December 13, 2013

Zikir Ombak - Puisi Penulis Sayangi

-->
BBB, 09 Safar 1435 = 12 Disember 2013 (Khmis):

Zikir Ombak adalah cetusan ilham semasa Penulis berada di perpantaian Batu Buruk, Kuala Terengganu. Satu lokasi pantai yang terkenal indah yang menjadi lokasi kunjungan ramai. Tempat ini memang menjadi tempat kunjungan biasa Penulis dan banyak bahan-bahan penulisan penulis terutama yang bersifat kreatif terilham semasa berkunjung di pantai berkenaan.

Namun kunjungan Penulis pada 13 & 14 Februari 1993 sebagaimana tercatat pada puisi berkenaan (Ahad 14 Februari) adalah atas tugas yang lebih khusus. Pada 13 Februari 1993 ini Penulis dijemput oleh Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Terengganu menjadi panel Majlis Perkisahan Sejarah Siri ke 4, iaitu perkesahan Sejarah Sekolah Sultan Zainal Abidin Menengah, Batu Buruk, Kuala Terengganu yang Penulis adalah alumni Sekolah tersebut yang pada masa itu selaku Pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulis bertolak pada pagi-pagi Sabtu 13 Februari 1993 dari Lapangan Terbang Subang dan sebaik tiba di Kuala Terengganu terus dibawa ke penginapan Hotel Primula, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Hotel Primula adalah milik Kerajaan Negeri Terengganu. Nama Primula (Peri + Mula)
Adalah nama asal bagi Terengganu sebagaimana terdapat pada lakaran peta Ptolemy seorang Geographer Greek di awal Abad Masihi. Tuan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha) seorang sejarawan tempatan terkenal mencadangkan nama ini diberi kepada nama hotel tersebut yang masih kekal hingga kini. Penulis tidaklah sempat mengarang ketika ketibaan ke hotel tersebut, kerana sesudah tiba di hotel dan bertukar pakaian terus dibawa ke Madrasah Sultan Zainal Abidin Thanawi, Batu Buruk bagi Majlis Perkisahan Sejarah.

Majlis hanya memakan masa setengah hari sahaja, terdiri dari Perasmian dan dua sesei perkisahan. Perasmian dari jam 9.30 pagi dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Tan Seri Dato` Seri Amar Diraja Dato` Wan Mokhtar Ahmad Menteri Besar Terengganu.

Sesi Pertama Perkisahan disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato` Syeikh Mahmud Bakar Rafi`, selaku Mudir Madrasah Sultan Zainal Abdin Thanawi bersama seorang lagi Pengkesah, iaitu Dato` Wan Salleh alumni Sekolah Sultan Zainal Abidin dan menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Majlis dipengerusikan oleh Dr. Ahmad Shukri Pengarah Kolej Sultan Zainal Abidin. Sesi kedua ialah terdiri dari Yang Amat Berhormat Dato` Seri Amar Diraja Tan Seri Wan Mokhtar Ahmad Menteri Besar Terengganu yang juga alumni dan guru (juga Guru Penulis) di sekolah tersebut bersama dengan Penulis sebagai panel kedua yang juga alumni Sekolah Sultan Zainal Abidin Thanawi (Tiada pada Penulis catatan siapa pengerusi sesi). Majlis perkisahan berterusan hingga jam 2.30 petang. Berikutnya Penulis dihantar kembali ke hotel.

Penulis mempunyai masa yang banyak untuk menulis, kerana penginapan ditempah dan Penulis boleh berada dihotel berkenaan hingga jam 8.00 malam keesokan hari (Ahad 14 Februari), berkesempatan menulis pada malam 13 Februari dan keesokannya seharian 14 Februari, selain dari berkesempatan pulang ke kampong dan juga membeli belah dan menikmati makanan asli Terengganu seperti nasi dagang, keropok lekor dan sebagainya.

Puisi Zikir Ombak adalah terilham ketika Penulis berada di anjung hotel di tingkat atas yang begitu rapat dengan pantai yang jelas kelihatan ombak bergulung memukul pantai yang putih bersih itu. Penulis terimaginasi dan mempersonafikasi bahawa deru angin dan alunan ombak yang memukul pantai berulang-ulang sebagai zikir berterusan memuji Ilahi. Pada hakikatnya semua kejadian dalam bahasanya memuji Tuhan. Kata puisi:

Zikir Ombak

Segala kejadian
Dalam bahasanya
Memuji kebesaran Ilahi
Dan laut itu
Dengan gerak vertical
Mengukur betapa dalam
Dan horizontalnya betapa luasan
Rahsianya Tuhan.

(Zikir Ombak, Puncak Rindu, 2013: 20).

Imaginasi Penulis deru ombak bukan setakat menzikiri Ilahi, tapi alunan dan golongannya seolah-olah menguji dan mengukur betapa dalam dan luasnya lautan yang diasosiasikan dalam dan luas lautan dengan banyaknya kurnia dan nikmat Tuhan. Dengan penuh kagum dan akur puisi menyatakan:

``Sia-sia mengira kurnia-Nya
Dengan sebilang titis air
Yang membadai pantai
Sia-sia mengira nikmatnya
Dengan biji-biji tasbih pasir
Memanjang pantai.

(Puncak Rindu: 20).

Imaginasi penulis mengasosiasikan diandaikan dengan jumlah titis air yang memnuhi lautan dan semua jumlah pasir (bagai biji tasbih) memanjang perpantaian menjadi kiraan, dengan jumlah kesemuanya yang infiniti, maka tidak mampu untuk mengira jumlah kurnia dan nikmat kurniaan Ilahi.

Firman Allah bermaksud:

`Dan jika kamu mahu mengira nikmat kurnia Allah tidak terkira`
(Ibrahim: 34).

Lantaran itu disimpulkan:

Sesungguhnya deru ombak
Pernyataan diri
Zikir memuji
Agungnya Ilahi.

Primula, Kuala Terengganu,
14 Februari 1993.

Penulis merasa bahawa ilham yang terbetik adalah juga kurniaan Ilahi, tanpa disangka-sangka dan ianya bukan boleh dibuat-buat. Penulis juga merasa ianya adalah indah bertemakan keagungan Ilahi – bersifat rohani dan kesufian. Lintasan imej yang diasosiasikan dengan elemen alam adalah bersesuaian yang menimbulkan impak kerohanian dan kekudusan. Puisi walaupun pendek tetapi adalah lancar dan mengesankan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment