BBB, 10 Safar 1435 = 13 Disember 2013 (Juma`at):
Penulisan puisi dalam `Puncak Rindu` bukan bertujuan menulis
puisi bertemakan tasawuf, tetapi tema ini secara kebetulan bertembung dan
terakam menjadi sebahagian dari kumpulan puisi tersebut. Hanya beberapa bertemakan
tasawuf dan tiga daripadanya mengenai tokoh sufi. Namun walaupun disebut 8
daripada 62 buah bertemakan tasawuf, sebagaimana telah disebut pembahagian dan
pengelopmpokan adalah bersifat sewenang-wenang. Jika diteliti secara halus
banyak lagi puisi yang dikelompokkan dibahagian yang lain juga membawa
tema-tema kerohanian. Contoh puisi-puisi di Tanah Suci dan sebagainya.
Pendalaman di dalam bidang tasawuf adalah melibatkan bidang
metafizik dan rohani. Amalan dan penghayatan adalah merupakan pembersihan dan
pemurnian rohani. Pemurnian rohani berdepan dengan keagungan Ilahi yang membuka
dimensi seni rohani. Lantaran ketasawufan memupuk kecintaan Ilahi. Pertemuan
seni puisi dengan seni rohani mengangkat puisi ke tahap tinggi. Kata Abdul Hadi W.M. dalam bukunya Sastra Sufi:
``Pengaruh Kesusasteraan sufi ini sangat besar di Barat
maupun di Timur, dan merupakan puncak-puncak gemilang perkembangan
kesusasteraan Islam.``
(Abdul Hadi W.M., Sastera Sufi: Sebuah Antologi, Pustaka
Firdaus, Jakarta, 1983: VI).
Berhubung dengan seni rohani yang suci dan murni, kata
saudara Hashim Musa dalam membicarakan tentang `Islam Dan Pengucapan Seni`
mengatakan:
``Dan roh yang digerakkan demikian akan bersemarak dan
bergelora menyinarkan keindahan cahayanya memancar keluar dalam bentuk
kreativiti seni, bak kuntum-kuntum mengelopak memenuhi ruang, bak riak-riak
suara memecahkan kesunyian dan kesenyapan. Dan kreativiti seni demikian jika
tidak dikaburi dan dinodai oleh pengaruh-pengaruh nafsu badaniah, sesungguhnya
merupakan pencarian dan pernyataan terhadap keindahan dan kesempurnaan yang
hakiki. Ianya melambangkan keharuan, kecintaan dan kerinduan roh insan terhadap
keindahan dan kesempurnaan yang hakiki itu, iaitu yang menjadi sumber tempat
asal kedatangannya iaitulah Roh al-Quddus, puncak segala keindahan dan
kesempurnaan. Dalam keadaan sedemikian seni itu merupakan pengucapan individu
yang terbit dari dimensi roh yang suci murni.``
(Hashim Musa, Islam Dalam Pengucapan Seni, dlm. Kesusasteraan
Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala
Lumpur : 1980: 207).
Tidak semua yang merenangi alam kesufian melibatkan diri
dalam bidang seni kreatif – terutama puisi, tetapi mana-mana tokoh sufi yang
turut menggunakan medium puisi sebagai expresi, maka puisi-puisi kesufian yang
menjulang aspek kerohanian dan seni puisi jauh menjulang tinggi gemerlap
seni-rohani berbanding dengan yang tidak tersentuh dengan seni rohani. Kalangan
penyair sufi Islam terkenal termasuklah Rabi`ah al-`Adawiyyah (m.752@801M.)
Shamsuddin Mohammad Hafiz (1326-1390M.), Firdausi (935-1020M.), Omar Khayyam
(1048-1131M.) Sa`di (1184-1292M.), Fariduddin al-Attar (1117-1193), Ibn al
Faridh (1181-1235M.) Jalaluddin Rumi (1207-1273M.), Jami (1444-1452M.),
Muhammad Iqbal (1876-1938M.). Mereka mengungkapkan tentang cinta Ilahi. Mereka
bergerak menyusuri alur, sungai yang puncaknya sama tiba di laut Cinta Ilahi.
