December 28, 2013

Meneliti Sejarah Puisi Menyerlahkan. Aku Anak Kelahiran Di Zaman Perang


Meneliti tentang Puisi Melayu Moden
Bersua daku dengan beberapa penemuan
Menarik dan memberangsangkan
Bahawa dengan puisi Omar Mustafa
`Angan-Angan Dengan Gurindam`
Pada 13 Januari 1913
Kini usia puisi Melayu Moden
Genap seabad perkembangan
Namun terabai dari perhatian
Aku mengambil kesempatan
Menyerlahkan dapatan
Sejarah begitu bermakna
Bagi bidang perpuisian.

Dengan usia puisi Melayu moden
Seabad berkembang
Allah mengatur perjalanan
Rupanya penerbitan buku
`Puncak Rindu`
Puncak perpuisianku
Berbetulan seratus tahun perpuisian
Syukur dengan kurniaan
Saat sejarah terpahat
Dan penerimaan anugerah
`Tokoh Persuratan NUMERA`
Sempena seabad itu
Menjadi rangsangan bagiku
Menyerlahkan kemampuan
Meningkatkan mutu perpuisian.

Meneliti seabad puisi Melayu Moden
Dan dekad-dekad pecahan perkembangan
Bahawa era permulaan Jepun menyerang
Menenggelamkan `Prince Repulse` di Laut Kuantan
Aku adalah anak kelahiran zaman perang
Terbayang wajah ninda Hajah Pani
Di anjung rumah tua pesaka kami
Menghadap ke permukaan laut Paka
Mencerita kemaraan Jepun
Bertalu dari kapal dihala mortar dan bom
Ke darat perkampungan kami
Ibuku yang di dalam pantang melahirkan daku
Lari mengindung diriku ke sebalik bukit
Berselindung di celah batuan
Bagi keselamatan dari serangan
Kata nindaku `Hidup begitu perit dan susah`
Kekurangan makanan dan pakaian
Mendepani kegawatan perang.

Walau betapa ujian dilalui
Aku berbangga anak kelahiran perang
Menyaksi episode sejarah dilalui
Perang dan damai
Penerusan penjajahan
Perjuangan kemerdekaan
Pendekatan pengisian
Catatan perpuisian.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
24 Safar 1435
27 Disember 2013.

No comments:

Post a Comment