BBB, 15 Safar 1435 = 18 Disember 2013 (Rabu):
Mengasosiasi dan mengpersonafikasikan alam atau apa jua
elemen sebagai expresi diri adalah salah satu teknik dalam berpuisi. Kaedah ini
adalah wajar bukan semata adanya poetic licence di dalam berexpresi puisi,
tetapi di dalam Islam bahawa segala kejadian dan benda-benda seperti air laut
dan sebagainya adalah merupakan `Kalimat Tuhan`, `Kalimat Allah` (al-Kahfi, 9,
Luqman, 27). Jadi dari segi pendekatan berpuisi, bahawa benda atau kalimat ini
diexpresikan sebagai bercakap atau benda langsung bercakap melalui bahasanya.
Di dalam hal ini expresi lahir melalui tiga lapisan, iaitu:
1) Expresi
lahir secara mempersonafikasi elemen atau benda
2) Expresi
adalah lahir dari elemen atau benda itu sendiri melalui bahasanya yang
diimaginasi oleh penulis atau penyair.
3) Expresi
penulis/penyair sendiri yang meleburkan diri kepada sesuatu yang
dipersonafikasikan.
Ketiga perlapisan dapat digunakan bagi puisi berikut:
Tasbih Alam
Di syahdu malam
Di atas sejadah alam
Hening turun menyelubungi
Ruang menakjubkan ini
Lalu dalam asyik
Tunduk bukit khusyuk meratib
Bergerak jari-jari membilang
Pasir di pantai ombak lafaz terungkai
Kemudian tafakur memanjang
Mendalam laut renungan
Meninggi langit kerohanian
Terpusat diri pada Ilahi
Fana alam dalam lintasan
Abadi Tuhan dalam kewujudan
Halusnya bayu mengharu kalbu
Mengarak awan menipis
Sayu menghiris
Hangat menitis.
Puisi di atas digubah semasa Penulis di Port Dickson pada
Rabu 24 Mei 1989. Selepas anak bungsu kami pulang dari Sekolah kami bertolak
tiga beranak bermalam di rumah kondo Stodio kami d Pasir Panjang di Port
Dickson (Bangi tidak jauh dari Port Dickson). Pada sebelah petang Penulis
berlari exercise disepanjang pantai dan menghayati keindahan, laut, bukit dan
pantai yang putih memanjang. Pada malam hari panaroma alam dengan pantai, laut,
bukit dan cahaya yang terang mencetuskan ilham sebagaimana diungkapkan dalam
puisi di atas.
Puisi di atas dapat dilihat dengan perlapisan pertama.
Bahawa elemen-elemen alamiah itu sendiri secara personafikasi mengexpresikan
ungkapan puitis seperti `hening turun, bukit tunduk khusyuk meratib, jari-jari
membilangi, ombak lafaz, tafakur memanjang, laut renungan dan langit
kerohanian. Bahawa dapat dilihat juga expresi di atas adalah merupakan langsung
dari elemen di atas. Ini dapat dilihat dan diperkukuhkan oleh dua baris
terakhir puisi tersebut:
`demikian mesra alam dengan bahasanya
Selamanya bertasbih pada yang Esa.``
Port Dickson,
24 Mei 1989.
dan perlapisan yang lain ia adalah dari ungkapan watak
manusia – Penulis yang seolah dijelmakan kepada elemen-elemen di atas.
Puisi di atas dikuatkan dengan elemen-elemen kerohanian
dengan adanya penggunaan kata-kata seperti:
Syahdu malam, sejadah alam, bukit khusyuk meratib, jari-jari
membilangi (tasbih), pasir di pantai, ombak lafaz terungkai, tafakur memanjang,
mendalam laut renungan, langit kerohanian, berpusat diri pada ilahi, fana alam,
abadi Tuhan, bertasbih pada yang Esa. Penggunaan kata-kata atau
ungkapan-ungkapan di atas menimbulkan suasana kudus dan mistis yang
meningkatkan elemen rasa kerohanian. Dari satu segi puisi Tasbih Alam ada unsur
persamaan dengan puisi Zikir Ombak yang diciptakan kemudian daripada itu (14
Februari 1993) di Hotel Primula, Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu
Dari satu segi elemen-elemen di atas menebalkan rasa estetik
kerohanian yang meningkatkan kekesanan. Sebagaimana telah dikatakan bahawa seni
puisi akan lebih tinggi daya estetika yang dicernakan dengan elemen kerohanian.
Sebenarnya bukan saja pada puisi, tetapi juga bagi medium-medium seni yang
lain. Misalnya seni rohani yang bergabung dengan seni bina sebagai contoh seni
bina masjid menjadi unggul dan kudus, misalnya seni bina Masjid Cordova di
Spanyol, Masjid Umawi di Syria, Masjid Salahuddin di Selangor bahkan Taj Mahal
di India. Contoh penyatuan seni rohani dengan khat sama ada pada khat nasakh,
raq`ah, thuluth, raihani dan sebagainya yang memancarkan elemen estetika dan
kudus
Ini bukan bererti puisi atau bahan seni yang lain tidak
berdaya estetika, tetapi ianya merupakan keindahan selapis yang kering dan
profane dari roh yang menjadi jiwa kepadanya.
Selain daripada cara pemilihan kata yang bersifat rohani,
pemilihan kata juga memberi impak dan kesan estetika pendengaran dan juga
perasaan. Di dalam puisi Tasbih Alam sama ada sengaja atau tidak banyak
terdapat dua-dua baris yang sama bunyi hujungnya seperti baris berhujung dengan
m, I, k &b (berdekatan bunyi), g & n (juga berdekatan bunyi ) dan
sebagainya, ianya memberi kesan dari sebutan secara berangkap, tetapi tidak
sedemikian seterusnya.
Impak dari segi perasaan yang menghalus ke hujung yang
memberi kesan menggores perasaan. Ini seperti ungkapan-ungkapan, awan menipis,
sayu menghiris dan hangat menitis. Dalam kata lain pemilihan dan penggunaan
kata salah satu cara yang dapat menyumbang kepada kesan estetika. Puisi Tasbih
Alam sebenarnya telah diterbitkan di dalam majalah Pelita Bahasa, Dewan Bahasa
dan Pustaka, terbitan Oktober 1989, hlm. (kulit dalam permulaan).
Walau bagaimana puisi – terutama puisi bebas sesuatu yang
terbuka bagi kreativiti, tiada kaedah dan formula khusus bagi meningkat daya
estetika. Kejayaan menampilkan sesebuah karya yang menarik dan berdaya estetika
kembali kepada daya kreativiti seseorang penyair.
Sekian.
No comments:
Post a Comment