Selain dari laut ada yang melambangkan Cinta Ilahi sebagai segara cahaya, perdu
cinta dan sebagainya. Masing-masing mempunyai sudat pandangan dan pendekatan
dengan kecintaan Ilahi. Dikatakan pemula yang mencetuskan ungkapan Cinta Ilahi
ialah Rabi`ah al-`Adawiyyah. Kemudian diperluas oleh tokoh-tokoh sufi yang lain
dengan falsafah dan doktrin masing-masing atau sekadar melanjutkan falsafah dan
doktrin yang telah dibina.
Fariduddin Al-Attar (1117-1193M.) juga melambangkan
keinginan menemui yang tertinggi dengan perlambangan `burung` di dalam
karangannya yang berjudul Mantiq al-Tayr (Persidangan Burung). Karangan yang
lain ialah tadhkirat al-Awliya` dan Puisi Asrar Namah– Kononnya ribuan burung
bermesyuarat bagi menemui Ketua Burung (Simurgh) di bawah pimpinan antaranya
belatuk, merak, kenari dan lain-lain. Namun dalam perjalanan burung ini makin
berkurang, lantaran banyak halangan yang
ditempuhi lantaran kelemahan dan kerapuhan bekalan rohani. Akhirnya hanya yang
kuat dari segi rohani saja yang mampu tiba ke mahligai Simurgh (Lambang pihak
Tertinggi).
Puisi Fariduddin Al-Attar di dalam Puncak Rindu digubah dan
disesuaikan dengan menyebut karangan Fariduddin
yang terkenal Tadhkirat al-Aawliya dengan melambangkan harum namanya sebagai
harumnya air wang di dalam cembulnya di tengah majlis sufi – zawiah dan
khanaqah (Fariduddin adalah penjual air wangi - Attar). Kata puisi:
Fariduddin Al-Attar
Di tengah halaqah
Dialah cembul air wangi
Yang dengan Tazkirat
Manaqib segala aulia
Tutup hijabnya terbuka
Lantas dupa wanginya menerpa.
Tazkirat al-Awliya` adalah karangan tasawuf terkenal
Fariduddin. Manakala pada bahagian kedua menggambarkan ratusan burung yang
selama ini terpenjara (lambang jiwa terpenjara) berjaya membebaskan diri dari
penjara dan mi`raj menuju cahaya. Kata puisi:
Di tengah medan
mujahadah
Jiwa-jiwa yang terpenjara
Dalam sangkar-sangkar sementara
Dialah mengepalai melulus diri
Burung-burung terbang lepas bebas
Mengenderai mikraj rohani
Meninggi ke jarak kualiti
Merindui asrar Ilahi.
Tapi kemampuan melonjak tinggi dalam mi`raj rohani
bergantung kepada kedudukan dari segi maqam dan hal tasawuf dan ketinggian
rohani. Ada had
dan martabat yang dicapai. Ada
sejak awal memandang cahaya melayah jatuh, ada yang silau – sesat dan tidak mampu meningkatkan perjalanan. Ada yang dengan isyiq bangkit dan naik
bermandi cahaya tapi ada yang terbakar fana. Cuma yang berada pada puncak cinta
dan kemurnian jiwa mampu tiba dan bermesra. Kata puisi:
Dari pengembaraan vertical ujian jiwa
Dengan maqam dan hal
Mendepani segara cahaya
Dipermukaan melayah menjunam
Sesat semata
Ringan kepaknya melonjak naik
Melangkau maqam-maqam
Dan yang bermandi cahaya
Dan yang pada puncak cinta
Mesra bersama-Nya.
Bandar Baru Bangi,
24 September 1992.
Fariduddin al-Attar berpendekatan jiwa hamba terpenjara
dalam kerangka badannya dan dijarakkan dengan Yang Tertinggi kerana kekotoran
jiwa hambanya. Melalui pembersihan rohani mendekatkan jarak pemisahan, tetapi
perjalanan kualiti dan mikraj rohani ini tidak mudah dilalui. Perlu kepada
mujahadah dan tarbiah bagi taqarrub kerohanian yang tinggi. Dalam usaha dan
ujian inilah terpancar dari jiwa sufi kepedihan, kerinduan dan kecintaan dalam
ungkapan-ungkapan dan madah-madah mutiara kata dan gemerlap seni sastera –
khususnya puisi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment