BBB, 18 Safar 1435 = 21 Disember 2013 (Sabtu):
Secara nyata tidak dapat dinafikan bahawa kita adalah wujud
dan berdepan dengan kewujudan, tetapi apakah sebenarnya hakikat kewujudan itu ?
Menurut pandangan akidah seperti Asha`ari dan Maturidi yang tergolong sebagai
pandangan Sunnah (Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah), bahawa kewujudan adalah dua,
iaitu Yang Qadim dan Yang Baharu. Yang Qadim mengadakan Yang Baharu yang fana`
sifatnya. Pandangan ini dikenali juga dengan `Ithnainiyat al-Wujud`.
Dua wujud, Yang Qadim dan Yang Baharu` yang fana sifatnya.
``Dia bersama dengan kamu di mana kamu berada (al-Hadid: 4 )
Atau ayat bermaksud: ``Ke mana sahaja kamu menghalakan pandangan,
maka disitulah arah Wajah Allah. (al-Baqarah:
115).
Daripada pandangan Sunni dapat ditafsirkan bahawa dalil dan
burhan kewujudan, kebesaran, kekuatan, keindahan dan keperkasaan Allah adalah
di mana-mana. Pandangan ini diungkapkan oleh Abdul Rahman Jami (1444-1452)
seorang penyair sufi. Beliau menciptakan puisi berbagai-bagai tema seperti
tentang cinta kasih,, kejujuran, persahabatan dan juga cerita-cerita dari
al-Qur`an dan al-Hadith. Saudara Hashim Musa menterjemahkan salah sebuah dari
puisinya tentang teman.
Temanku
Temanku seharusnya bak cermin pembayang,
Memantulkan kelemahanku hanya dari hadapan,
Tanpa menyembunyikan rasa yang terpendam,
Bukan sebuah penyisir yang bergigi ratusan,
Menyelip, menyikat ke sini ke sana ,
Mendedah, menyatakan kelemahanku dari belakang
Di sebalik selindung mencemuhku satu demi satu.
(Hashim Musa, Islam Dalam Pengucapan Seni, dlm.
Kesusasteraan Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur , 1980: 221).
Berhubung dengan pandangan bahawa bukti kewujudan Allah dapat
dibuktikan melalui dalil dan burhan, keagungan cipta-Nya dapat dilihat dengan
tegaknya gunung, meluasnya gurun dan tenteramnya di dusun, menghijau lembah dan
luasnya pamah dengan pohon dan daun menghijau semuanya membuktikan kewujudan
dan keagungan Allah. Penulis menggubah pandangan Jami ini:
Ia Jua
(Dengan Apologi kepada Jami)
Di mata lahir di mata dhamir di mata fikir
Ia jua
Di gunung di gurun di dusun
Ia jua
Di tanah di lembah di pamah
Ia jua
Di rumpun di pohon di daun
Ia jua.
(Puncak Rindu, 2013: 75).
Sesungguhnya bukti kewujudan Allah dibahaskan dalam ilmu
usuluddin secara akli dan naqli. Bukti juga dapat dilihat pada ciptaan Allah di
bumi dari tumbuhan dan tanaman menghijau padanya. Juga dapat dilihat kebesaran,
keagungan dan keperkasaan-Nya pada anasir alam baik dari segi keindahan dan
kemusnahan yang berlaku padanya:
Di kolam tenang di angin kencang di ombak garang
Ia jua
Di paksi alam di langit terbentang di cakerawala berlegaran
Ia jua
Pada segala-galanya
Ia jua
Demi Allah
Ia jua.
Bangi,
7.3.81.
(Puncak Rindu, 2013: 75).
Sesungguhnya tunduk kita mengkagumi pada kebesaran
kejadian-Nya, menghayati pada keindahan ciptaan-Nya dan menggeruni pada
keperkasaan-Nya yang memusnahkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment