May 6, 2014

Antara Kegelisahan Anis Sabirin, Pergi Membawa Diri, Rindukan Tanahair, Pulang Dengan Keinsafan Dan Ketenangan

-->
BBB, 05 Rajab 1435 = 05 Mei 2014 (Isnin):

Anis Sabirin adalah antara penyair wanita terawal menulis puisi moden dan terkenal sejak 1960an. Berasal dari Johor Bahru dan berkelulusan Universiti Malaya Singapura – Sarjana Muda Sastera dengan kepujian (1959). Beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Penyelidik (Mei,1960 hingga Februari 1971). Puisi-puisinya sering diperkatakan sejak 1960an. Selepas itu Anis menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat sejak 1976, menetap dan berkhidmat di sana (Francisco). Walau bagaimana Anis Sabirin terus menulis sehingga ke pertengahan 1990an. Puisi-puisinya dihimpunkan dan kumpulan puisi persendiriannya berjudul `Simfoni` (1996).


Membaca puisi-puisi Anis Sabirin semacam berbaur dirinya dengan kegelisahan dan mencari ketenangan dan ada kalanya semacam pesimis terhadap hidup

Hidup

Hidup ertinya derita
Kerana kita dihidupkan untuk derita
Dan siapa sanggup
Memikul tugas teramat berat tersedia
Baginya rahsia Tuhan Maha Cinta.

Siapa berani hidup
Lebih dahulu harus menyucur air mata
Api dan waja mengancam detak di hati
Pedih dan tangis seiring arakan di keriangan bumi
….
(1 Januari 1962).
(Anis Sabirin, Simfoni, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996: 17).

Beberapa puisi beliau bertemakan sedemikian seperti Malam (23, 1961), Duka (24, 1961), Lagu Dara Keseorangan (25, 1961), Sajak III (14, 1962), Balada Anak Kota (hlm. 1-3,1963). Kita kira puncak kegelisahan Anis Sabirin, beliau mengungkapkan:

Kubunuh Cinta

Kubunuh cinta dalam hatiku
Pisau tajam berkilau !
Darah pancut merah-merah
Aku menjerit
Ketawa dalam kepedihan.

Cintaku terkulai merah
Gigil kian lemah !
Dan pisau tajam berdarah
Kulempar jauh-jauh.
Hilang di balik malam.

Sudah kubunuh cintaku merah
Darah mendidih pekat
Aku senyum
Aku tidak lagi
Akan dibunuh oleh cintaku.
(tanpa tarikh)
(Simfoni, 1996: 27).

Apakah pemergian Anis Sabirin ke San Francisco sepenuhnya untuk menyambung pelajaran atau sebagai pelarian ?

Yang nyata bila beliau di sana beliau pula kecamuk rindukan tanahair dan keluarga. Dalam puisinya setelah 13 tahun di San Francisco beliau menulis:

Surat Dari San Francisco
….
Tiga belas musim tanah kemarau
Rindu kasih tak kunjung padam.

Betapa lama ditinggalkan
Kasihku bersinar gemilang
Walaupun salji putih menimbun
Angin Santa Ana dan Los Angeles membadai
Aku tetap anak Negara
Malaysia Negara kekasih
….
San Francisco
8 Februari 1981.
(Simfoni, 1996: 84).

Dan kepada anaknya beliau menyatakan,

Kepada Anakku
(Untuk Azmi dan Alida)

Demikianlah anak
Setelah jauh kita berjalan
Menembus awan dan waktu
Dibawa jet begitu laju
Akhirnya sampai
Di bumi impian.
….
Melintasi Lautan Teduh
Menjelajah negeri demi negeri
Dibawa hati rindu
Ditarik kenangan ghairah
Kepada tanah air.

Demikianlah anak
Banggalah pada asal usul kita
Pada bangsa yang sedang membentuk sejarah
Dari masa silam penuh harapan
Malaysia sedang membangun.

San Francisco,
11 September 1981
(Simfoni, 1996: 65).


Beberapa puisi Anis Sabirin tentang rindu dan kasih cinta pada tanah air seperti Dia Kembali (41, 1981), Malaysia Tanah Airku (55, 1981), Hijrah (72-73, 1981),Tanah Air (32, 1991), Dari Mana (41, 1991), Bumiku Hijau (31, 1992), Lagu Cinta Tanah Air (33-34, 1991) dan Kuala Lumpur (57, 1992).

Dalam keresahan ada suara-suara keinsafan terungkap dari Anis Sabirin. Contoh puisi:
Doa
….
Tuhan
Hampir tergelincir
Di air mata yang mengalir
Rinduku cahaya dan setia
Doaku damai di hati bernoda
Belas kasih-Mu juga dipinta
Ampun bagi kami yang lemah
Hasrat benci yang meletus perang dan musnah.
….
(Simfoni, 1996: 21).

Nada-nada keinsafan ini ketara dalam puisi-puisi sebelum Anis Sabirin berangkat keluar Negara (1967). Contoh-contoh puisi-puisi Ruang dan Waktu (13, 1962), Aidil Fitri Hari Mulia (5-6, 1963), Kelahiran dan Kematian (7, 1963).

Mulai 1992 nampaknya Anis Sabirin kembali menetap di tanah air, maka kedapatan selepas 1992, makin banyak puisinya yang membawa nada keinsafan dan keislaman. Contoh:

Nyanyian Seorang Bayi

Ibu
Di malam yang ajaib ini
Sewaktu angin berhembus damai
Langit tenteram melindungi bumi Tuhan
Ramadan yang mulia datang berwajah jernih
Dan suara azan merdu terdengar
Menerawang angkasa.
Ibu alangkah tenteram sekitar alam
Damai, damai yang indah menyelimut laut
Dan tanah, tasik dan teluk
Gunung dan lembah, segala-galanya berkat dan suci
Ramadan, tamu terhormat, datang membawa rahmat
Damai dan bersih.
….
Petaling Jaya,
10 Februari, 1995.
(Simfoni, 1996: 29-30).

Keinsafan lebih tinggi bila kita diuji dengan kesakitan:

Pengertian
….
Kumelangkah perlahan
Ingin menghirup dingin cuaca pagi
Begitu lesu terbaring di kamar
Merenung kipas angin
Mendengar deru bas Sekolah.

Badan separuh lumpuh
Fikiran kusut
Ini kamar hospital atau rumahku ?

Suara azan dari masjid
Bawa ketenangan untuk pagi yang rusuh
Sungguh besar rahmat-Nya
Sakit tenat bawa rasa damai
Dan pengertian yang mendalam
Tentang hidup sederhana.

Petaling Jaya,
13 Mei 1993.
(Simfoni, 1996: 39).

Antara puisi-puisi yang membawa keinsafan ialah, Batas (38, 1994), Ibu dan Anak (44-45, 1993), Sajak Bukanlah Susu (46-47, 1994), Doa (kedua) (83, 1993) dan Di Ranjang Sakit (85-86, 1993).

Walau bagaimana di dalam kumpulan puisinya turut membawa tema yang bersifat antara bangsa, politik dan soal business. (Simfoni, 1996, 135hlm.). Sebahagian daripadanya (bahagian akhir) turut memuatkan puisi-puisinya dalam bahasa Inggeris (103-135). Misalnya pembangunan Silicon Valley di California (52, 1981), Mengecam Amerika melanggar Iraq (90-92, 1991), Usaha Tengku bagi mendirikan Malaysia & berbagai peristiwa politik dunia (10-12, 1962). Bahkan bersama dalam business lunch:

The Business Lunch

Today I went for a business lunch
With a new friend, an economist
From the Bank of America
….

We are at the Cherry Blossom Restaurant
I had shrimp noodle, she ordered
Beef rice, and the bill was really modest
I thought, perhaps I should arrange
A business lunch every single day
It keeps me stimulated and happy
I would like to be happy
Especially on such a shining day as this.

San Francisco,
19 February 1981
(Simfoni, 1996: 131).

Beberapa puisi Anis Sabirin dalam bahasa Inggeris semasa di luar Negara adalah mengenai pengembaraan dan lawatan seperti The Wanderings – catatan menjelajah benua Amerika barat ke timur (106, 1981), Toward Tomorrow (107, 1981), Odyssey (110, 1981), A Journey (111, 1980). Anis seperti mencari dari segi lahiri dan maknawi. Kata Anis:

Grace

My mind is a radar, scanning the universe
Ever restless in search of new truths
Waves of energy flash green upon the screen
The pulse of life bears strongly.

Light impulse streaks across time
I stand silent, gazing at impenetrable mystery
There is order, beauty, harmony
The planets swimming in deep space.

Radiance covers the quiet sky
My mind, a tranquil haven, leaps forth
In sudden knowledge of life`s grace:
There is no fear, only total gladness.

Beverly Hills,
27 March 1991.


Anis Sabirin juga tidak lupa pada akar tradisi puisi Melayu, iaitu Pantun contoh Dari Mana (41, 1991), Pantun Sehari (61-62, 1991).

Ketara puisi-puisi Anis Sabirin membawa pelbagai tema dan sebahagian daripadanya bertemakan keislaman sebelum hijrah Anis Sabirin dan lebih ketara selepas kepulangannya menetap kembali di Petaling Jaya. Namun puisi-puisi Anis Sabirin yang kebanyakan panjang-panjang itu lebih bersifat pernyataan, tetapi kurang membawa aspek estetik sebagaimana diharapkan dari hasil seni . Dengan usia Anis Sabirin berlanjutan makin menebal keinsafan dan kesedaran keislaman. Anis yang kelihatan pada awalnya banyak membawa tema-tema kecewa dan seolah-olah membawa diri, mencari hakikat kehidupan dan menemui dan pulang dengan tenang. Anis tidak bersifat Si Tenggang, tetapi seluang melaut yang pulang dengan keinsafan dan kasih sayang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment