December 5, 2013

Budi - Keadilan, Kebenaran Dan Keindahan

BBB, 01 Safar 1435 = 04 Disember 2013 (Rabu):

Budi merupakan salah satu sifat mulia dan terpuji.  Budi diberi erti oleh Kamus Dewan: Bermaksud pekerti, perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak (Kamus Dewan, 2005: 212). Bagi yang mempunyai sifat terpuji sedemikian disifatkan orang berbudi. Budi sesuatu sifat yang luhur. Banyak ungkapan tentang budi. Antaranya disusun orang dalam pantun:

Asam kandis mari dihiris,
      Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
      Lebih manis hati budinya.      

Pisang emas di bawa belayar,
      Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
      Hutang budi dibawa mati.      

Pulau Pandan jauh ke tengah,
      Di balik Pulau Angsa Dua;
Hancur badan dikandung tanah,
      Budi yang baik dikenang jua.  

(Sekalung Budi Seuntai Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990: 21, 29 & 30).

Dalam `Puncak Rindu` terdapat sebuah puisi  mengenai `Budi` yang merupakan sentuhan hasil dari interaksi dengan orang ramai. Moral yang dibawa, janganlah menterjemahkan segala tugas dan pertolongan kepada `balasan yang bersifat material` semata. Hiaslah diri dengan pakaian budi. Kata puisi berkenaan:

Budi

Dalam kehidupan
Segala tugasan
Janganlah diterjemah semata ganjaran
Ada kala harapan orang menimbulkan keinsafan
Membenamkan kepentingan diri
Ke dasar ihsan.

Dengan segala pertolongan
Kalau ada yang kehilangan bahasa
Untuk meluahkan sebuah terima kasih cuma
Terimalah dengan rela
Ia adalah ujian keikhlasan
Putihnya kehidupan
Melepas duka saudara itu
Adalah bahagia jiwa
Belajarlah tentang watak manusia
Ujilah pada diri
Mengenali jarak kasih sayang
Rahmat belas kasihan.

Budi itu keindahan hati
Tidak mengenal balasan
Tergilap oleh murni nurani
Ialah pakaian peribadi
Hiaskan dia dalam kehidupan
Nescaya bertambah kemesraan.

Bandar Baru Bangi,
Feb. 1990.
(Puncak Rindu, 1999: 28).

Antara aspek yang boleh diletakkan di bawah keluhuran dan keagungan ialah `Keadilan`, iaitu sifat murni yang menjadi tuntutan kehidupan. Allah Amat Adil dan menyuruh menegakkan keadilan dan menempelak kezaliman. Puisi tentang:

Keadilan Ilahi

Keadilan Ilahi itu mengimbang pada segala ciptaan
Hikmatnya pula tersembunyi di sebalik lahir tanggapan.
Allah amat melihat amarah hamba menderhakai-Nya dan amat mendengar rintih duka munajat hamba teraniaya.
….

Amat adil pertimbangan-Nya mencurah rahmat-Nya pada hamba yang teraniaya dan dengan tegas dan pasti mengembalikan keadaan itu pada paksinya mengimbangi.

JPM, UKM
Februari 1989.
(Puncak Rindu, 30-31).

Jika berlaku kezaliman, Allah tidak membiarkan kezaliman berlaku selamanya, sebaliknya yang zalim akan menerima pembalasan dan Dia meletakkan neraca keadilan pada tempatnya.

Dari satu segi Keadilan dilihat sebagai kebenaran, kerana meletakkan sesuatu pada tempatnya, bahkan keadilan dan kebenaran juga adalah keindahan.

Tentang keadilan, kebenaran dan keindahan adalah menjadi tajuk puisi di dalam Puncak Rindu dengan meletakkan  tiap satunya pada penjuru bagi tiga segi:

Keadilan = Kebenaran = Keindahan

Adalah sandingan
Gunungan indah
Di mata peradaban
Rinduan zaman
Tegak di atas satu tapak
Berbeza oleh kelainan muka
Jarak ukuran
Sudut pandangan’

Kebenaran keindahan keadilan
Kadangkala pincang
Pabila berarak di atas awan hitam
Menabur bimbang
Mengabui pandangan
Dan kegoncangan
Oleh ribut petir
Adalah peleraian
Mengirai keraguan
Menyerlah kembali gunung harapan.

Jabatan Persuratan Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
8.8.88.

(Puncak Rindu: 39).

Sesungguhnya keadilan, kebenaran dan keindahan menjadi tuntutan, menjadi carian dan kepuasan jika semuanya hadir di dalam kehidupan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment