December 2, 2013

Tema Keinsafan - Ilham Dari Ungkapan Tuan Tabal

BBB, 28 Muharram 1435 = 02 Disember 2013 (Isnin):

Perkara yang sukar di dalam berpuisi ialah mendapat sentuhan ilham seni, di samping sudah ada persediaan `infra-struktur kepuisian (ISK)`. Apa yang dimaksudkan dengan `ISK` ?` Dapat diibaratkan `ISK` sebagai sebuah tanah kebun yang subur yang lengkap dengan persediaan, Cuma perlu kepada benih disemai dan turunnya hujan/disiram yang sedia bercambah tumbuh pohon yang subur rendang dan membuahkan ! Ibarat ini `ISK` ialah diri penulis dan sentuhan ilham seni ialah benih disuburkan oleh siraman. ISK memerlukan seseorang penulis mempunyai keilmuan, pengalaman, kesuburan daya estetika dalam diri dan penguasaan bahasa pada peringkat tinggi. Sebenarnya bagi menguasai semua ini memerlukan masa yang panjang bagi memupuk jiwa seni di dalam diri dan latihan penulisan.  Jika di universiti ada penawaran kursus yang dinamakan kursus kreatif yang boleh memakan masa beberapa semesta. Pun begitu penulisan kreatif bukan boleh diajar-ajar sebagaimana kursus yang lain, tetapi lebih bersifat bimbingan. Pada akhirnya bagi yang mempunyai bakat dan berdaya seni saja yang akan menguasai bidang penulisan kreatif.


Bagi mereka yang berbakat dan tercetus dalam konteks zaman atau masa yang bersesuaian, maka terserlahlah bakat dan kemampuan menghasilkan penulisan kreatif. Penyerlahan tidak semestinya menulis dengan banyak. Yang penting adalah mutu. Iqbal terkenal dengan kumpulan puisinya Asrar Khudi, kerana di dalamnya terluah cita-cita, visi dan misinya menyaran mendirikan sebuah Negara Islam di benua kecil India yang kemudiannya selepas kematiannya lahir (1947) negera yang dicita-citakan – Pakistan !
Khairil Anwar yang kecamuk hidupnya akibat perang menghasilkan sejumlah puisi terhadnya – Krikil Tajam. Amir Hamzah menghasilkan puisi-puisi Ketuhanan dengan hanya dengan kumpulan puisi – Buah Rindu. Hamka terkenal dengan dua novel keislamannya – Di Bawah Lindungan Ka`bah dan Tenggelamnya Kapal Ven Der Wick. Walaupun semua mereka disebut di atas menghasilkan karya kreatif dalam jumlah terhad, sebenarnya adalah puncak dari perjuangan mereka di dalam lapangan masing-masing yang antaranya terluah dalam ungkapan seni kreatif berkenaan.

Kita amat kecil di dalam penulisan berbanding dengan mereka. Ungkapan kita adalah cetusan-cetusan kecil yang bukan dari letusan-letusan dari peristiwa besar. Namun itulah had dan kemampuan yang dapat diluahkan oleh kemampuan seseorang di dalam era zamannya.

Penulis telah menyebutkan bahawa selain dari puisi Penulis dalam Puncak Rindu yang mengungkapkan ilham di Tanah Suci. Sebahagian besar puisi di dalam Puncak Rindu ialah bertemakan keinsafan. Puisi-puisi berkenaan:

1)      Tanpa Keinsafan Kita Hanyalah Segelembung Buih Kesombongan
2)      Seorang Tua Di Jendela Usia
3)      Arah Cinta Dan Perjalanan Diri
4)      Korban
5)      Dengan Apakah
6)      Tiba-tiba Kefanaan Menjelmakan Wajahnya
7)      Titian Kemanusiaan
8)       Jalan
9)       Mengerti Sekelumit Makna Abadi
10)   Perjalanan Ini Sesekali Terdampar Di Masjid Negara
11)   Insan Itu Tiada Lain Dari Kelalaian
12)   Pemecah Sepi
13)   Membina Peribadi Itu Harus Tegak Pada Paksi Diri
14)   Hikmat
15)   Akhirnya Terhenti
16)   Antropologi Rohani
17)   Suatu Pengertian
18)   Pencari

Setiap puisi biasanya tidak digubah secara kekosongan. Maksudnya ada konteks masa dan peristiwanya yang mencetuskan ilham yang menghasilkan puisi berkenaan. Puisi Tanpa Keinsafan Kita Hanyalah Segelembung Buih Kesombongn yang terawal di atas ada hubungan Penulis dengan pengajaran Sastera Sufi dan membimbing pelajar, bahkan memeriksa tesis sarjana pelajar dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang menggunakan Risalah Jala` al-Qulub Bi Dhikri Allah karangan Shaykh Abdul Samad bin Muhammad Salih al-Kelantani (Tuan Tabal) sebagai bidang kajian. Antara kata-kata Tuan di dalam risalahnya yang mencetuskan ilham bagi puisi `Tanpa Keinsafan Kita Hanya Segelembung Buih Kesombongan:

Fasal

Pada menyatakan mehinakan diri bagi kebesaran Allah.
Hai saudaraku sucikan olehmu akan miliki hatimu daripada takabbur atas makhluk Allah dan hiasi olehmu akan dia dengan mehinakan diri dan merendahkan diri bagi kebesaran Allah, maka janganlah kamu ajaibkan dirimu di hadapan Allah dan jangan takabbur atas seorang dari makhluk Allah dan basuh olehmu akan miliki hatimu daripada najis ujub dengan air menghinakan diri bagi Allah dan buang olehmu akan takabbur daripada hatimu  dengan mengenal dan mengakukan dirimu hina seperti tanah yang dijijak orang atasnya dan sapu olehmu akan debu mengakukan diri daripada tempat memandang Allah kerana ia mecemarkan hati, pada hal ia cermin bagi wajah Allah dan kenal oleh mu akan hina dirimu di dalam hatimu nescaya kamu dapatkan sekaliannya terlebih mulia  dan terlebih tinggi daripada dirimu, maka pandang kehinaan dirinya  ini ialah permata yang sangat indah lagi mahal harganya.
(Shaykh Abdul Samad bin Muhammad Salih al-Kelantani, Jala` al-Qulub Bi Dhikri Allah, Matba`at al-Asasiyyah, Kota Baharu, Kelantan.  Tanpa Tarikh, hlm. 19).

Apa yang menjadi fokus utama di dalam Risalah Jala` al-Qulub sebagaimana menjadi judul Risalah `Jala` al-Qulub` ialah `Menyucikan Hati` yang disebutkan juga secara kinayah  `hati`  sebagai `Rumah Allah` Dengan Menyebutkan Allah.

Dari ungkapan di atas, bahkan dari keseluruhan kandungan risalah yang setebal 26 halaman terungkap:

Tanpa Keinsafan Kita Hanyalah Segelembung Buih Kesombongan
(Ilham dari Jala` al-Qulub – Tuan Tabal)

Tanpa keinsafan
Kita adalah semata-mata buih-buih
Membulatkan kesempurnaan diri
Sedang di dalam kekosongan
Melonjak dikocak ombak
Melambung kemegahan
Pada hakikatnya
Citra warna pada kita
Adalah bayangan permukaan
Tanpa dasar dan akar memngukuhkan
Dan ombak begitu garang
Manifestasi kecil pinjaman
Bukan untuk keangkuhan
Tapi mengimbangkan
Tanyalah pada buih
Apabila terdampar pecah di pantai
Di manakah wujudnya
Sebelum menayangkan kesombongan ?
Tanyalah pada ombak
Apabila matinya angin
Dari berhembusan
Di manakah keras gelombangnya
Sebelumnya membadai mengancam ?

Segalanya pinjaman
Perlu dimanfaat sepenuhnya
Dalam kesementaraan
Jadilah segelembung buih
Keluh keinsafan
Atau sealun ombak
Kuak gerak ke depan
Menyusur pemergian..

Bandar Baru Bangi,
November 1993.

(Puncak Rindu, 1999: 13-14).

Sekian.

No comments:

Post a Comment