December 16, 2013

Majlis Graduan Pertama Pengajian Ala Pondok Surau Saujana Impian, Kajang

-->
Kajang, 12 Safar 1435 = 15 Disember 2013 (Ahad):

Pada 26 Muharram 1432 = 01 Januari 2011 hari Sabtu Penulis pada masa itu selaku Adun Bangi dan Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu telah diberi penghormatan merasmikan `Pengajian Ala Pondok` di Surau Saujana Impian Kajang. Perjalanan pengajian al-hamdulillah berjalan dengan baik. Hari ini ialah hari graduasi pertama bagi 150 graduan yang berjaya mengikuti pengajian tersebut. Mengenangkan sedikit sebanyak peranan Penulis selaku Adun dalam menjayakan pengajian, maka Pengerusi Surau dan Pengerusi AJK Pentadbir Pengajian Tuan Haji Mohamed Ibrahim Bin Hussin menjemput Penulis sebagai seorang tamu Majlis Graduasi sulung berkenaan.


Tamu-tamu kehormat pada hari ini yang hadir ialah Yang Berhormat Ustaz Haji Sallehen Bin Muhyi Pengerusi Tetap Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Desa selaku Perasmi, pensyarah-pensyarah antara yang hadir Ustaz Abdul Rahim Raffie, Ustaz Dr. Shauki Othman, Ustaz Abd. Kadir dan Ustaz Muhammad Hadi Dato` Talha dan graduan-graduan yang hadir. Majlis berlangsung di Dewan Sekolah Agama di dalam kawasan Surau Saujana Impian.

Majlis Graduasi bermula jam 10.45 dengan bacaan berlagu beramai-ramai al-Asma` al-Husna, bacaan al-Qur`an oleh saudara Muhammad Lokman al-Hafiz dan al-Fatihah secara beramai-ramai. Alu-aluan disampaikan oleh Tuan Haji Ibrahim. Y.B. Ustaz Sallehen menyampaikan `Ucap Utama`. Y.B. bercakap - bertolak dari firman Allah bermaksud:
Allah mengangkatkan mereka yang beriman dan yang berilmu pengetahuan kepada darajat-darajat (al-Mujadalah: 11).

Y.B. memngingatkan betapa pentingnya ilmu dalam membina legasi dan kualiti ummah sebagai masyarakat yang berilmu. Menurutnya Kerajaan Negeri melalui Exconya menyediakan Plan Strategik Dakwah bagi 5 tahun mendatang (2013-2018) yang akan dilancarkan pada awal tahun 2014 nanti memfokuskan kepada 28 juta rakyat agar menjadi masyarakat berilmu. Ini termasuklah pembangunan keilmuan melalui masjid dan surau. Menurutnya, ``Hidupnya masjid dan surau dengan hidup dan aktifnya pengurusan, sebab itu pemilihan pentadbir hendaklah menurut ciri-ciri yang dikehendaki masyarakat setempat selaku tuan rumah sesuai dengan prinsip-prinsip Islam.`` Ini tambahnya, ditekankan oleh al-Qur`an yang bermaksud:


``Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah yang berimana dengan Allah dan Hari Akhirat, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (al-Taubah: 18).

Y.B. Ustaz Sallehen memuji Pengerusi dan AJK Saujana Impian yang mengambil inisiatif mendirikan `Pengajian Ala Pondok Moden` terawal di Selangor. Beliau menyebut bahawa kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan pengajian berkurikulum dengan menggunakan kitab secara teratur di setiap daerah yang diajar oleh guru-guru berkelayakan.  Katanya, ``Kerajaan Negeri akan berusaha mendapat kerjasama dan pengiktirafan yang melayakkan lulusan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.`` Tambahnya, ``Mungkin ijazah bukan menjadi tujuan utama, tetapi sekurang-kurangnya menjadi galakan kepada mereka yang mengikuti pengajian, di samping menurut perintah agama melaksanakan `Pengajian Sepanjang Hayat`.

Dari segi ekonomi, menurut Y.B. Ustaz Sallehen menyebut, ``Kita berusaha menjadikan Selangor `Hub Halal` dengan berpusat di Pulau Indah, bukan saja pada peringkat negeri, tetapi bersifat global dengan mendapat pengiktirafan dari OIC dan mendapat pasaran di negeri Cina. Kita juga bekerjasama dengan Nestle di New Zealand berhubung dengan bekalan product halal termasuk daging dan susu. Ekonomi lebih subur bila adanya elemen value change, supply change dan penawaran rendah. Pembangunan tidak maju melainkan adanya galakan dengan adanya pakar ekonomi dan intelektual, pemerintah yang adil dan tidak rasuah, orang kaya yang pemurah dan membangunkan mereka yang miskin dengan berbagai program dan insentif. Pendeknya perlu ada suntikan ilmu pengetahuan.`` Menurut Y.B. Ustaz Sallehen lagi, ``Tidak timbul ajaran sesat jika rakyat berilmu.`` Tambahnya, ``Timbulnya Ayah Pin dan Tuhan Harun kerana masyarakat tidak celik ilmu.`` Akhirnya Y.B. Ustaz Sallehen sekali lagi memuji `Pengajian Ala Pondok` Surau Saujana Impian dan diharap terus berkembang maju.``


Terdahulu daripada itu, dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Surau Saujana Impian Tuan Haji Ibrahim mengimbau peringkat pengajian yang dilancarkan oleh Adun Bangi pada masa itu yang mencadangkan agar diajarkan bahasa Arab, kerana di dalam pengajian agama akan bertembung dengan banyak istilah dalam bahasa Arab, apalagi jika mempelajari tafsir dan hadith, jika memahami bahasa Arab memudahkan pengajian. Adun Bangi pada masa itu juga mencadangkan, di samping guru-guru tetap yang mengajar, amat wajar dijemput dari masa ke masa tokoh-tokoh ulama` dan guru menyampaikan kuliah, di samping dalam tempoh tertentu diadakan seminar dan wacana ilmiah. Menurut Tuan Haji Ibrahim, pengajian diadakan tiap Sabtu mulai jam 10.00 pagi hingga zohor selama 30 bulan + 6 bulan bagi menggantikan yang ketinggalan. Bidang pengajian ialah akidah, fiqh, tafsir, hadith, sirah, bahasa Arab, pengajian yang berhubung dengan al-Qur`an selain dari tafsir.

Al-hamdulillah, walaupun pelajar-pelajar adalah veteran, tidak menghalang mereka menguasai ilmu, lantaran jiwa mereka lebih fokus dan kurang bertembung dengan maksiat. Mereka berpandu pada ingatan guru Imam Shafie (Imam Waki`) yang berkata:

``Ilmu itu nur dan nur Allah tidak diberi pertunjuk kepada yang berdosa``. Menurut Tuan Haji Ibrahim, ``Kejayaan kursus pengajian tidak akan dicapai tanpa kegigihan para guru.`` Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka antara yang disebut ialah Prof. Dato` Dr. Zulkifli bin Yusoff selaku Penasihat Pengajian yang juga Pemangku Dekan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Ustaz Nik Zawawi yang datang berulang secara mingguan dari Pantai Timur dan dalam tempoh dua tahun dapat mengkhatamkan 7 buah kitab, begitu juga dengan Ustaz Shukri dan Ustaz Hadi. Tuan Haji Ibrahim menyebut pengambilan awal 140 orang sesuai dengan tempat yang ada, tetapi ada permohonan tambahan hingga jumlah 153 orang. Ruang pengajian terpaksa dirapatkan bagi memenuhi permintaan. Menurutnya, `` Tidak semua graduan dapat datang hari ini, kerana setengah ada urusan dan ada yang keluar bercuti hujung tahun dengan keluarga. Yang datang pada hari ini Graduan lelaki dan perempuan adalah 60 orang. Beliau mengucapkan tahniah kepada graduan dan terima kasih kepada guru-guru dan semua pihak.


Y.B, Ustaz Sallehen menyampaikan Ijazah kepada graduan-graduan, manakala Tuan Haji Ibrahim menyampaikan cenderamata kepada guru-guru. Dua Anugerah Khas disampaikan kepada dua orang guru berjasa oleh Y.B. Ustaz Sallehen di atas dedikasi dan komitmen mereka yang tinggi, kedua-dua guru tersebut, iaitu:
Pertama: Al-Marhum Dr. Muhammad bin Mohd. Daud yang turut mengajar di Pengajian Ala Pondok Saujana Impian. Beliau meninggal pada 26 Disember 2011 – diwakili anaknya Ahmad Fathi.

Kedua: Ustaz Abdul Rahim Raffie yang gigih dan berusaha terus datang mengajar. Beliau berucap mewakili para guru pada akhir majlis, manakala En. Abdul Rahim berucap mewakili Graduan.

Majlis berjalan lancar dan meriah dan tamat jam 12.30 tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment