December 11, 2013

Kita Adalah Pencari

-->
BBB, 07 Safar 1435 = 10 Disember 2013 (Selasa):

Judul terakhir bagi kelompok keluhuran dan keagungan ialah `Pencari` yang menjadi puisi terakhir dalam kumpulan `Puncak Rindu`. Dimaksud di sini adalah lebih merujuk kepada pencarian ilmu dan hikmah. Puisi ini dihasilkan pada tahun 1974 dalam mana penulis sedang tekun menghadapi pengajian bagi menghadapi ujian peperiksaan tahun 4 – Tahun kepujian. Penekunan menghadapi ilmu pengetahuan, ketika itu penulis masih lagi di Kampus UKM, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, mencetuskan penghasilan puisi `Pencari`.

`Pencari` mencerminkan `Kerinduan dan kemesraan terhadap ilmu` - membicarakan sesuatu yang bersifat filosofikal. Manusia merasa dirinya kehilangan di dalam konteks ilmu dan berusaha mencari, bahkan ilmu itu merupakan sesuatu yang hilang yang terus dicari. Pencarian lebih memaksudkan kepada usaha memenuhi tuntutan dan kepuasan minda dan jiwa. Ironinya apa yang dicari tidak pernah didapati secara sempurna. Ianya ibarat sebagai dahaga yang berapa banyak diminum tidak pernah padam, ianya juga sebagaimana disebutkan sebagai sesuatu yang hilang yang terus merangsang pencarian. Kata puisi:

Pencari

Kita yang hidup ini
Mengejar kehilangan
Jadilah kita pencari-pencari berterusan !

(Puncak Rindu, 2013: 100).

Pencarian adalah usaha menghasilkan sesuatu bagi memenuhi tuntutan. Puisi di atas boleh juga ditafsirkan kepada maksud lapisan yang lain, iaitu usaha manusia mencari bahagia yang tidak pernah kesampaian, tetapi apa yang dianggap bahagia adalah bersifat relatif dan nisbi, bahkan ilusi. Ada yang menganggap bahagia pada harta banyak dan kediaman besar, tetapi kebahagian sebenarnya bukan pada harta.

Satu keluarga petani yang tinggal di pondok kecil di tepi sawah yang cukup hidup dengan bertani, mungkin lebih bahagia daripada mereka yang kaya dan berumah besar yang hidup di dalam ketakutan (Hamka, Tasawuf Moden, Persama Press, Pulau Pinang, 1372/1952: 11-13).

Bahagia sebagai ilusi, laksana melihat miraj di jalan kepanasan.

Kata puisi:

Sepanjang zaman
Imbau bahagia membisik telinga
Rangsangan demi rangsangan
Membakar keinginan
Tampillah kita berdahuluan
Mengejar imbauan
Setiap ganjaran
Adalah piala terpenuh buih ghairah
Setiap disentuh bibir pecah
Dan dahaga kembali berpanjangan.
 
Berhubung dengan pencarian dan kebahagiaan.

Kebahagian yang sebenarnya ialah mencari hikmat dan ilmu pengetahuan bagi memenuhi tuntutan minda dan jiwa, lantaran dikatakan:

`Hikmat itu adalah sesuatu yang hilang yang dicari oleh orang-orang mukmin.``
Juga Sayyiduna Ali k.w. berkata:

``Nikmat tertinggi adalah ilmu pengetahuan, kerana ianya dapat mengisi tuntutan akli dan rohani``

Namun menuntut ilmu ialah pencarian tiada hujungnya.  Hikmatnya, ianya merupakan katalis bagi menggerak manusia meneroka rahsia dan keilmuan Tuhan berterusan.

Kata puisi:

Betapa manusia yang dengan segala keinginan
Kiranya semua terpenuh
Kakulah penggerak dari rangsangan
Hambarlah hidup diziarah kesepian
Rumah kehilangan keluarga
Dunia kehilangan warga.

(Puncak Rindu: 100).

Hikmat Ilahi meletakkan ilmu pada tempat tertinggi:

``Katakan adakah sama antara yang berilmu dengan yang tidak berilmu``

(al-Zumar: 9).

``Allah mengangkatkan orang yang beriman daripada kamu dan yang dikurniakan ilmu kepada darajat-darajat.``

( al-Mujadalah: 11).

Dari rangsangan berkenaan, menggerak manusia  menerokai ilmu pengetahuan di dalam berbagai-bagai bidang. Namun walau pun begitu banyak ilmu pengetahuan yang telah diterokai manusia masih tidak puas dari menerokai:

Kata puisi:

``Telah menjadi wasiat hidup
Milik kita adalah kehilangan
Sebab itu di dalam mencari
Jangan ditanya apa yang ditemui
Kerana kita selamanya pencari-pencari.

UKM, Jalan Pantai,
28 April 1974.

Di dalam kata lain, manusia sebagai warga dunia, terus meneroka ilmu pengetahuan, kebahagiaan adalah di dalam pencarian dan penghasilan, tetapi penghasilan setakat yang ditemui dan dikuasai tidak pernah memberi kepuasan kepada manusia. Mereka terus mencari. Ianya merupakan hikmah yang menggerak manusia terus berusaha bagi meningkatkan ilmu dan kemajuan bagi pembinaan tamadun dan peradaban manusai itu sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment