December 30, 2013

Patriotisme Dan Romantisme Dalam Puisi


BBB, 26 Safar 1435 = 29 Disember 2013 (Ahad):

Selepas zaman Jepun memperlihatkan pengucapan penyair-penyair lebih bebas. Puisi-puisi pada zaman Jepun memperlihatkan satu arah – memuji dan mengagung Jepun dan diilusi dengan gagasan Asia Raya, kini sudah berubah. Pengucapan lebih bebas, penyair juga berexperimen, tidak saja dari segi bentuk, tetapi juga melibatkan aliran-aliran. Aliran-aliran yang dapat dilihat dalam satu dekad (1946-1956), ialah Patriotisme dan Romantisme.

Patriotisme

Aliran patriotisme ini berlaku di sepanjang masa dan berlaku di dalam berbagai bentuk puisi, tetapi dengan kesedaran terhadap penjajahan dan inginkan kebebasan dan kemerdekaan elemen ini lebih kental. Antaranya bersifat semangat. Contoh puisi:

Darah Pemuda
Rosmah Zain

Darah yang mengalir dalam tubuhku
Darah perjuangan dalam jantungku
Untuk membela bangsa nusaku.

Darah yang mengalir merah berani
Berjuang tak kira sana dan sini
Untuk kebahagiaan nusaku rani.
Dengan darah membela bangsa
Gadaikan nyawa menebus nusa
Untuk mencapai aman sentosa.

(Majlis, 20 Jun 1964).

(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1978: 411).

Termasuk di bawah Patriotisme juga ialah bersifat kasih sayang dan kecintaan. Contoh:

Tanahairku
Asmara Jaya

Malaya bumi yang suci
Tanahair yang kucintai
Negara yang cantik berseri
Tempatku lahir ke bumi.

Kepada kau … tanahairku
Kupersembahkan tenaga baktiku
Kerana kau bumi pujaanku
Ku pertaruhi jiwa-ragaku.

Aku rela
Badanku hancur lebur
Asal kau tetap luhur !

Kuingin…
Melihat kau merdeka
Mengulangi kebesaran kerajaan Melaka.
(Majlis, 16 Julai 1946).

(Abdul Latiff Bakar, 1987: 432).

Romantisme

Definisi tentang Romantisme begitu cair dan begitu banyak pendapat tentangnya. Aliran ini timbul di Barat pada abad ke 19 (Lilian R. Furst, Romatisme - Terjemahan Shamsiah Md. Said, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991: 2).

Kata Brunetlere:

``Romantik gambaran tentang sesuatu yang melimpah-limpah. Khayalan yang merenungi apa juga yang tidak terhad.``
( Lilian R. Furst, 1991: 3).

Dengan mengambil kira keadaan setempat dan fahaman popular, bahawa Romantisme ialah gambaran tentang sesuatu secara imaginative dan decorative yang berlebihan yang sukar diterima secara reality, tetapi diterima sebagai gambaran seni.

Contoh gambaran tentang:

Malaya Permai
Yusuf Rasyidi

Duduk pagi atau petang
Di bulan purnama cuba amati
Langitnya bersih terang terbentang
Mega berarak menyayukan hati.

Di tepi pantai pasirnya putih
Bercampur biru silang bersilang
Semua dipandang hatiku kasih
Adakalanya hatiku walang.

Bukit dan gunung berbanjar-banjar
Pohon dan rumput menghijau warna
Mega dan awan berkejar-kejar
Menyapu gunung jauh di sana.

Ke kampung Melayu cubalah kelih
Pohon kelapa indah berseri
Terkadang mata takkan beralih
Sukar bandingan – payah dicari.

Layangkan pula pandangan tuan
Ke sawah padi si kaum tani
Membuat kalbu tidak keruan
Mengucap syukur ke Tuhan Rabbani.
….

Gambaran di atas agak berlebih-lebihan, menggunakan akhiran baris ab, ab sebagai pantun – tanpa pembayang dan sememangnya bersifat romantic.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 417.).

Usman Awang dan A. Samad Said adalah penyair-penyair muncul zaman menjelang kemerdekaan. Pada peringkat permulaan mereka nampaknya secara sedar atau tidak mendukung aliran romantisme. Contoh:

Gadis Di Perkuburan
Usman Awang

Nisan condong tegak bertaburan
Gadis menangis kehibaan
Tidak ada padang perjuangan
Pahlawan gugur tergelimpang.

Lari gadis menyemban ke tanah,
Diiringi sedu menggoncang bahu,
Tenang pahlawan dipeluk bumi,
Senyum terakhir tenang tersembunyi.

Gambaran adalah dramatis dan mengundang rasa sedih. Puisi-puisi beliau yang lain yang bersifat romantis seperti Pak Utih, Ke Makam Bonda dan Merpati Putih, Jeljahilah Dunia ini. (Kamaruzzaman A. Kadir, Puisi Sepanjang Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989:128 – 134).

Demikian juga dengan A. Samad Said. Baca puisinya contoh:
Kepulangan Perahu Layarnya
A. Samad Said

Langit cerah di daerah ini ada kemesraannya di malam hari
Perahu-perahu layar bersaingan dikaca ombak pecahan bulan
Dan gadis manis yang kemanjaan menunggukan kepulangan kekasih sayang
Ah, di matanya kemarau cahaya, di hatinya kemarau cinta.

Angin datang begitu mesra, ombak pula begitu manja
Perahu-perahu layar yang bertunda semakin dekat ke teluk rindunya
Dan gadis manis yang menunggu hatinya terlalu terharu
``Ada hendaknya terunaku pulang dari pelayaran itu !``

A. Samad Said menggunakan irama bunyi yang sama antara tengah baris dengan penghujungnya bagi menimbulkan impak yang puitis dan romantis. Elemen sedemikian kedapatan pada puisinya yang berjudul Pada Tanah air Yang Indah,
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 605-606 & 610).

Demikianlah ketara antara puisi-puisi bersifat patriotisme membawa mesej secara bersemangat dan kecintaan pada tanahair, manakala yang bersifat romatis secara lembut dan romantis.

Sekian.

No comments:

Post a Comment