December 31, 2013

Unsur Islam Dalam Puisi Moden Hingga Sebelum Kemerdekaan


BBB, 27 Safar 1435 = 30 Disember 2013 (Isnin):

Agama Islam adalah agama anutan bagi sebahagian besar penduduk di Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya, penulis atau lebih khusus penyair berbahasa Melayu adalah penganut agama tersebut. Dapat dikatakan bahawa sepanjang zaman yang dikaitkan dengan puisi moden berbahasa Melayu, maka wujud penyair-penyair yang mengungkapkan puisi-puisi bertemakan Islam, walaupun tidak sebanyak jumlah puisi-puisi moden yang membawa tema-tema yang lain dari Islam.

Namun selama ini, kesedaran dan pembicaraan yang mengaitkan sastera dan Islam – khususnya moden tidak dilakukan, kecuali selepas 1970an. Dalam Seminar Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam anjuran Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) yang berlangsung di Petaling Jaya (1980), Penulis berpendapat:

``Kesedaran akan kurangnya sastera moden kita membawa tema-tema keislaman secara relatifnya amat baharu, iaitu sekitar tahun-tahun 70an. …Saya berpendapat bahawa kesedaran ini merupakan riak permulaan yang berlaku dalam dunia kesusasteraan kita sebagai akibat gerakan dakwah Islamiah di Negara kita secara khusus dan dunia secara luasnya. … Pendorong ke arah ini mendapat kesan lagi dari gerakan mahasiswa yang bersifat keislaman seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa-Mahasiswa Islam di Universiti-Universiti … ABIM. Sebagai puncak dari kegiatan ini tertubuhlah GAPIM (1 Jamadil Akhir 1396/30 Mei 1976). Gabungan ini antara lain bercita-cita untuk menarik minat penulis-penulis ke arah kesusasteraan Islam serta mengembalikan identiti kesusasteraan Islam di Malaysia.
(Shafie Abu Bakar, Kesusasteraan Melayu dan Islam, dlm. Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam, Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM, Kuala Lumpur, 1980: 17).

Dalam pembicaraan mengenai penyair-penyair Islam bagi puisi moden di Malaysia beberapa tokoh terutama keluaran dari Kolej Islam Malaya selalu dirujuk sebagai tokoh seperti Badaruddin H.O, Marhan, A.Munir, Yahya M.S.  di samping Nahmar Jamil, Norhisham Mustafa, Kemala dan A. Wahab Ali.

Untuk melihat puisi-puisi moden berunsur Islam, maka buku Mengenangmu Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933 – 1986 selenggaraan saudara Ahmad Kamal Abdullah dan saudara Hanafi Ibrahim adalah antara yang terbaik menjadi panduan bagi puisi-puisi yang dihasilkan. Manakala dari Puisi-Puisi Kebangsaan dilihat dari 1913-1932 tidak terdapat puisi-puisi berunsur Islam. Dari Mengenangmu terdapat 44 buah puisi (1933-1957) dari 33 penyair.

Kebanyakan penyair awalan tidak dikenali namanya, lantaran tidak diperkatakan, kecuali Hamka yang sebuah puisinya dimasukkan (dari Sumatera), terdapat beberapa penyair lain dari Sumatera seperti A. Kartahadimadja  yang puisinya terletak pada permulaan antologi, juga Bachtiar Effendi. Kemasukan puisi ini lantaran pada zaman Jepun pentadbiran Malaya dan Sumatera disatukan dan bahan-bahan penerbitan beredar di kedua-dua buah wilayah. Tema-tema yang dibicarakan oleh penyair awalan ialah tentang Umat Islam di Timur seperti ditulis oleh Asmazas yang mau Islam di pulih kembali

Wahai sekalian umat Islam di timur
Baikilah bersama kesalahan ini
Masukkan balik taman bahagia
Penuhkan tabung yang terhampa
Supaya kembali jaya.
  (Majlis, 24 Ogos 1940).
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohad Hanafi Ibrahim, Mengenangmu Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 5).

Hamka dengan puisi panjangnya, mau melihat kembali kemakmuran Negara sebagaimana pernah dicapai pada zaman Empayar Melaka:

Di Atas Runtuhan Melaka Lama

….
Di sini dahulu, di zaman lampau,
Bangsa Melayu penuh kemegahan
Masjid berdiri, muazin menghimbau,
Menyerukan umat tunduk ke Tuhan.

Di sini dahulu alat kebesaran,
Adat resam teguh berdiri,
Duduk semayam Yang Di-Pertuan,
Melimpahkan hukum segenap negeri.

Di sini dahulu medan Hang Tuah,
Sateria moyang Melayu sejati,
Jaya perkasa, gagah dan mewah,
Tidak Melayu hilang di bumi
(Semangat Asia, September 1943).
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim 1989: 9).

Saudara Kamaluddin membicarakan tentang Ketuhanan dan menyeru umat mematuhi perintahNya:

Tuhan

Tuhan yang Esa
Menyeru hamba-Nya membuat kebajikan
Supaya selamat

Diharap berjasa dijauhi daripada ejekan
Kelak terhormat.

Seruan Tuhan kita
Menyuruh mengerjakan hukuman-Nya
Membuat amalan lima waktu.

Kebenaran-Nya terang nyata
Agama Islam sudah muliakan-Nya
Iman Islam pujian tertentu

(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 15).

Manakala M. Rashid Fackry mempuisikan tentang Rasulullah:

Rasul Allah, Junjunganku …!

Tatkala genap usia empat puluh
Junjungan nampak dengan nyata,
Kesesatan manusia berlebih-lebihan:
Mereka tersesat tiada penyuluh,
Berbuat angkara hina leta, Patung dan arca dikata Tuhan,
Hati Junjungan hancur luluh
Wajah Junjungan berlinang air mata, menyaksikan semuanya tiada tahan.
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd. Hanafi Ibrahim, 1989: 22).

Kemudian Junjungan beribadat di Gua Hira`, menerima wahyu dan berdakwah menyibarkan Islam.

Manakala saudara Rashid Taha mempuisikan tentang:

Suara Azan

Bergema azan di waktu subuh
Memuji Tuhan Rabbulizzati
Menunjukkan jalan yang kutempuh
Kepada Tuhan tempat berbakti.

Kurasa badanku dingin sekujur
Tapi darahku mengalir panas
Darahku berombak berdebar-debar
Desakan jiwaku terasa benar.

Kudengar pula terompet berseru
Memanggil pemuda supaya berbakti
Aturlah barisan pemuda baru
Tujulah tempat yang sedang menanti.
Kudengar genderang terus dipalu
Tempik dan sorak beriring-iringan
Perajurit maju sambil meluru
Menghapuskan musuh menuju kemenangan.

(Berita Malai, 3 Oktober 1944).
(Ahmad Kamal Abdullah dan Mohad Hanafi Ibrahim, 1989: 29).
Persoalan yang dibicarakan tidak berfokus dan bercampur aduk.

Terdapat beberapa penyair umum yang sudah dikenali turut sama berpuisi tentang keislaman seperti oleh Masuri S.N. yang menghayati keindahan alam dan katanya:

Sungguh nyaman buaian angin
Membawa bisikan suara muazin
Mengajak insan berjihad raga
Mengabdi kepada Tuhan yang Esa.

(Berita Malai 17 Oktober 1944).

(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 24).

Punggok yang juga mengkagumi alam (Di Tengah Segara, hlm. 27.) dan memohon anugerah cinta (Oh… Tuhan, hlm.28) dan Rashid Talu dengan (Suara Azan, hlm.29).

Bagi puisi-puisi selepas zaman Jepun A. Samad Said muncul dan mengungkapkan:

Kita Ini Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang sekali bawalah bakti padat berkat !

(Utusan Zaman, 13 November 1955)
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 41).

Kita Ini Tetamu Senja adalah antara puisi berunsur Islam terbaik era sebelum kemerdekaan. Penyair lain ialah Tongkat Warrant (Usman Awang) penyair yang juga lahir pada zaman sebelum kemerdekaan turut mengungkapkan puisi bertemakan keinsafan:

Aku Sedar

Kalau sekarang aku telah ingat sedar
Baharu bangun dari tidur mengantuk
Baharu teringat mengucap istighfar
Setelah lama hidup terkutuk.
Dahulu diselubung awan pekat hitam
Kini sudah mulai cerah terang
Aku bersyukur kepada Tuhan yang menjadikan alam
Kerana aku telah sedar dan mula berjuang.

(Utusan Zaman, Julai 1949).
(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, 1989: 67).

Kesimpulannya puisi-puisi Melayu moden berunsur Islam sebelum Perang Dunia Kedua sehingga zaman sebelum kemerdekaan masih rendah mutunya, kurang kematangan dari segi persoalan dibicarakan. Setengahnya tak berfokus dan bercampur aduk dengan semangat perjuangan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment