December 27, 2013

Puisi Zaman Perang !

-->
BBB, 23 Safar 1435 = 26 Disember 2013 (Khamis):

Zaman Perang dimaksudkan bahawa Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya yang sebelumnya dijajah British diserang dan dikalahkan oleh Jepun dan menguasai Malaya dari tahun 1942-1945. Peperangan bererti kemusnahan dan penderitaan. Sebelum dari berlaku peperangan rakyat di Malaya menganggap British satu bangsa yang super dan tidak mungkin dikalahkan oleh mana-mana pihak. Tetapi perang menelanjangi semua. British dapat dikalahkan. Malaya dan Singapura jatuh ke tangan Jepun. Rakyat kagum dengan Jepun dan semacam mengalu-ngalukan kedatangan mereka, tetapi reality selepas kedatangan mereka penderitaan berterusan.

Perang dan kemusnahan dari satu segi boleh mencetuskan kelahiran penulis dan sasterawan yang perkasa semangat dan jiwa melahirkan karya yang hangat dan semangat, juga duka dan airmata yang dengan daya kreatif dapat menghasilkan karya perang yang boleh menggugah jiwa dan minda pembaca. Adakah ini berlaku kepada penyair-penyair di Malaya pada masa itu. Jika ada sejauhmanakah persepsi dan tanggapan mereka terhadap episode dan penderitaan yang dialami dan sejauh manakah pula mereka mampu menurunkannya ke dalam karya kreatif. Bayangkan puisi-puisi Chairil Anwar yang mengungkap puisi perang ! yang katanya ``Aku ini binatang jalang !

Aku

Kalau sampai waktuku
`Ku mau tak seorang `kan merayu
Tidak juga kau.

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi.

(Chairil Anwar, Deru Campur Debu,, P.T. Pembangunan, Jakarta, 1984: 7).

Ungkapan di atas seperti lahar kepanasan membuak-buak keluar dari jiwa bak gunung berapi yang hangat dengan situasi peperangan. Biar tersepit dan terpanggang di tengah kegawatan perang, diancam peluru dan kematian Chairil tetap bersemangat meneruskan perjuangan, beliau mengungkap `mau hidup seribu tahun lagi !` Adakah penyair-penyair Malaya menggelegak jiwa dengan situasi perang, mampu mengungkapkan keintiman pengalaman yang begitu hangat dan tajam ?

Zaman Perang di Malaya melahirkan lebih kurang 60 orang penyair dengan kurang daripada 100 buah puisi, namun situasi di Malaya berbeza dengan Indonesia yang rakyatnya sendiri terlibat di dalam perang dan revolusi di Indonesia yang menentang Jepun dan Belanda yang mau kembali (Belanda) menjajah Indonesia. Tiada puisi di Malaya yang bertema perang yang begitu membuak dengan semangat, lantang dengan perjungan dan menggadai nyawa demi kemerdekaan (Indonesia).

Rakyat di Malaya pada permulaan rata-rata kagum dengan kemenangan Jepun, bahkan mengalu-ngalukan kedatangan mereka. Kata Bachtiar Effendi dengan puisinya `Masih Berperang`:

Asap menggelap di udara Malaya
Masa Nippon baru datang
Menyerang pertahanan tentera British
Yang ditemberangkan garang

Bom meriam
Menderam di malam kelam
Pelor rintis
Angkasa membawa api
Menghancurkan buku bangsa Britania
Lebur kuasa orang putih.
(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 373).

Gadis Muar mengalu-ngalukan kehadiran Jepun. Ini diungkapkan dalam puisinya:

Oh Malaya
Gadis Muar

Oh Malaya ! Tanahairku kami berseru
Negeri yang makmur aman lagi berbahagia
Syukurlah kerajaan Nippon datang meluru
Melepaskan Malaya daripada cengkaman British yang aniaya.

Oh Malaya ! Bertuahlah kamu masa ini
Semenjak kerajaan Nippon datang memerintah di sini
Menjalankan tadbir yang sempurna besar dan seni

Panjangkanlah umurnya mudah-mudahan dikurniakan Rabbani.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 340).

Pujian diberi terhadap kehadiran Jepun dengan slogan dibawanya `Asia Raya` Kata Shoma Jaya:

`Asia Raya` mula dibina
Anjuran Dai Nippon elok sempurna
Andainya kita bena tak bena
Akhirnya hidup serasa fana.

Rajinlah membaca `Suara Timur`
Rahsia mencapai kehidupan makmur
Rebutlah keemasan di Asia Timur
Rapat berdamping dengan Dai Nippon termasyhur.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 349).

Peperangan berlaku dianggap seolah wajar dan diperlukan, kata Mahmud Ahmad, dengan puisinya berjudul `Kehidupan Baru`:

`Bom di sini bom di sana
Beberapa banyak jiwa yang fana
Perbuatan itu kelihatan hina
Tetapi sebaliknya kemakmuran dibina.

British, Belanda penghisap darah
Itulah tujuan dipukul darah !
Tetapi kerana tersalah arah
Terkenalah kita luka berdarah.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 353).

Bachtiar Effendi antara penyair zaman Jepun yang banyak menghasilkan puisi (lebih dari 6 buah) mengharapkan kemakmuran dapat dilaksanakan di Malaya:

Melayu Muda

Matahari sudah terbit Asia
Sampai masa buat kita berusaha
Mencapai mendapatkan Malaya Raya
Marilah sama-sama
Bekerja buat Malaya
Angkat tinggi darjat bangsa
Tanah tumpah darah
Janganlah segan lemah
Berkorban buat Malaya
Mari bersama bekerja dengan Melayu Muda !

(Puisi ini diangkat menjadi lirik lagu bagi sambutan Hari Malai Baru !)

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 359).

Penyair Masuri S.N. mencipta nama pada zaman Jepun dan antara penyair paling banyak menghasilkan puisi zaman Jepun (15 buah), turut sama bersemangat dengan cita-cita `Asia Raya`:

Perajurit Negara

Berbaris berjejar, hebat bergaya
Pergi bertempur, penuh darura
Menyerah raga dengan sukarela
Mencipta bahagia `Asia Raya`
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 391).

Masuri begitu bersemangat dengan gagasan Asia Timur dan sama berjuang untuknya. Kata Masuri:

Bakti Putera Timur

Beta lahir di timur
Bumi nan luhur
Tanah yang makmur
Penuh ratna bertabur.

Beta Putera Asia
Sebagai kembang Negara
Penuntut bela
Pengawal nusa bangsa.

Tiada reda sekali-kali
Tanah air beta dilumuri barat
Biar tercerai roh tajali.

Beta tepa, berbakti jihad
Hanya inilah bakti hamba
Sebagai putera, Asia Timur
Mengawal menjaga, tanah persada
Agar kekal gemilang makmur.

(Kamaruzzaman A. Kadir, Puisi Sepanjang Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 64).

Nampaknya semua penyair zaman Jepun bersemangat dengan kehadiran Jepun, agar Malaya makmur di bawah gagasan `Asia Timur`. Tidak ada suara yang menentang atau mengecam ! Walau bagaimana perlu diingat, pada masa Jepun media dikawal ketat, hanya yang berpihak kepadanya mendapat tempat di dalam penerbitan-penerbitan yang terhad seperti Matahari Memancar, Sinaran Matahari, Suara Timur, Fajar Asia, Semangat Asia dan Berita Malai. Semua penerbitan bersifat kejepunan dan tiada penerbitan lain dibenarkan.

Api peperangan Dunia Kedua, turut membakar semangat penyair-penyair di Malaya, walaupun pengucapan mereka tidak sehebat penyair Indonesia yang langsung berada di dalam kancah revolusi dan peperangan menentang Belanda bagi menegakkan kemerdekaan Negara. Penyair kita secara halus maukan kebebasan, terlepas dari penjajahan Barat – British. Mereka menjangka ini dapat dicapai melalui pembebasan yang dilakukan oleh Jepun dan berharap dapat membina kemakmuran negera melalui Asia Raya, tetapi peperangan dan penguasaan luar – tanpa kemerdekaan sejati, tidak menjanjikan semua ini !

Sekian.

No comments:

Post a Comment