December 4, 2013

Keluhuran & Keagungan Mencetus Ilham

-->
BBB, 29 Muharram 1435 = 03 Disember 2013 (Selasa):

Keluhuran adalah pengalaman jiwa yang ditepui rasa kudus mendepani situasi mengharumesrakan. Contoh mendengar kemerduan tilawah al-Qur`an dari qari yang berpengalaman. Dan keagungan ialah kehadiran dalam jiwa kebesaran Maha Pencipta berdepan dengan ciptaan-Nya misalnya mengkagumi ciptaan cakerawala dengan planet dan bintang-bintang atau kemusnahan dari-Nya misalnya berlaku gempa, taupan dan banjir di luar dari kemampuan menghalangnya. Situasi-setuasi begini sering menjadi wadah keilhaman dalam ciptaan. Telah disebutkan ilham tidak datang dalam kekeringan. Sebaliknya ibarat turunnya hujan, ianya tidak datang dan turun tiba-tiba di tengah kepanasan dan kekeringan. Sebelum hujan ada angin,  awan hitam, ribut dan petir yang memecahkan gumpalan awan hitam dan turunnya hujan. Demikian pra-ilham penulis mendepani/mengalami situasi yang mencetuskan mood yang mengangkatkan suasana dirinya dari level kebiasaan kepada level keharuan, kemesraan dan kekaguman yang membuka ruang baginya menurunkan ilham secara kreatif. Proses ini dilalui oleh semua bidang seni yang diistilahkan juga sebagai `Proses Ciptaan Seni`. Tercetusnya  rasa keluhuran kemesraan dan kebesaran – atau yang lain-lain seperti kekaguman, kefanaan, keceriaan, mesra-kasih, rindu, semangat dan kewiraan adalah merupakan elemen-elemen yang mewarnai proses ciptaan. Bayangkan `Nasyid Marhaban` tidak terungkap oleh penduduk di Madinah menyambut Hijrah Rasulullah jika tidak terbetik dari jiwa mereka kecintaan terhadap Rasulullah. Sayyiduna Ja`afar al-Barzanji tidak dapat mencipta ungkapan-ungkapan karangan nathar Barzanji yang begitu indah dan merdu jika tidak terpancar dari jiwanya rasa kecintaan terhadap Rasulullah. Syair Perang Sabil tidak tercipta di Acheh bagi memerangi Belanda, jika tidak timbul dari semangat jihad penduduk menentang penjajahan Belanda di Acheh, sehingga Belanda tidak mampu menjajah Acheh sepanjang penjajahan Belanda di Indonesia. Demikian getaran dan semangat jihad berhembus dari puisi-puisi Iqbal – Asrar Khudi, sama berperanan di dalam perjuangan melahirkan Negara Islam Pakistan.

Keluhuran dan Keagungan bagi seseorang penulis, walaupun tidak seluhur dan seagung karya-karya di atas adalah menjadi sebahagian dari elemen-elemen yang menjadi bahan bagi gubahan puisi-puisi di dalam Puncak Rindu. Elemen berkenaan terdapat antaranya di dalam puisi-puisi berikut:

1)      Puncak Rindu
2)      Di Penghujung Sebuah Ramadhan
3)      Ayat-Ayat
4)      Budi
5)      Keadilan Ilahi
6)      Watas
7)      Kebenaran, Keindahan, Keadilan
8)      Gua Sepi
9)      Ketuhanan
10)  Misi Hidup

Puisi pertama di atas `Puncak Rindu` adalah menjadi judul bagi kumpulan puisi ini. Ungkapan di dalam Puncak Rindu adalah terilham dari ayat al-Qur`an:
`Nurun `ala Nur` bermaksud `Cahaya Di Atas Cahaya` (Al-Nur: 35).

Puncak Rindu

Cahaya
Di atas cahaya
Aku
Di bawah
Rindu membara
Terbakar fana.

(Puncak Rindu, 1999: 1).

Cahaya dapat dimaksudkan kepada Islam, hidayah, taufiq, al-Qur`an, al-Hadith, ilmu, keluhuran, keagungan, keindahan, keinsafan, kudus, mesra, kerinduan, kecintaan, kasih sayang, kemanusiaan, keadilan dan berbagai-bagai lagi yang maksudnya murni. Ungkapan-ungkapan di dalam Puncak Rindu adalah merupakan rinduan yang memuncak bagi menyentuh aspek-aspek di atas dan apa yang dapat diolah daripadanya. Dengan sentuhan diharap dapat membakar kerinduan dan meleraikan beban.

Rasa keluhuran misalnya dapat dihayati di dalam menjalani ibadat Ramadhan. Kekudusannya menyentuh jiwa, tatkala beriftar, bersolat jamaah, bertarawih, bertadarus, qiyamullai. Mesra Ramadhan bagai tak terpisahkan. Namun setiap Ramadhan menjelang akan berakhir dengan penghujungan. Keharuan jiwa makin ketara bila kudus Ramadhan makin menirus dan terasa begitu sukar untuk melepaskan. Keharuan dan kepiluan ini dapat ditanggapi dan diterjemahkan ke dalam bahasa yang mungkin tidak setepat sebagaimana yang sebenarnya dirasa:

Di Penghujung Sebuah Ramadhan

Ramadhan yang datang sarat dengan berkat telah membahagikan fadilatnya pada jiwa-jiwa pilihan.
Kini pemergiannya yang semakin menirus adalah lambaian yang semakin menjauh menggaris pilu di kalbu.
Keharuan itu makin mendalam dialun suara imam tarawih di Masjil Haram melalui siaran larut malam membetik ingatan mesra di kala kunjungan.
Kudus Ramadhan dalam pelukan pasti akan berpisah jua membawa kenangan hamba ibadatnya tak seberapa.
Surau  sederhana di pinggir bukit itu yang menjadi rumah kedua bagi para pengunjung setia beberapa hari lagi kembali sepi dari salawat mengiringi tarawih.
Kemeriahan berbuka dan menjamah selera  selepas tarawih akan beralih ke dalam kenangan dan saf-saf sembahyang akan turut berkurang.
Kudus pilu itu membangkitkan diri ini mendekati-Mu ya Rabbi.
Tahajud dan hajat di malam ini begitu ringan merapatkan harapan.
Alangkah manisnya berhubungan dalam ketenangan. Berlalukah Lailatul Qadar tanpa disedari ?
Malam seribu bulan gandaan itu hanya layak bagi hamba pilihan-Mu.
Seorang hamba biasa menengadah berdoa melewati usia separuh abad ini.
Akan kembalikah diri menikmati kemanisan beribadat di bulan berkat ini ?
Akan bersama lagikah dengan mereka yang dikasihi.
Alangkah indahnya mendengar basah bibir bertilawat di malam berkat.
Ianya bagai kekasih yang mulai pergi dan bertahunlah ianya dirindui.
Syukur berjutaan dan berjutaan jualah harapan.
Amin.

Bandar Baru Bangi,
1993.

(Puncak Rindu: 18-19).

Dari aspek keagungan dapat dilihat pada ciptaan Allah tentang kejadian alam yang begitu luas bagaikan tiada watas. Alam dan kandungan tidak setakat kenyataan benda sahaja, tetapi adalah ayat-ayat yang dapat dibaca dan maksud-maksud yang dapat diteroka. Jika kandungan al-Qur`an dapat dibaca melalui huruf-huruf dengan mata lahir, maka alam dan kandungan juga sebagai huruf-huruf dan ayat-ayat dapat dibaca dengan mata akal. Ini antara maksud yang mau disampaikan melalui puisi. Bahawa antara perutusan dari al-Qur`an mengisyaratkan insan kejadian sempurna, Rasul Muhammad s.a.w. paling utama bagai inti kejadian alam menjadi panduan, manakala sahabat-sahabat bagai planet, bintang-bintang, manakala gunung ganang perbukitan adalah peribadi-pribadi tinggi dari kalangan ulama` salihin, Hidayat turun pada peringkat tertinggi melimpah rahmat turun seolah melalui sungai ke laut yang sepanjang menyubur , menghidupkan dan menyediakan rezeki bagi sekalian.

Dari satu segi jika al-Qur`an dibaca kandungan melalui huruf-huruf yang dimengerti maknanya, maka alam yang terdiri dari cakerawala, langit bumi, daratan dan lautan, tumbuhan dan hidupan dan segala kejadian dari satu segi juga sebagai huruf-huruf  dan ayat-ayat isyarat yang dapat dibaca mengenai hikmat kejadian Tuhan, ilmu pengetahuan dan rahsia-rahsia terpendam. Fragmen puisi;

Ayat-Ayat

….
Ayat-ayat
Bacalah bersama kitab
Langit terpampang
Bumi terbentang
Lapis-lapisan jika kertas
Tumbuh-tumbuhan jika kalam
Laut-lautan jika dakwat
Untuk mencatat rahsia Tuhan
Hikmat Ilahi
Ilmu kejadian
Habis kertas
Tumpul kalam
Kering lautan
Tiada habis dicatat.

Ayat-ayat dan kitab
Petunjuk Ilahi
Menajamkan fikiran
Mematangkan insan
Khalifah di bumi
Amanh diberi
Memakmurkan alam
Menurut perintah Tuhan.

Bandar Baru Bangi,
J. Akhir 1410
Januari 1990.

Alam merupakan kitab terpampang dapat dibaca dan dicatat keilmuan Tuhan, pun begitu hikmat keilmuan Tuhan tidak habis-habisnya untuk dicatat walau dakwat berlautan akan kekeringan, walau ibarat tumbuhan bagai pena akan tumpul pena nescaya tidak habis keilmuan tuhan untuk dicatatkan (dari ayat Qur`an, al-Kahfi: 109).

Demikianlah kewujudan adalah maklumat, keilmuan dan bahan yang menjadi wadah ilham yang dapat dihayati dan ditimba untuk dimanfaatkan. Bahan bagi keilmuan, ilham dan penulisan tidak kekeringan, tetapi yang kekurangan ialah minda, tenaga dan kemampuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment