December 12, 2013

Aspek Kesufian

-->
BBB, 08 Safar 1435 = 11 Disember 2013 (Rabu):

Aspek kesufian adalah satu daripada enam pengelompokan puisi-puisi di dalam `Puncak Rindu`. Di dalam kategori ini termasuklah puisi-puisi berikut:

1)      Zikir Ombak
2)      Fariduddin al-Attar
3)      Jalaluddin Rumi
4)      Rabi`ah al-`Adawiyyah
5)      Tasbih Alam
6)      Mengerti Sekelumit Makna Abadi
7)      Ia Jua
8)      Dia

Aspek kesufian sebenarnya tidaklah terasing daripada penulis. Bidang tasawuf adalah bidang kajian utama penulis. Lebih dari satu dekad (1980-1990) Penulis membuat kajian bagi menghasilkan tesis pada peringkat Ph. D. berhubung dengan Hikam Melayu. Tajuk tesis pada peringkat Doktor Falsafah ialah:

Hikam Melayu: Kajian Falsafah dan Etika

Penulis berusaha membaca semua tulisan dan kajian yang dibuat terhadap Matan Hikam karangan Ibn `Ata` Allah yang mendukung Tariqat Shadhiliyyah. Antara tulisan dan kajian penting ialah:

Dr. Abdul Halim Mahmud, al-Madrasah al-Shadhiliyyah al-Hadithat wa Imamuha Abu  al-Hasan al-Shadhili, Dar al-Kutub al-Hadithat, tt.
Ibn Ata` Allah, Lata’if al-Minan, Tahqiq Dr. Abdul Halim Mahmud, Matba`at Hassan, al-Qahirah, tt.
Ahmad bin Muhammad bin `Ajibat al-Hasani, Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam, Dar-Fikr, Beirut-Qahirah, tt.
Ibn Abbad (Muhammad bin Ibrahim), Sharh al-Hikam, Matba`at Dar Ihya` al-Kutub al-`Arabiyyah, Misr, tt.
Ibn `Abbad (Muhammad bin Ibrahim), Ghayth al-Mawahib al-`Aliyyah fi Sharh al-Hikam al-`Ata`iyyah, Tahqiq al-Doktor Abdul Halim Mahmud wa al-Doktor Mahmud bin al-Sharif, Matba`ah al-Sa`adah, al-Qahirah, 1380/1970.
Al-Shaykh Zarruq, Hikam Ibn `Ata`I Allah, Tahqiq al-Doktor Abdul Halim Mahmud wa al-Doktor Mahmud bin al-Sharif, al-Shu`b, al-Qahirah, 1389/1969.
Victor Danner, Ibn `Ataiillah`s Sufi Aphorism (Kitab Al-Hikam), Forward by Martin Lings, E.J.Brill, 1973.
Vincent J. Cornell, The Way of Abu Madyan, The Islamic Texts Society – Golden Palm Series, Cambridge, London, 1996.
Dr. Ali Fahmi Khushaim, Zarruq The Sufi, General Company for Publication, Tripoli, Libyan Arab Republic, 1976.
J.S.Trimingham, The Sufi Orders In Islam, The Clarendon Press, Oxford, London, 1971.

Antara bahan di dalam bahasa Melayu-Indonesia:
Tuk Pulau Manis, Hikam Melayu, Matbaah Pulau Pinang, tt.
Terjemahan Al-Hikam, oleh Haji Salim Bahrish, Pustaka Aman Press, Kota Baharu,1984.
Prof. Dr. K.H. Muhibbuddin Waly, Hakikat, Hikmah, Tauhid Dan Tasawuf (Al-Hikam), Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 1991.

Dan karangan-karangan yang lain yang berhubung dengan kajian terhadap al-Hikam.

Hikam adalah ungkapan-ungkapan kesufian yang bersifat hikmat, rasional, intelektual dan rohani.

Bagi memahami tariqat al-Shadhili, kajian terpaksa dibuat terhadap aliran tasawuf itu sendiri, iaitu aliran Sunni yang puncaknya sebagai tokoh utama ialah al-Imam al-Ghazali dengan berbagai karangannya terutama Ihya` `Ulum al-Din. Dan karangan-karangan tokoh peringkat awal penulisan tasawuf seperti Al-Ri`ayat li Huquq Allah oleh Abu Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi (m. 343H.). Al-Luma` oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m. 378H.), Al-Risalat al-Qushairiyyah oleh al-Imam al-Qushairy al-Naisaburi (m.465H./1073M.) dan karangan-karangan tokoh-tokoh yang lain mendukung tasawuf Sunni.

Turut dijadikan kajian dan rujukan ialah tasawuf beraliran falsafah yang ditokohi terutama oleh Ibn Arabi seperti karyanya Futuhat Makkiyyah dan Abdul Karim al-Jili dengan karangannya yang berjudul al-Insan al-Kamil fi Ma`rifat al-Awa`il wa al-Awakhiri..

Turut menjadi bahan-bahan kajian ialah puisi-puisi sufi seperti Jalaluddin Rumi, Rabi`ah al-Adawiyyah, Fariduddin al-Attar, Shamsuddin Muhammad Hafiz, Firdausi, Sa`di, Jami,
Membawalah kepada Iqbal.

Bahan-bahan di dalam bahasa Melayu termasuklah Hikam Melayu oleh Tuk Pulau Manis, Sayr al-Salikin dan Hidayat al-Salikin oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Manhal al-Safi oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Jala` al-Qulub oleh Syeikh Abdul Samad bin Muhammad Saleh (Tuan Tabal) Kelantan. Manakala beraliran falsafah ialah tulisan Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani dan kajian-kajian terhadap tulisan mereka.

Sesungguhnya puisi-puisi terbaik dan terindah ialah puisi-puisi yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh sufi lantaran puisi sedemikian menampilkan sentuhan rohani yang menyempurnakan kehalusan seni.

Penglibatan Penulis di dalam bidang tasawuf tidak saja pada peringkat kajian bagi peringkat Ph. D., tetapi juga pada peringkat pengajaran. Selain dari mengajar kursus Falsafah dan pemikiran Islam, Persuratan Tasawuf dan Penulisan Kreatif bagi peringkat ijazah pertama, Penulis juga mengajar pada peringkat sarjana ialah sastera Sufi (Prosa) dan Sastera Sufi (Puisi).

Dalam kata lain Penulis menulis sastera sufi baik prosa dan puisi adalah hasil dari kajian, pengajian dan pengajaran bidang-bidang tersebut. Namun menulis puisi-puisi yang berunsur tasawuf bukanlah secara paksaan, tetapi sebagai penulisan puisi-puisi yang lain ianya adalah hasil sentuhan berhubung dengan aspek-aspek berkenaan, kadang-kadang dari pembacaan dan tidak kurang juga dari pengajaran dan situasi tertentu yang mencetuskan elemen kerohanian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment