BBB, 04 Safar 1435 = 06 Disember 2013 (Jumaat):
Ketenangan adalah momen-momen waktu yang meletakkan diri
dalam suasana hening. Adalah waktu paling sesuai untuk bertafakur,
bermuhasabah, bahkan menimba ilham. Ketenangan yang boleh bermakna kedamaian
atau tenteram adalah nikmat yang dengannya menghentikan kekalutan dan
menangguhkan gangguan. Ia adalah momen-momen dicari dan tidak mudah didapati.
Ketenangan tidak saja bergantung pada waktu dan suasana kelilingan, yang
penting persediaan hati dan diri menangkap suasana hening berharga serentak
dengan persediaan diri dan terpenting adalah pengisian ruang dan momen
kesempatan dengan manfaat maksimum.
Puisi `Gua Sepi` yang memaksudkan kepada ketenangan dan
keheningan yang merupakan masa yang sesuai bagi menghening dan tafakur diri.
Imej `Hira` mengaitkan dengan `Gua Hira` yang memberi maksud kepada kesucian
dan kekudusan, manakala `cahaya` memaksudkan kepada hidayah. Lantaran itu
diungkapkan dalam:
Gua Sepi
``Sepi itu adalah `Hira` Diri` yang waktu-waktu dari atas
memancar cahaya ke mulut gua menjemput diri melangkah ke dalamnya bersunyi
tafakur, bermuhasabah dan munajat mengiringi rakaat-rakaat solat.``
Gua dan Hira` adalah perlambangan imej dan bukan bererti
sesuatu yang fizikal, tetapi lebih merujuk kepada suasana hening dan sepi
seperti di waktu ke tengah malam. Di sini di bulan Ramadhan. Waktu sedemikian
membuka ruang khusyuk diri dengan solat, munajat dan hajat.
Dalam suasana hening bening juga peluang mesra diri dengan
tilawah al-Qur`an yang tadarusnya dituntut.
``Mengulangi tilawah wahyu yang diturun di bulan berkat itu
kepada baginda mengasyikmesrakan diri dengannya.``
Kemesraan dengan tilawah al-Qur`an yang tadarusnya dituntut
lantaran pada bulan Ramadhan inilah diturunkan al-Qur`an (Al-Baqarah: 185).
``Butir-butir firman itu berjatuhan ke kepingan gangsa hati
lunak menggemai resap ke sanubari.``
Dengan tilawah dalam suasana hening, kita sebagai hamba
biasa begitu lazat bagaikan lafaz-lafaznya berjatuhan di gangsa hati, tentulah
wahyu yang diterima Rasulullah lebih-lebih lagi significant.
``dengan tilawah di gua sepi itu begitu lazat, betapa
Muhammad dengan Jibril merafak tawaduk wahyu-Nya yang turun dengan rahmat-Nya
melimpah basah.``
Nikmat sepi bagai membeku diri bagi ikatan cinta mesra,
``Nikmat sepi itu membeku segala ruang dan waktu dieratkan
oleh ikatan cinta mesra.``
Suasana ketenangan juga selalu digambarkan bagi kehadiran
`Lailatul Qadr` dan dalam suasana tenang juga pemuda `Ashab al-Kahfi`
direhatkan Allah Ta`ala berabad di Gua al-Kahfi. Kata puisi:
``Betapa lagilah kiranya Lailatul Qadar menjelma. Keasyikan
itulah melenakan Ashabul Kahfi berabad di gua mesra diselimut cinta.``
Sesungguhnya ketenangan, keheningan amat penting di dalam
kehidupan. Ada
yang meninggalkan kemewahan sanggup berkelana mencari ketenangan keluar ke
pergunungan, ke perkampungan atau di mana-mana ke pengasingan yang menenangkan.
Ketenangan sesuatu yang dicari dan ditunggu kehadiran,
``Nikmat itu adalah kecintaan yang datang di malam
ketentuan, menjadikan rindu kembali menunggu saat-saat gua sepi itu menguakkan
Pintu.``
Ketenangan begitu penting. Perjalanan pulang kita juga
memerlukan ketenangan dan kedamaian (kita doakan);
Firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, (tetap
dengan kepercayaan dan bawaan baiknya).
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati
(dengan segala nikmat yang diberikan lagi diredhai).
Serta masuklah dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia.
Dan masuklah ke dalam syurgaku.
(Al-Fajr: 27-30).
Puncak ketenangan dan kedamaian dicapai oleh jiwa yang beriman
yang gemerlap dengan ketakwaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment