December 26, 2013

Seratus Tahun Perkembangan Puisi Melayu Moden


22 Safar 1435 = 25 Disember 2013 (Rabu):

Berdasarkan kepada  puisi moden terawal diterbitkan ialah pada 18 Januari 1913 oleh Omar Mustaffa berjudul `Angan-angan Dengan Gurindam`  yang terbit dalam Utusan Melayu pada tarikh tersebut, maka kini (2013) usia Puisi Melayu moden telah mencapai 100 tahun atau seabad genap, iaitu satu tempoh yang panjang yang cukup mencerminkan perkembangan puisi moden itu sendiri. Dari permulaan puisi awal hingga sebelum kemerdekaan lebih dari 500 buah puisi dihasilkan oleh lebih dari 300 penyair, (Lihat: Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987:XXX1 – lii) maka dalam tempoh 100 tahun, khususnya selepas kemerdekaan hingga kini jumlah puisi moden tentulah berkali ganda banyaknya.

Walaupun dilihat dari permulaan digubah puisi moden oleh Omar Mustaffa penyair-penyair terus lahir, tetapi melihat kepada perubahan gaya pengucapan amat perlahan, bahkan dapat dikatakan dari tahun 1913 hingga perang dunia kedua perubahan dari segi bentuk amat static. Untuk perbincangan lebih lanjut Penulis melihat dalam tempoh seratus tahun perkembangan puisi moden dapat dibahagikan kepada tahap-tahap berikut:

1)      1913 hingga menjelang Perang Dunia Kedua (1941)
2)      Zaman Jepun (1942 – 1945)
3)      Selepas Jepun hingga menjelang Kemerdekaan (1946-1956)
4)      1957 – 1969
5)      1970- 1999
6)      2000- Kini.

Tahap 1913 – Menjelang Perang Dunia Kedua

Sebenarnya selepas Omar Mustaffa dengan pengucapan puisi bebasnya – berjudul Angan-Angan Dengan Gurindam, tiada pengikut dan penerusan mengungkapkan puisi secara bebas seperti Omar Mustaffa, sebaliknya hampir keseluruhan mengungkap puisi terikat persis syair contoh seperti Harun Aminurrashid, walaupun persoalan dan isi adalah baharu, tetapi gaya pengucapannya kembali kepada syair. Contoh puisinya yang berjudul:

Semenanjung

Penulis termenung sutu hari
Kepada semenanjung yang difikiri
Tanahairku tumpah darah sendiri
Mengenangkan halnya zaman yang lari.

Ayuhai Semenanjung buah hatiku
Mengapakah kamu demikian laku
Membiarkan puteramu duduk berteleku
Bersenang lenang belia berpangku ?
Dan seterusnya.

(Abdul Latiff Bakar, 1987; 21).

Gaya terikut sedemikian diungkapkan oleh beratus penyair lain, contoh Ingatkan Semenanjung Tanahairku oleh IBHY (Abdu Latiff, hlm. 26-27), Nasihat Kepada Pemuda oleh Zainal Rashid (35-36), Buah Percintaan oleh Rahimu Yakubi (39-40), Wahai Bangsaku Di Semenanjung oleh Yaakub Mohd. Amin (44-45) dan banyak lagi.

Beberapa pengucapan secara bebas selepas  Omar Mustaffa, ialah puisi yang dihasilkan oleh Kasmani Haji Arif berjudul `Pertanyaan Sukma. Kata Kasmani:

Pertanyaan Sukma

Sedih
Bagaimana air
Tak mendidih ?
Sedang tenang
Dalam tempayan
Dilumba api
Setiap petang.

Bagaimana hati
Tak sedih ?
Buah lebat
Dalam taman
Habis dijolok
Orang datang

….

(Abdul Latiff Bakar, 1987: 88).

Sebuah lagi puisi yang membawa penyimpangan ialah, Ayuhai ! Malaya – Watanku oleh
Mohamad Ali Mohamad:

Ayuhai ! Malaya – Watanku

Oh ! Malaya !  Watanku !
Tanah tumpah darah kaum bangsaku
Masyhur namanya tanah bumiku ini
Bukannya sahaja ketika ini ! dari pun dahulu dikenali

Apakah tidak dikatakan demikian perinya ?
Lihatlah mewah – makmur – kaya – aman – senang dan lenang
Sukanya kaum ku duduk – tidur
Makan dan minum semuanya dengan hati yang lapang dan tenang

…..

(Abdul Latiff Bakar, 1987: 124).

Dilihat dari segi tema, maka kebanyakan puisi-puisi sebelum perang membawa tema-tema cintkan tanahair, kesedaran ekonomi dan ketinggalan dari segi kemajuan. Walau  bagaimana tidak ada suara yang lantang misalnya menuntut kebebasan, apa lagi kemerdekaan.

Di samping tema-tema di atas terdapat penyair-penyair yang membawa tema keislaman dan keinsafan. Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim menghimpunkan puisi-puisi yang bernafaskan keislaman dan keinsafan antara tahun 1933-1986. Antara tahun 1933 hingga sebelum Perang Dunia Kedua (1941) terdapat sebanyak:

1)      Umat Islam Di Timur oleh  Asmazas (24 Ogos 1940).
2)      Sariku  oleh Atma Jiwa (Disember 1933)
3)      Tuhan oleh Kamaluddin (30 September 1940)
4)      Anak Yatim oleh Kasmani Haji Ariff (1 Julai 1937)
5)      Islam oleh Kasmani Haji Ariff (1 Julai 1937)
6)      Selamat Hari Raya oleh Kasmani Haji Ariff (3 Disember 1937)
7)      Putaran Masa oleh M.B. Abdul Malek (23 Januari 1941).
8)      Berserah Diri Kepada-Nya oleh Nijar Abdul Hamid (23 Januari 1940)
9)      Hanya Dia Tempat Mengadu oleh Nijar Abdul Hamid (24 Februari 1940)
10)  Di Tengah Segara oleh Pungguk (Disember 1933)
11)  Oh … Tuhan oleh Pungguk (Julai 1936)
12)  Dewasa Subuh oleh Roslani Ashikin (5 Julai 1940).
13)  Janjian Tuhan oleh Shamsuddin Saleh (Jun 1941).

Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, Mengenangmu – Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 5-34).

Jumlah puisi bernafaskan Islam sebelum Perang Dunia Kedua adalah sedikit, tetapi ketara banyak yang meluahkan ilham secara bebas. Contoh:

Umat Islam Di Timur
….
Islam menerangi timur seluruhnya
Tapi alangkah …hiba
Manakala datang si pancaroba
Bumi tanah kita terbalik gelantang
Ke mana kita sekarang berada
Carilah ! Salahnya diri sendiri
Wahai sekalian umat Islam di timur
Baikilah bersama kesalahan ini.
Asmazas                         (Mastika, 24 Ogos 1940)

(Mengenangmu, 1989: 5).

Pengucapan bebas juga dapat dilihat pada puisi:

Anak Yatim

Anak miskin – yatim piatu
        Segenap waktu
Mengharap Bantu !
        Tidakkah tuan-tuan menaruh belas
Memberi sedekah
         Menolong nafkah
Memelihara mereka itu ?
….

Kasmani Haji Ariff,        (Bulan Malaya, 1 Julai 1937).

(Mengenangmu, 1989: 17).

Ungkapan secara bebas juga dilakukan oleh Nijar Abdul Hamid:

Hanya Dia Tempat Mengadu

Hening, bening, tenang, benang
    Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa
Kuteringat lalu terkenang
    Kuraba mataku basah !
Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa
    Menggerakkan daun-daun kayu
Bila kuraba mataku basah
    Kiranya hatiku bertambah pilu !
Menggerakkan daun-daun kayu
    Teringat diriku dagang melara
Bermacam-macam bunyi suara

….
                          (Majlis 24 Februari 1940).

(Mengenangmu, 1989: 26).

Penerbit-penerbit yang memberi ruang kepada penulis-penulis sebelum Perang Dunia Kedua adalah terhad. Penerbit-penerbit sebelum perang Dunia Kedua ialah Utusan Melayu, Malaya, Al-Ikhwan, Jasa, Warta Negara, Lidah Benar, Temasik, Majlis, Tanah Melayu, Warta Ahad, Al-Hikmah, Persahabatan, Warta Jenaka, Warta Malaya, Majalah Guru, Bulan Melayu, Utusan Zaman, Idaman, Semangat Asia, Berita Malai dan Mastika.

Sebagai puisi moden peringkat permulaan yang diterbitkan di dalam penerbitan-penerbitan sebelum Perang Dunia Kedua, walaupun mungkin tidak begitu tinggi dari segi mutu, tetapi amat penting melihat dari segi sejarah penulisan dan perkembangan daya estetik perpuisian dan pemikiran masyarakat sezaman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment