BBB, 20 Safar 1435 = 23 Disember 2013 (Isnin):
Bila hendak menulis penulis seharusnya tahu bentuk tulisan
apakah yang mau ditulis sesuai dengan bahan yang mau ditulisnya. Apakah yang
mau ditulis dalam bentuk karangan prosa atau puisi. Jika prosa apakah ianya
dalam bentuk esei, laporan atau penulisan kreatif (cerpen, novel, drama dan
sebagainya). Tiap-tiap satu mempunyai kaedahnya yang tersendiri. Jika mau
menulis esei akademik, maka ianya seharusnya bersifat ilmu. Ada bahan-bahan rujukan dan seharusnya
mendalam. Jika bersifat laporan atau berita, maka cara menulisnya menurut
kaedah tertentu. Misalnya kaedah wartawan. Jika penulisan prosa kreatif juga
ada kaedah menulis cerpen, novel, drama dan sebagainya. Untuk menguasai
bidang-bidang penulisan prosa, maka perlu diikuti pengajian atau kursus di
dalam bidang-bidang berkenaan.
Puisi juga ada jenis, bentuk dan kaedah penulisan. Puisi
adalah bidang penulisan kreatif yang lain dari prosa. Di bawah puisi banyak
pula jenis puisi yang dikenali sebagai tradisi dan moden. Puisi-puisi tradisi
antaranya ialah pantun, syair, gurindam, teromba, mantera, bahasa berirama,
bayt, nazam, rubai, kit`ah, masnawi dan ghazal. Tiap-tiap satu daripadanya
mempunyai kaedah dan aturan menulisnya (Mohd. Yusof Md. Nor
& Dr. Abd. Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi, Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd., Petaling Jaya, 1991: XXV).
Puisi moden adalah bentuk dan jenis puisi baru dan moden
yang berkembang sejak 1913 hingga kini. Puisi moden ini lebih dikenali dengan
sajak. Antara pelopor-pelopor awal menulis puisi moden (sajak) ialah seperti
Omar Mustaffa dengan tajuk puisinya:
`Angan-angan dengan Gurindam`
Yang terbit dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913.
Mahmud Ahmad dengan judul puisinya – `Sedarlah`. Terbit
dalam Ikhwan 16 Jun 1929.
Harun Aminurrashid dengan judul puisinya, `Semenanjung` yang terbit dalam Jasa, 11 September 1929.
Ibrahim Haji Ya`kob (Ibhy) dengan judul puisi, `Ingatkan
Semenanjung Tanahairku` yang terbit dalam Warta Negara pada 3 Februari 1930.
(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913 – 1957,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1987: V – 27).
Kumpulan puisi Puncak Rindu pada dasarnya adalah kumpulan
puisi moden. Tetapi Penulis menulis bukanlah dengan pemikiran menghadkan kepada
menulis puisi moden sahaja dengan bentuk yang dikenali dengan sajak, sebaliknya
terdapat di dalam kumpulan puisi ini yang membawa bentuk-bentuk puisi yang
dikategorikan sebagai bentuk puisi tradisional, tetapi kandungannya adalah persoalan
semasa. Dalam pengelompokan dikategorikan
kepada pecahan `Bentuk Puisi`.
Di bawah - terdapat bentu-bentuk:
1) Bentuk
biasa (Bebas)
2) Prose
Poetry
3) Quatrin
4) Masnawi
5) Qit`ah
6) Nazam
7) Gurindam
8) Rubai
a) Mempelbagaikan
pengucapan puisi di dalam Puncak Rindu
b) Tidak
mau menyempitkan puisi moden Melayu hanya terhad kepada sajak sahaja.
c) Mau
mengaburkan sempadan antara tradisi dan moden. Penulis atau penyair bebas
memilih atau menampilkan bentuk menurut kesesuaian dan keinginannya.
d) Kumpulan
puisi `Puncak Rindu adalah bernafaskan keislaman, maka ditampilkan sama
bentuk-bentuk yang diwarisi dari Islam bagi memperkayakan bentuk puisi yang
bernafaskan keislaman.
e) Membantu
pelajar dan pencinta puisi berkenalan dengan bentuk-bentuk puisi di dalam
perbendaharaan Melayu-Islam dan memperkembangkannya, terutama bentuk-bentuk
yang jarang digunakan kini seperti rubai, nazam, masnawi dan Gurindam.
f) Ada bentuk puisi yang
sesuai dibawa dengan tema tertentu. Misalnya Nazam untuk sirah, gurindam untuk
nasihat, masnawi untuk tokoh dan rubai untuk falsafah dan kerohanian.
g) Mempopular
dan memperkayakan cara dan bentuk pengucapan puisi Melayu.
Sekian.
Sampai bila sikaya akan berhenti menindas simiskin....
ReplyDelete