pada 21.11.1970. Pada 20.12.1970 berkunjung ke rumah Menteri
Pelajaran Malaysia Tun Hussein Onn di Petaling Jaya berbincang mengenai
Kementerian Pelajaran yang baru disandangnya dan juga mengenai kegiatan PMUKM.
AJK PMUKM berada 2 jam dirumahnya pada 20.12.1970. Semasa menghadiri Seminar
anjuran PKPIM di Johor Bharu berpeluang menemui Timbalan Perdana Menteri Tun
Dr. Ismail yang merasmikan seminar pada 5.4.1971 dan ditutup oleh Tan Sri
Othman Saat Menteri Besar Johor pada 10.4.1971. Mengunjungi rumah Naib Canselor
baru yang menggantikan Dr. Rushdan Baba, iaitu
Dr. Ariffin Ngah Marzuki pada 5.6.1971. Pada 27.8.1971 berkunjung ke
rumah Tan Sri Ghazali Shafie yang menjadi Menteri Penerangan pada masa itu dan
Pada 2 Ogos 1972 ke rumah Menteri Belia dan Sukan Dato` Hamzah Abu Samah kerana
meraikan pimpinan PKPIM yang bedialog di Bangunan Belia dan Sukan di Kg. Pandan
pada tarikh tersebut.
Penulis bercakap hanya pada masa Penulis terlibat dalam
kepimpinan PMUKM selama 2 penggal - penggal 1970/71 selaku Bendahari PMUKM dan
bagi sesi 1971/72 terlibat sebagai Setiausaha Perhubungan PMUKM. Penulis dan
ramai AJK PMUKM 1971/72 tidak lagi bertanding pada Mesyuarat Agung ketiga pada 10 September 1972 dengan pemilihan AJK
baharu dan dalam Mesyuarat Dewan Mahasiswa pada 24 September di ODT UKM berlaku
upacara penyerahan tugas kepada AJK baru.
Sementara itu saudara Mustapha Kamil Husen bin Abdul Kadir YDP
Majlis Perwakilan Pelajar setelah mendengar ucapan Penulis mengaku bahawa
perjalanan Mahasiwa UKM amat berbeza dengan PMUKM yang menjadi peneroka
persatuan Mahasiswa. Kami dikawal dari segi kegiatan oleh Hal Ehwal Pelajar dan
tidak ada kebebasan sebagaimana dinikmati oleh pihak PMUKM. Pihak pentadbir UKM
yang tidak begitu faham dengan sejarah kegiatan mahasiswa UKM dan sejarah UKM
sendiri bagai tidak menyedari peranan PMUKM, bahkan nama PMUKM sendiri telah
ditiadakan dengan menggantikannya dengan Majlis Perwakilan Pelajar. Struktur
dulu terdiri dari Dewan Mahasiswa sebagai Kerajaan, PMUKM sebagai persatuan
yang memerintah yang dipilih pelajar, manakala Dewan Mahasiswa adalah sebagai
parlimen. Kini Majlis Perwakilan Pelajar mempunyai kuasa terhad. Kami tidak
berperanan mengendalikan sebahagian dari kegiatan pelajar seperti mengendalikan
kehadiran pelajar baru dan sambutan konvokesyen sebagaimana dikendalikan oleh
PMUKM. Kami tidak bebas mengadakan hubungan dengan persatuan pelajar di luar
kampus dan menghadiri seminar dan persidangan di luar dari kampus. Kami jauh
dari peluang untuk berdemonstrasi sebagaimana dilakukan oleh PMUKM. Kami
sebenarnya dalam keadaan sepi dan tidak mempunyai hubungan rapat dengan
pentadbir universiti apa lagi dengan menteri-menteri sebagaimana dinikmati oleh
PMUKM dahulu. Kami tidak mempunyai akhbar sendiri sebagaimana PMUKM menerbitkan
Gemasiswa, namun kami masih meneruskan Aspirasi, lanjutan dari majalah yang
diterbitkan oleh PMUKM dahulu.
Kami masih meneruskan penentangan terhadap AUKU sebagai
penerusan dari penentangan yang dilakukan oleh PMUKM dulu.
Kami berharap melalui Suara Kampus 1 ini (dimaksudkan dengan
forum ini) menyedarkan mahasiswa bahawa hak mereka begitu banyak diambil alih
oleh pihak UKM.
Saudara Mustapha Kamil berpendapat mahasiswa tidak
seharusnya menjauhi diri dari kegiatan mahasiswa dan kegiatan kemasyarakatan,
jika tidak mereka akan menjadi pelajar yang pasif. Pimpinan Negara yang ada
adalah bekas aktivis pelajar, jika tidak ada pelajar yang seumpama ini kita
kehilangan watak-watak kepimpinan yang diperlu oleh Negara pada masa akan
datang.
Dalam masa soal jawab ada mahasiswi yang membangkitkan soal
mahasiswa/i yang tak berminat terhadap kegiatan mahasiswa dan bagaimana
mengatasinya. Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan mahasiswa `bisu`.
Antaranya pihak pemerintah yang mengikat mahasiswa dengan akta universiti,
pihak pentadbir yang bersifat terlampau mengawal dan mahasiswa sendiri yang
pasif. Halangan-halangan ini patut dihapuskan dan mahasiswa seharusnya diberi
kebebasan bergerak bagi memupuk watak kepimpinan mereka secara lebih bebas .
Sekian.
No comments:
Post a Comment